Khamis, 24 Januari 2013

Novel REDHA TAKDIRMU (Bab 25)



Keinginan untuk membeli sebuah komputer peribadi aku pendamkan setelah tidak mendapat kerjasama daripada suamiku. Aku berazam, sebulan dua lagi, impianku untuk memiliki komputer bagi memudahkah aku  meneruskan minatku di dalam bidang penulisan, insya ALLAH akan terlaksana.
Pada suatu hari, sekembalinya Idham dari pejabat dia meletakkan satu sampul surat bersaiz A4 di atas meja.
 “Lengkapkan borang ini! Sekarang ini, semua orang boleh buat permohonan. Tak ada anak pun tak apa.” Idham bersuara perlahan. Kaca mata hitam di tangan, diletakkannya di dalam almari kaca. Dia duduk tersandar di kerusi keletihan sambil membuka butang baju kemeja berlengan panjang berwarna maroon yang dipakainya.
“Ya ke? Alhamdulillah... Bolehlah guna simpanan KWSP Lidya. Seronoknya...” Aku memeluk Idham sambil mencium pipinya. 
Idham memandangku dengan dahi berkerut. “Abang kan sedang berpeluh ni. Rimaslah!” Idham mengelakkan dirinya daripadaku. Entah bila dia akan berubah.

PADA malam itu juga aku mengisi borang yang dibawa oleh Idham. Harapanku semakin berbunga. Sekiranya permohonanku diluluskan, cita-citaku untuk memilki komputer peribadi akan tercapai. Semakin mudahlah aku meneruskan kerja-kerja dan cita-citaku dalam bidang penulisan. Bolehlah aku mengarang apa saja yang kuingini dengan cara yang lebih baik dan sistematik. Idham pun nampaknya sudah mempercayai bakat yang kumiliki.
Dua tiga minggu yang lalu, aku ada menerima tiga keping cek pembayaran kerana puisiku tersiar di majalah.  Alhamdulillah. Dan yang paling utama, Idham tidak menghalang aku berkarya.

TIGA bulan selepas itu, komputer yang aku inginkan telah pun menghuni rumah. Aku berasa bangga kerana aku membelinya dengan wang simpanan sendiri. Idham yang pada mulanya membantah untuk memasukkan perkhidmatan internet di rumah, akhirnya menyetujui juga setelah mendengar nasihat kawannya yang memang berkecimpung di dalam bidang itu.  Lagipun segala kos yang diperlukannya, aku membiayainya.  Idham hanya menguruskannya sahaja.  Soal perbelanjaan  atau kewangan, semuanya ditolak kepada aku.
“Kalau nak, beri abang duitnya. Mengapa pula abang yang kena keluarkan belanja? Abang tak nak! Lidya yang nak internet, kan?” Demikianlah Idham, selalu menang di dalam apa juga keadaan.
Aku hanya diam.
“Kalau abang masukkan internet nanti, Lidya mesti janji tidak menyalahgunakannya!!”  Idham memberi amaran. 
“Salah guna macam mana?” Aku bertanya kembali.  Seolah-olah tidak mengerti apa yang dimaksudkan oleh Idham.
Chatting-chatting jangan sekali,”  suara Idham melengking.  Matanya menjeling kepadaku.
“Lidya berchatting saja, abang bakar komputer tu!”  Amaran Idham semakin keras. Kecut juga perutku mendengarnya.
“Dengan perempuan ke, dengan lelaki ke, abang tak benarkan. Abang dah banyak dengar cerita buruk tentang internet ni!!”  Nada suara Idham turun naik.
“Insya-ALLAH, bang! Lidya takkan buat begitu! Kalau abang tak izinkan, tak adalah Lidya buat.” Aku menabur janji.  Sememangnya, diriku begitu. Semenjak menjadi isterinya, aku tidak pernah membantah. Aku sentiasa mengikut telunjuk Idham. Aku tidak pernah ke mana-mana tanpa dirinya kecuali bekerja dan tidak pernah ke mana-mana tanpa keizinannya.  Meskipun sesekali aku memprotes tindakannya, sebenarnya aku ingin menjadi isteri yang terbaik buat Idham. Aku ingin membuktikan bahawa, suatu hari nanti Idham akan berubah kerana kesabaranku.
“Ingat! Lidya isteri orang.”  Idham memberi amaran lagi.  Entah untuk kali yang ke berapa ribu.

BOSANNYA aku pada malam ini.  Jam menunjukkan hampir satu pagi.  Esok hari Ahad.  Petang tadi, kami bersama-sama keluar ke bandar. Kemesraan bersama Idham di siang tadi kusangka akan berpanjangan hingga ke malam. Panas yang kuharapkan, rupa-rupanya ribut taufan yang datang melanda. 
Aku menghadap komputer sambil menekan itu ini di papan kekunci. Dalam esakan yang masih bersisa, aku terkenangkan pertengkaran yang terjadi beberapa jam tadi.
“ Abang, boleh tak Lidya pergi belajar memandu?”  Selepas berehat-rehat sebaik sahaja makan malam, aku menyuarakan keinginanku. Keinginan yang kian lama kupendam. Secara kebetulan, aku telah berjanji dengan Marlisa untuk pergi mendaftarkan diri di kelas memandu bersamanya.
“Nak buat apa?” Idham menjegil. Merah mata putihnya menakutkan aku.
“Nak bawa keretalah.” Aku menjawab perlahan. 
“Nak pergi ke mana?”  Idham bertanya lagi.  Kredibilitinya sebagai pendakwaraya dalam rumah tangga memang tidak boleh dipertikaikan.
“Kalau dah ada lessen, ke mana-mana pun boleh pergi.”  Aku menjawab lurus.  Apa salahnya? Bersiar-siar? Jauh berjalan, luas pemandangan.
“Nak keluar berkereta sorang-sorang? Nak keluar dating dengan jantan, ya?” Idham mula membuat tuduhan.
Baru menyuarakan keinginan untuk belajar, meningkatkan kemahiran diri, Idham telah menyangka yang bukan-bukan.  Semuanya sangkaan buruk. Kesabaranku tercalar juga dengan tuduhannya yang seolah merendah-rendahkan maruahku.  Masakan seorang perempuan berstatus isteri akan sanggup bertemu dengan lelaki lain? Nauzubillah!
“Abang ni suka menyangka yang bukan-bukan! Sangka buruk! Abang fikirkan yang buruk, ALLAH akan bagi yang buruk!” Aku bersuara tenang pada mulanya dengan wajah yang mulai muram. Keceriaan petang tadi lenyap bagai ditelan bumi. “Apa yang Lidya mahukan, semuanya abang larang! Itu tak boleh! Ini tak boleh! Boringlah macam ini!”  Aku menyuarakan rasa tidak puas hatiku dengan suara yang perlahan dan separuh berbisik. Sudah terlalu lama aku bersabar.  Sudah terlalu lama aku makan hati, menjeruk rasa.
“Kamu nak apa? Apa yang aku tak bagi?” Tangan Idham sudah mencapai telingaku lalu memulas cupingnya dengan kasar. Peritnya, bagaikan tercabut cuping telingaku itu. Aku menjerit kesakitan. Dia mengheretku menuju ke meja komputer. “Ini apa? Hah! Nak komputer, beli komputer! Nak bekerja aku bagi bekerja.” 
“Lidya nak pergi belajar pun abang tak izinkan. Bukannya Lidya minta duit abang. Lidya nak gunakan duit Lidya sendiri.Ada lessen nanti Lidya nak beli kereta.” Aku bersuara dalam tangisan. Aku meluahkan isi hatiku. Aku harap Idham akan memahamiku.
“Berlagaknya kamu! Baru kerja kilang macam itu dah berlagak! Sama macam adik kamu.” Tapak tangan Idham hinggap dikepalaku pula.
Aku benar-benar rasa terhina. “Apa!!!” Aku bertempik.  Pantang aku pergaduhan suami isteri dikait-kaitkan dengan adik beradikku. Dikait-kait dengan tempat aku bekerja. “Abang hina Lidya sebab kerja kilang!!!” Aku tidak sempat menghabiskan ungkapanku kerana tiba-tiba Idham menumbukku sehingga tubuhku terpelanting di atas sofa.
“Pemikiran abang ni static! Lidya tidak boleh hidup dalam keadaan begini! Lidya mahu perubahan! Kemajuan!!” Aku bersuara dalam tangisan.  Jika dia ego, aku juga ada keegoanku tersendiri. Aku tidak kisah jika dia enggan melayani kehendak biologiku walaupun keinginanku meronta-ronta. Selagi imanku masih ada, aku percaya aku boleh bertahan.
Sudah terbukti, enam tahun aku tidak disentuhi sebagai seorang isteri, aku masih berjaya mengawal nafsuku. Aku tidak pernah curang. Aku tidak pernah berniat untuk menyimpang dari landasan. Aku akan berpuasa jika ada ketika-ketikanya keinginanku bergelojak. Hal itu terjadi sendiri, kerana aku manusia biasa bukannya malaikat. Penderitaan batinku ini, terlalu menyeksakan. Aku tidak pernah bercerita kepada sesiapa, segalanya aku rahsiakan. Hanya ALLAH saja yang tahu bahawa kadangkala aku bagaikan tenggelam di dalam telaga azab yang maha dalam.Tetapi pernahkah Idham memikirkan semua itu?
“Oh! Lawan laki begini kamu kata maju! Aku tak maafkan dosa kamu kerana membantah cakap  aku!  Sampai mati pun aku tak maafkan!” Idham menengking dengan suara yang kuat. Tangannya hinggap pula di pehaku. Peha aku dicubitnya berkali-kali. 
“Abang terlalu mengongkong!” Tuduhanku itu menyebabkan Idham semakin berang. Dia menampar pehaku pula. Terlalu kuat sehingga aku mengeleting di lantai kerana kesakitan.
“Abang buat Lidya macam anak patung! Tak ada perasaan! Tak ada keinginan! Semuanya abang abaikan! Lidya nak zuriat! Pernah abang tanya? Abang buat tak tahu! Lidya minta abang pergi berubat! Tak pernah abang mahu! Berbincang tentang hubungan suami isteri untuk kebaikan kita bersama, abang tolak mentah-mentah! Lidya ni apa? Apa?” Aku tidak menyangka, kesabaranku benar-benar terkoyak. Tanpaku sedari, aku telah melukakan hati Idham. Aku telah memperkecilkannya.
“Kalau abang terus begini! Suatu hari nanti Lidya akan lariii!!!” Aku bersuara kuat. Syaitan manakah yang telah merasuk hatiku, sehingga aku tergamak berbicara dengan suamiku sedemikian rupa.
“Eh! Pergilah! Berambus sekarang juga! Siapa yang nak miliki anak bersama kamu? Aku dah anak! Kamu jangan nak menghina aku! Bagi aku itu semua tak perlu! Hubungan suami isteri? Itu membuang masa! Tenaga! Karut! Karut!” kata-kata Idham menyebabkan hatiku hancur seumpama pasir. Jika begitu, untuk apa aku disimpan di dalam rumah itu.
“Kalau begitu ceraikanlah Lidya! Jangan simpan Lidya lagi! Jangan seksa Lidya lagi!” Aku terus menangis tersedu-sedu.
Pipiku tiba-tiba terasa perit. Berpinar pandangan mataku.  Aku kehilangan kata-kata. Idham meninggalkan aku sendirian.  Dia masuk ke bilik sambil menghempaskan daun pintu dengan amat kuat. Aku yang menangis teresak-esak ditinggalkannya sendirian sambil mengusap-ngusap pipiku yang merah kerana ditempeleng oleh Idham. Hinggalah ke saat ini, air mataku kering di pipi, Idham tidak datang memujukku ataupun meminta maaf.  Merajuklah kepada yang kasih, merayu kepada yang sayang. Kasihkah Idham kepadaku? Sayangkah lelaki itu kepada diri ini. Cintakah dia kepadaku? Pertanyaan hatiku tidak mendapat jawapan. Riak, tingkah, serta tutur katanya kepadaku yang kasar, tegang, dingin, sayangkah jika begitu? Aku dan Idham, apakah yang mengikat kami berdua? Ijab kabul dan sijil pernikahan? Mungkin.

                 ~~~~~~bersambung~~~~~~

Tiada ulasan: