Khamis, 31 Januari 2013

Novel:Kasihnya DIA (Bab 27)


HASRAT hati untuk melawat emaknya di hospital dilunasi pagi esoknya. Salwa tersedu apabila melihat keadaan emaknya yang terlantar di atas katil hospital. Tidak pernah dia melihat keadaan emaknya seperti itu. Terbaring lemah di atas tilam.
“Bila kau sampai?” Suara Datin Jazima tidak pernah berubah nadanya. Kesombongannya tidak pernah terhakis walaupun berbicara dengan anak bongsu. Tubuhnya yang gempal seolah terbenam di dalam tilam. Sudah dua minggu dia berada di situ.
“Macam mana emak boleh jatuh di tangga tu?” Bersabar dengan sikap emaknya, Salwa masih mampu bersuara lembut. Matanya merenung Datin Jazima.
“Kerana isteri muda bapak kaulah!” Datin Jazima bersuara radang. Entah bagaimana kakinya boleh tersangkut sewaktu dia sedang menuruni tangga. Lantas tubuhnya tergolek-golek macam nangka busuk di anak tangga setinggi 12. Sedar-sedar sahaja dia sudah berada di hospital.
“Dia tolak emak ke?” Salwa sedikit terkejut dan cuba meneka untuk kepastian.
Datin Jazima menundukkan wajahnya sambil menggigit bibirnya. “Sekarang ni belum lagi. Esok-esok manalah tahu dia akan tolak emak jika ada peluang!” Dia seolah bercakap dengan dirinya sendiri. Perasaan cemburunya, buruk sangka kepada orang lain tidak pernah menyisih dari hatinya.
“Saya tengok macam baik saja orangnya. Takkan tergamak dia berkelakuan seteruk itu.” Senyuman Rina Melati yang manis terbayang di matanya. Ibu tirinya teramat muda. Ketulusannya terbayang dimuka walaupun Salwa tidak menyapa.
Semalam ada ibu tirinya itu menyiapkan makan malam untuknya. Walaupun mereka ada pembantu rumah, Salwa tengok Rina Melati masih menjalankan tanggungjawabnya di dapur rumah itu. Selesai melayaninya makan, barulah dia kembali mengadap ayahnya di dalam bilik.
“Hai! Ayah kau pun sanggup dirampas!” Datin Jazima masih mempertahankan prasangkanya terhadap Rina Melati. Baginya tidak ada satu kebaikan pun pada diri seorang perempuan yang merampas suami orang.
“Yang kau memuji dia kenapa? Kau tahu tak yang dia telah koyak rabakkan hati emak!” Datin Jazima terjuih-juih bibirnya sewaktu berkata-kata. Matanya menjeling Salwa.
“Bertenang, emak. Jika emak masih di dalam fikiran yang tidak tenteram begini, bila emak akan sembuh.”
“Emak mana pernah bertenang!” Tiba-tiba ada suara yang menyampuk dari arah belakang mereka.
Salwa yang terkejut menoleh ke belakang. Abangnya yang kedua tercegat dibelakangnya.
“Ha! Kau datang dari mana ni, Anas?” Anas pula yang kena sergah. Mata Datin Jazima memerhati sekeliling. Mencari wajah menantunya yang sudah lama tidak dilihat muka.
“Isteri kau mana? Tak tahu nak datang menjenguk emak mertua ke? Anak aku dia nak! Aku sakit tak mahu tengok!” leter Datin Jazima.
Anas mengeleng. Bosan dan rimas. “Alia kirim salam,” ujarnya untuk menghalang emaknya dari terus memperkatakan sesuatu yang tidak elok tentang isterinya.
“Melati pun kirim salam kepada emak! Dia kata kalau ayah izinkan, dia akan jenguk emak nanti.” Sebelum datang ke hospital, Anas menjenguk ayahnya terlebih dahulu.  
“Pergi cakap dengan dia, tak payah nak buat baik dengan aku! Aku benci! Perempuan tak tahu malu! Kalau ayah kau mati, tak pasal-pasal dia dapat harta ayah kau orang! Kalau tak kerana ayah kau sedang sakit dan aku malas nak bela, aku dah halau dia dari rumah tu!” Datin Jazima bersuara kuat.
“Emak ni! Benci sangat kepada dia kenapa? Melati yang tolong panggilkan ambulan untuk bawa emak ke hospital! Kalau tak ada dia, macam mana?” Anas cuba membela Rina Melati. “Kalau dia jadi menantu emak, emak akan benci begitu juga ke?” Sambung Anas lagi. Dia tidak sanggup mendengar celaan yang dibuat oleh emaknya terhadap Rina Melati. Ibu tiri yang tidak pernah terhakis daripada hatinya walau sesaat sejak kali pertama dia melihat wanita muda itu bersama ayahnya di hospital.
“Jadi menantu? Tidak layak! Jadi orang gaji di rumah itu pun emak tak ingin! Kenapa? Kau dah jadi gila macam bapa kau juga? Mak doakan bapa kau tak sembuh sampai bila-bila! Biar si perempuan tu menderita zahir dan batin!” Datin Jazima semakin kuat suaranya.
“Rina Melati tu bukan bodoh, emak! Dia boleh menuntut fasakh kalau dia mahu! Tapi kalau dia tak ada, siapa yang akan jaga ayah dengan keadaan emak yang begini?” Anas bersuara lembut sambil memandang ke wajah emaknya.
Salwa semenjak dari tadi hanya mendiamkan dirinya. Kehadiran Rina Melati di dalam kelompok keluarga mereka seolah telah mendatangkan masalah yang sangat besar kepada emak mereka. Namun, apa yang dikatakan oleh abangnya itu ada kebenarannya. Tanpa Rina Melati di dalam keluarga mereka, mungkin mendatangkan masalah yang lain pula.
“Emak asyik marah-marah dan memikirkan perkara yang bukan-bukan. Nanti tekanan darah emak naik mendadak pula. Emak nak diserang stroke macam ayah ke?” Anas cuba menasihati emaknya.
“Kaki mak yang terseliuh tu macam mana?” soal Salwa sambil memicit-micit betis ibunya. Kaki kanan Datin Jazima berbalut di bahagian buku lali sehingga ke hujung jarinya.
Datin Jazima cuba mengerakkan kakinya. Entah mengapa tiba-tiba kakinya bagaikan diikat pada ketul batu yang sangat besar. Dadanya bagai dihempas ombak debaran yang kencang. Ketiga beranak itu berada di dalam keadaan bingung dan memandang sesama sendiri.
HARI yang siang beransur malam. Salwa masih termenung sendirian di atas kerusi batu berhampiran kolam di tepi rumah. Petang tadi, sekembalinya dari hospital dia terperuk pula di bilik ayahnya. Datuk Johan nampak gembira dengan kehadiran dan kepulangannya. Ibu tirinya pun melayani ayahnya dengan elok. Itulah yang terlihat pada pandangan mata Salwa.
Nafas yang memberat di dalam dada dihembus perlahan.Kesihatan ayah dan emaknya, menyebabkan hatinya resah. Mengapa tiba-tiba sahaja segalanya bertukar? Rumah itu pun sudah semakin sepi. Sebagaimana kesepian dan kekosongan yang bersemayam di jiwanya.
“Saya ada bawakan minuman untuk, Wawa.”
Suara itu mengejutkan Salwa. Dia menoleh. Rina Melati berada di sisinya sedang meletakkan cawan minuman dan piring yang terisi beberapa potong kek. “Buat apa susah-susah. Nanti nak minum saya boleh buatkan sendiri,” katanya ringkas sambil merenung ke wajah Rina Melati yang tersenyum.
“Saya bancuhkan air untuk datuk. Saya tengok Wawa sedang termenung di sini, jadi saya buatkan sekali,” jawab Rina Melati dengan tenang. Dia cuba membiasakan diri dengan anak tirinya itu. Walaupun berasa janggal dan kekok, dia harus mengingatkan dirinya yang kini dia adalah seorang ibu tiri kepada tiga orang anak yang sudah dewasa.
“Saya naik ke bilik dulu. Ayah Wawa sedang tunggu tu. Wawa minumlah ya.” Rina Melati berlalu pergi. 
Salwa menikmati teh panas yang dibancuh oleh ibu tirinya. Sekali lagi nafas berat dihembus keluar melalui hidungnya. Terjahan kenangan di lapangan terbang beberapa hari yang lalu menggamit hatinya. Bibirnya menyungging senyuman.
Dia terkenangkan pemuda itu. Bola matanya yang tajam dan raut wajahnya yang tenang. Kenangan itu amat halus meresap di sanubarinya. Umar. Nama itu tiba-tiba meluncur keluar dari bibirnya. Sudah lama hatinya tidak tersapa oleh lelaki. Sehingga ke saat itu, Umar belum sekali menghubunginya. Dia ingin sekali merapati hati pemuda yang baru ditemuinya itu. 

                     ~~~ bersambung~~~~

Tiada ulasan: