Khamis, 13 Disember 2012

Novel:Kasihnya Dia (Bab 24)

ANAS termenung panjang di dalam pejabatnya. Usul emaknya tidak pernah diduga oleh otaknya yang waras. Tidak disangkanya hati emaknya sekejam itu. Datin Jazima masih duduk di kerusi di hadapannya.
“Mana boleh buat begitu, emak. Kalau abang Jazmi tahu nanti macam mana? Dia anak sulung. Lagipun tentu abang Jaz tidak setuju dengan cadangan emak ni!” Anas memberi pandangan. “Peguam ayah tu, takkan bersetuju untuk membuka wasiat yang ayah tulis kerana ayah masih hidup lagi. Ayah dah lantik dia sebagai pemegang amanah, takkan dia nak pecah amanah pula! Saya tak setujulah emak!” Matanya terus merenung wajah emaknya yang masam mencuka.
“Kalau ayah kau mati, dan dia ada wasiatkan harta-hartanya kepada perempuan tu macam mana? Harta kita tak boleh jatuh ke tangan orang luar!” Suara Datin Jazima semakin tinggi. “Rina Melati tu perempuan pisau cukur!” Datin Jazima menudingkan jarinya ke arah Anas. Seolah memberi amaran. Lagi sekali Rina Melati dituduh.
“Sekarang ni emak tanya kamu! Kamu nak tolong emak atau tidak?” Suara Datin Jazima semakin tegas. Matanya merenung Anas yang duduk tersandar di kerusinya.
“Apa sebenarnya emak inginkan? Banyak dah harta ayah yang telah dipindahkannya kepada emak! Takkan tak cukup lagi?” Anas menyoal kembali. Tidak faham dengan ketamakan emaknya itu.
“Emak mahu semuanya sekali! Tidak ada satu pun yang boleh ditinggalkan kepada ayah kamu! Kalau semua harta dah dipindah milikkan kepada emak, kalau ayah kamu mati, perempuan itu tidak akan mendapat satu sen pun!” Mata Datin Jazima mencerlang memandang Anas.
“Minta maaflah, emak! Saya tak dapat bantu! Bila-bila ayah dah sihat besok, dia dapat kesan penyelewengan ini, dia boleh buat laporan polis, emak! Kita boleh kena penjara kerana cuba menipu harta ayah tatkala dia sedang uzur dan tidak berdaya!” Anas terus menasihati emaknya dengan nada lembut.
“Ayah kamu tak mungkin sihat! Percayalah cakap emak! Tak lama lagi matilah orang tua tu!” Bibir Datin Jazima menyungging senyuman pula. Tidak ada rasa bimbang pada kesihatan suaminya. Dia tidak akan rasa kehilangan kalau suaminya sudah tiada lagi.
“Tak apalah, Anas. Kalau tak mahu tolong emak, emak akan usahakan sendiri! Kau tengoklah nanti!” Datin Jazima mencapai beg tangannya di atas meja Anas lalu beredar dari pejabat anaknya itu.
selepas itu, Datin Jazima menyuruh pemandunya membawanya ke pejabat peguam yang telah dilantik oleh Datuk Johan. Bibirnya tersenyum apabila melihat Kamal, peguam muda itu berada di dalam biliknya. Dia menyatakan cadangannya kepada Kamal yang mendengarnya dengan tenang.
“Datin tak perlu bimbang! Sebenarnya Datuk Johan tidak mewasiatkan apa-apa pun untuk Rina Melati tu. Mereka baru sahaja bernikah. Selepas itu, Datuk pula diserang stroke. Wasiat asal belum ada apa-apa pindaan.” Kamal menyatakan perkara sebenar dengan jelas.
“Urusan syarikat-syarikat macam mana? Datuk tak ada, siapa yang berkuasa sekarang ni? Nanti mereka selewengkan kewangan syarikat pula!” Datin Jazima menyimpang ke perkara lain pula.
Kata-katanya itu menyebabkan Kamal tersenyum lebar. Banyak benar sangkaan buruk yang melekat di hati wanita itu. Berbeza benar karektornya dengan Datuk Johan yang baik hati dan dermawan.
“Hal itu Datin tak perlu risau. Semuanya Datuk telah teliti dan siapkan dokumennya. Kalau terjadi apa-apa kepada dia, sakit atau ke luar negara, dia telah buat surat turun kuasa kepada beberapa orang kepercayaannya. Nama Datin, Jazmi dan Anas pun ada.” Kamal mengambil fail di dalam kabinet dan membuka beberapa halaman yang dimaksudkannya serta menunjukkan kepada Datin Jazima. “Kalau ada apa-apa urusan pindaan atau pembatalan, mesti dengan pengetahuan Datuk. Kena ada tandatangan dia. Semua harta miliknya. Dia yang berkuasa penuh.” Kamal menerangkan lagi.
Datin Jazima semakin kecewa. Nampaknya tidak ada ruang baginya untuk mencapai cita-citanya jika di mana-mana dokumen terdapat nama Jazmi dan Anas. Setakat Anas itu, masih boleh dipujuk lagi, namun Jazmi memang keras hatinya terhadap perkara-perkara yang menyalahi peraturan dan undang-undang.
“Baiklah, Kamal. Saya balik dulu.” Akhirnya Datin Jazima beralah dan beredar dari pejabat Kamal. Sekali lagi hatinya kecewa dan hampa. Namun, hatinya tidak mudah untuk berputus asa.
Dia terus membuat perancangan di dalam fikirannya. Sebelum Datuk Johan menutup matanya, semua harta mesti dipindah milik kepadanya seorang. Dia akan menjadi pemilik tunggal atas segala asset yang ada. Rasa tamak semakin menimbusi hati wanita itu.
Sekembalinya dari bertemu dengan Kamal, Datin Jazima terus meluru ke bilik suaminya. Hatinya berbunga dendam yang kian mekar dan merimbun. Perasaan marah dan radangnya semakin melebar apabila melihat Datuk Johan tinggal bersendirian, terlentang di atas katil. Mata lelaki itu terkebil-kebil memandang siling. Mata wanita itu mengitari seluruh ruang bilik jika ada Rina Melati berbaring di atas lantai, dia tetap hampa.
“Perempuan tu pergi mana? Dah lari? Dah tak sanggup bela awak!” Pertanyaan itu dilontarkannya kepada Datuk Johan yang mendiamkan dirinya. Dia merenung ke wajah suaminya sambil mencebikkan bibirnya. Bibir Datuk Johan yang herot dicengkamnya dengan kasar sambil mentertawakan suaminya itu.
“Oh! Saya lupa, awak dah tak boleh bercakap!” ujar Datin Jazima di dalam tawa mengejeknya. Datuk Johan tidak memberi reaksi apa-apa pun. Hati Datin Jazima bertambah sakit. Kalau Rina Melati melarikan diri siapa yang akan menjaga Datuk Johan?
“Leha!!!” jerit Datin Jazima. Beberapa kali dia melaung, Leha tidak muncul-muncul. Wanita bertubuh gemuk itu semakin meradang.
“Semua orang dah lari! Siapa nak bela awak? Saya tak sanggup!” Pertanyaan itu ditujukannya kepada Datuk Johan yang membisu seribu bahasa. “Awak tinggallah dalam bilik ini seorang! Kalau nak mati pun lantak awaklah!”
Bunyi keriutan daun pintu menyebabkan wanita itu menoleh ke pintu. Rina Melati berjalan masuk dengan wajah yang keletihan. Sebahagian dari baju yang dipakainya kelihatan basah. 
“Hah!!! Ada pun kamu! Aku ingat dah lari ikut jantan! Dah tak sanggup lagi menjaga orang tua ni yang terlantar begitu!” Kata-kata itu terus dihamburkannya sebaik sahaja melihat muka Rina Melati.
“Saya pergi jemur cadar, Datin,” jawab Rina Melati ringkas. “Leha balik kampung, emak saudaranya meninggal dunia.” Wajah Datin Jazima yang menarik muka masam dipandangnya sekilas.
Datin Jazima beredar dari situ dan pergi ke bilik air yang berada di dalam bilik tidur itu. Beberapa saat kemudian, suaranya menjerit memanggil Rina Melati. 
Rina Melati menghampiri wanita itu.
“Melati, yang ini kenapa berendam tak dibasuh?” soal Datin Jazima sambil menunjukkan baldi yang berisi cadar dengan kakinya. Nada suaranya kuat dan garang.
“Ampaian tak cukup, Datin. Sekejap lagi kalau cadar yang dijemuran sudah kering, saya akan basuh yang ini pula.” Rina Melati menjawab lembut. Harap-harap alasannya itu boleh diterima oleh akal wanita itu.
“Amboi! Dah pandai menjawab sekarang! Tak lama lagi kamu akan bolot semua harta laki aku!” Geram benar hati Datin Jazima apabila Rina Melati masih bersikap tenang dan bersabar dengan kemarahannya. Lalu tangannya mengangkat baldi yang merendam cadar lantas dituangkannya di atas kepala Rina Melati yang secara kebetulan sedang duduk mencangkung mengutip sabun mandi yang dijatuhkan oleh Datin Jazima.
“Ini hadiah untuk kamu! Kamu basuh cadar ni sekarang juga! Jangan rendam begitu! Bodoh!” Serentak dengan itu juga, telapak tangannya hinggap di atas kepala Rina Melati tanpa belas kasihan. Setelah itu dia meninggalkan bilik itu dengan rungutan yang tidak tentu biji butirnya.
Datuk Johan yang mendengar sumpah seranah dan herdikan Datin Jazima kepada Rina Melati menelan air mata duka bersendirian.
 “Abang!” Hanya itu sahaja kata-kata yang dapat dikeluarkan oleh Rina Melati untuk pendengaran suaminya sebaik sahaja tubuhnya berada di sisi Datuk Johan.
Lelaki itu mengusap-ngusap belakang Rina Melati yang menangis tersedu-sedan. “Aaaa… aaaa...” Datuk Johan seolah memujuk Rina Melati dengan erangannya itu.
Rina Melati memegang tangan suaminya itu sambil mengusap-ngusap ke pipinya. “Insya-ALLAH, Melati akan terus jaga abang. Melati tak akan pergi ke mana-mana. Abang doakan ALLAH beri Melati kekuatan. Doakan...” Suaranya tersendat pilu. Bibirnya mengukirkan senyuman apabila melihat Datuk Johan mengangguk sambil cuba sedaya upaya menggerak-gerakkan bibirnya untuk senyum bersama-sama dengan isterinya itu.

                             ~~~~ bersambung~~~~

Tiada ulasan: