Mengakhiri solat maghrib pada hari itu, terasa damai seluruh jiwa Aldi. Pertama kali dalam hidupnya, dia berasakan kedamaian dan ketenangan yang paling hakiki. Inilah kali pertama dia mengimamkan solat untuk sebuah keluarga. Di Vila Kencana Emas, dia tidak pernah merasai nikmat seperti itu. Semua orang membawa hal masing-masing. Datuk Haris sembahyang sendiri. Datin Rabiatul sembahyang seorang diri.
“Terima kasih, Abang Aldi.” Nur Fitri, Hambali dan Mohd Faez bergilir-gilir bersalam dan mencium tangannya.
Aldi benar-benar rasa teruja dan terharu. Adik kandungnya, Adzman tidak pernah bersalaman dan mengucup tangannya begitu. Perhubungan mereka tidak mesra sedari kecil lagi.
“Seronok dapat sembahyang jemaah bersama-sama abang. Ada lelaki dewasa yang menjadi imam.” Nuraina malu-malu memberitahu Aldi apa yang tersirat di dalam hatinya. Gadis manis itu melipat telekung yang sudah ditanggalkan dari tubuhnya.
“Seronokkan kalau Abang Aldi benar-benar menjadi abang kami.” Hambali tersengih-sengih di hadapan Aldi yang masih bersimpuh di atas sejadah.
Aldi tersenyum dengan perasaan yang bangga dan bersyukur. Dia benar-benar gembira dapat membantu keluarga itu. “Hai, sekarang ni bukan ke abang, dah jadi abang kamu semua?” Dia menyoal kembali.
Hambali terus tersengih-sengih. Alangkah gembiranya hati anak itu mendengar pengakuan daripada Aldi.
“Abang ada keluarga, tapi tak ramai! Sunyi rasanya. Maklumlah ada dua orang saja. Abang yang sulung.” Aldi mula bercerita kepada Nur Fitri, Hambali dan Faez yang masih duduk mengelilinginya.
“Abang kerja apa?” soal Hambali.
“Kerja biasa saja Hambali. Kerja pejabat.” Aldi bersuara perlahan sambil tersengih memandang Hambali. Hambali yang paling rapat dengannya semenjak dia mengenali keluarga itu.
“Tapikan bang... abang nampak macam orang besar-besar. Ada pangkat besar. Selalunya orang pangkat besar-besar saja yang simpan janggut macam abang ni.” Hambali cuba bergurau.
Aldi ketawa. “Hambali, Hambali! Pandai ya nak mengusik abang. Benggali jaga lembu dan mamak yang tebar roti canai di restoran pun ramai yang simpan jambang macam abang. Lagi panjang. Sampai begini.” Aldi mengisyaratkan tangannya ke dada. Terhibur hatinya sewaktu di kelilingi anak-anak Mak Cik Hasnah. Terbunuh kesepiannya seketika.
“Maafkan anak-anak mak cik, Aldi. Mereka ni suka bertanya yang bukan-bukan. Hambali tu, sesekali Aldi nasihatkan sikit. Biar pandai menghormati orang yang lebih tua. Jangan ikut suka hati dia saja nak bercakap!” Mak Cik Hasnah yang sedari tadi memerhatikan telatah anak-anaknya mencelah. Geram rasa hatinya melihat keberanian Hambali mengusap-ngusap dagu Aldi dan lelaki itu sedikit pun tidak menegur perilaku Hambali.
“Tak apa, mak cik! Saya rasa terhibur dengan telatah mereka. Saya bersyukur kerana dipertemukan dengan keluarga mak cik. Dapat juga saya menumpang kasih sayang adik-adik ni semua. Terubat sedikit kesunyian saya.”
“Mak cik pun rasa begitu. Aldi dah banyak membantu keluarga ini. Tak tahu nak balas macam mana lagi.” Mak Cik Hasnah mengurut-ngurut dadanya menahan batuk yang ingin menerobos daripada kerongkongnya.
“Dapat tumpang kasih sayang mak cik pun jadilah.” Suara Aldi lembut sambil merenung ke wajah Mak Cik Hasnah. Rasanya sudah kerap benar dia berkata begitu kepada Mak Cik Hasnah.
“Macam mana perniagaan mak cik sekarang? Saya nampak ramai orang di gerai. Alhamdulillah, murah rezeki mak cik dan adik-adik. Insya-allah, kalau ada rezeki saya akan carikan gerai yang lebih besar sikit.” Aldi merenung wajah Mak Cik Hasnah sekali lagi.
“Jangan Aldi! Gerai yang ada sekarang ini pun dah memadai. Syukur alhamdulillah. Dapat menyara keluarga.” Suara Mak Cik Hasnah sedikit sebak. Alangkah bertuahnya kerana Allah telah mempertemukannya dengan anak muda itu. Rezekinya bertambah murah dengan adanya gerai itu.
“Tak terbalas jasa Aldi kepada kami sekeluarga.” Mak Cik Hasnah bersuara sebak.
“Mak cik ni, tak banyak mana pun jasa saya kepada mak cik. Saya hanya membantu sedikit sahaja. Dapatkan gerai, lesen berniaga. Secara kebetulan saya ada kenalan di pejabat yang menguruskan hal-hal itu.” Aldi bersuara mesra. Dia kagum dengan kegigihan keluarga itu. Tidak jemu dan rajin berusaha.
“Kalau ada gerai yang lebih besar sikit, saya carikan tukang masaknya. Tukang bancuh air atau pembuat roti canai. Mak cik hanya uruskan sahaja. Adik-adik semua boleh beri tumpuan kepada pelajaran sahaja. Hari cuti baru bantu mak cik di kedai...” Cadang Aldi untuk membantu keluarga itu. Dia gembira kerana dapat menolong keluarga itu. Hatinya berasa tenang.
“Mak cik dan keluarga sudah banyak menyusahkan Aldi! Kalaulah Nurlisa ada...” Mak Cik Hasnah seolah mengeluh. Dia menyapu air mata yang berkumpul di penjuru matanya.
Aldi merenung wajah ibu tua itu. Wajah yang memendam kerinduan kian lama. “Sebenarnya mak cik, saya sedang berusaha mencari Nurlisa. Mak cik bersabarlah dan berdoa, semoga Nurlisa dapat dikesan.” Suara Aldi seolah memujuk. Tidak pernah dia bercerita kepada keluarga itu yang dia mengenali Nurlisa dan gadis itu pernah bekerja di rumah keluarganya. Biarlah segalanya menjadi rahsia sehingga Nurlisa ditemui semula.
Dia memandang Mak cik Hasnah yang sedang mengurut-ngurut dada sambil terbatuk-batuk dengan wajah yang berkerut. Alangkah deritanya wanita tua itu. “Mak cik! Saya rasa lebih baik mak cik jumpa doktor pakar. Teruk batuk mak cik ni.” Aldi menyuarakan pandangan. Dia pernah diberitahu yang wanita itu mengidap penyakit batuk kering.
“Terima kasih, nak. Mak cik benar-benar berharap dapat menemui Nurlisa kembali sebelum mak cik menutup mata.” Mak Cik Hasnah bersuara disulam sendu.
Hati Aldi bagai ditusuk sembilu mendengar ungkapan itu.
Datuk Haris dan Datin Rabiatul sedang bersantai di ruang tamu rumah mereka. Di hujung minggu itu, mereka baru sahaja menerima kehadiran seorang teman. Datuk Johari, bekas pengarah sebuah jabatan kerajaan yang telah bersara merupakan kawan baik Datuk Haris. Tambahan pula Datuk Johari juga melibatkan dirinya di dalam bidang koporat setelah bersara. Dia memiliki syarikat guaman dan syarikat kawalan keselamatan.
“Awak tak faham ke maksud perbualan Datuk Johari dan Datin Rosni tadi, bang?” soal Datin Rabiatul tiba-tiba. Pandangannya tertumpu kepada Datuk Haris yang sedang melunjurkan kakinya.
“Faham! Eh! Kan kita ni dah sama-sama tua, Tun.” Datuk Haris menegangkan kakinya seketika. Terasa lenguh betisnya kerana duduk agak lama.
“Awak setuju ke?” Datin Rabiatul menyoal lagi. Matanya merenung ke wajah Datuk Haris yang kemerahan.
“Kalau setuju pun kita nak satukan dengan siapa? Aldi? Adzman?” Datuk Haris menyoal kembali.
“Alah! Mana-mana pun boleh, bang. Anak-anak kita tak ada yang kurangnya. Saya ni bang, sebenarnya dah tak sabar untuk melihat anak-anak kita tu berumah tangga. Rumah ni sunyi sangat rasanya.” Datin Rabiatul meluahkan rasa hati yang terpendam selama ini. Dia terbayang-bayang dan terdengar-dengar suara anak-anak kecil yang menangis, ketawa dan bermain. Segalanya amat dirindu.
“Mana boleh begitu, Tun. Mereka tu berkenankan si Aldi. Tak dengar ke Datin Rosni tu asyik bertanyakan Aldi dan mengungkit kisah persahabatan Aldi dengan si Dauna tu sewaktu di sekolah menengah!” Datuk Haris mengingatkan.
“Hmm... dah jadi lawyer budak tu. Awak ingat tak dia selalu telefon Aldi sewaktu mereka di tingkatan lima, tapi anak bujang kita tu... buat sardin saja. Layan tak layan aje!” Datin Rabiatul tersenyum sendiri mengenangkan telatah Aldi. “Tapi bila Aldi sakit... si Dauna juga yang bercerita sana sini yang kononnya Aldi tu dah tak waras!” Dia bersuara dengan nada sesal. Cepatnya hati manusia berubah.
“Aldi ni kadangkala degil, keras kepala. Entahlah Tun, saya sendiri pun ada ketikanya tidak boleh memahami dia!” Datuk Haris seolah merungut. Namun dia tidak pernah memberitahu Datin Rabiatul yang mereka anak beranak kerap tidak sependapat sewaktu di pejabat. Aldi yang kadangkala terlalu bertolak ansur dan kadangkala terlalu tegas dan degil. Tidak boleh berganjak keputusannya.
“Mengapa awak kata begitu pula? Pekerja-pekerja di pejabat tidak menyukai dia ke?” Datin Rabiatul bersuara bimbang.
“Suka. Dengan pekerja-pekerja kita dia tak ada masalah apa-apa. Nampaknya mereka semua menyenanginya. Cuma hal-hal kerja, dia ni cerewet sangat.” Datuk Haris membuka rahsia.
“Cerewet yang macam mana?” soal Datin Rabiatul pulak.
“Lina, jurutaip di pejabat tu, kadangkala merungut juga kepada saya. Aldi selalu tak terima dokumen yang dia taip. Di suruhnya taip berkali-kali sehingga dia benar-benar puas hati. Sesekali bolehlah. Lama kelamaan, orang tak tahan juga.” Suara Datuk Haris seolah merungut.
“Mestilah untuk kebaikan syarikat tu dia menjadi cerewet! Dia nak jaga imej syarikat. Kalau dokumen penting selalu ada kesilapan dan kesalahan, akan mencemarkan imej syarikat.” Datin Rabiatul tetap mempertahankan Aldi.
“Yang itu berhubung dengan imej syarikat tak kisahlah kalau dia berikan perhatian pun. Minggu lepas, setiausaha saya si Farah tu mengadu dengan saya, dia kata Aldi tegur cara dia berpakaian.” Datuk Haris mengusap-ngusap dagunya seketika.
“Apa pula yang tidak kenanya dengan Farah tu?” Datin Rabiatul tertarik hati mendengar cerita daripada suaminya itu. “Apa yang ditegurnya?” Sambung Datin Rabiatul lagi tanpa sempat Datuk Haris menjawabnya.
“Jangan berskirt pendek sewaktu di pejabat,” jawab Datuk Haris ringkas.
Datin Rabiatul ketawa. Di dalam hatinya berkata, memang patut pun tindakan Aldi itu.
“Nasib baiklah Farah tu berfikiran terbuka. Kalau dengan perempuan lain, ditegur begitu harus melenting mereka. Maklumlah, hal-hal berpakaian ini, bukankah hal peribadi orang. Nak pakai macam mana pun, kalau rasa mereka selesa biarkanlah...” Datuk Haris menyuarakan pendapatnya.
“Sekarang ni, setiap hari Ahad saya dah tak nampak Aldi di rumah lagi. Dah beli rumah lain ke dia? Atau bernikah lagi secara senyap-senyap?” Datuk Haris serkap jarang.
Bicara Datuk Haris disambut oleh Datin Rabiatul dengan tawa. “Apalah awak ni! Meneka yang bukan-bukan! Takkanlah Aldi hendak membuat sesuatu dengan membelakangkan kita!” belanya.
“Hai! Awak dah lupa ke? Bukankah dia selalu membelakangkan kita apabila rasa hatinya sudah memuncak! Macam dulu tu. Saya kata jangan menikah lagi. Habis belajar dulu. Dia menikah juga dengan anak dara orang. Nasib baik tak jadi sewel! Entahlah, Tun. Saya bimbangkan Adzman, namun saya lebih bimbangkan Aldi.” Nada suara Datuk Haris semakin perlahan.
“Takkanlah dia nak buat begitu, bang. Aldi dah banyak berubah. Solat tak tinggal. Tak pernah keluar malam tanpa sebab. Cuma hari Ahad saja dia menghilangkan diri. Mungkin berjumpa dengan kawan-kawannya. Biarlah, bang.” Datin Rabiatul terus membela Aldi.
“Awak asyik membela Aldi aje.” Datuk Haris seolah mengeluh.
“Adzman? Macam mana dengan budak tu. Tak nampak-nampak batang hidung. Suruh pergi ke pejabat tak mahu. Saya ada dengar yang dia ada buka syarikat. Kongsi dengan kawan dia. Ada dia berbincang dengan kita?” Datuk Haris menekankan sedikit suaranya. Dia merasa dirinya diketepikan oleh Adzman.
“Ya ke, bang? Bisnes apa Adzman buat? Kalau betul, elok sangatlah tu. Dia berdikari dan tidak mahu mewarisi perniagaan keluarga. Dia nak bina empayar sendiri.” Datin Rabiatul bersuara bangga.
“Tengok tu! Membela Adzman pula. Awak ni tak faham dengan keinginan saya. Saya mahu mereka dua beradik bekerja sama mengembangkan empayar Roda Emas!” Datuk Haris bersuara tegas. “Kalau tidak, hancurlah segala usaha saya selama ini,” ujar Datuk Haris lagi.
“Mengapa pula hancur? Aldi ada. Biar dia uruskan. Dua orang itu sahaja anak yang kita ada. Nak buat macam mana.” Datin Rabiatul seolah mengeluh.
“Mengeluh? Bukan saya yang tak mau anak ramai. Awak yang tak mau. Letihlah. Badan jadi tak cantiklah. Sekarang ni pun kalau nak beranak, kita dah tua. Lainlah kalau awak izinkan saya beristeri muda.” Datuk Haris cuba mengusik Datin Rabiatul.
“Dah mampu! Nikah saja. Saya izinkan...” Datin Rabiatul menjawab sambil tertawa.
“Biar betul, Tun.” Datuk Haris agak terkejut dengan jawapan yang diberikan oleh isterinya itu.
“Terkejut? Ingat saya menentang poligami macam orang lain tu? Tidaklah abang. Allah dah izinkan. Kita sebagai hamba Allah ni, mengapa pula hendak menghalangnya? Jodoh pertemuan, ajal maut di tangan tuhan. Entah-entah saya mati dulu, saya masuk ke kubur dulu. Saya hanya bawa diri saya dan amal ibadat saya saja. Abang tinggal. Jadi siapalah seorang isteri itu untuk menguasai dan mengawal seorang suami?” Datin Rabiatul berhujah panjang.
Datuk Haris menggaru-garu dagunya. Matanya merenung Datin Rabiatul yang sedang bercakap itu dengan penuh minat. “Wah! Saya tak sangka isteri saya ni seorang yang mulia hatinya dan sanggup berkorban untuk suami,” pujinya. “Terasa muda 20 tahun pulak saya ni, Tun. Rasa nak menikah esok juga. Tapi kalau awak nak suruh saya menikah, saya nak gadis yang umur antara 17 hingga 21 tahun saja. Baru betul beristeri muda,” seloroh Datuk Haris lagi.
Datin Rabiatul menjeling tajam. ‘Lelaki semua sama.’ Hatinya seolah membisik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan