Pak Cik Radzi tersenyum lebar menyambut kepulangan bekas menantunya. Mak
Munah juga menyambut kedatangan Aldi dengan senang hati, tidak seperti sewaktu
kali pertama Aldi datang ke rumah itu.
“Maaf, ayah! Saya sibuk sikit. Jadi tidak sempat nak
datang menjenguk ayah selalu. Ayah, mak apa khabar?” Tangan kedua orang tua itu
disalam dan dikucup dengan penuh hormat.
“Baik, Di! Alhamdulillah... Elok benarlah Aldi datang
hari ni, Secara kebetulan Ida, adiknya Rishal pun bercuti. Boleh ayah kenalkan
kepada Aldi! Kalian pun tidak pernah bertemu!
Dia pun teringin benar melihat wajah, Aldi.” Pak Cik Radzi bercerita
dengan ikhlas.
Aldi hanya tersenyum.
“Ida!” panggil Pak Cik Radzi sambil menjemput Aldi duduk
di sofa di ruang tamu.
“Ida tak ada, bang. Saya suruh dia hantar bubur jagung ke
rumah Kak Esah. Sekejap lagi baliklah dia.” Mak Munah menjelaskan.
“Aldi, malam ni tidurlah di sini,” pelawa Mak Munah. Sekiranya Aldi sudi menerima pelawaannya,
alangkah gembira rasa hatinya. Dapatlah dia berbual dengan lebih lama lagi
dengan bekas menantunya itu.
“Minta maaflah, mak. Insya-allah, lain kali. Lusa, saya
ada mesyuarat di Kota Kinabalu. Secara kebetulan, syarikat tempat saya kerja
itu ada mendapat tender untuk membina sebuah sekolah di sana!” terang Aldi
dengan suara perlahan.
“Tak apalah kalau begitu. Kami tak kecil hati. Aldi sudi datang dan menjenguk kami di sini pun dah seribu
rahmat dah! Alhamdulillah...” Pak Cik Radzi pula menyampuk. Lelaki tua ini agak bimbang jika Aldi berasa
tidak selesa dengan ajakan Mak Munah dan menghumban perasaan bekas menantunya itu di dalam lautan serba salah.
“Mula-mula saya nak datang awal pagi tadi. Hmm... ada
saja halnya. Dah petang macam ni baru sampai ke rumah ni,” ujar Aldi lagi.
Matanya memandang ke luar rumah kerana kelihatan seorang perempuan sedang
memasuki pagar rumah itu. Seorang perempuan yang berbaju kurung dan bertudung menutupi dadanya.
“Assalamualaikum!” Terdengar suara perempuan itu memberi
salam.
Aldi kaget seketika kerana suara yang didengarinya itu
bagaikan telah biasa di telinganya.
“Hmm... dah balik pun! Waalaikummussalam,” jawab Mak
Munah sambil matanya merenung ke arah pintu.
“Masuk, Ida. Mari berkenalan dengan abang ipar kamu ni.” Pak Cik Radzi pula bersuara.
“Ida, ini Aldi. Suami Kak Rishal kamu.” Pak Cik Radzi
memperkenalkan mereka berdua.
Aldi kelihatan terkejut apabila melihat wajah perempuan
di hadapannya itu. Perempuan itu juga kelihatan terpempan seketika.
“Apa khabar?” Mengelakkan sebarang kekecohan, Aldi
spontan menegur dan cuba menenangkan wajahnya meskipun debaran didadanya agak
kencang. Matanya merenung tajam ke mata gadis yang diperkenalkan sebagai adik iparnya
itu. Sungguhpun begitu, jiwanya dipalu
ombak resah yang tidak boleh digambarkan.
“Inilah satu-satunya anak kami yang tinggal, Aldi. Ain
Wahida. Dia berkerja di sebuah bank di ibu negara.” Pak Cik Radzi menerangkan.
Ain Wahida menundukkan wajahnya. Pipinya
terasa panas dan tegang. Aldi melihat ke pipi gadis itu yang sudah bertukar
rona merah.
“Oh, begitu. Kerja
di bank mana?” Aldi bersuara agak perlahan sambil tersenyum lebar memandang ke
wajah Ain Wahida yang kelihatan merah padam.
Ain Wahida rasa tersindir. Dia tidak menjawab soalan Aldi
itu. “Duduklah dulu! Saya buatkan
minuman.” Dia terus menghilangkan dirinya menuju ke dapur.
Mak Munah turut mengekori anak gadisnya itu. Tangan Ain
Wahida mengeletar sewaktu menuangkan air teh panas ke dalam cawan. Sungguh dia
tidak menyangka, lelaki yang digilai ialah bekas suami kakaknya. Kakaknya yang
sudah meninggal dunia.
“Dulu Ida juga ingin sambung pengajiannya ke luar negara,
sama seperti Rishal. Tapi kami tak benarkan dia pergi walaupun telah mendapat
tawaran. Lepas tu dia terus tak mahu
belajar dan ingin bekerja.” Cerita Pak Cik Radzi.
“Pendapatannya bekerja di bank itu pun lumayan juga. Alhamdulillah...” Pak Cik Radzi mengukir
senyuman sewaktu bercerita.
Aldi hanya tersenyum sambil merenung ke wajah lelaki tua
itu. Rasa simpati membenih di
hatinya. ‘Alangkah kecewanya hati orang tua ini jika mengetahui dirinya telah
dibohongi oleh Ain Wahida.’
“Seperti yang pernah ayah cakapkan kepada Aldi tempoh
hari, Aldi ambillah masa untuk berkenal-kenalan dengan Ain Wahida. Jika ada
kesesuaian, ayah berbesar hati jika Aldi terus menjadi menantu ayah.” Pak Cik
Radzi menyuarakan hasrat hatinya.
Aldi tidak menjawab. Dia rasa terbeban seperti batu yang
amat besar menghempap bahunya. Sebagai seorang ayah, Pak Cik Radzi terlalu baik
orangnya. Keikhlasan terpancar di air mukanya. Tidak sanggup rasanya untuk
melukakan hati orang tua itu. Seolah melukakan hati Arishal, namun ada ke
kesesuaian antara dirinya dengan Ain Wahida sedangkan hatinya terlebih dahulu
sudah terikat kepada Nurlisa? Nurlisa terlalu bererti kepadanya. Kasihnya sudah
terpahat untuk gadis itu. Dari dulu dan sehingga ke saat ini. Dia tidak ingin
menggantikan tempat Nurlisa di hatinya dengan sesiapa pun.
Lagipun, hari ini sudah jelas ketidakjujuran yang
menghiasi peribadi Ain Wahida. Ibu bapa sendiri pun sanggup dibohonginya.
Berpura-pura dengan pakaiannya. Di kota
sana dia sanggup mendedahkan tubuhnya untuk memperagakan pakaian dan dijilat
tubuhnya oleh mata-mata yang memandang. Terlalu jauh bezanya antara Arishal,
Nurlisa, dan Ain Wahida. Seolah langit dan bumi.
“Tapi ayah tidak memaksa. Terserahlah kepada Aldi.”
“Apa-apa pun, saya tetap menantu ayah, walaupun Arishal
sudah tak ada.” Untuk tidak mengguriskan hati orang tua itu, Aldi mengungkapkan
kata-kata yang dapat menyakinkan Pak Cik Radzi. Kata-kata yang membawa maksud
mereka tidak akan kehilangannya, walaupun dia berkahwin dengan perempuan lain.
Kemunculan Aldi di rumahnya petang tadi benar-benar membuat Ain Wahida
gelisah. Bermacam perasaan yang berbaur di hatinya. Malu ada. Menyesal pun ada.
Kadangkala rasa bernasib baik pula. Aldi bekas suami kakaknya. Lelaki yang
dicintai dan digilai rupa-rupanya bekas suami kakaknya. Bolehkah dia mempercayai itu? Kesempatan itu
tentu akan memberi kemudahan kepadanya untuk terus mendekati hati lelaki itu.
Ain Wahida terus menganyam impiannya sambil
bergolek-golek di atas katil. Tangannya mencapai telefon bimbit di hujung
kepala katil. Keinginannya melonjak-lonjak untuk menghubungi Aldi. Namun
perasaan serba salah seolah menghimpitnya. Atas dasar perhubungan apa lelaki
itu harus dihubungi? Bekas abang ipar atau lelaki yang sedang diburu cinta
serta wang ringgitnya?
Sudah beberapa minggu Aldi seolah menjauhkan diri
daripadanya. Panggilan telefonnya tidak dijawab. Pesanan ringkasnya tidak
mendapat jawapan. Email yang dihantarnya pun tiada balasan. Aldi terus membisu
tanpa kata. Kebisuan Aldi seolah mencampakkan jiwa gadis itu ke dalam penjara.
“Ida, turun minum. Mak ada gorengkan keropok ni.” Panggil Mak Munah dari dapur.
Ain
Wahida melihat jam di dinding. Pukul 10.00 malam. Perutnya masih
terasa kenyang. “Ida kenyang lagi, mak. Kan kita baru saja makan malam?” Dia
menjengukkan kepala melalui pintu bilik tidurnya. Daun pintu itu hanya
dikuakkannya sedikit sahaja. Cukup untuk menampakkan mukanya.
“Kau dah sembahyang isyak ke belum? Maghrib tadi pun mak
tak nampak kau sembahyang!” Suara Mak Munah dari arah dapur semakin kuat. Geram
dengan telatah anak yang enggan datang kepadanya apabila dipanggil.
Ain Wahida tidak menjawab. Memang dia tidak bersembahyang
pun. Duduk di Kuala Lumpur, langsung
satu waktu pun dia tidak tunaikan solat. Dan hatinya tidak berasa itu satu
kesalahan pun.
“Ida!” Panggil Mak Munah dengan suara yang lebih kuat.
“Yalah mak! Orang turun ni!” Ain Wahida mencapai tudung
kepala dan menutup rambutnya yang perang.
Bergegas dia ke dapur untuk mengelakkan leteran dan bebelan emaknya.
“Mak ni, sesekali saya balik bercuti pun asyik membebel
saja.” Ain Wahida merungut-rungut sambil menarik kerusi dan menghenyakkan
punggungnya. Tangannya terus mencapai sekeping keropok yang sudah siap
terhidang.
Mak Munah menuangkan kopi O ke dalam cawan dan
menghulurkan kepada Ain Wahida.
“Mak ni! Tengah-tengah malam suruh Ida minum kopi pula. Nanti mata terjegil tak boleh tidur sampai pagi!” Tawa
Ain Wahida terus berderai.
Mak Munah menjeling dan menjuihkan bibirnya. “Alah! Waktu kecil-kecil dulu, kau kan suka minum
kopi O, tak kira masa. Tidur lena juga! Kalau letupkan meriam di telinga kau
pun, mata tak terbuka. Dengkur semakin panjang adalah!” Leteran Mak Munah sekali lagi menyinggahi
telinga Ain Wahida.
“Mak! Ida nak tanya sikit. Mak suka Abang Aldi ke? Mak rasa dia tu macam mana?” Ain Wahida mengalih topik perbualan mereka.
Nada suaranya agak serius.
“Sukalah. Apa pulak tak sukanya. Kalau dia terus jadi
menantu mak pun, mak lagi suka.” Mak Munah berterus terang. “Sayang kalau terlepas ke tangan orang lain.
Yang kau tu, cuba-cubalah tarik hati dia. Manalah tahu...” Percakapan Mak Munah
terhenti apabila terdengar Pak Cik Radzi berdehem. Suaminya baru balik daripada
surau dan terus masuk ke rumah melalui pintu di dapur.
“Ha! Apa saja yang dibualkan oleh dua beranak ni?” tukas Pak Cik Radzi sambil duduk bersama
mereka. “Buatkan ayah air, Ida. Haus betul. Panas cuaca malam ni.” Matanya
mengerling hidangan di atas meja.
“Kalau ayah nak minum kopi, mak dah buatkan,” jawab Ain
Wahida sambil mengunjukkan teko kopi dan cawan kosong kepada ayahnya.
“Buatkan ayah ais. Eh! Kan dalam peti sejuk masih ada
baki serbat yang emak kau buat semalam. Bawa jag tu ke sini.” Pak Cik Radzi
mengarah dengan suara lembut. Ain Wahida sememangnya anak manja. Maklumlah anak
bongsu. Tambahan kini, hanya Ain Wahida sahaja cahaya mata mereka selepas
kematian Arishal.
“Begini, bang. Saya baru beritahu Ida. Saya suka kalau
Aldi tu terus menjadi menantu kita,” kata Mak Munah dengan suara separuh
berbisik.
“Saya pun suka. Tapi caranya biar betul. Jangan kita atau
Ida tu yang terhegeh-hegeh pergi memikat dia. Cara itu tak betul dan saya tidak
bersetuju. Maruah keluarga harus dijaga!” Pak Cik Radzi bersuara agak tegas
walaupun dengan suara yang perlahan.
Mak Munah terkejut apabila melihat Ain Wahida sudah bersiap-siap dan
memasukkan beg pakaiannya ke dalam kereta. Beberapa kali dia berulang alik ke
kereta kerana mengambil dan memasukkan barang-barangnya.
“Saya kena balik pagi ini, mak!” ujar Ain Wahida sambil
membetulkan anak tudungnya dan mengekori Mak Munah ke dapur. Sepanjang waktu
dia bercuti di rumah orang tuanya, Ain Wahida tidak berlekang dengan tudung
walaupun seminit kecuali sewaktu dia tidur. Itupun pintu bilik dikuncinya
rapat-rapat. Harus pengsan emaknya jika melihat warna rambutnya sudah bertukar
keperangan dan kemerahan berbelang-belang.
“Ida kata cuti seminggu! Baru dua hari dah nak balik.” Mak Munah terus memerhati gelagat anak
gadisnya yang bergegas ke sana sini. Ain Wahida berbaju kurung biru berbunga
merah jambu. Tudungnya juga berwarna merah jambu.
“Mereka call saya, minta saya balik bertugas!” Ain Wahida
terus berbohong. Wajahnya kelihatan selamba.
“Mata bengkak kenapa?” Mak Munah menegur.
Ain Wahida berpura tidak mendengar persoalan daripada
emaknya itu. “Tengoklah mak, ayah, ada peluang nanti saya ambil cuti lagi!”
Beritahunya dengan suara perlahan.
Hatinya seolah tidak sabar untuk segera pulang ke apartmennya di Kuala
lumpur.
“Yalah, Ida. Ada kesempatan nanti ambil cuti panjang,”
ujar Pak Cik Radzi.
“Mari makan dulu sama-sama. Lepas tu bolehlah bertolak
awal-awal.” Mak Munah menghampiri meja makan. Di atas meja sudah terhidang nasi
lemak berlaukkan sambal tumis udang kering.
“Duduk sini! Makan dulu!” Mak Munah mula berleter apabila
melihat Ain Wahida hanya menuang air suam ke dalam gelas sebagai minumannya.
Pinggan yang telah ditimbunkan dengan nasi lemak, sambal tumis udang kering,
telur rebus, timun dan kacang di letakkannya di hadapan Ain Wahida. Keharuman nasi lemak yang semerbak
sememangnya membangkitkan selera.
“Mak! Banyaknya ni. Tak larat Ida nak habiskan ni.” Bulat mata Ain Wahida melihat makanan yang
menimbun di dalam pinggan.
“Makan banyak sikit Ida. Badan kurus kering macam tiang
telefon. Kamu ingat cantik ke? Mak tak suka tengok badan kamu begitu. Bagi
berisi sikit. Baru sedap mata memandang!”
Mak Munah tergelak-gelak apabila melihat bibir Ain Wahida yang muncung apabila
dipaksa supaya makan.
“Yalah mak. Ida makan!” Ain Wahida tidak mahu mengecilkan
hati ibu yang telah melahirkannya lalu menyuapkan ke mulutnya nasi lemak yang
sememangnya enak.
“Ida, kau dah kenal dengan Aldi kan? Sampai di sana nanti, selalu-selalulah hubungi dia.
Pandai-pandai ambil hati dan jaga hatinya.” Mak Munah menasihatkan Ain
Wahida. Sayangnya jika Aldi terlepas ke
tangan orang lain.
“Aldi? Hmm... tengoklah mak.” Ain Wahida berpura-pura
acuh tak acuh dan tidak berminat dengan Aldi. Namun harapan di hatinya semakin
menggebu apatah lagi apabila melihat sikap Mak Munah yang nampaknya benar-benar
mengharapkan Aldi terus menjadi menantu mereka.
Pukul 3.00 petang barulah Ain Wahida sampai ke rumah penginapannya. Hampir
tiga jam dia tersengguk-sengguk memandu sendirian. Sebaik sahaja beg pakaian
dihumban di atas katil, dia terus menanggalkan pakaian dan mencampakkannya ke
dalam bakul yang terletak di tepi pintu bilik air. Tidak sabar-sabar dia
mencabut tudung dari kepala dan baju kurung dari tubuhnya.
“Hui! Panasnya!” Ain Wahida merungut sendiri sambil
mencapai tuala buat membalut tubuhnya yang hanya berpakaian dalam lalu tubuhnya
dihumban di atas katil. Tangannya
mencapai alat kawalan jauh untuk menghidupkan penghawa dingin pula. Terjahan
angin daripada penghawa dingin itu menyamankannya buat seketika.
Gadis itu menggolek-golekkan tubuhnya di atas katil
sambil mengeliat beberapa kali. Dia memejamkan matanya beberapa ketika untuk
merehatkan dirinya. ‘Aldi.’ Tiba-tiba wajah lelaki itu menjengah di ruang
matanya. Dia mencapai pula telefon bimbitnya. Jarinya yang runcing menekan
nombor ke pejabat lelaki itu. Dia tidak mahu menghubungi nombor telefon bimbit
Aldi kerana dapat merasakan yang Aldi tidak akan menjawab panggilan itu.
“Maaf, cik. Encik Aldi tidak ada di pejabat.” Lunak suara
gadis yang menjawab panggilan telefon daripada Ain Wahida.
“Encik Aldi balik ke pejabat tak nanti?” Ain Wahida tidak
berputus asa untuk mendapatkan maklumat tentang Aldi.
“Oh! Saya rasa tidak. Dia pergi Sabah. Jika cik ada
apa-apa pesanan, saya boleh sampaikan kepada Encik Aldi! Cik ni...”
Telinga Ain Wahida terasa sakit apabila mendengar jawapan
itu. Dia benar-benar rasa kecewa. Semenjak berita tentang perhubungan cintanya
itu keluar di dalam majalah, Aldi semakin menjauhkan diri darinya. Mungkin Aldi
benar-benar marah dengan kenyataan palsu itu.
“Saya sepupunya. Hmm... boleh saya tahu Encik Aldi
menginap di hotel mana?” Walaupun kecewa, Ain Wahida tidak pernah berputus asa. Akhirnya dia
tersenyum bangga. Maklumat yang diperolehi bertepatan dengan strategi yang
sedang dirancangkannya.
~~~~~~ bersambung~~~~~

Tiada ulasan:
Catat Ulasan