LAMUNANKU tersentak apabila tersedar Idham menghampiri katil. Dadaku bergemuruh. Aku memejam mata, menanti dengan penuh harap, Idham akan berbaring di sisiku sambil memeluk dan mengucup keningku.
“Abang nak ambil bantal.” Begitu kata Idham sambil mengambil bantal miliknya lalu menggondongnya ke luar bilik. Diriku bagaikan boneka buruk yang terbaring di katilnya.
“Bang! Tidur di luar buat apa?” Suaraku serak menegur Idham, apabila melihat tubuh Idham menghilang di sebalik langsir pintu. Idham tidak mengendahkan pertanyaanku. Hampir tiga tahun Idham telah membiarkan aku tidur bersendirian. Alasannya abang letih, abang panas. Aku terus memendam kecewa, sedangkan jiwa ingin terus setia. Akan berpanjangankah kesetiaan ini, jika derita yang membengkak tidak dapat disembunyi lagi.
PAGI itu aku benar-benar hilang mood. Dengan Idham pun aku bercakap sepatah dua sahaja. Lepas sembahyang subuh, aku memasak untuk sarapan pagi sebelum ke tempat kerja tanpa sepatah kata. Pelupuk mataku bengkak. Mukaku sembab kerana menangis semalaman dan tidak lena tidur.
“Kenapa ni? Pagi-pagi buta tarik muka dengan laki? Mana belajar?” Idham menyoal sambil matanya merenung ke wajahku. Wajahku terus direnung dengan ekor matanya. Dia mencedok mee goreng dari mangkuk dan dimasukkannya ke dalam pinggan di hadapannya.
“Lidya sakit kepala bang! Maaflah! Tak sengaja bermuka masam.” Aku melarik senyuman di bibir. Senyumanku pendek. Aku menyapu planta ke permukaan roti bakar. Setiap pagi aku hanya makan dua keping roti bakar dan minum secawan milo sahaja.
“Itu senyuman palsu! Dengan budak-budak di kilang tu tak sakit kepala! Dengan laki di rumah, sakit kepala, tarik muka!” Idham selalu menuturkan sesuatu yang mengguriskan.
“Dengan abang jangan sesekali tunjuk muka masam!” Idham meneguk Nescafe dengan gelojoh. Cawan dihentaknya dengan kuat di atas meja.
Terkejut aku dengan tindakannya. “Abang buat Lidya macam anak patung! Tak faham ke keinginan seorang isteri! Lidya nak anaklah bang! Nak anak! Lidya asyik dengar sahaja cerita orang tentang anak-anak mereka! Lidya cemburu bang!” Tiba-tiba saja aku mendapat keberanian untuk meluahkan isi hatiku. Aku bersuara antara kedengaran dan tidak saja.
Spontan saja tangan Idham menyentap kain alas meja. Habis cawan dan pinggan mangkuk yang berada di atas meja terpelanting di atas lantai. Semuanya pecah berderai.
“Kamu jangan kurang ajar! Bodoh! Aku tak suka!” Idham mengetap-ngetap bibirnya sambil menjegil aku dengan rupa yang amat menakutkan. Dia menarik rambutku dan dicengkamnya kuat-kuat. Kepalaku terdongak memandang siling rumah. Selalu mengalami peristiwa seperti itu, mengajar aku untuk mengawal kesedihan. Aku mengetap bibir dan menggenggam tangan, tanda memprotes dalam diam.
“Kamu cakap lagi begitu, berambus dari rumah ini! Kurang ajar! Bodoh!” Idham, melihat jam di dinding. 7.30 pagi, waktu untuknya ke pejabat. Begitu juga dengan aku. Waktu aku masuk kerja ialah 7.30 pagi. Alamatnya pagi itu aku kelewatan sampai ke kilang. Mujur petang semalam aku telah menyediakan perancangan kerja di bahagian pengeluaran untuk hari itu.
“Minta maaf, bang.” Walau hati dikoyak berdarah, pemergian suami ke tempat kerja tidak kuiringi dengan air mata. Aku menjabat tangan dan mencium pipinya seperti biasa.
Idham hanya membisu sambil berdiri tegak seperti robot. Tidak pernah dia membalas pelukan dan ciuman aku. Akan jatuhkah mertabat kelelakiannya jika dia sesekali menunjukkan kasih sayangnya dengan tingkah laku atau belaian manja?
Idham berlalu ke kereta tanpa menoleh kepadaku. Aku mengiringinya ke kereta bagaikan seekor anjing menghantar tuannya. Kereta itu dibelinya lebih kurang tujuh minggu yang lalu. Wangku juga yang menjadi korban, untuk membayar duit mukanya. Aku mengeluarkan RM4000, sedangkan Idham hanya mengeluarkan RM2000.
Aku rela mengorbankan segalanya untuk kebaikan kami berdua. Yang aku inginkan sangat-sangat ialah Idham melayan aku dengan baik. Berlemah-lembut denganku. Menyintaiku. Tidak mengapa aku penat bekerja tetapi tidak dapat menggunakan pendapatan mengikut kehendakku, asalkan pengorbananku dibalas dengan kemanjaan dan kasih sayang. Malang sungguh nasibku, itu semua hanyalah impian yang tidak mungkin dapat dicapai. Hari demi hari, bulan demi bulan, tahun demi tahun aku hidup bersamanya, aku mengerti yang segala harapan dan impianku itu semakin terlerai. Akhirnya, aku memendam duka yang semakin sarat, menyembunyi luka yang semakin dalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan