Khamis, 20 Disember 2012

Novel: REDHA TAKDIRMU (BAB 24)





“Ermm, kenapa ni Lis?” Aku meletakkan gagang telefon dan menarik kerusi, duduk di sisi Marlisah atau Lis kerani baru yang menggantikan tempatku apabila aku dinaikkan pangkat menjadi penyelia. 
Marlisah mengesat matanya dengan tisu. “Sakit? Sakit hati?” 
Aku merenung wajah Marlisah. Dia terus teresak-esak sebaik sahaja aku menyoalnya. Wajahnya aku soroti dengan bola mataku. Marlisa seorang wanita yang cantik. Berkulit cerah dan berwajah manis. Tanpa solekan dia tetap berseri.
“Masalah rumah tangga! Entahlah Kak Lidya, sampai bila Lis nak begini?”  Marlisah mengeluh. Tisu di tangan, di guna pula untuk mengesat hidung.
“Apa masalahnya? Kalau tak keberatan bercerita, Kak Lidya sudi mendengar.” Aku menggosok-gosok belakang Marlisah. Cuba menenangkannya.
“Lis rasa, rumah tangga Kak Lidya mesti bahagiakan? Tak macam Lis! Yalah, Lis selalu tengok Kak Lidya ni tenang saja, senyum tak habis-habis, dengan operator pun tak pernah nak marah-marah.” Marlisah cuba meneka.
“Alhamdulillah, Lis! Syukurlah, kalau Lis beranggapan begitu. Dalam rumah tangga ni, sebagai isteri kita kena banyak bersabar.” Aku bersuara perlahan, cuba menasihati Marlisah. Sedangkan kesabaranku sendiri menanti masa untuk terkoyak.
Apa jenis kebahagiaan yang bertandang di hatiku sejak perkahwinan itu.  Yang pastinya, kesepian semakin membelit.  Kekosongan semakin luas di jiwaku, umpama angkasa yang tidak dapat dikesan sempadannya.  Terlalu sukar untuk memperolehi setitik kasih daripada seorang lelaki bergelar suami. Walau bermacam-macam yang harus dan telah dikorbankan.
“Apa masalah sebenarnya ni?” Aku terus memujuk Marlisah.  
“Macam ni Kak Lidya! Lis ada seorang anak, dah tingkatan satu. Anak Lis tu teringin sangat nak ada komputer di rumah.Nak beli tunai yang baru, tentulah tak mampu.” Marlisah mula bercerita. “Yang baru harganya hampir RM4000.  Manalah larat nak beli! Kerana nak mencapaikan hasrat anak kesayangan, anak soranglah katakan, Lis main kutu dengan jiran-jiran di taman perumahan tu, sebulan RM100. Main 24 orang, dapatlah RM2400. Bolehlah beli yang second hand. Jadilah asalkan ada.” Dia terhenti bersuara kerana dia semakin sebak.  Air matanya semakin deras mengalir di pipi.
Aku diam. Aku membiarkan Marlisah bercerita dengan bebasnya. Sebagai seorang penyelia, aku harus mengambil berat juga terhadap masalah yang di hadapi oleh pekerja di bawah jagaanku.
“Lis bodoh! Lis beri semua duit kepada suami Lis, minta dia belikan komputer untuk anak, sekali dengan printernya! Bodoh! Bodoh! Bodohnya aku!!” Marlisah menyalahkan diri sendiri sambil menampar-nampar kepalanya.
Walaupun aku rasa aku dapat meneka penghujung cerita Lis, aku masih tidak memberi komen apa-apa.
“Kak Lidya tahu tak apa yang suami Lis beli?”  
 Aku mengeleng.
“Dia beli motor untuk dia!!! Lis geram! Geram!”  Marlisah menampar-nampar meja. Tangisannya semakin kuat.
“Laaaa!! Sabar sajalah Lis!!”  Aku turut bersimpati dengan Marlisah. Mengapalah lelaki tergamak berbuat apa saja kepada isteri mereka?
“Nak sabar macam mana Kak Lidya! Motor lama dia elok lagi. Lagi dua tiga bulan habis bayar ansuran bulanannya, dia jual buat tambah duit muka motor baru, tambah hutang lagi! Lepas tu, hutang tu dia suruh Lis bayarrr!!!” Tangisan Marlisah meruntun hatiku.
“Lis kecewa! Anak Lis pun kecewa. Waktu Lis kena kutu tu, Lis dah cerita dah pada dia, Lis nak beli komputer untuk dia. Anak Lis dah seronok sangat! Sebab Lis pun dah janji nak masukkan internet di rumah! Tiba-tiba ayahnya buat macam ni!!!” Sungguh aku terlalu bersimpati dengan nasib kedua beranak ini.
“Sabarlah Lis, jangan menangis lagi! Insya-ALLAH, lain kali dapat rezeki yang lain, Lis belilah untuk anak Lis tu! Percayalah, ini semua ujian daripada ALLAH. Ada hikmah di sebaliknya. Kalau Lis nak pinjam duit Kak Lidya, Kak Lidya boleh beri. Tapi tak banyak, ada RM1000 saja.” Aku mengenggam tangan Marlisah sambil menawarkan bantuan.  Bukankah itu salah satu tanggungjawabku. Walaupun Marlisah bukan saudara sedarah dagingku, tetapi dia pekerja di bawah jagaanku dan saudara sesama muslim. Dia harus menerima hak yang seharusnya.Tangisan Marlisah sudah reda. Mungkin hatinya sudah tenang sedikit.
“Tak apalah Kak Lidya! Kak Lidya sudi dengar masalah Lis pun, Lis dah syukur! Baiknya hati Kak Lidya.” Dia mengukir senyuman. “Lis dah rasa tenang sedikit.” 
“Baguslah! Alhamdulillah!  Kalau begitu, bolehlah buat kerja seperti biasa tanpa gangguan, kan? Lain kali, ada masalah apa-apa, cerita dengan Kak Lidya.” Aku beredar ke mejaku. Di atas meja selambak dokumen yang harus aku tandatangani.
“Lis dah prepare dokumen gaji untuk bulan ini, ya. Cepatnya.” Tanganku mencapai pen dan kalkulator untuk menyemak, mengira semula serta menandatangani semua borang-borang kewangan yang telah disediakan oleh Marlisah.
“Semalam akaun clerk, finance department call. Bulan ni mereka suruh buat cepat, sebab lagi dua minggu mereka nak prepare untuk bonus hujung tahun pula.” Marlisah menerangkan.  Air mukanya kembali ceria.
“Wow! Bonus? Baguslah! Alhamdulillah...” Aku berpura tidak mengetahui hal itu. Mataku melirik kepada Marlisah.  Dia sedang asyik menekan punat-punat di mesin pengira.  Wajahnya semakin berseri.
“Kalau mereka bagi bonus dua bulan, dapatlah Lis belikan komputer itu tak lama lagi.” Sepasang mata Marlisah kelihatan bercahaya dengan harapan.
“Jangan berharap sangat Lis! Terlalu berharap, kekecewaan akan membelit diri tau! Faham-fahamlah kerja di company yang tak berapa besar ni.” Bicaraku disulam dengan ketawa kecil penuh makna. Silap hari bulan, durian runtuh yang diharapkan hanya menurunkan daun kering sahaja. Bonus yang dibayar tidak sampai sebulan.
“Ni, dah siap signed semuanya! Nanti Lis tengok, kalau-kalau Kak Lidya ada terlepas pandang.” Longgokan dokumen di atas mejaku  berubah tempat. Dari mejaku ke meja Marlisah.
Kak Lidya nak masuk production. Lis bolehlah prepare invoice juga! Petang ni ada lori datang ambil barang!  Senarainya sekejap lagi Kak Lidya suruh Bedah hantar.” Sambil tersenyum, aku memberi arahan. 

IDHAM tekun mengadap peti televisen sambil duduk di kerusi rotan bulat.  Selesai makan malam aku membasuh pinggan dan menggosok baju yang akan dipakai Idham ke pejabat keesokan hari. Kemudiannya aku membancuhkan air panas serta menghidangkannya di atas meja.
“Air, Lidya dah buat bang. Ada atas meja. Abang ada perlukan apa-apa lagi dari Lidya?” Aku bersuara lembut sambil menghampiri suamiku itu. 
Idham tidak menjawab.
“Boleh Lidya peluk dan cium abang?” Aku meminta kebenaran daripada Idham. Manalah tahu, perbuatan aku nanti akan menimbulkan kemarahan Idham. Silap gaya aku kena terajang.
“Hmm...” Idham memberi kebenaran. Matanya masih melekat ke peti televisyen.
Aku merapati Idham sambil memeluk serta mengucup dahinya. Idham tidak memberi respons. “Abang perlukan apa-apa lagi tak?” Aku mengulangi pertanyaan tadi yang belum dijawab.
“Kenapa?” Idham, meleraikan pelukan tanganku di lehernya.
“Kalau tak ada, Lidya nak mengarang.” Aku berterus terang.  Mesin taip model tahun 70-an itu telah aku keluarkan dari dalam almari dan tersedia di atas meja tulis.
“Mengarang apa?” Idham, menghembuskan asap rokok ke udara.
“Apa-apalah, puisi ke cerpen ke. Lidya boleh juga mengarang sikit-sikit. Bila dah siap nanti, Lidya bercadang nak kirimkan ke mana-mana majalah. Kalau ada rezeki, tersiar dapatlah juga rezeki seringgit dua.” Aku menerangkan lagi dengan hati-hati.  Kotak fikirku juga sedang berkira-kira untuk meminta Idham membelikan aku sebuah komputer. Sebelum ini aku tidak pernah meminta apa-apa pun daripadanya. Apa salahnya sesekali membelikan aku sesuatu? 
“Bang! Berapa harga sebuah komputer?” Aku berpura-pura tidak tahu menahu tentang harga peralatan itu. Aku ingin menguji Idham.
Menguji keikhlasan hatinya terhadap aku.
“Nak beli komputer ke? Baru nak mengarang dah nak beli komputer? Bukannya seringgit dua. Kalau ada tiga empat ribu, esok juga abang boleh carikan.” Idham, bersuara tegas dan serius.
Idham, mana pernah hendak berlembut-lembut dengan aku. “Bang! Lidya ada dengar tentang pembelian komputer melalui duit KWSP tu. Kalau Lidya minta abang belikan Lidya komputer, gunakan duit KWSP boleh tak?” Aku cuba menguji hati Idham. Bukannya aku tidak ada caruman KWSP, tetapi pada waktu itu aku tidak memenuhi syarat kelayakan.  Syaratnya boleh mengeluarkan wang untuk pembelian komputer bagi kegunaan anak-anak. Aku, mana ada anak.  Anak tekak dan anak mata adalah.
“Heh! Mana boleh! Takkan nak keluarkan dari simpanan abang pula?” Idham memandangku bagaikan orang asing.  Nampak sangat dia terlalu berkira dengan aku, sedangkan aku telah berkorban segala yang ada untuk keperluannya.
“Lidya bayarlah, balik.” Aku terus menguji.
Idham, termenung seketika. “Kalau begitu, bolehlah abang tanyakan pada kawan abang yang kerja di pejabat pos esok. Mereka yang menguruskannya. Nanti abang gunakan nama anak abang si Fitri itu.” Cepat sahaja Idham menyetujui sebaik sahaja mendengar yang aku akan membayar balik.  Spontan sahaja terkenangkan anaknya hasil perkongsian dengan Asmahani itu.
Hatiku hiba. Aku tidak pernah meminta Idham membayar kembali setiap sen yang aku keluarkan untuknya, sebaliknya apa juga yang dia keluarkan untuk diriku, dia akan menuntut kembali. Beginikah kehidupan bersuami isteri? Lebih baik aku hidup membujang.
“Tak apalah bang! Tak payahlah susah-susah kerana Lidya!  Biar Lidya kumpulkan duit gaji Lidya! Lidya hanya nak uji abang sahaja tadi.” Aku tergumam. Biarlah aku sendiri yang susah daripada menerima pemberian Idham. Harga diri aku akan ditenyeh-tenyeh dibawah tapak kakinya kerana Idham akan mengungkit berkali-kali, berbulan-bulan. Tidak ada duit yang banyak pun tak apa, asalkan maruah aku terpelihara.
“Tengok tu! Buat laki macam tu!” 
Tidak sempat aku mengelak, tangan Idham mencengkam pangkal leherku. Kepalaku ditekan-tekannya ke mesin taip itu dengan kasar dan perasaan geram.  Aku hanya membiarkannya.  Menahan kesakitan aku berpura-pura ketawa.
“Apa ni bang! Lidya bergurau saja.” Mengelakkan kemarahan Idham berpanjangan, aku tidak melawan langsung, sama ada dengan kata-kata atau tingkah laku. Hampir enam tahun, aku hidup bersamanya. Aku terpaksa selalu mengalah, demi keutuhan rumah tangga kami, walau kerap kali aku disakiti fizikal dan mental. Dilukai emosi. Pada malam itu, jika aku melawan, nasib tak baik mesin taip akan hinggap di kepalaku.
“Lain kali jangan bergurau dengan perkara yang menyakiti hati! Kalau tak tahu bercakap diam. Itu lebih baik daripada melukai hati orang! Abang ni suami tau tak? Kalau abang tak ampunkan dosa yang Lidya buat, neraka jahanamlah diamnya nanti!” Sebagaimana biasa Idham suka menggunakan kuasa veto yang ada pada dirinya. Kuasa seorang suami untuk menghumban isteri ke dalam neraka. 
I’m sorry! Boleh Lidya mula mengarang sekarang?” Aku memohon kemaafan daripada Idham dengan cara mencium lututnya. Itu yang dipinta, itulah yang aku buat.
“Pergilah. Jangan sampai lewat malam sangat. Esok nak kerja.”  Idham memberi keizinan dengan suara yang semakin mengendur.
“Terima kasih, bang.” Lega rasa hatiku apabila dapat bersendirian tanpa Idham. Kadangkala aku terlalu rimas dengan sikapnya. Jika di rumah, pantang aku berjauhan daripada pandangan matanya walau pun seminit. Bising mulutnya memanggil aku. Selagi aku tidak datang menghampirinya, selagi itulah dia asyik memekak. Namun, apabila aku berada di depan matanya, Idham tidak habis-habis memarahi, meleteri, melukai hati. Hai, entah sampai bilakah penderitaanku ini akan berakhir?
Aku memulakan karanganku pada malam itu dengan sebuah puisi bertajuk ‘Penjara Kasih.’

Satu permintaanku
Beribu persoalanmu
Menekan dan menghimpit aku
Bagaikan seorang diktator, dengan askarnya
Namun, aku lebih malang kerana tidak bersenapang
Melangkah aku ke dunia ini, mengharapkan syurga duniawi
Aku isteri, harus memiliki seorang suami
Apa yang kudapati, adalah seorang pendakwaraya, berhati
Hitler
Di mahkamah rumah tangga, aku kehilangan suara
Kerana tidak memiliki seorang peguam bela
Aku terkapar sendiri, dalam penjara kasih seorang lelaki
Kelemasan dalam duka,
Perkongsian ini tidak memberi makna
Dalam jeriji derita,
Terdesakkah aku memecahkan setia
Meskipun jasadku sentiasa dihadapannya
Hati, jiwa dan cintaku
Terbang dan lari entah ke mana.



                                   ~~~~~bersambung~~~~~

Tiada ulasan: