Khamis, 6 Disember 2012

Novel:Kasihnya DIA (BAB 23)


DATIN Jazima duduk di kerusi malas di ruang tamu sambil melunjurkan kakinya. Dia rasa bosan. Dari pagi membawa ke petang hanya duduk-duduk menonton televisen di ruang tamu. Pagi tadi, Datin Maimunah ada menghubunginya melalui telefon mengajaknya bersama menghadiri ceramah agama di masjid selepas zuhur.
Malas dan tidak terbuka pula hatinya untuk turut serta dalam majlis itu. Jika boleh dia tidak mahu ke mana-mana sampai mati. Arang yang terconteng di wajahnya semakin banyak larikannya. Mula-mula Datuk Johan ditangkap khalwat. Setelah itu, dia dimadukan pula oleh suaminya itu dengan gadis muda yang cantik dan jelita.

Dendam dan rasa bencinya terhadap Rina Melati lebih tinggi dari gunung, lebih dalam daripada lautan. Tambahan pula kini madunya itu tinggal bersama dengannya. Cadangan itu datang dari dirinya sendiri. Motifnya ialah untuk mendera dan menyeksa jiwa madunya itu. Sekurangnya dendamnya sedikit terbalas.
Takkan dia seorang sahaja yang bertanggungjawab untuk memelihara Datuk Johan. Dia sudah tua dan tak larat lagi hendak mengangkat dan melayani berak kencing lelaki itu. Biar isteri mudanya yang menjaga sampai dia mati. Padan muka! Datin Jazima terus melayani fikirannya sendiri.

“Datin, hari ini datuk belum makan.” Suara pembantu rumah mengejutkan lamunannya.
Datin Jazima tersentak dan merenung Leha dengan mata mencerlang dan wajah garang. “Siapkan! Nanti aku bawa naik ke atas! Buat nasi kosong sahaja. Ayam goreng semalam ada lagi, kan? Bawakan itu sahaja. Jangan masak makanan lain! Biar dia rasa!” Suaranya keras dan penuh dendam.
“Tapi ayam goreng semalam sudah keras dan liat datin!” Leha cuba memprotes wanita separuh umur itu. Apalah dosa Datuk Johan sehingga dilayani seperti kucing kurap?
“Kalau kau tak mahu bagi ayam goreng tu, buat bubur nasi dan letak garam sahaja!” Datin Jazima bangun dari kerusi malas lalu bercekak pinggang mengadap Leha.

Di kamar Datuk Johan, Rina Melati masih berada disisinya sejak kedatangannya tadi. Dia memandang wajah Anas, mengutarakan pertanyaan tanpa kata-kata. Hiba hatinya melihat situasi Datuk Johan di saat itu.
“Ayah, diserang stroke. Sepatutnya dia ditahan di wad, tetapi emak berkeras untuk bawa balik ke rumah ini,” terang Anas sambil memerhati air muka Rina Melati yang kesedihan.
“Sebelah badannya tak dapat bergerak.” Sambung Anas lagi. “Tapi selepas dua tiga hari ni nampak okey sikit. Doktor akan datang merawatnya setiap hari.”
Kenyataan itu melegakan sedikit hati Rina Melati yang dibeliti oleh perasaan bimbang sejak dari tadi.
“Aahh... aahh!” Datuk Johan tiba-tiba mengerang dan menggerak-gerakkan sedikit tubuhnya.
Rina Melati merapati Datuk Johan, lalu mengambil tangan lelaki itu dan menciumnya. Air mata yang merembes membasahi tangan Datuk Johan. Rina Melati mengusap-ngusap perlahan rambut Datuk Johan yang langsung tidak memberi sebarang respons.
Anas memerhatikan Rina Melati yang tidak berhenti mengusap rambut dan mencium tangan ayahnya dari tadi.
“Heh, perempuan! Nah! Suap laki kau makan! Mulai hari ini, kamu kena jaga dia. Suap makan minumnya. Basuh berak kencingnya. Mandikan dia. Segala-galanya kamu kena buat! Kamu yang nak sangat kahwin dengan dia, kan!” Tiba-tiba Datin Jazima muncul dari arah belakang Rina Melati sambil menghempas dulang yang berisi makanan di atas tilam bersebelahan Datuk Johan.
“Aahh... aahh...” Datuk Johan menggerak-gerakkan badannya sekali lagi. Bibirnya terherot-herot ingin berkata sesuatu, namun tidak berupaya.
“Aah! Aah! Padan muka abang! Itulah! Inilah bala yang abang patut terima kerana bernikah lagi seorang tanpa keizinan saya! Waktu menjawab akad, lancar. Sekarang dah tak boleh nak bercakap lagi!” bentak Datin Jazima.
“Kau tidur dan duduk di sini! Jaga Datuk Johan sampai dia mati! Tak payah lagi pegang jawatan eksekutif di pejabat!” Sebelum keluar dari bilik itu, Datin Jazima berpesan dan sempat pula menunjal dahi Rina Melati dengan jari telunjuknya.
Rina Melati tersentak sekali lagi. Baru beberapa ketika dia berada di rumah ini, sudah banyak kekejutan yang menjengahnya. Matanya melihat pinggan yang berisi nasi putih. Ayam goreng yang sudah tergolek ke dalam dulang serta sup sayur yang tinggal separuh di dalam mangkuknya.
Sebahagiannya telah tertumpah ke atas dulang sewaktu Datin Jazima menghempaskan dulang itu tadi. Rina Melati mengeluh berkali. Beginikah layanan yang harus diterima oleh seorang suami yang telah berpoligami tanpa kebenaran isteri?
“Anas, cepat keluar dari bilik ni! Jangan nak mengadap muka perempuan lacur ni pula!” marah Datin Jazima.
Anas yang tidak begitu senang melihat cara ibunya melayani Rina Melati terus beredar dari situ tanpa sepatah kata. Dia tidak rela melihat Rina Melati disakiti hatinya oleh emaknya. Lagipun hatinya tidak semena-mena berasa cemburu melihat ayahnya dilayani oleh Rina Melati dengan kasih sayang.

Apabila Anas keluar dari bilik itu, Datin Jazima pun ikut serta. Daun pintu dihempasnya dengan kuat.
“Melati suapkan abang makan, ya.” Kata-kata itu dibisikkan Rina Melati di telinga Datuk Johan. Entah mengapa ringan sahaja mulutnya memanggil Datuk Johan abang. Jarinya mengusap pipi Datuk Johan perlahan-lahan. Dia menggagahkan dirinya untuk mengangkat tubuh Datuk Johan supaya dapat bersandar di bantal yang telah disendengkan. Tangannya mencapai pinggan yang mengandungi nasi lalu memasukkan kuah sup sayur di dalamnya. Lalu sudu yang terisi dengan nasi yang hampir hancur dirapatkannya ke bibir Datuk Johan.
Terketar-ketar bibir lelaki itu sewaktu cuba membuka mulutnya. Hanya sebelah mulutnya sahaja yang terbuka. Tidak muat pun untuk menyuapkan hujung sudu bagi menyampaikan makanan itu ke dalam mulutnya. “Sikit lagi! Cuba perlahan-lahan.” Bergetar bibir Rina Melati sewaktu memujuk suaminya itu. Hancur luluh hatinya melihat keadaan Datuk Johan yang kelihatan amat menderita sekali. Air mata Rina Melati terus berlinangan sambil mencari akal untuk membantu Datuk Johan sedaya upayanya.
Matanya memerhati di atas meja kecil yang berhampiran. Ada gelas susu yang masih berbaki. Di dalam gelas itu ada sebatang straw. Mungkin straw itu boleh digunakan untuk menyalurkan makanan ke dalam mulut Datuk Johan.

“Kita guna straw! Abang sedut perlahan-lahan. Dapat makan sikit pun jadilah.” Sekali lagi suaranya berbisik di telinga Datuk Johan. Lantas, Rina Melati terus menghancurkan dua tiga sudu nasi di dalam mangkuk yang masih mengandungi kuah sup sayur. Ayam yang keras kerana digoreng terlalu garing dicariknya menjadi butiran-butiran kecil.

Datuk Johan hanya memerhati segala perbuatan Rina Melati itu dengan matanya yang terkebil-kebil. Dia cuba menyedut straw dengan bibir yang terketar. Sebahagian besar dari nasi hancur bercampur kuah sup sayur itu meleleh keluar melalui bibirnya. 

“Aaaaa...” Datuk Johan cuba bersuara. Dia mengeleng.

Rina Melati cuba untuk mengerti isyarat yang diberi oleh Datuk Johan. Mungkin itu tanda-tanda yang tekaknya sudah tidak mahu menerima makanan itu lagi. Dia cuba merasa makanan yang disuapkan ke mulut suaminya. Tawar! Tanpa sebutir garam pun. Patutlah Datuk Johan tidak mahu menelannya.
“Nanti Melati minta kebenaran Datin untuk masakkan abang makanan yang lain.” Rina Melati cuba berjanji. Matanya merenung wajah Datuk Johan dengan penuh rasa simpati.
Datuk Johan mengeleng berkali-kali. Mungkin dia tidak mahu Rina Melati meneruskan niatnya itu. 
“Tak boleh! Jangan nak memandai-mandai di rumah aku! Kau suap saja laki kau itu apa juga makanan yang aku bagi!” Rupa-rupanya Datin Jazima telah ada di belakang mereka. Entah bila dia kembali ke dalam bilik itu semula.
Rina Melati tersentak. Dia benar-benar rasa terkejut. Hatinya terpaksa menahan sabar apabila melihat Datin Jazima menyelongkar beg tangan yang dibawanya tadi.
“Kembalikan kunci rumah dan kunci kereta kepada aku! Kamu tidak ada hak di atas segala harta benda Datuk!” Datin Jazima mencampakkan beg tangan ke ribaan Rina Melati apabila gagal menjumpai kunci yang diingininya.
Datuk Johan mengerang di atas katil apabila melihat perlakuan isterinya itu. Mujur dia kini di dalam keadaan tidak berdaya. Entah mengapa isteri tuanya itu tidak pernah puas dengan harta benda dunia.
Rina Melati mengeluarkan kunci yang tersimpan di dalam ruang berzip. “Ini kunci rumah. Kunci kereta saya tak bawa. Tadi, Anas yang datang ambil saya di rumah.” Rina Melati menghulurkan gugusan kunci kepada Datin Jazima yang terjuih bibirnya.
Datin Jazima merampas kunci itu dengan kasar dari pegangan Rina Melati. Dia ketawa puas. Ledakan ketawanya itu dilontarkan kepada Datuk Johan yang tergedang di atas katil. “Sekarang abang dah tak mampu buat apa-apa lagi, kan?” Tanpa rasa simpati dia meluahkan apa sahaja yang ingin diperkatakannya kepada Datuk Johan.
Datuk Johan yang hanya terlentang di atas tilam sekadar mampu mendengar dan melihat perlakuan isterinya itu.
 “Heh! Perempuan tak sedar diri! Kamu mesti pindahkan semua barang-barang kamu dari kondo itu ke sini!! Kamu duduk di bilik ini!! Jaga orang tua tu!” Datin Jazima masih bersuara kuat.
Rina Melati terpisat-pisat melihat tingkah laku Datin Jazima itu. Maniskah madu yang bakal dihirupnya nanti? Dia pasti Datuk Johan kecewa dengan perlakuan Datin Jazima. Dia pasti mendengar segala kata-kata yang telah dilemparkan oleh wanita itu kerana hanya sebelah tubuhnya sahaja yang tidak berupaya bergerak untuk waktu ini. Telinganya masih mampu mendengar. Matanya masih mampu melihat.
Anak mata Rina Melati terus menyorot ke wajah suaminya yang muram dan mendung. Perjalanan hari depannya seolah kabur.  Akan abadikah duka ini tanpa ruang menikmati setitik bahagia? 


        ~~~~ BERSAMBUNG~~~~~

Tiada ulasan: