Rina Melati menghabiskan bacaan
surah yasin yang dibacanya. Setiap pagi selepas solat subuh, dia membacakan
surah itu di tepi telinga Datuk Johan. Semoga ALLAH memakbulkan doanya. Yang
dipinta kepada ALLAH agar Datuk Johan segera sembuh. Setelah itu dia
mengerjakan solat sunat duha. Kemudian dia membaca al-Quran pula. Begitulah
Rina Melati menghabiskan masanya di bilik itu menemani Datuk Johan.
“Heh, Melati! Suruh laki kamu
tandatangan semua dokumen ini!” Kemunculan Datin Jazima yang tiba-tiba
mengejutkan Rina Melati yang baru sahaja menutup al-Quran. Kain telekung yang
tersalut ditubuhnya pun belum dibuka lagi.
Datin Jazima menjeling tajam
kepada wanita muda itu. “Kamu gila apa? Sembahyang apa pagi-pagi hari?” Pantas
jari telunjuknya menunjal ke dahi Rina Melati. Setiap hari dia mesti melakukan
perkara itu terhadap madunya itu. Hatinya berasa puas kerana Rina Melati
langsung tidak melawan dalam apa juga cara.
“Saya solat duha, Datin” Rina
Melati menjawab lurus. Datin Jazima menjeling tajam kepadanya sekali lagi. Wajah Rina Melati tetap tenang. Bibirnya
mengukirkan senyuman.
“Kamu nak sembahyang apa, aku
tak mahu ambil tahu! Tu! Dokumen tu suruh laki kamu sign!” Datin Jazima
bersuara kasar sambil menudingkan jarinya ke arah dokumen yang telah
berselerakan di atas lantai.
“Tangan Datuk tak mampu lagi
untuk tandatangan, Datin,” jawab Rina Melati dengan perlahan. Dia sudah meneka
apa jenis dokumen yang sedang dibawa oleh wanita itu. Mesti bersangkut paut
dengan soal harta Datuk Johan yang melimpah ruah.
“Itu aku tidak peduli. Dia nak
tandatangan dengan kaki ke? Dengan dahi ke? Yang aku tahu bila aku balik ke
bilik ini petang nanti, semua dokumen sudah ditandatangani!” Datin Jazima
bersuara kuat sambil bercekak pinggang.
“Kalau tandatangan datuk tak
sama dengan tandatangannya yang terdahulu, semua dokumen ni tidak boleh
diterima pakai, Datin.” Rina Melati cuba menerangkan dengan jujur.
Datin Jazima terdiam sejenak. Akalnya cuba memikirkan kata-kata dari madunya itu.
“Tapi kalau peguam yang Datin
lantik boleh terima cap jari Datuk...” Kata-kata Rina Melati tersangkut
seketika. Matanya merenung Datin Jazima dan beralih ke dokumen yang dimaksudkan
oleh wanita itu. Wanita bertubuh gempal itu berjalan menghampiri pintu.
“Hah! Bergeliga pun kepala otak kau! Suruh
laki kamu cap jarinya di semua dokumen tu.” Tidak sempat Rina Melati menghabiskan bicaranya, Datin
Jazima sudah menyampuk.
Rina Melati termengah-mengah selepas mengangkat
tubuh Datuk Johan dari atas tilam ke kerusi roda. Hampir enam bulan dia berada
di bunglo itu menjaga suaminya. Dirinya seolah berada di penjara. Anak-anak
tirinya, yang sulung hanya sesekali sahaja datang menjenguk ayah mereka. Anas
pula kerap datang, namun tidak dapat membantu apa-apa. Dia hanya duduk di atas
kerusi malas di dalam bilik itu membaca akhbar sambil memerhati gerak- geri
Rina Melati.
Sepanjang dia menjaga dan
merawat Datuk Johan, anak bongsunya yang perempuan belum pernah ada. Dari apa
yang didengarinya, Salwa bertugas sebagai pramugari dengan syarikat penerbangan
Malaysia. Selalu keluar negara. Hari raya pun Salwa tidak pulang. Cerita yang
didengarnya daripada Leha, Salwa sudah merajuk hati dengan emaknya. Kalau bercuti pun dia akan pergi ke rumah
abangnya yang sulung. Rumah Jazmi. Justeru,
seluruh tanggungjawab untuk menjaga Datuk Johan yang terjejas kesihatannya itu
terpikul di atas bahu Rina Melati. Rina Melati menjaga Datuk Johan dengan penuh
kesabaran meskipun hatinya terguris luka oleh sikap madunya, Datin Jazima. Setiap hari dia membacakan al-Quran di tepi telinga Datuk
Johan. Bibir Datuk Johan akan tersenyum walaupun herot mulutnya masih ada
sedikit. Setiap kali masuk waktu solat
dia akan bersembahyang bersama dengan Datuk Johan di bilik itu. Datuk Johan
akan solat mengikut keupayaannya.
Rina Melati berasa tenang.
Dapat berbakti kepada suami dan mengabadikan diri kepada ALLAH. Dia bersyukur
kerana kini Datuk Johan sudah boleh berkata-kata semula walaupun tidak sefasih
dulu. Namun, memadailah untuk komunikasi mereka. Jika banyak perkara yang
hendak dikatakannya, Datuk Johan akan menulis di dalam sebuah buku yang
disediakan oleh Rina Melati. Buku catatan itu menjadi rahsia mereka berdua.
Sekiranya Datin Jazima datang ke bilik itu dan menengking herdik suaminya,
Datuk Johan tidak berkata walaupun sepatah.
“Bawa Datuk pergi ke hospital
mengikut jadual yang telah ditetapkan itu.” Itulah kata-kata Doktor Azmi yang merawat
Datuk Johan.
Kata-kata doktor muda itu
disanggah oleh Datin Jazima yang secara kebetulan ada di dalam kamar itu. Entah
bila dia masuk balik ke bilik itu. Hatinya berasa tidak tenteram selagi dokumen
untuk membatalkan penurunan kuasa yang terdahulu tidak ditandatangani oleh
Datuk Johan.
“Tak payah rawat lagi! Biar
saja dia duduk di kerusi roda itu sampai bila-bila! Bila dah sihat esok-esok,
mulalah nak menggatal lagi!” Tanpa rasa malu wanita itu mempamerkan warna
hatinya melalui kata-kata yang diucapkannya.
Bibir Doktor Azmi seolah
terkunci apabila mendengar kata-kata Datin Jazima itu. Tambahan pula apabila
melihat Datin Jazima merengus dan meninggalkan bilik itu tanpa menyentuh atau
bertanya kabar suaminya pun. “Sabarlah, Datuk!” Tangannya menepuk-nepuk bahu
lelaki itu, lembut.
“Doktorr...” Suara Datuk Johan
teramat perlahan dan seolah membisik. Terherot-herot bibirnya untuk
mengungkapkan perkataan.
Rina Melati menghulurkan
sebatang pen dan buku catatan yang biasa digunakan kepada Datuk Johan. Setelah
menerima rawatan terapi sonotron badannya yang sebelah kiri sudah dapat
bergerak sikit-sikit. Yang sebelah kanan masih lagi berfungsi walaupun lemah.
‘Bolehkah kesihatan saya pulih kembali? Itulah ayat yang ditulis oleh Datuk
Johan dengan amat payah sekali. Matanya merenung ke wajah Doktor Azmi dengan
pengharapan.
“Insya-ALLAH, Datuk! Sekarang
ini pun sudah banyak perkembangan yang positif,” ujar Doktor Azmi dengan nada
ceria. Tangan Datuk Johan yang sebelah kiri digerakkannya berulang kali. Begitu
juga dengan kaki kiri lelaki itu. Ditegang kendurkan berkali-kali.
“Terapi itu sebagai satu kaedah
rawatan untuk sendi-sendi. Insya-ALLAH, Datuk akan pulih sekiranya minda Datuk
bersemangat untuk kembali sihat. Kita doakan sama-sama.Melati,
nanti bagi datuk makan ubat mengikut jadualnya. Hmm... jika boleh bawa Datuk
berjalan perlahan-lahan.” Mata Doktor Azmi memandang Rina Melati sewaktu
mengucapkan kata-kata itu. Wajah wanita yang di depannya itu semakin cengkung
dari hari ke hari.
“Boleh ke?” soal Rina Melati
pula dengan keraguan. Mampukah tubuhnya untuk menampung keberatan tubuh Datuk
Johan sewaktu membantu suaminya itu berjalan? Matanya memandang Doktor Azmi
yang sedang cuba membangunkan Datuk Johan dari kerusi roda.
“Cuba berdiri, Datuk. Bertahan! Langkah ke hadapan 1, 2, 3.” Tangan Doktor Azmi memegang hujung tangan lelaki itu
seolah sedang mengajar kanak-kanak berjalan. “Melati, buat begini setiap hari!
Insya-ALLAH...” Tangan Doktor Azmi spontan mencapai tangan Rina Melati dan
memindah tangan Datuk Johan dari pegangan tangannya ke tangan wanita muda itu.
Rina Melati kaget seketika,
namun terus membimbing Datuk Johan supaya berjalan ke arahnya.
Doktor Azmi beredar dari bilik
itu beberapa ketika kemudian.
“Bagus! Kalau Datuk dah boleh
berjalan, boleh kamu berambus dari rumah ini!” Datin Jazima yang berbadan
rendang itu bercekak pinggang melihat telatah Datuk Johan bersama Rina
Melati. Tiba-tiba sahaja dia muncul
kembali ke dalam bilik itu. Matanya terjegil merenung madunya. Pagi ini entah
berapa kali dia berulang alik ke dalam bilik itu.
“Aku ingatkan dia akan
terlentang di katil itu sampai mati! Rupa-rupanya tidak! Dokumen tadi dah cap
jari ke belum?” Tidak sabar-sabar Datin Jazima bertanya. Kalau Datuk Johan
kembali pulih, alamat cita-citanya untuk membatalkan wasiat yang terdahulu
tidak dapat terlaksana.
“Belum lagi, Datin. Tunggulah
saya bacakan kepada Datuk terlebih dahulu isi kandungan semua dokumen itu.
Datuk ada hak untuk tahu sebelum menurunkan tandatangan atau cap jarinya.” Lagi
sekali Rina Melati cuba menerangkan kepada Datin Jazima perkara yang mungkin
telah terlepas dari fikiran madunya itu.
“Eh, Melati! Kamu jangan cuba
nak ajar aku! Kalau Datuk mati sekejap lagi, dokumen tu langsung tidak ada
makna lagi!” Suara Datin Jazima semakin nyaring, tanpa memikirkan perasaan
orang yang mendengar kata-katanya.
“Tak baik Datin cakap begitu
pada Datuk! Bu... bukankah dia suami,
Datin? Suami kita?” Terlalu lama dia bersabar dengan karenah Datin Jazima yang
berlagak dan sombong itu, tiba-tiba hari ini muncul pula keberanian di hati
Rina Melati. Bukankah berdosa seorang isteri melayani suami dengan buruk,
tambahan pula kalau suami di dalam keadaan yang tidak berdaya.
“Suami kita? Eh, Melati! Aku
tidak pernah kongsi suami dengan sesiapa! Kamu tu anak haram, kan? Setarafkah kamu untuk
bergandingan dengan aku? Jadi isteri Datuk Johan? Kamu
belek diri kamu sikit! Perempuan tak tahu malu!”
“Aaaa... aaa...” Datuk Johan
yang sudah didudukkan kembali ke kerusi rodanya merintih-rintih. Tangannya
mencuba juga sedaya upaya untuk menggerakkan kerusi bagi mendekatkan dirinya
kepada Datin Jazima. Ya ALLAH... Mengapalah busuk dan kejinya hati isteriku
ini? Aku telah lama bersabar. Tidak ada satu perkara pun yang
dapat membuat dia insaf.
Ya ALLAH... berilah pertunjuk
kepada isteriku yang melakukan kekejaman kepadaku, suaminya. Melakukan
kezaliman kepada madunya yang berhati polos. Ya ALLAH... berilah dia kekuatan,
keimanan yang teguh, ketabahan, ketenangan. Suara hati Datuk Johan
berbisik-bisik kerana bibirnya tidak mampu bersuara lancar.
Dia berusaha bersungguh-sungguh
untuk merapati isteri tuanya diiringi oleh bisikan hati yang meronta.
Rina Melati cuba menahan,
bimbang Datin Jazima yang sedang naik angin itu menolak kerusi roda ke arah
dinding dengan kasar.
“Aaa... aaa... Huh!” Datin
Jazima mengajuk- ajuk bunyi suara suaminya itu lalu meninggalkan bilik dengan
laju. Bibirnya tidak berhenti merungut entah apa biji butirnya. Lagi sekali
daun pintu dihempasnya kuat.
“Aaaaaarhhgggg!!!” Tidak sampai
berapa saat setelah daun pintu dihempas, terdengar jeritan Datin Jazima yang
semakin sayup dan seterusnya lenyap.
Rina Melati yang mendengar
jeritan itu berkejar dan menerpa keluar pintu. Dari atas beranda di hadapan
bilik Datuk Johan, dia nampak tubuh Datin Jazima terpeletok di kaki tangga.
~~~~~~~~~~~~bersambung~~~~~~~~~~~

Tiada ulasan:
Catat Ulasan