KEBIASAANNYA, pada waktu rehat tengah hari aku pulang ke rumah untuk tidur
seketika, mandi dan sembahyang. Pada suatu hari aku terpandang sepucuk sampul
surat berwarna coklat terselit di antara novel-novel di rak buku. Aku sedikit
hairan kerana sampul surat itu tidak ada di situ pagi tadi.
‘Mungkin Idham
telah meletakkannya di situ sebelum pergi ke pejabat pagi tadi. Idham keluar ke
pejabat lewat sedikit daripadaku. Dengan rasa takut dan tertanya-tanya aku
membuka sampul surat itu.
Tuan diminta
datang ke Mahkamah Syariah Daerah Perak Tengah.
Sila hadirkan
diri tuan. Sekiranya tuan enggan pihak
mahkamah akan mengeluarkan waran untuk menahan tuan.
Di dalam surat
itu ada disebutkan nama Asmahani bt Abdullah. Lagi sekali Idham menyembunyikan
masalah yang dihadapinya daripada aku. Mengapa dia tidak menceritakan kepadaku?
Siapa Asmahani? Aku teringat tentang surat cerai yang pernah aku temui lima
tahun yang lalu.
Tahun pertama
perkahwinan kami, Idham diheret ke mahkamah oleh Nur Hidyah jandanya, kerana
tidak membayar nafkah. Dan kini Asmahani pula mendakwa suamiku itu. Apa tujuan mereka? Walaupun dia tidak pernah
memberi kebahagiaan kepada hatiku, namun aku tidak pernah berdendam. Aku terus
berusaha untuk menjadi isteri yang terbaik buat Idham.
Sampul surat
yang berlipat dua itu aku letakkan kembali ke tempat asalnya. Kekerapan
mengalami peristiwa sebegitu setelah menjadi isteri Idham menyebabkan aku
berjaya mengawal keresahan hatiku. Aku tetap bersabar dan tiada keinginan untuk
bertanya kepada Idham. Biar dia sendiri yang bercerita. Kalau aku tanya,
silap-silap kena lempang. Aku sayang
kepada tubuh badanku. Aku tidak
mahu Idham mengasari tubuh badanku dengan tangannya yang keras itu. Sakit rasanya jika lenganku ini dicengkam.
Perit rasanya bila pehaku dicubit-cubit sehingga lebam. Pening rasanya apabila
kepalaku digoncang-goncang seperti kelapa muda. Aku harus menjaga diriku.
MALAM itu, selepas makan malam, Idham bermenung di atas buaian yang
diletakkannya di beranda di belakang rumah.
Aku menyediakan teh tarik untuknya. Puding sago yang kubuat petang tadi
turut kusajikan juga.
“Kek yang kawan
abang beri tu ada lagi tak?” Idham bertanya tanpa memandang kepadaku.
Semalam Idham
ada membawa sebiji kek coklat yang besarnya cukup untuk sajian sebuah keluarga
yang ada anak sedozen. Masih banyak lagi bakinya yang kusimpan di dalam peti
sejuk. “Ada... Abang nak ke? Kan baru lepas makan nasi?” Bimbang aku tersilap dengar, aku bertanya
sekali lagi kepada Idham. Aku sebenarnya
risau dengan cara pemakanan Idham. Kek,
coklat, aiskrim, minuman manis, puding, murtabak tidak pernah lepas dari
tekaknya pada setiap minggu. Jika aku membuat puding telur, dalam masa tak
sampai dua jam Idham mampu menghabiskannya lima mangkuk.
“Kalau dah
makan nasi kenapa? Tak boleh
abang nak makan kek? Suka hati
abanglah? Nak makan apa pun! Ambilkan saja, jangan banyak tanya lagi!
Dah orang suruh tu buat saja! Jangan banyak cakap!” Suara Idham
melengking.
Aku lihat dia
memicit-micit dahinya. Mungkin
dia sedang sakit kepala kerana memikir.
Maklumlah, dia kena menghadiri mahkamah syariah lagi dua tiga hari. Aku masih menunggu dengan sabar saat-saat
Idham akan menceritakannya kepadaku.
Bila dia rasa tersepit dan perlukan bantuan aku, baru dia akan
bercerita. Aku faham
sangat dengan karenahnya. Meminta bantuan pun dengan keegoannya yang tidak
pernah rebah.
“Abang, ni
keknya! Aiskrim yang Lidya buat tu pun ada lagi. Kalau abang nak, Lidya
ambilkan.” Aku ingin menabur bakti kepada seorang suami dengan hati yang
tulus. Namun begitu, kelembutan suara
serta hatiku tidak pernah menambat hati Idham supaya melayaniku dengan baik,
dengan kelembutan dan kasih sayang seorang suami.
“Ehhh, jangan
nak perli-perli abang pula! Ingat abang buruk lantak sangat ke? Orang tengah
sakit kepala ni menyakitkan hati kita pula!” Idham bangun dan bercekak
pinggang. Dia merengus dan bersuara kasar dengan bahasa yang kesat.
Perasaan hatiku
mengelepar. Namun, aku harus terus bersabar. Api tidak boleh dilawan dengan
api. “Minta maaflah, bang! Lidya tidak berniat untuk perli abang! Lidya tanya
kerana ALLAH! Kan abang suka makan aiskrim.” Aku bersuara perlahan dan
menundukkan muka kerana menyembunyikan tangisan. Air mata mula bertakung di penjuru
mataku. Untuk mengelakkan dari terus dimarahi, aku rasa biarlah aku pergi duduk
menyendiri di hadapan televisen.
“Nak pergi mana
tu?” Belum sempat kakiku melangkah, Idham bertanya dengan nada marah. Aku
berdiri tercegat di sisinya.
“Lidya nak
tengok TV!” suaraku masih lembut
walaupun aku teruk dimarahi.
“Penting TV ke penting abang?” Sebagaimana biasa, Idham
menunjukkan kuasa vetonya.
Aku duduk kembali di sisinya. Sambil berpura-pura
menunjukkan wajah selamba, aku meletakkan potongan kek di hadapan Idham.
“Kan abang kata
abang sakit kepala, ada Lidya tanya balik sakit kepala kenapa?” Mata Idham
merenungku tajam.
Renungannya
membuatkan aku serba salah. Bila ditanya, aku kena marah. Bila aku diam, dia
terasa seolah tidak diendahkan. “Nanti abang marah Lidya! Lidya tak suka
bising! Tu sebab Lidya tak tanya! Kalau abang nak ubat Lidya ambilkan.” Aku
menjawab dengan nada perlahan.
“Bodoh! Kurang
ajar! Bila aku marah kamu? Suaraku memang kasar! Cakap kuat bukan bermaknanya
aku marah!” suara Idham menengking.
“Abang ada
masalah apa?” Aku bersuara tegang dan perlahan. Bosan benar aku dengan sikap
Idham. Serba salah dan serba tak kena aku dibuatnya.
“Ni abang nak
ceritakan satu perkara! Lidya dengar dan jangan tanya apa-apa!” Idham mencedok
puding sago dan menyuap ke mulutnya dengan rakus. Amaran itu sudah acap kali
aku dengar. “Maaflah, abang terpaksa menceritakan kisah lama!” suaranya meninggi.
Aku hanya
menunggu dengan sabar patah-patah perkataan yang akan keluar dari bibir Idham.
Aku berpura selamba dan menunjukkan ketenangan tingkah laku. Sebenarnya,
selepas terjumpa surat daripada mahkamah syariah itu, aku cuba meneka-neka
cerita dan kaitan antara surat cerai yang pernah aku jumpa sewaktu baru
bernikah dengan Idham lebih kurang tiga tahun yang lalu.
“Lepas bercerai
dengan bedebah itu, abang ada bernikah lain!” Idham menelan air liur. Tangannya
mencapai pula mug teh tarik sebaik sahaja
puding sago habis dimakannya. Mangkuk
bekas puding diletakkannya ke dalam dulang. Penjelasan daripada Idham
menyebabkan hatiku pilu bercampur kecewa.
Mengapa hari ini baru dia ingin menceritakan segalanya. Tahulah aku kini bahawa aku bukan isterinya
yang kedua seperti yang dinyatakannya kepada aku. Tetapi aku adalah isterinya
yang ketiga. Kegagalan rumah tangga sebanyak dua kali, siapakah yang menjadi
punca sebenarnya? Idham atau isteri-isterinya?
“Bedebah?” Aku
berpura tidak faham siapa yang dimaksudkan oleh Idham. Semenjak peristiwa
disaman oleh jandanya kerana tidak membayar nafkah anak, Idham menggelarkan
jandanya dengan panggilan ‘bedebah’.
“Si Nur Hidayah
itulah!” suara Idham bertambah
keras, Mungkin dia terkenang kisah di
mahkamah.
“Habis tu?” Aku
cuba bertanya. Terlupa kepada pesanan Idham tadi.
“Dengarlah!
Orang kata jangan tanya! Dengar dulu orang nak cerita. Nanti kalau aku kata
tanya, barulah tanya! Bodoh tak habis-habis!” Idham memarahi aku.
Mujurlah aku
dianugerahkan oleh ALLAH dengan sifat kesabaran yang kuat juga. Jika tidak,
sudah tentu aku tinggalkan Idham seorang diri di situ. Biar dia menyelesaikan masalahnya
sendiri.
“Abang kena
pergi mahkamah minggu depan. Inilah abang nak tanya pendapat Lidya. Lidya rasa
abang perlu hadir ke tidak?” suara Idham tiba-tiba mendatar.
“Apa kesnya?”
Aku ingin kepastian. Sebelum memberi pendapat, sudah tentu aku mahu tahu cerita
yang sebenarnya.
“Eh! Lidya,
abang nak jawapan ke pertanyaan? Abang tanya Lidya, abang perlu hadir ke tidak! Question mark!!!” Lagi sekali aku kena marah. Pertanyaan aku selalu tidak mendapat jawapan.
Sebaliknya Idham terus mendera fikiranku dengan sikap keras serta keegoannya.
“Hadir ke
tidak?” Idham menekan suaranya. Marah-marah pun semua makanan di atas meja
sudah menjadi penghuni perutnya.
“Hadirlah!
Nanti...” Belum sempat aku menghabiskan bicara, Idham mencelah.
“Sudah! Jangan
cakap apa-apa lagi! Abang tak mau dengar!” Idham memegang dahinya. Langsung dia
tidak mengendahkan perasaan aku. Bukankah aku isterinya.
“Bagi abang,
kes ini tidak boleh wujud! Mereka
mengada-adakan cerita! Tadi abang ada call pejabat agama daerah itu,
untuk tahu cerita yang sebenar! Mujur abang ada seorang kawan di situ.” Idham bercerita dengan suara perlahan.
“Kalau ada
apa-apa masalah, datanglah berunding sendiri!
Sikit-sikit mahkamah! Sikit-sikit mahkamah!” Idham merungut. Mungkin dia
rasa sakit hati dengan apa yang berlaku terhadap dirinya.
“Nak duit
datang minta sendiri tak boleh ke? Ini tidak, semuanya nak melalui
mahkamah!” Idham menggosok-gosok dadanya
yang tidak berbaju. Badannya berpeluh.
“Minta nafkah
tertunggak semenjak bercerai! Gila! Dulu waktu membentak-bentak untuk bercerai
cakap, tak mahu satu sen pun. Sekarang ni semua cerita dah jadi lain! Dah 20
tahun semuanya mahu diungkit balik! Tak boleh ke mereka biarkan abang hidup
dengan tenang?” Idham meluahkan segala isi hatinya yang terbuku. Aku mencongak-congak
di dalam kepala jumlah tunggakan nafkah yang dituntut oleh janda Idham. Kalau nafkahnya RM 200 sebulan, 15 tahun sudah RM36,000. Jika Idham tidak mampu
menyediakan wang itu, Idham mungkin akan dipenjarakan. Pada waktu itu, Idham
sudah berumur 52 tahun. Aku baru menjejak angka umur 32 tahun. Dendam
janda-janda Idham mungkin terlalu menebal.
Selepas jandanya yang pertama, Nur Hidayah membawa kes nafkah ke
mahkamah, Asmahani, bekas isterinya yang nombor dua pula mengheret Idham ke
mahkamah atas kes yang sama. Mungkin kedua mereka ingin melihat Idham
hidup susah kerana sakit hati.
“Habis tu,
abang tak mahu pakai lawyer ke?” Aku memberanikan diri untuk bertanya
tanpa menceritakan rasa kebimbangan dan apa yang sedang aku fikirkan.
“Ini yang abang
sedang fikirkan! Abang pun bukannya sihat sangat! Abang takut nanti, mereka
mengungkit cerita yang bukan-bukan di mahkamah dan abang tidak boleh kawal
perasaan marah!” Sedikit demi sedikit Idham menceritakan masalah yang sedang
bersarang di hatinya. Bagaikan menarik rambut di dalam tepung, aku terus
berhati-hati dalam menuturkan kata-kata.
“Kalau bagitu, abang guna khidmat lawyer! Di
mahkamah, abang tak payah cakap apa-apa!” Aku terus memujuk dengan lembut. Jika
Idham keberatan kerana sayang untuk mengeluarkan wang, biarlah aku yang
berkorban. Aku takut dia akan disabitkan dengan kesalahan. Naluriku mengatakan
yang janda kedua Idham pun, mengheretnya ke mahkamah mungkin rasa cemburu
kerana Idham telah berkahwin lain. Jadi
mereka ingin menyusahkan bekas suami mereka itu.
“Abang pakailah dulu duit yang Lidya bagi untuk buat
kabinet dapur tu. Ada rezeki, lain kali kita buat.” Aku bersuara tenang. Baru
dua minggu yang lalu aku mengeluarkan wang simpananku sebanyak mana yang
dimahukan oleh Idham.
“Abang!!!
Dengan isteri abang yang ke dua tu abang ada berapa orang anak?” Rasa ingin
tahuku meronta-ronta.
“Sudahlah
Lidya! Jangan tanya abangg! Kan abang kata jangan tanya, jangan tanyalah! Tak
faham-faham!” Idham tiba-tiba melenting dan menerkam kepadaku. Lenganku dicengkamnya
kuat. Sebelah tangannya mencengkam dagu dan memicitnya dengan kuat sekali. Itu
hukuman yang harus diterima oleh bibirku yang gatal untuk bertanya kisah
peribadinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan