Suasana di ruang tamu Vila Kencana Emas menjadi
tegang. Adzman menjadi tempat Datuk
Haris untuk menyoal selidik berkenaan dengan berita yang mengaitkan keluarga
mereka dengan Ain Wahida. Peluang bertemu dengan Adzman pada hari itu digunakan
sebaiknya. Bukan mudah hendak bertemu dengan Adzman kebelakangan ini. Datuk
Haris ada mendengar berita yang Adzman menyewa sebuah rumah lain dan tinggal
seorang diri.
“Adzman! Lain kali berhati-hati dengan teman-teman wanita kamu. Jangan berkawan dengan orang-orang yang akan menyeret kamu dan keluarga
dalam masalah yang tidak sepatutnya.
Tengok! Tak pasal-pasal ayah diserbu wartawan gara-gara kamu dan Aldi!”
Suara Datuk Haris agak tinggi.
Jarang-jarang sekali beliau bersuara begitu.
“Ayah! Sebenarnya dulu memang saya pernah berhubungan dengan perempuan tu.
Tapi sebagai sahabat sahaja! Tapi dia tidak tahu yang saya ini anak ayah. Ini
semua berpunca daripada Abang Aldi! Kalau dia tidak keluar dengan perempuan
itu, tentu pemberita tidak dapat meneka. Si Ain ni, pragawati yang
popular. Sesiapa yang bergaul dengannya
akan menerima tempiasnya. Ayah faham-faham sajalah. Gadis mana yang tidak
bangga dapat berkawan dengan anak Datuk Haris. Jutawan dan hartawan yang
terkenal!” Adzman berterus terang.
“Kenapa kau tak beritau Aldi yang kau pernah berkawan dengan Ain Wahida
tu! Tentu dia akan mengelak perkara
ini!” Datuk Haris menyalahkan Adzman
kerana tidak berterus terang dengan Aldi.
“Si Ain tu memang materialistik! Sebab itu saya tinggalkan dia.” Adzman
bersuara perlahan.
“Dah tu, kau biarkan abang kau kutip sampah yang kau tinggalkan?” Datuk
Haris mengeleng-ngelengkan kepalanya.
“Bukan begitu, ayah. Abang Aldi tu, perhatikanlah dulu betul-betul wanita
yang ingin dijadikan kawan! Ain Wahida tu pisau cukur. Dia sengaja menghebahkan
dan mengada-adakan cerita untuk memerangkap Abang Aldi.” Adzman bersuara
hambar. Geram juga rasa hatinya, tidak pasal-pasal dileteri atas perkara yang
tidak ada kena mengena dengannya.
“Sudahlah tu abang! Adzman! Jangan bertekak kerana hal kecil ini! Senangnya
begini. Kita bersetuju sahaja dengan Datin Rosni yang ingin menjodohkan Aldi
dengan Dauna itu!” Datin Rabiatul pula menyampuk.
“Macam mana pula kita hendak membuat keputusan bagi pihak dia?” Datuk Haris
memberi komen.
“Yang awak ni tiba-tiba berubah fikiran tu kenapa? Kan awak tak suka Dauna?
Awak kata Dauna menyebarkan cerita tak elok tentang Aldi sewaktu budak tu sakit
dulu. Takkanlah kerana cerita fitnah ni, Aldi pulak nak jadi mangsa. Lebih baik
awak tanya dulu pendapat dia?” Leteran Datuk Haris semakin panjang.
Adzman terdiam. Asyik-asyik Aldi. Aldi. Aldi. Dirinya seolah diketepikan.
“Mak dan ayah ni selalu ribut-ribut tentang Abang Aldi! Saya ni seolah
dipinggirkan!” Terkeluar juga bibit pertanyaan itu daripada bibirnya.
Datuk Haris dan Datin Rabiatul berpandangan sesama sendiri. Terkejut dengan
pertanyaan Adzman. Tidak menyangka, Adzman yang periang ada perasaan cemburu
terhadap abang sulungnya itu.
“Adzman! Bukan kami yang pinggirkan kamu. Tetapi kamu yang menjauhkan diri
dari keluarga. Rumah dah ada, pergi menyewa di tempat lain. Syarikat sendiri
dah ada, pergi kerja dengan syarikat lain yang pendapatannya tak seberapa. Buka syarikat sendiri, langsung tidak
bertanya kepada ayah! Dah berapa kali ayah offer
kerja di Roda Emas, di bahagian finance
tu, kamu tak mahu! Adzman, lagi sekali ayah mohon datanglah ke pejabat. Ambil
alih bahagian finance tu! Sementara ayah masih hidup, boleh ajar kamu
macam mana nak uruskan kewangan syarikat.” Datuk Haris membidas Adzman dengan
panjang lebar.
“Minta maaflah ayah. Buat masa ini saya belum bersedia. Biar abang seorang
sahaja yang bekerja dengan Roda Emas.
Insya-allah, saya akan majukan syarikat saya sendiri.” Adzman meninggalkan ruang tamu dan menuju ke
biliknya.
Datuk Haris mengeleng-ngelengkan kepalanya. Sesal dan kecewa dengan
kekerasan hati Adzman. “Kalau begitu, jangan tuduh bapak pinggirkan kamu!”
Suara Datuk Haris agak tegas.
Apabila malam semakin
menghampiri, barulah Aldi kembali ke Vila Kencana Emas dengan keletihan yang
masih tersisa. Di rumah, seperti
selalunya dia akan mengurung diri di kamarnya sehingga ke waktu makan malam. Di
biliknya, Aldi terus melayan sunyi dan sepi di hati. Kadangkala hatinya seolah
ditusuk sembilu tajam. Seketika kemudian dia turun ke ruang makan setelah
dipanggil oleh Bibik Sunarti yang masih setia bekerja di vila itu.
“Aldi, minggu depan ambil cuti sehari dua.” Di meja makan, Datuk Haris
memulakan bicara kepada anak lelaki yang air mukanya tampak keletihan. Aldi
hanya berbaju Melayu putih dan berkain pelikat sahaja. Dia tersenyum-senyum
apabila melihat anak sulungnya berpakaian begitu di meja makan. Dia tidak
pernah mendidik anak-anaknya berpakaian begitu sewaktu di rumah tambahan di
meja makan. Semuanya harus berpakaian
kemas.
“Hmm, di mana Di belajar pakai kain macam ni?” Sambil tertawa Datuk Haris menegur. Matanya merenung Aldi dari hujung dahi hingga ke hujung kaki.
“Saya baru selesai solat isyak tadi,” jawab Aldi dengan suara yang
perlahan. Wajahnya kelihatan letih.
“Solat di masjid ke?” soal Datuk Haris lagi.
Aldi tidak menjawab sebaliknya hanya menganggukkan kepala. Wajahnya
kelihatan tidak bermaya dan letih.
“Pergilah bercuti ke mana-mana. Lupakan tugas di pejabat dan fikirkan
tentang kehidupan sendiri. Ayah rasa Aldi perlu mencari pengganti Arishal.”
Mata Datuk Haris merenung wajah Aldi yang agak terkejut dengan saranannya.
“Rishal tidak mungkin ada pengganti ayah!” Aldi bersuara perlahan sambil
menundukkan wajahnya. Tersentuh benar rasa hatinya apabila orang menyuruhnya
mencari pengganti isteri yang telah pergi untuk selamanya.
“Sampai bila? Atau kau ikut sahaja pilihan kami. Dauna, anak Datuk Johari tu bagaimana?” Datuk Haris berterus terang. Datin
Rabiatul sedikit terkejut dengan pertanyaan Datuk Haris itu.
“Saya tidak menyintai dia!” jawab Aldi sambil tersenyum lebar. Dia berharap ayahnya mengerti peranan cinta di dalam sebuah perkahwinan.
“Cinta tu akan datang kemudian! Nikah dulu. Lepas tu bercintalah.” Datuk
Haris memberikan pendapatnya.
“Tidak. Saya tidak bersetuju. Bukan semua jenis tanaman sesuai untuk semua
jenis tanah. Saya takut, tidak ada kesesuaian dan cinta itu tidak boleh wujud
sedangkan pernikahan telah terjadi. Hal ini tentu akan buat hidup saya dan dia
sengsara.” Aldi meluahkan pendapatnya pula. “Saya hanya akan bernikah dengan
perempuan yang saya sangat cintai.” Aldi berterus terang dengan
nada lembut.
Datuk Haris terdiam sejenak. Dia memikirkan kata-kata Aldi tadi yang disampaikannya
dalam bentuk kiasan. Memang ada
kebenarannya. “Kalau begitu, sebutkan sahaja wanita mana yang jadi pilihan! Mak
dan ayah akan uruskan dengan segera. Aldi, ayah tak suka Aldi dilibatkan dengan
mana-mana orang yang popular!” Datuk Haris menegaskan pendiriannya.
“Betul ke kamu ada hubungan cinta dengan Ain Wahida tu? Beberapa hari
lepas, ayah pula yang menjadi mangsa wartawan majalah hiburan!” Datuk Haris
menceritakan peristiwa yang telah terjadi.
“Wartawan jumpa dengan ayah? Jadi kenyataan yang kononnya ayah bersetuju
untuk menjadikan Ain Wahida menantu tu, ayah yang beritahu ke?”Aldi, merenung
ke wajah Datuk Haris yang ternyata terkejut dengan pertanyaan Aldi.
“Apa yang kamu cakap ni Aldi?” Datuk Haris pula menyoal dengan wajah yang
penuh tandatanya.
“Dah keluar dalam majalah. Tak apalah ayah! Lupakan soal ini. Mereka ni
kadangkala suka mengada-adakan cerita.
Dalam majalah tu tidak disebutkan nama ayah, tapi ada disebutkan nama
syarikat kita...” Aldi bersuara perlahan sambil menyuap makanan ke mulutnya.
Dia berharap persoalan Ain Wahida tidak lagi dibangkitkan. Wanita itu
benar-benar membuat dia lemas dan rimas.
“Beginilah Aldi! Mak rasa Aldi cepat-cepatlah menikah supaya tidak lagi
timbul cerita-cerita yang begini.” Datin Rabiatul yang sedari tadi hanya
mendengar perbualan dua beranak itu menyampuk.
“Kau ingat lagi Nurlisa? Orang gaji kita dulu? Kalau Aldi dapat cari gadis
seperti itu, mak setuju sangat. Hormatkan orang tua, berbudi bahasa, penyabar.
Mak rasa dia sesuai dengan Aldi. Dia dah tahu apa yang Aldi suka dan tak suka.
Dia dah layan dan jaga Aldi hampir dua tahun.” Datin Rabiatul tersenyum-senyum
memandang ke wajah Aldi.
“Hmm... entahlah mak. Di mana nak cari dia?” ujar Aldi. Wajahnya serius seolah memikirkan sesuatu. Pertemuannya dengan Nurlisa
beberapa bulan yang lalu sememangnya dirahsiakan daripada pengetahuan Datin
Rabiatul. Baru dua kali bertemu, Nurlisa pula menghilangkan diri.
Dalam diam, hatinya digasak rindu. Perasaan dan harapan yang tersimpan terpaksa
dipendam.
“Nak buat apa cari dia? Mak kamu ni tak habis-habis berkenankan si Nurlisa
tu. Cari macam dia tak apa.
Bukannya cari dia!” Datuk Haris pula membidas di dalam tawa.
“Takkan kamu nak beristerikan si tempang tu?” Datuk Haris menekankan
suaranya sewaktu mengeluarkan pertanyaan itu.
Aldi tidak menjawab. Matanya merenung wajah Datin Rabiatul. Datin Rabiatul
pula merenung ke wajah Datuk Haris kerana tidak setuju dengan pertanyaan itu.
“Seperkara lagi Aldi. Kebelakangan ini, mak tengok Aldi sudah jarang-jarang
ada di rumah pada hari Ahad. Aldi pergi
mana?” Datin Rabiatul mengambil kesempatan pada waktu itu untuk
mengetahui perkembangan anak sulungnya itu.
“Mak ni, hari minggu... saya berjumpa dengan kawan-kawan! Lagipun di rumah
ni sunyi, nak bersembang pun tak ada orang. Mak dan ayah pun selalu tak ada!”
Cerita Aldi dengan wajah berseri. Dia terbayang wajah anak-anak Mak Cik Hasnah.
Telatah mereka yang menghiburkannya.
Keluarga tempatnya menumpang kasih dan mencurah kasih di waktu ini.
“Hah! Itulah mak kata kahwin cepat. Mak pun rasa sunyi. Di rumah ni sudah
lama tak ada suara kanak-kanak. Cepat Di nikah, cepat mak dapat cucu.” Datin
Rabiatul mengusap-ngusap belakang Aldi.
“Susah mak. Susah untuk saya
menempatkan seseorang di dalam hati ini!” Aldi membiarkan bicaranya tersangkut di
situ sahaja. “Saya inginkan seorang isteri mak. Bukannya seorang perempuan buat
menemani saya sahaja.” Kata-kata yang keluar daripada bibir Aldi penuh berkias.
“Yang akan menjadi ibu bagi zuriat saya. Yang boleh menjadi contoh tauladan
yang baik serta mendidik anak-anak saya supaya mencintai Allah. Mengenal rasulullah...” Bicara Aldi terhenti seketika.
“Kalau sudah bernikah dengan seorang perempuan, kesudahannya bukankah Di
akan memiliki seorang isteri?” Datuk
Haris pula menyoal anak lelakinya itu. “Seterusnya jika ada rezeki, dapat anak
sudah tentulah dia yang akan menjadi ibu...” sambung Datuk Haris lagi.
Aldi tidak menjawab. Bagaimanakah
dia dapat mengubah persepsi ayahnya terhadap Nurlisa? Bagaimanakah caranya dia dapat menerangkan kepada ayahnya yang dia
sangat mendambakan Nurlisa untuk menjadi suri hidupnya? Sentuhan kasih sayang dan layanan yang
diberikan oleh gadis itu sewaktu menjaga dirinya tidak boleh diganti oleh
sesiapapun. Dia amat merindukan saat-saat itu. Mengharapkan saat-saat itu berulang kembali.
Nurlisa melayaninya bukan lagi sebagai orang gaji, tetapi sebagai seorang
isteri.
Kemelut dihatinya tidak siapa yang tahu. Dulu tuhan menemukannya dengan
Arishal. Tuhan juga telah mengambil wanita yang amat dicintainya itu dalam
sekelip mata. Kemudian TUHAN telah mendatangkan Nurlisa dan telah membawa
perubahan kepada jiwanya. Jiwanya yang gelap gelita kerana kehilangan isteri
tercinta kembali bercahaya dengan telatah dan ketabahan gadis itu. Nurlisa yang
mirip Arishal. Namun mungkin Nurlisa lebih istimewa kerana gadis itu telah
menyebabkan hatinya semakin mengenali dan mencintai Allah. Lantas kedua-duanya
memiliki keistimewaan yang tersendiri, yang membuatkan dirinya tidak bisa
melupakan walaupun sedetik. Kini Nurlisa juga telah menghilangkan diri.
Mungkinkah dia akan kehilangan gadis
itu buat selamanya? Haruskah dia terus menunggu dan mencari? Sesuaikah gadis itu untuk dirinya. Aldi anak
Datuk Haris. Arkitek Kanan di Roda Emas.
Sekiranya Datuk Haris sudah meninggal dunia, Roda Emas akan berada di dalam
genggamannya. Sesuaikah jika gadis tempang itu yang menjadi teman hidupnya?
“Astagfirullahaladzim! Jauhkanlah aku daripada memiliki hati yang riak,
takbur, bongkak, sombong dengan kekayaan ini. Segalanya bukan milikku. Belum
menjadi milikku. Bahkan aku tidak mahu
segala harta ini. Semuanya tidak bermakna jika jiwa dihimpit kesunyian tanpa
kasih sayang dan cinta yang ikhlas.” Hati Aldi sunyi dari berbicara seketika.
“Emak dan bapak semakin tua, Di!” Suara Datin Rabiatul sayu sambil memandang
ke wajah Aldi.
“Ayah mahukan gadis yang sempurna. Tapi sekiranya gadis yang saya ingin
pilih itu tidak memiliki kesempurnaan, maksud saya kesempurnaan fizikal macam
mana? Cinta itu tiada sempadan dan isyaratnya! Hati manusia di dalam genggaman
Allah. Jika Allah telah menetapkan hati kita dan mencampakkan cinta kita itu di
dalam hati hamba-Nya yang cacat, boleh ke mak dan ayah menerima kenyataan itu?
Jika boleh... hmm... insya-allah!” Aldi tersenyum penuh makna sambil membasuh
tangannya.
“Percakapan anak awak tu penuh makna!” Datuk Haris memberitahu Datin
Rabiatul sebaik sahaja Aldi beredar dari situ.
“Dia bertemu dengan Nurlisa ke? Atau ada perempuan lain. Tapi kalau
perempuan yang tidak sempurna fizikal ni, saya tak akan restu sampai
bila-bila.” Datuk Haris menegaskan pendiriannya. Dia teringatkan sebuah potret
hasil lukisan Aldi yang tersembunyi di dalam balutan kain berwarna biru. Aldi telah melukiskannya dengan teliti
sekali.
Melihat potret lukisan Aldi itu, Datuk Haris sudah mengerti Aldi menaruh
rasa cinta yang amat mendalam terhadap gadis itu. Wajah Arishal pun tidak
pernah dilukisnya, atau Datuk Haris tidak berpeluang melihatnya. “Awak dah
tengok potret Nurlisa yang dilukisnya itu?” Datuk Haris menyoal isterinya.
Datin Rabiatul mengangguk-anggukkan kepalanya berkali-kali. Dia turut
terkejut dan kagum dengan kehalusan karya Aldi. “Jangan dihalang kehendak dia,
bang. Awak bukan tak tahu perangainya kalau dah suka bukan boleh ditegah. Kalau
tak suka jangan disuruh. Takut nanti, kalau cintanya tak kesampaian, dia ambil
keputusan membujang sepanjang hayat!” Datin Rabiatul bersuara bimbang.
“Hisy! Takkan dia jadi begitu. Dia bukannya malaikat. Lama kelamaan cintanya terhadap gadis itu
akan lenyap kalau mereka gagal bertemu kembali. Aldi akan mencintai wanita lain
dan menikahinya untuk memenuhi keperluannya sebagai manusia biasa.” Datuk Haris
terus mempertahankan pendiriannya.
~~~~ bersambung ~~~~

Tiada ulasan:
Catat Ulasan