Khamis, 6 Disember 2012

Novel:REDHA TAKDIRMU (Bab 22)





IDHAM mundar-mandir di dapur. Hari itu dia bercuti.  Aku pun dipaksanya juga mengambil cuti. Di dapur, tiga orang pekerja sedang sibuk memasang kabinet dapur.  Dia tersenyum lebar. Tercapailah cita-citanya untuk memiliki dapur seperti yang diimpikannya. 
“Okey bos. Dah siap.” Aku mendengar salah seorang daripada mereka melaung Idham yang sedang duduk di beranda belakang.
“Lidya! Mari sini! Tengok ni!” Idham memanggil aku pula. 
Seperti seekor anjing yang dipanggil oleh tuannya, aku meninggalkan kain-kain yang sedang dilipat dan terus menghampiri Idham.
“Lawakan! Cantik! Dah lama abang nak ini semua.”  Idham tersenyum lebar. Dia melihat kabinet yang baru dipasang dari berbagai sudut.
“Bos! Kalau dah kabinet macam ni, lebih cantik lagi kalau pakai dapur yang empat tungku tu! Yang boleh simpan silinder gas dalam kabinet dapur tu! Baru ngammm!” Si Mamat menunjukkan ibu jarinya kepada Idham.  Dia mengemaskan segala peralatannya untuk beredar dari rumah kami.
“ Yalah...  Memang dah order!” Idham mengaku. Matanya merenung kepadaku. Renungan yang penuh bermakna. Aku terdiam. Baru minggu lepas aku mengeluarkan duit untuk membayar harga kabinet yang ditempahnya. Dijumlahkan, aku telah mengeluarkan RM5000. RM1600 yang mula dikeluarkan, digunakan untuk khidmat peguam kerana kes dengan jandanya. Idham meminta tambah lagi RM200 untuk tujuan perbelanjaannya kerana kes berkenaan. Berulang-alik ke sana sini. Walaupun aku meminta dia bersabar untuk meneruskan keinginannya untuk membuat kabinet itu, Idham tetap berkeras.
“Abang dah janji dengan Ali tu! Malulah! Nanti dia ingat abang kaki menipu pula! Mungkir janji! Lagipun hari itu Lidya yang beria suruh abang guna khidmat peguam! Lidya yang janji nak bantu abang tanggung semua itu!” Akhirnya kebaikan dan kelembutan hatiku memakan diri sendiri.
“Jika tidak, tak payahlah guna duit Lidya banyak sangat.  Bayaran peguam tu, walaupun kes digugurkan tetap seperti yang dijanjikan RM2800. Lidya beri RM1800. Abang guna duit abang RM1000. Kemudiannya tambang dan makan minum abang sewaktu berulang alik ke mahkamah itu, guna duit juga. Lawyer tu, walaupun makan minumnya semua abang tanggung, dia kemukakan tuntutan juga. Nak jaga maruah, abang kena bayar semuanya! Duit abang dah habis!” Idham menerangkan.  Benar atau tidaknya, aku harus mempercayai segala kata-kata suamiku. Kesudahannya wang yang kukumpulkan untuk membeli sebuah komputer untuk kegunaanku, aku korbankan demi memenuhi keinginan Idham.
ENTAH mengapa malam itu mataku tidak mahu lena. Aku gelisah di katil bersendirian. Cuaca sejuk tetapi aku mengenakan baju tidur yang nipis. Baju tidur baru. Berwarna biru laut dan diperbuat dari satin lembut. Bertali halus sebesar batang mancis api dan berlace di seluruh bahagian dada. Memang seksi kepada sesiapa yang memakainya. Hanya suami yang berhati batu sahaja yang tidak terliur jika melihat isteri berpakaian begitu di malam hari.
“Kenapa ni Lidya? Tak tidur-tidur! Sekejap datang sini,  sekejap masuk ke bilik. Sekejap tutup lampu bilik, sekejap bilik menjadi terang. Kenapa?” Idham menegur aku yang tiba-tiba duduk bersila di hadapannya. Apakah dia tidak mengerti apa yang diingini oleh seorang isteri? Aku  duduk di hadapan Idham, dengan hati yang membara sehingga tidak perasan baju tidurku terselak sehingga menampakkan sebahagian pehaku. 
Idham langsung tidak mengendahkannya. Usahkan menegur, memandang kepada aku pun tidak.  Dia lebih tertarik kepada peti televisen yang sedang menayangkan cerita seram.
“Abang! Jomlah tidur.” Aku merengek dan menarik-narik tangan Idham. Aku menggesel-geselkan pipiku di lututnya yang terdedah. Walaupun rasa takut, tetapi ada sesuatu di dalam diriku yang membentak-bentak dan memaksa aku mengajak Idham bersama denganku di katil. Ada perasaan aneh yang mengganguku. Dadaku berdegup kencang. Jiwaku rasa tidak tentu arah. Akhirnya, apabila tidak dipedulikan oleh Idham, aku kembali ke katil dan pura-pura tidur serta memeluk bantal golek dengan kemas. 
Aku menangis sendirian. Rasa pilu bagaikan menjalar ke seluruh tubuhku. Bilakah aku dapat merasai nikmat perkahwinan yang sebenarnya seperti wanita-wanita lain?  Dunia tentu tidak akan mempercayai jika aku mengatakan yang aku tidak pernah diperlakukan sebagaimana sepatutnya yang dilakukan oleh suami kepada seorang isteri di ranjang.  Aku sepi dari belaian. Aku sunyi dari kemesraan. 
Lima tahun usia perkahwinan kami, aku benar-benar kehausan cumbuan. Aku benar-benar mendambakannya, namun aku tidak pernah menikmatinya walau sesaat. Idham, tidak pernah membelai tubuh badanku. Idham tidak pernah mengucup atau mendakapku dengan perasaan rela dan penuh kasih sayang. Apakah aku tidak dicintainya langsung?  Sedangkan aku terlalu mahu, aku mahu dicintai, dikasihi, dibelai, dimanja, dimesrai. Bukankah itu semua hak yang harus aku terima?
Aku berkorban segala untuknya, apa pula ganjarannya yang aku perolehi darinya. Aku tahu ALLAH akan memberi ganjaran. Namun begitu, bukankah aku ini isterinya. Aku manusia biasa. Aku tidak berdaya meletakkan diriku sebaris dengan para malaikat, walaupun ramai orang mengatakan aku wanita sabar. Tetapi aku tidak dapat menolak hakikat, aku wanita yang  punya nafsu. Aku punya perasaan. Selama mana aku dapat bersabar? Sehingga bila aku dapat bertahan? Aku terkenang kepada nasihat emak.
“Lidya kamu pergi pejabat agama saja! Tuntut fasakh!”  Emak menyuarakan pendapatnya. Aku benar-benar terkejut dengan gesaan emak. Setelah berbulan tidak mejenguk kampung, hari itu Idham membenarkan aku balik menjenguk emak dan ayah. Terlepaslah sedikit rinduku kepada emak yang telah mengandung dan melahirkan aku.
“Nak buat apa?”  Aku bertanya bodoh.  Aku mempamirkan senyuman di wajah. Walau batin hancur runtuh kerana kesengsaraan perasaan, kedukaan itu harus aku sembunyikan.
“Kamu ingat aku tak tahu kamu hidup terseksa! Dahlah dipisahkan kamu dengan emak bapak, adik beradik.  Nak balik kampung pun susah!  Yang kamu jadi kurus kering tu kenapa?  Tengok! Dah dua tiga kali balik kampung asyik pakai baju ni saja! Idham tak belikan kau kain baju ke?” Emak bersuara keras. Aku membisu. Beli pun aku kena bayar balik untuk apa? Aku menyembunyikan segalanya di dalam hati. Mataku merenung baju yang aku pakai. Baju kurung beige lembut berbunga kuning sudah hampir pudar warnanya.
“Alah! Abang Idham selalu nak belikan, tapi Lidya yang tak mau! Pakai yang mana ada pun dah cukup.”  Aku masih membela Idham. Bukankah aku telah berjanji dengan diriku, tidak akan menceritakan hal rumah tanggaku kepada sesiapa juga?
“Orang lain yang kemudian dari kamu bernikah pun dah mengelek anak dua tiga orang! Kamu ni bila lagi?” Emak memandangku dengan renungan tajam. Pertanyaan daripada emak bagaikan sembilu berbisa menghiris hatiku.
“Dah tak ada rezeki mak! Biarlah...” Aku menjawab perlahan. Bukannya aku tidak teringin untuk menjadi seorang ibu. Teringin sangat-sangat. Bukankah itu impian setiap wanita yang normal. Menjadi isteri. Menjadi ibu.
“Lidya! Kalau tak ada anak, dah tua nanti siapa yang nak tolong jaga kencing berak kamu?”  Emak menghulurkan cawan kopi di depanku.
“Lidya duduk kat rumah orang tua mak. Sampai mati duduk di sana.” Aku ketawa kecil. Wajah emak kurenung dengan kasih sayang.
“Tengok tu! Orang cakap elok-elok, dia nak main-main!  Lidya, kamu ingat mak tak tahu ke kamu ni tidak pernah disentuh oleh laki kamu?  Mak bukannya bodoh. Mak dah tua.  Dah banyak makan asam garam. Tengok tubuh badan kamu pun aku dah tahu, kamu dah disentuh atau pun tidak.” Emak bercakap tanpa berselindung. Rupanya pertanyaan mengenai anak hanya untuk menguji aku.
“Orang berlaki lain, kamu berlaki lain. Buat menyeksa hidup buat apa? Orang berkahwin itulah tujuannya pun! Kamu saja sabar sangat! Pergi mengadu di pejabat agama! Dia ni tak tahu dosa ke menyeksa batin bini!” suara emak bertambah kuat. Mujur tidak ada sesiapa pun di rumah.
Pejabat agama? Jika aku mahu, sudah lama aku membuat aduan di pejabat agama.  Sudah beberapa kali Idham bertindak kasar dan memukul aku. Sudah jemu telingaku mendengar perkataan ‘keluar dari rumah ini’. Namun, aku tetap bersabar.  Aku terpaksa bersabar demi maruah Idham. Bukankah aku isterinya yang ketiga?
Sekiranya aku mengikut perasaan, rumah tangga Idham akan hancur lagi. Tentu dia akan berasa malu. Seluruh masyarakat akan menuding jari ke arahnya. Seluruh keluarga akan menyalahkan dirinya. Semua anak-anak akan tertanya-tanya apakah yang tidak kena dengan bapa mereka sehingga tidak ada satu pun isteri yang kekal dengannya?
“Bergegar tiang arasy nanti mak! Tak apalah. TUHAN dah tetapkan Lidya nasib yang begini, Lidya redalah mak! Tak usahlah mak susah hati.” Aku memeluk lengan emak. Aku harap emak akan faham.
“Kamu kerja, gaji kamu ada simpan tak Lidya! Jangan di habiskan semuanya, ingat sikit untuk masa depan.” Kasih ibu sepanjang hayat. Nasihatnya tidak pernah lekang dari bibir untuk jadi ingatan pada anak-anak.
“Ada mak. Insya-ALLAH! Lidya ingat semua tu mak.”  Aku seboleh-bolehnya tidak mahu menyusahkan hati emak.  Aku pasti emak akan menjerit jika diketahuinya simpananku habis dikerjakan oleh Idham. Pada waktu itu hanya tinggal lebih kurang seribu ringgit saja duit simpananku. Yang paling menyedihkan dan amat kukesalkan ialah aku tidak dapat menaburkan wang ringgitku kepada emakku sebagaimana aku menaburkannya kepada Idham. Seharusnya aku berbakti kepada emak.  Namun, apalah dayaku kerana aku kini seorang isteri.

    ~~~bersambung~~~

Tiada ulasan: