UMAR memasukkan baju-baju
yang telah dilipatnya tadi ke dalam beg. Pejam celik-pejam celik dia sudah
berada di tahun akhir. Telah selesai menduduki peperiksaan pun. Bibirnya
tersenyum lagi.
“Jadi ikut aku ke Johor?” soal Faizul yang masih menjadi
teman sebiliknya.
Umar mengangguk. Sesekali berjalan ke tempat orang,
mungkin dapat meluaskan pemandangan. Sebelum ini pun, dia tidak pernah
menjejakkan kaki di bumi Johor.
“Kita naik flight. Jangan bimbang, ayah aku dah bank
in duitnya. Tiket untuk kita berdua pun aku dah tempah.” Faizul tersengih apabila melihat Umar
mengerutkan dahinya tanda tidak bersetuju.
“Alah! Buat apa nak susah-susah Faizul. Aku terasa segan
pulak.” Umar bersuara perlahan sambil mengerling ke arah Faizul. Terlalu banyak
budi Faizul kepadanya, bimbang tidak terbalas.
“Kau ni, selalu menolak bantuan orang. Tak baik tau!”
Faizul menumbuk dada Umar perlahan tanda bergurau.
“Terima kasih. Kau banyak sangat membantu aku. Budi kau
tidak mampu aku balas Faizul.” Umar bangun dari tilam dan membuka almari baju.
Memeriksa kalau-kalau masih ada pakaian yang tertinggal.
“Ini hari kau Umar. Mana tahu, suatu hari nanti bila kau
dah berjaya, kau pula yang tolong aku.”
“Insya-ALLAH...” Umar menjawab dengan nada sedih. Sebak
pula hatinya apabila mengenangkan saat-saat perpisahan mereka yang bakal tiba.
“Tidak lama lagi kita akan membawa haluan masing-masing. Tak tahu entah bila
kita akan berjumpa.”
“Hmm, Umar. Barang kau tercicir. Tengok bawah katil tu.”
Faizul memuncungkan bibirnya menunjukkan ke arah bawah katil bujang yang sedang
diduduki Umar.
Umar membongkokkan badannya lalu mencapai sampul surat
yang sudah lusuh itu. Isi sampul surat diintai, hatinya tiba-tiba terasa pedih.
“Gambar siapa tu? Awek kau di kampung, ya?” Faizul terus
mengambil kepingan gambar ditangan Umar walau Umar cuba menghalang.
“Kau masih ingat dia, ya? Sudahlah tu, Umar. Lupakan saja dia. Kau
ingat tak Umar, kerana dia kau kena pukul dan dicampakkan ke tepi laut lalu
hanyut. Nasib baik umur kau masih panjang.” Bicara Faizul agak perlahan. Gambar
ditangan dikembalikan kepada Umar.
“Kau cerita pasal siapa ni Faizul.” Umar sedikit hairan
dengan leteran Faizul. Marah benar Faizul dengan Eryna Natasha sejak peristiwa
malam itu.
“Eryna Natasha la! Perempuan yang pernah menjadi igauan
ramai pelajar lelaki di sini!” Di mata Faizul terbayangkan wajah Eryna Natasha
yang seksi.
“Ini bukan gambar Eryna Natasha. Ini Rina Melati. Aku
terjumpa gambar ni terjatuh dari buku Rin tempoh hari. Lama dulu. Aku terlupa
hendak kembalikan kepadanya sehinggalah...” Umar menghentikan bicaranya
seketika.
“Kami terpisah pada malam itu...” sambungnya lagi dengan
nada sebak. Di matanya terbayangkan peristiwa yang terjadi sehingga membawa
kepada perpisahannya dengan Eryna Natasha. Mereka tidak lagi bertemu
sehinggalah saat itu.
Sungguh pun begitu, sehingga di saat itu Eryna Natasha
sukar dilupakan begitu saja. Kenangannya terhadap Eryna Natasha dan Rina Melati
sentiasa beriringan. Dia merindui keduanya di dalam diam. Rasa kehilangan dan
kerinduan yang amat berat itu dipikulnya sendirian.
“Rina Melati @ Eryna Natasha. Itulah nama sebenar dia.
Kasihan kau Umar, tidak tahu hal ini.” Faizul menepuk-nepuk dahinya.
Umar terlopong.
Mengapa baru hari ini, Faizul membuka rahsia? “Mengapa kau tidak pernah
cerita kat aku hal ini?” Selama ini Faizul hanya membisu. Sejak dia kembali ke
kampus itu, setelah peristiwa ngeri pada malam bersejarah, Faizul tidak pernah
membangkitkan hal Eryna Natasha. Eryna Natasha seolah telah dilupai oleh
seluruh warga kampus. Meskipun sesekali
terasa rindu, Umar tidak pernah bertanya kepada sesiapa pun berkenaan gadis
itu. Lidahnya seolah kelu. Lagipun bukankah perhubungannya dengan Eryna Natasha
cuba disembunyikan dari pengetahuan orang lain.
“Dah kau tidak pernah tanyakan soal dia. Aku pun tidak
mahu bercerita. Lagipun, soal memburukkan maruah orang lain aku tidak suka.
Tapi yang aku geram sangat-sangat mengapa dia menghilangkan diri! Dia tidak bertanggungjawab!
Sudahlah, kau lupakan dia, Umar.” Suara Faizul yang agak kuat tadi semakin
perlahan dan kendur nadanya.
“Faizul, tak baik menuduh dan bersangka buruk kepada dia!
Entah-entah nasibnya lebih buruk dari aku. Pada malam itu, dia juga kena pukul.”
Umar pula bercerita. Sebelum ini segalanya menjadi rahsia. Hairan juga Umar
dengan sikap Faizul yang berubah persepsinya terhadap Eryna Natasha. Satu waktu
dulu, bukan dia yang beria-ia mengiat-giatkan dirinya dengan gadis itu.
“Kena pukul? Kau tahu yang dia ada datang ke kampus.
Bertemu dengan Puan Kamariah dan seterusnya tidak datang lagi. Aku dengar dia
kena buang. Entah apa sebabnya aku tidak tahu. Selepas itu, barulah kami sedar
kehilangan kau Umar.” Faizul pula membongkar rahsia yang selama ini disimpannya.
“Sudahlah tu, Faizul. Kita doakan yang terbaik untuknya.
Sama ada dia Rina Melati atau Eryna Natasha dia pernah menjadi sahabat kita.
Lagipun aku selamat dan masih bersama dengan kau. Aku redha dengan takdir ini,
Faizul. Mana tahu, satu saat nanti aku bertemu kembali dengan Eryna Natasha
atau Rina Melati itu, dalam suasana baru dan lebih baik.” Umar menamatkan
perbincangan mengenai Eryna Natasha atau Rina Melati. Dia merenung foto itu.
Ada satu perasaan yang sangat aneh sedang membelit
seluruh hatinya. Jika benar kata-kata Faizul itu, dia berharap dapat bertemu dengan gadis itu lagi.
Di dalam hatinya ada kenangan antara mereka yang tak boleh dihapuskan. Cincin
suasa pemberian Eryna Natasha masih tersarung di jari manisnya. UM. Pada saat
itu barulah Umar dapat meneka maksud UM pada cincin itu. Mungkin Umar Melati,
diringkaskan dengan mengambil pangkal ejaannya sahaja menjadi UM.
“Kapal TERBANG MH 201 akan
mendarat di lapangan terbang Senai dalam tempoh sepuluh minit. Sila duduk di
tempat masing-masing dan kenakan tali pinggang anda.” Pengumuman daripada Ketua
Pramugara berkumandang di dalam kapal terbang itu.
Salwa bersiap sedia di tempatnya. Sebentar
lagi dia akan memijak tanah negeri kelahirannya. Perkhabaran yang diterima
daripada abang sulungnya membimbangkan. Emaknya telah mendapat kecelakaan di
rumah dan mendapat kecederaan yang parah. Sudah lama dia tidak balik ke rumah. Sebelum ini kalau bercuti dia balik ke rumah
abang sulungnya, Jazmi.
Dia tahu ayahnya telah bernikah lagi seorang dengan
seorang wanita cantik jelita serta muda. Dia juga tahu yang ayahnya kini sedang
terlantar di atas katil akibat stroke. Namun, pintu hatinya sedikit tidak
terbuka untuk pulang. Apabila mendengar kemalangan yang menimpa emak, hatinya
tidak dapat ditahan lagi. Rajuknya
seolah lenyap. Jika ada sayap, dia ingin terbang kembali ke rumah pada
saat itu juga. Sungguh malang nasib emaknya kerana telah dimadukan sewaktu
meniti usia emas.
Turun dari kapal terbang, Salwa berjalan laju ke bahagian
bagasi. Dia baru kembali dari Tokyo pagi tadi. Dari Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur, dia terus menempah tiket ke Johor Bharu. Tugasnya
sebagai seorang pramugari MAS untuk penerbangan antarabangsa, menyebabkan dia
selalu terbang ke sana dan ke sini demi tugas yang diminati.
“Helo! Siapa yang datang ambil Wawa di airport
ni?” Pantas bibirnya bertanya sebaik sahaja abang sulung menjawab panggilan
telefonnya.
“Alamak, terlupalah! Beginilah, Wawa tunggu di situ!
Kejap lagi abang sampai,” kata Jazmi. Dia terlupa tentang kepulangan Salwa.
“Wawa naik teksilah! Tak payah datang ambil. Wawa faham
semua orang sibuk!” Salwa seolah merajuk.
“Hati-hati. Kita jumpa di rumah malam nanti.
Assalamualaikum...”
Salwa tersenyum pahit. Sedih juga rasa hatinya. Biasanya
anak bongsu dimanja-manja, disayangi oleh seluruh ahli keluarga. Lain pula
dengan dirinya. Semua ahli keluarga seolah sentiasa sibuk dan tidak
mempedulikannya. Nafas yang disedut dilepasnya perlahan.
“Aduh!” Terdengar jeritan kecil dari arah belakangnya
sewaktu Salwa berundur membetulkan kedudukan bagasinya supaya senang diheret.
“Ooopsss sorry,” ujar Salwa sambil menoleh ke
belakang. Seorang pemuda sedang mengerut dahi sambil terjengkit-jengkit. Pemuda
itu merenung ke arahnya. Bola matanya yang hitam itu tajam menikam. Tidak
tertahan anak mata Salwa menahan ketajaman renungan mata itu lantas pandangan
matanya beralih ke hujung kaki pemuda itu.
“Saya terpijak kaki encik? Maaf...” Berkali-kali Salwa
mengucapkan perkataan maaf. Wajah pemuda itu ditenungnya. Dia melukiskan senyuman
dibibirnya. Pasti sakit kaki pemuda itu terkena terjahan tumit kasutnya yang
runcing.
“Sakit ke? Kita pergi ke klinik,” tawar Salwa kepada
pemuda itu. Matanya merenung ke kaki pemuda itu yang jari kelingkingnya
kelihatan tersiat kulit luarnya. Pemuda itu hanya bersandal.
“Err... tak apa, cik. Sikit saja. Sekejap lagi baiklah
tu,” jawab pemuda itu sambil tersenyum. Kulit mukanya terasa panas. Tambahan
pula ada orang yang lalu lalang di situ memerhatikan mereka.
“Baiklah. Hubungi saya kalau kecederaannya berlarutan.” Salwa
meraba-raba ke dalam beg tangannya mencari kad yang tercatat nama dan nombor
telefonnya.
“Nama dan nombor telefon saya ada di sini.” Salwa
menghulurkan kad kepada pemuda itu yang kelihatan malu-malu.
Lambat-lambat pemuda itu mengambil kad yang
dihulurkannya.
“Hmm... boleh saya dapatkan nombor telefon encik?” ujar Salwa
lagi. Sekiranya pemuda itu tidak menghubunginya, dialah yang akan
menghubunginya untuk bertanyakan tentang kecederaan kaki yang telah dipijaknya
tadi.
“Saya tak ada telefon, cik. Maaf!” Si pemuda tersipu-sipu
memberitahu.
Salwa mengerutkan dahinya. Tidak memiliki telefon bimbit
di zaman ini, sesuatu yang pelik dirasakannya.
“Er… beginilah. Ambil nombor telefon ni dulu.” Seorang
pemuda yang bersama dengan pemuda tadi, menawarkan bantuan.
Salwa mengangguk tanda bersetuju lantas menyimpan nombor
yang disebutkan ke dalam telefon bimbitnya. “Saya minta maaf sekali lagi.” Dia
melontarkan senyuman manis sambil mengerdipkan matanya.
~~~~ bersambung~~~~

Tiada ulasan:
Catat Ulasan