Khamis, 6 Disember 2012

Novel:SEBELUM NAFAS TERHENTI (BAB 23)


Ruang tamu yang dihuni oleh Ain Wahida dan Linda, sunyi daripada suara manusia, namun riuh dengan suara yang muncul dari peti televisen.
Linda asyik menulis di meja tanpa menghiraukan suara televisen yang membingitkan.
“Apalah kau ni, Linda? Macam mana pula kau boleh ada hubungan dengan Adzman tu. Dia tu ex-boyfriend akulah.Aku tak boleh terimalah jika kawan baik aku berhubung dengan ex-boyfriend aku. Tak boleh terima!” Ain Wahida terjerit dihujung percakapannya.
“Apa yang kau cakapkan ini, Ain. Bukankah kau dah tinggalkan dia. Dah tak mahu dia lagi. Kau kata dia penipu!  Bukan anak datuk! Lalu kau tinggalkan dia! Aku tak cari anak datuk! Aku cari kawan yang bersesuaian dengan hati aku!”  Linda menjawab tenang. Jarinya terus menekan butang-butang di mesin pengira.
“Linda! Aku sayangkan dia lagi! Aku mahukan dia juga!”  Ain Wahida bersuara seolah mahu menangis. “Aku pura-pura merajuk aje! Aku mahu dia datang pujuk aku kembali! Aku mahu dia merayu kepada aku! Tagih cinta daripada aku!” Ain Wahida merengek-rengek sendiri.
“Adzman kau mahu! Aldi kau tak boleh lupakan! Hey, macam mana ni? Kau hanya boleh pilih satu sahaja dalam satu masa!” Linda bersuara agak kuat.
“Adzman tu periang! Selalu buat aku happy dengan telatahnya yang gila-gila dan loyar buruk! Tapi... dia tak tahu menghargai aku!” Ain Wahida bercerita dengan nada yang merengek seperti anak kecil.
“Tapi... Aldi! Hmm... Aku tidak tahu hendak menterjemahkannya. Yang pastinya aku rasa ingin bersamanya setiap saat. Pandangan matanya yang romantis. Oh! Aku benar-benar teruja dan tak dapat lupakannya walau satu detik!” Ain Wahida bercakap dengan penuh perasaan sambil memeluk dirinya sendiri.
Linda ketawa mengejek. “Ain! Kalau begini kau tak akan dapat memiliki mana satu pun! Hati sendiri pun tidak boleh buat keputusan macam mana?” Dia memperli sambil tersenyum.
“Okey! Okey! Aku tak mahu Adzman! Aku mahu Aldi! Aku akan pastikan Aldi menjadi milik aku! Aku akan beritahu semua wartawan hiburan supaya hebahkannya di dalam majalah. Ain Wahida, model terkenal akan memilih Aldi anak Datuk Haris sebagai teman hidupnya.” Ain Wahida ketawa  riang dengan rancangan yang tiba-tiba muncul di kepalanya.
“Ain! Jangan buat begitu! Kau hanya mengadakan cerita yang tidak benar! Ini akan memalukan Aldi dan akhirnya akan memalukan diri kau sendiri.” Linda menyuarakan kebimbangannya terhadap keinginan Ain Wahida itu.
Ain Wahida hanya mentertawakan sahabatnya itu.
“Jika Aldi tidak ada apa-apa perasaan terhadap kau, jika dia menganggap yang kau hanyalah kawan biasanya macam mana?” Linda cuba menyedarkan Ain Wahida yang kelihatan selamba. “Bukankah itu akan mencemarkan maruah kau juga. Jangan buat perkara yang bukan-bukan. Ikut rasa binasa. Ikut hati mati.”
“Hisy! Aku pasti Aldi akan jatuh cinta kepada aku nanti! Kau tengoklah nanti! Aldi akan ikut aku.”  Bibir Ain Wahida menyungging senyuman yang meleret.
“Mana-manalah Ain! Jangan nanti ayam terlepas, tangan tertinggal bau pulak!” perli Linda sambil ketawa.
“Helo kawan! Jangan cabar aku. Aku pantang kalau dicabar. Okey, sekarang kita bertaruh! Kau beri masa aku setahun. Aldi akan jatuh ke tangan aku. Jika tidak, aku tak akan bernikah sampai bila-bila.” Ain Wahida kembang kempis hidungnya sewaktu mengucapkan kata-kata itu. Dia kelihatan bersungguh-sungguh benar.
“Gila kau ni! Jangan cabaran memakan diri Ain. Nanti menyesal. Walau macam manapun, it’s up to you. Kau yang memulakan permainan ini. Dan aku hanya penontonnya.”  Linda membalas kata-kata Ain Wahida tadi dengan ungkapan yang membawa seribu makna.
“Tapi awas! Jangan kau cuba merebut Aldi pulak!  Macam yang kau telah buat sekarang ini! Kau ambil Adzman tu! Kemudiannya kau rahsiakan daripadaku. Buka butik pun tak mahu bercerita dengan aku!” Ain Wahida memuncungkan bibirnya. Dia agak berkecil hati dengan teman serumahnya itu. Sedikitpun tidak bercerita tentang usahanya membuka butik. Nasib baik dia terbuka hati untuk ke Butik Mesra pada hari itu. Dapatlah dia mengetahui tentang tuan punya butik tersebut dan yang paling penting terserempak pula dengan mantan kekasihnya, Adzman.
“Ain, takkan itu pun kau nak merajuk dan kecil hati? Dan sorry sikit ya! Aku tak pernah ambil Adzman dari tangan sesiapa pun. Tak ada cop kau pun pada dahi dia yang dia hak milik kau! Pasal butik itu... hmm... apalah sangat! Tak besar mana pun! Adalah sekangkang kera. Malu aku nak bercerita dengan kau. Bisnes baru nak mula. Kalau dah maju nanti, aku buka butik yang lagi besar, aku panggil kau untuk rasmikannya!”
“Puas hati, Cik Ain?” Linda bersuara agak kuat.
Ain Wahida pura-pura tidak mendengar. Matanya tertumpu pada skrin televisen sambil melayan hatinya yang bergelodak dengan rasa cemburu. Dia tidak ada apa-apa yang dapat menjamin masa depannya. Terumbang ambing bagai bahtera di tengah samudra. “Kau ni tak boleh di buat kawan!” tempelaknya. Entah angin apa yang melanda hatinya di kala itu.
“Amboi! Terserahlah. Kalau kau tak mahu kawan dengan aku pun, aku tidak rugi apa-apa,” kata Linda sinis. Karenah Ain Wahida amat difahaminya. Kadang-kadang keras kepala.  Kadang-kadang besar kepala.
“Dari mana kau dapat duit buka butik tu? Ada orang sponsor ke? Setahu aku kau tu tidaklah popular sangat.  Pertunjukkan yang kau perolehi pun tidak seberapa,” soal Ain Wahida lagi.
“Ain, Ain, kau ni suka pandang rendah kepada orang lain. Tak baik. Aku nak mencari rezeki halal untuk menyara ibu dan adik-adik aku di kampung. Dulu, selain jadi model memperagakan pakaian, alhamdulillah aku boleh menjahit sikit-sikit.” Linda membidas percakapan Ain Wahida yang bercakap mengikut sedap mulutnya dan tidak memikirkan perasan orang lain.
“Oh! Jadi kau ambil upah menjahit? Bila masanya kau menjahit di rumah ni?” Ain Wahida bangun dari sofa dan berjalan ke dapur. Beberapa minit kemudian dia membawa sepiring epal hijau yang sudah dipotong kecil-kecil dan air suam.
“Kau tu yang tak suka duduk rumah bila tak ada kerja.  Macam mana nak nampak aku menjahit. Sekarang ni aku menjahit di butik... lagilah kau tak nampak!” terang Linda lagi.
“Kau rajin. Aku malas nak buat semua tu. Lebih baik aku pikat orang kaya untuk dapatkan kekayaan segera.” Ain Wahida merebahkan dirinya di atas permaidani di hadapan televisen. Sebiji bantal bulat penghias sofa di ambilnya dengan menggunakan kaki lalu disepit di antara kedua kakinya.
“Mana-manalah Ain. Buatlah apa-apa yang kau rasa baik. Jangan menyesal di kemudian hari sudahlah.” 

Tiada ulasan: