Khamis, 20 Disember 2012

Novel:Sebelum Nafas Terhenti (Bab 25)




TIBA-TIBA sahaja Pejabat Datuk Haris dijengah oleh beberapa orang wartawan. Mereka bertanyakan soalan-soalan yang bisa melontarkan lelaki itu di dalam rasa yang tidak selesa. Datuk Haris berada di dalam keadaan serba salah, namun tetap menunjukkan ketenangan.
“Minta maaflah. Sebenarnya apa yang anda semua mahukan? Maklumat apa yang boleh menarik hati dan melariskan majalah tuan, puan, cik dan encik?” Dalam nada lembut Datuk Haris cuba mengelakkan pertanyaan yang boleh menimbulkan kontroversi.
“Datuk! Benarkah anak sulung Datuk sedang hangat bercinta dengan Ain Wahida, model terkenal negara ni? Bila Datuk hendak pergi meminang Ain Wahida ni untuk dijadikan menantu! Tak elok dilihat oleh masyarakat sekiranya anak Datuk mengusung gadis ini ke hulu ke hilir tanpa pertalian apa-apa. Datuk orang yang berpengaruh dan terkenal di sini!”  Seorang wartawan wanita berkaca mata tebal selamba mengeluarkan pertanyaan itu kepada Datuk Haris.
Datuk Haris benar-benar terkejut dengan pertanyaan itu.  Selama ini yang dia tahu Adzman yang terlalu asyik dengan wanita di sana dan di sini, tetapi kini mengapa Aldi pula yang dikaitkan dengan Ain Wahida.
“Anak sulung saya? Siapa?” Datuk Haris berpura-pura tidak mengerti dan menyoal kembali. Dia bimbang terperangkap dengan soalan-soalan dari orang-orang yang berada di hadapannya.
“Encik Aldi!” Wanita itu terus menjawab dengan tegas dan berani. “Bukankah dia anak Datuk?” Suara wanita berkaca mata tebal itu amat menyakinkan dan seolah mendesak Datuk Haris.
“Ya. Anak sulung saya!”  Datuk Haris menjawab lambat-lambat dan berhati-hati.
“Bila Encik Aldi bercadang untuk mengikatkan perhubungannya dengan Ain Wahida? Hmm... pertunangan misalannya?”
Datuk Haris terus diterjah dengan persoalan yang merimaskan. “Minta maaflah cik, encik, tuan, puan! Saya tidak boleh memberi jawapan bagi pihak orang lain! Saya tidak mahu komen apa-apa. Saya ada mesyuarat penting lagi beberapa minit! Maaf ya!” Datuk Haris cuba mengusir wartawan-wartawan itu dengan nada lembut dan tenang.
“Lain kali kita cerita, ya! Insya-allah...” Datuk Haris berjanji. Sebenarnya hatinya berasa rimas dan tertekan dengan persoalan-persoalan yang diajukan. Dadanya terasa sakit. Otak fikirnya terasa tegang.
“Farah!”  Datuk Haris memanggil setiausahanya melalui intercom di atas meja.
Beberapa ketika kemudian, Farah muncul di muka pintu.
“Farah! Tolong bawa tetamu kita ini pergi! Saya minta maaf, ya!” Datuk Haris menghulurkan tangannya dan berjabat tangan semua wartawan yang berada di situ. Dia terus mengambil beberapa fail yang telah disediakan dan keluar dari bilik itu untuk menghadiri mesyuarat di bilik lain.
Berita yang termuat di muka depan sebuah majalah hiburan tanah air amat menarik hati Nurlisa. Dalam perjalanan pulang balik ke rumah, tiba-tiba dia terpandang sebuah majalah yang memaparkan berita itu di sebuah kedai yang menjual majalah dan akhbar. Nurlisa rasa terpanggil membeli majalah tersebut untuk mengetahui berita yang sebenarnya lalu membeli majalah hiburan itu.

Model ternama calon menantu Datuk. 

Ain Wahida merupakan gadis yang amat bertuah.  Cintanya bersama seorang lelaki korporat yang bakal menerajui Roda Emas Sdn. Bhd, yang memiliki aset ratusan juta diperkenankan oleh bapa lelaki berkenaan yang bergelar Datuk.

Entah mengapa dadanya berdegup kencang sewaktu membaca berita itu. Air matanya tiba-tiba jatuh berderaian.  Nurlisa menangis teresak-esak. Tambahan dicelah-celah berita itu terselit foto Ain Wahida dan anak datuk yang dikatakan itu. Foto Aldi diletakkan berhampiran dengan foto Ain Wahida. Namun foto Aldi tidak jelas sangat kerana terhalang oleh lengannya. Mungkin foto itu diambil curi oleh pemberita.
Sungguhpun begitu, tangisan gadis itu tidak lama.  ‘Bodohnya aku menangis untuk perkara itu. Biarlah dia menyintai sesiapa pun! Itu urusan dia. Aku hanya bekas pembantu rumahnya sahaja. Sudahlah miskin, tempang pula. Nurlisa! Pandai-pandailah membawa dirimu.’ Hatinya berbisik-bisik sendiri.
Namun dapatkah dia melupakan lelaki itu?  Dalam diam lelaki itu amat disenanginya. Dalam diam lelaki itu amat dikasihinya. Hampir dua tahun dia melayani Aldi bukan sahaja kerana tanggungjawab sebagai orang gaji tetapi dia melayani Aldi dengan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi. Di sebalik sikap panas baran dan suka memaki hamun orang, dia tahu Aldi seorang lelaki yang penyayang. Hal ini terbukti apabila kesihatan Aldi semakin pulih, jiwanya semakin sihat dan apabila kakinya dapat berjalan kembali, Aldi terlalu baik tutur katanya dan lemah lembut apabila bercakap dengan sesiapa sahaja.
Terharu rasa hatinya apabila Aldi sudi menjemputnya untuk makan malam beberapa bulan dulu selepas hampir setahun mereka tidak berjumpa. Aldi masih seperti Aldi yang dikenali sewaktu di Vila Kencana Emas. Nurlisa mengerti lelaki itu sedang cuba mencari jalan untuk melalui lorong hatinya namun apabila mengenangkan kekurangan diri, dia pura-pura tidak mengerti. Dirinya cacat dan tidak layak digandingkan dengan lelaki itu. Aku takut untuk mencari luka atau menempah duka. Itulah yang dibisikan oleh hatinya.
Sekali lagi Roda Emas dilanda kekecohan. Riuh satu pejabat dengan berita yang tersiar di dalam majalah itu. Terkejut besar Aldi yang diterjah oleh kakitangannya dengan persoalan yang memeningkan kepalanya.
‘Ain Wahida akan mengikatkan tali pertunangan dengan anak datuk.’ Begitulah tajuk berita yang menjadi isu perbualan kakitangan Roda Emas.
Majalah yang menyiarkan berita itu turut ditunjukkan kepadanya. Mujurlah Datuk Haris belum masuk ke pejabat lagi. Jika tidak kekecohan itu tentu akan menyebabkan bapanya diserang sakit jantung sekali lagi.
Aldi menghenyakkan punggungnya di kerusi. Berita yang dibaca benar-benar membuatkan hatinya terpercik dengan api kemarahan seketika. Fitnah itu sungguh memalukannya.  Dia hanya keluar makan malam sekali sahaja dengan wanita itu. Namun berita yang tersiar seolah dia sentiasa bersama dengan Ain Wahida 24 jam. 
Siapa yang hendak dipersalahkan? Benarkah Datuk Haris telah mengeluarkan kenyataan itu? Tidak mungkin. Tidak mungkin. Ain Wahida? Mungkin gadis itu sengaja mencipta cerita untuk menambahkan popularitinya tetapi mengapakah dirinya yang dikaitkan? Percintaan? Bila masanya dia pernah mengucapkan perkataan cinta kepada gadis itu?
Telefon berdering di atas meja. Pantas tangannya menyambar gagang yang berwarna putih itu.
“Helo, sayang. Dah baca majalah yang menceritakan kisah percintaan kita.” Suara Ain Wahida merengek-rengek manja dan mengada-ngada. 
Aldi mencebik bibir. Meluatnya mendengar suara orang yang mengada-ngada. “Majalah? Hmm... maaf. Belum lagi buat masa ini. Bye!” Aldi menekan punat di telefon dan mematikan panggilan. Urat di kepalanya terasa tegang.
“Farah! Saya hanya mahu panggilan untuk urusan pejabat sahaja. Sila sekat semua panggilan yang tidak berkaitan.”  Jari telunjuknya menekan punat di interkom dan memberi arahan kepada setiausahanya pula.
“Encik Aldi! Ada seorang pemberita dan jurugambar ingin menemuramah encik.” Suara Farah seolah berbisik.
“Untuk apa?” Aldi menyoal dengan nada yang perlahan.  Hatinya berasa tidak tenteram dengan situasi itu.  Memulakan perhubungan dengan Ain Wahida ialah satu kesilapan yang amat besar. Itulah yang dirasakannya pada saat itu.
“Ulasan encik berkenaan dengan berita dalam majalah tadi agaknya. Tapi encik saya dah beritahu mereka, encik belum masuk ke pejabat lagi,” ujar Farah. Dia berharap kata-katanya itu dapat menyelamatkan Aldi daripada diterjah dengan bermacam persoalan.
“Saya tidak ada kena mengena dengan hal itu Farah. Dan tidak bersedia untuk diwawancara.” Aldi memberi penjelasan.  Dia harap pekerjanya itu akan mengerti dan bijak menangani masalah yang sedang mendatang dengan caranya.
“Baiklah, encik.” Farah bangun dari tempat duduknya dan menuju ke arah dua orang lelaki yang sedang duduk di kerusi tetamu itu. “Minta maafllah, encik.Hari ini Encik Aldi tidak masuk pejabat. Ada apa-apa pesanan yang boleh saya sampaikan kepada Encik Aldi.” Farah bersuara lunak sambil tersenyum.
“Tak masuk pejabat? Tapi tadi kami sudah tanyakan kepada pengawal keselamatan. Mereka beritahu Encik Aldi sudah datang. Kereta yang Encik Aldi bawa pun kami dah tengok ada di bawah. Cik ni... hmm... tak baik menipu tau.”  Lelaki bermisai tebal dan berambut panjang mula bersuara setelah berdiam daripada tadi.
“Kami nak tanya dia dua tiga soalan sahaja. Tak lama. Lima minit pun cukuplah! Please!” Lelaki yang asyik memegang kamera cuba memujuk. 
Farah benar-benar berasa serba salah. Ditelan mati emak, diluah mati bapa. “Memang betul, encik. Saya tak tipu. Encik Aldi tak masuk pejabat hari ini. Kereta yang di bawah tu memang dia tinggalkan di situ sebab Encik Aldi ke Langkawi untuk menghadiri mesyuarat di sana. Dia tak sempat balik ke rumah. Dari pejabat terus ke airport. Dia minta salah seorang staf hantar dia ke airport.” Farah terus memberi alasan. Alasannya boleh diterima oleh kedua lelaki itu.
“Okeylah! Bila dia balik, call kami, ya.” Lelaki berambut panjang mengeluarkan sekeping kad daripada kocek seluarnya dan menghulurkan kepada Farah.
“Minta maaflah saudara semua, ya.” Farah berasa lega apabila kedua lelaki itu bangun dan segera beredar keluar dari pejabat itu. Beberapa minit kemudian dia masuk ke bilik Aldi.  Lelaki itu sedang mengadap komputer dan menjalankan tugasnya seperti biasa.
“Encik! Mereka semua sudah keluar.” Beritahu Farah dengan nada gembira. Riangnya hati kerana dapat berjasa kepada seorang ketua yang amat disenanginya.
“Alhamdulillah! Farah, tulis surat kepada pengurus syarikat kawalan keselamatan yang bekerja dengan kita supaya dia mengeluarkan arahan kepada pekerja-pekerjanya yang bekerja di Roda Emas, agar tidak membenarkan wartawan atau pemberita  datang mengganggu di sini!” Aldi bersuara tegas.
“Baik, encik!” Farah menganggukkan kepalanya.
“Dengan syarikat majalah tu, encik?” tanya Farah lagi.
“Encik tak mahu saman mereka ke?” Farah cuba mengusik.
“Saman? Saya rasa tak perlu buat apa-apa. Saya tak akan keluarkan kenyataan apa-apa. Biarkan mereka. Biar mereka letih sendiri!”  Suara Aldi bertambah tegas walaupun lembut.
“Betul, encik. Jika encik sangkal, mereka akan belitkan kenyataan encik. Kalau encik berdiam diri, mereka akan mengada-adakan cerita. Lebih baik diam dan buat tak tahu sahaja.” Farah memberi pendapatnya pula dan terus beredar keluar dari bilik Aldi.
Telefon bimbit Aldi berbunyi berulangkali. Terpapar nama Ain Wahida di skrin telefon bimbitnya berulang kali.  Runsing dengan irama telefon yang tidak putus-putus, Aldi menjawab panggilan itu.
“Helo, Aldi! Mengapa you tak jawab panggilan telefon I? Banyak kali I call!Ain Wahida merengek-rengek lagi.
Sorry! I busy! Okay, bye!” Aldi terus menekan butang merah untuk menamatkan panggilan itu. Dalam rasa marah, dia masih mampu bersuara lembut dan tenang.  Untuk apa dia bersikap kasar sekiranya kekasaran itu akan merumitkan lagi keadaan. Terdetik rasa kesalnya kerana memulakan perhubungan dengan Ain Wahida. Jika dari awal lagi dia mengetahui yang gadis itu seorang model yang popular, dipotong empat tubuh badannya pun dia tidak mahu memulakan persahabatan dengan gadis itu.



                                                  ~~~~bersambung~~~~

Tiada ulasan: