Khamis, 29 November 2012

Novel: SEBELUM NAFAS TERHENTI (BAB 22)


Nurlisa terus melayani pelanggan yang datang ke kedai dengan sabar. Di kedai menjual telefon mudah alih serta aksesorinya, dia tidak perlu berjalan ke sana ke mari. Dia hanya duduk di kerusi bulat yang tinggi sambil mengadap serta melayani pelanggan yang datang melihat telefon-telefon yang dipamerkan di dalam almari kaca.
Pelanggan hanya melihat telefon-telefon daripada permukaan cermin sahaja sambil diberi penerangan oleh Nurlisa atau beberapa orang pembantu yang lain.
“Hey, Lisa. Awak kerja di sini pula. Apa khabar?” Adzman tiba-tiba saja muncul di depan muka Nurlisa dengan wajahnya yang riang.
“Ya!” jawab Nurlisa ringkas sambil tersenyum meleret.
“Tukar bateri telefon ni. Dah lemah. Saya tak ada masa nak datang tukarkannya. Saya guna sahaja sampai benda ni tak ada nyawa lagi lagi.” Adzman bercerita tanpa dipinta. 
Nurlisa hanya ketawa kecil mendengar cerita Adzman itu. Seperti waktu dulu, Adzman masih dengan sikap periangnya. “Sebentar, encik. Saya tukarkan.” Telefon bertukar tangan. 
Adzman menganggukkan kepalanya.
“Dah siap, encik. Hmm... 60 ringgit sahaja.” Nurlisa menghulurkan kembali telefon mudah alih kepunyaan Adzman.
“Hmm... dah makan tengah hari? Jom! Makan tengah hari dengan saya. Tak payah berjalan jauh. Di sebelah kedai ini pun ada kedai makan.” Adzman mempelawa dengan nada mesra dan riang. Biasanya jika dia mempelawa, tak pernah ada yang menolak.
“Terima kasihlah, encik.” Nurlisa mengeleng-gelengkan kepalanya.
“Tak nak tak apa. Lain kali saya datang, jangan menolak lagi.” Adzman menyeringai menunjukkan giginya yang putih dan bersih. Matanya merenung Nurlisa yang kelihatan tenang dan manis.
Adzman menghidupkan enjin kereta sebaik sahaja tubuhnya masuk ke dalam kereta dan duduk di tempat pemandu. Pemuda itu bersiul-siul riang sambil memandu.  Telinganya dihidangkan dengan irama lagu daripada cakera padat yang tidak berhenti daripada tadi.
“Oh ya. Ke Butik Mesra.” Adzman bercakap sendiri apabila teringat janjinya dengan Linda. Kereta terus dipandu laju. Sebaik sahaja tiba ke bangunan yang menempatkan butik itu, dia memperlahankan keretanya untuk mencari ruang meletakkan kereta. Nasib baik ada parkir kosong di hadapan butik dan keretanya terus dipakir di situ.
“Hai, Linda.” Sambil menolak daun pintu kaca, Adzman terus sahaja menyapa wanita itu sebaik sahaja Linda merenung ke arahnya apabila tubuhnya muncul di depan pintu. Bersama Linda ada seorang gadis lagi yang sedang sibuk melakarkan pakaian yang diingininya. Dari belakang Adzman seolah kenal perempuan yang bersama Linda itu.
“Hai! Tunggu ya. Five minutes.” Linda meneruskan perbincangannya bersama gadis berambut perang itu. Mereka kelihatan bersungguh-sungguh benar.
“Okeylah. Dua minggu lagi bolehlah siap semua pakaian yang kau inginkan ini.” Janji Linda. Gadis berambut perang terus bangun untuk beredar dari situ dan terserempak dengan Adzman yang sedang asyik melihat baju-baju yang bergantungan.
“Helo, Adzman. Hai, pura-pura tak kenal I.” Ain Wahida menghampiri Adzman yang tersenyum lebar. Lenggang-lenggoknya sengaja dilintuk-liukkan.
“Masakan aku tak kenal! Dari belakang pun aku dah tahu. Ain Wahida, pragawati ternama.” Adzman bersuara sinis.  Senyumannya senget di bibir kiri.
“Oh! Sekarang ni kau bersama Linda, ya? Dia kawan serumah aku! So, congratulation. Jangan lupa kad jemputan untuk aku nanti. Dan jangan terkejut sekiranya kau terima kad undangan daripada aku nanti. Aku akan menjadi menantu Datuk Haris, jutawan ternama tu.” Ain Wahida bercerita sambil memuncungkan bibirnya yang berminyak, disental lipstik berwarna merah jambu.
“Datuk Haris?” Adzman berpura-pura terkejut. Dia menyembunyikan tawa di dalam hatinya. 
Yes my dear. Sekarang, buah hati aku Aldi, arkitek kanan di Roda Emas. Mungkin jika Datuk Haris meninggal, Roda Emas itu akan menjadi milik Aldi. Dapat tak kau bayangkan betapa senang lenang dan mewahnya aku nanti apabila menjadi isteri Aldi.” Ain Wahida terus bercerita dengan cara yang mengada-ngada.
“Baguslah. So, congratulation daripada aku pula. Murah rezeki kau.”
Beberapa ketika kemudian, Ain Wahida terus meninggalkan butik itu dengan langkahnya yang melintuk liuk.
“Oh! Jadi, youlah Adzman yang Ain Wahida selalu ceritakan kepada I tu!” Linda pula bersuara sebaik sahaja kelibat gadis itu tidak kelihatan lagi.
Adzman hanya tersengih. “Dia nak orang kaya. I ni, apalah yang ada.” Dia merendah diri.
“Jadi kita pergi lunch hari ni?” ujar Adzman lagi sambil memandang Linda.
“Jadi. Tunggu sekejap.” Linda meninggalkan pesanan kepada Haida pembantu butiknya. Selepas Nurlisa berhenti, gadis itulah yang menggantikannya.

Sibuk benar Nurlisa hari ini. Secara kebetulan hari Sabtu.  Ramai orang bercuti. Kedai tempat dia bekerja pun tidak putus-putus dengan pelanggan semenjak awal pagi lagi.  Mona teman sekerjanya juga turut sibuk melayani pelanggan.  Sungguhpun begitu, Mona kelihatan gelisah. Berulangkali dia melihat jam di lengan kirinya dan sesekali memerhati Nurlisa.
“Lisa! Macam mana? Jadi tak malam ni kau ikut aku.  Kita pergi, ya.” Mata Mona merenung dengan pandangan memujuk. Dia ingin mengenalkan Nurlisa dengan seseorang.  Salah seorang kenalannya memang sudah lama ingin berkenalan dengan gadis itu.
“Pergi ke mana?”  Nurlisa menyoal kembali.  Matanya merenung Mona yang berbaju T  ketat berwarna merah jambu.  Baju T yang menampakkan sebahagian besar lengannya. Dan apabila gadis itu mengangkat tangan, bawah lengannya akan jelas kelihatan.
“Pergi tengok wayanglah. Lepas tu kita pergi makan-makan. Kemudian kita pergi disko. Menari. Tengok orang menari. Come on, Lisa. Jomlah kita pergi. Waktu muda nilah masa kita berhibur.” Mona terus memujuk. Kepalanya terangguk-angguk mengikut rentak irama muzik yang kedengaran dari pembesar suara kedai bersebelahan.
“Nak balik pukul berapa?” Sambil matanya merenung tajam ke arah Mona, Nurlisa menyoal lagi. Walaupun hatinya sedikit pun tidak tertarik dengan pelawaan Mona itu, Nurlisa tetap menyoal untuk menduga hati temannya itu.
“Alah. Kan malam ni malam minggu. Esok kita cuti. Tak payah balik rumah pun tak  apa. Lepas kerja nanti kita terus pergi.” Tanpa rasa putus asa Mona terus memujuk.
“Minta maaflah, Mona. Aku tak dapat ikut. Hmm... aku ada hal di rumah. Lagipun, malam nanti aku ada kerja lain.” Nurlisa cuba menolak dengan cara yang baik dan tidak melukakan hati teman sekerjanya.
“Kerja apa? Basuh pinggan mangkuk di restoran mamak tu? Hei Lisa, berapa senlah yang boleh kau dapat. Kau ikut aku malam ni, confirm kita ada satu kerja. Lumayan.”  Mona mengisyaratkan ibu jarinya yang digeselkan dengan jari telunjuknya kepada Nurlisa. 
“Mona! Kau...” Ingin sahaja Nurlisa memarahi Mona dengan sikapnya itu. Dia faham apa yang dimaksudkan oleh Mona. Hatinya benar-benar rasa tersinggung dan terhina.  Tidak tergamak dia melakukan kerja yang bercanggahan dengan perintah agama. Menjadi teman kepada lelaki-lelaki yang tidak dikenali dan menerima upahnya selepas menghiburkan mereka.
“Pendapatan kecil tak apa Mona. Asalkan halal, berkat serta diredhai Allah.” Akhirnya Nurlisa bersuara tenang dan perlahan.  
“Eleh! Tunjuk alim ke?” Mona, mulutnya agak celupar. 
Nurlisa mendiamkan dirinya. Malas bertekak dengan orang yang tidak akan faham dan menghormati pendirian orang lain.
“Kau tahu tak, ada seseorang berminat dengan kau?  Selalu dia datang ke kedai ini dan asyik perhatikan kau.”  Mona terus bercerita. Matanya merenungi Nurlisa. Nurlisa memang gadis cantik. Begitulah akui hatinya. Kadangkala dia berasa cemburu dengan kecantikan yang dimiliki oleh Nurlisa. Pipinya halus dan bersih. Sedangkan dia, pipinya jerawat tumbuh silih berganti. Menyembunyikan jerawat di pipi, setiap hari dia memakai alas bedak yang tebal dan dipupuk dengan bedak debu yang tebal juga.
“Minta maaflah, Mona. Aku tidak berminat dengan cerita itu. Siapalah aku. Gadis tempang! Lainlah kau. Sempurna.  Aku tidak mahu buang masa dengan perkara-perkara sebegitu.”  Nurlisa berbicara agak perlahan. Bimbang kenyataannya itu akan membuatkan hati teman sekerja tersentuh.
“Okeylah, Lisa. Tapi kalau kau berubah fikiran nanti, beritahu kepadaku. Aku bawa kau pergi ke tempat aku selalu berhibur,” kata Mona lagi. Keningnya yang dicanting halus diangkat-angkat.
“Kau tu, ubahlah penampilan sikit. Kita ni masih muda lagi. Hei! Tak usahlah pakai tudung begitu, macam mak cik-mak cik. Buat macam rambut aku ni. Barulah sesuai.”  Sambil berkata, tangan Mona menyentuh-nyentuh tudung yang dipakai oleh Nurlisa.
Nurlisa malas memberi ulasan terhadap kata-kata yang diucapkan oleh Mona. Baginya, sebagai seorang Islam, dia wajib melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah. 
“Kau tu, kalau tak pakai tudung lagi cantik tau tak? Aku teringin hendak melihat rambut kau, Lisa. Mesti lebat dan hitam. Panjang. Esok, tak payahlah kau pakai tudung macam ni lagi.” Mona masih belum berhenti menyindir temannya itu sambil menyentap hujung tudung yang dipakai oleh Nurlisa untuk bergurau.
“Aku pun Islam juga.  Namaku Maimunah binti Hussin.  Berdasarkan nama aku, orang dah tahu aku ni berbangsa Melayu dan mestilah menganut agama Islam. Tapi tak pula ibu bapa aku kalut-kalut suruh aku pakai tudung macam kau ni.” Mona bersuara megah.
“Insya-allah. Suatu hari nanti, apabila kau telah mendapat petunjuk dan hidayah daripada Allah, kau akan pakai juga Mona.” Akhirnya setelah lama berdiam diri, Nurlisa mengungkapkan kata-kata itu kepada Mona.
“Maksudnya apa? Aku terpesong daripada petunjuk Allah?” Mona masih cuba berdebat.
“Yalah. Orang Islam yang menerima serta mengikut pertunjuk dan hidayah daripada Allah, mestilah mengikut segala perintah Allah. Keseluruhannya. Bukannya sebahagian daripadanya. Melindungi aurat atau rambut daripada pandangan bukan mahram, lelaki yang ajnabi, itu wajib. Kalau tidak dibuat yang wajib, berdosa. Kalau dah dosa banyak terhimpun, kau tahulah nanti, di mana tempatnya.”  Nurlisa cuba berhujah mempertahankan pendiriannya dengan lembut. 
“Nerakalah! Eee takutnya aku. Eleh... kau ni Lisa, dalam diam-diam pandai bercakap hal agama rupanya. Apa yang kau cakap tu, mahram? Lelaki ajnabi? Aku tidak pernah dengar semua perkataan tu. Di mana kau kutip?” Mona seolah menyindir Nurlisa dengan kata-katanya itu.
“Yang kau tu, boleh ke bersembahyang dengan keadaan kaki kau yang tak sama panjang tu?” Lancang benar mulut Mona sewaktu bertanyakan soalan itu kepada Nurlisa.
“Tidak boleh berdiri, aku solat duduk. Tidak boleh duduk, aku solat dengan mataku. Yang penting, kewajipan kepada Allah yang telah mengurniakan aku berbagai-bagai rahmat, aku laksanakan.” Nurlisa menjawab dengan tegas tetapi perlahan suaranya. Demi menegakkan kebenaran, dia berani untuk menuturkan apa saja.
“Yalah, Allah sudah kurniakan kau dengan kaki capik begitu!” Mona masih mahu berdebat dan enggan menerima kebenaran.
“Kirim salamlah aku nak lakukan semua itu. Muda lagi.  Lambat lagi nak matinya. So aku nak enjoy!” Mona masih dengan pendiriannya.
Nurlisa beristighfar di dalam hatinya. Mensyukuri kerana Allah sentiasa mengingatkannya supaya mengelakkan diri daripada melakukan perkara yang dilarang. Selalu mengingati mati. “Tak baik kau cakap begitu Mona. Ajal dan maut ditangan Allah. Mati muda atau mati waktu tua, Allah yang menentukannya. Kita kena selalu beringat, Mona.  Mati, kiamat pada bila-bila masa saja akan berlaku mengikut kehendak Allah.
Kan dalam al-Quran ada menyebut, kiamat itu akan datang di kala umat manusia sedang leka dengan kehidupan dunia,” ujar Nurlisa perlahan-lahan. Cuba menyampaikan apa yang diketahuinya kepada Mona.
“Hei... apa yang kau merepek ni Lisa. Panjang betul hujah kau! Aku tak sukalah nak dengar!” Mona menempelak pula dengan suara kasar dan ekspresi wajah yang kurang senang.
Nurlisa mendiamkan diri. Tidak mahu lagi membalas percakapan Mona. Kalau hati sudah tidak mahu menerima kebenaran, bercakap sehari semalam dengannya pun tidak akan membawa sebarang makna. Syukurlah kerana dia memahami keindahannya Islam dan tidak jemu untuk mempelajari serta meperaktikkannya di dalam kehidupan.  Islam yang ada padanya, bukanlah hanya warisan daripada ibu dan bapanya. Islam yang ada pada dirinya adalah kerana kefahaman hatinya tentang iman, taqwa sejak di sekolah lagi.  Syukurlah kerana Allah telah membimbing hatinya untuk menerima pertunjuk dan hidayah. Jika tidak sudah tentu dia akan berada di dalam kesesatan. Melihat perkara yang tidak elok itu sebagai baik dan indah. Di hari akhirat nanti, pasti akan tergolong di dalam golongan orang-orang yang rugi serta mendapat azab Allah. Nauzubillah.



~~~~BERSAMBUNG~~~

Tiada ulasan: