MALAMNYA, Idham enggan makan dan tidak bercakap denganku walaupun sepatah.
Aku turut membisu tanpa kata. Lebih baik mendiamkan diri daripada berkata
sesuatu dan menyebabkan Idham marah. Silap-silap hari bulan, aku dikasari lagi.
Kesakitan tadi pun masih terasa. Meredakan perasaan kecewa dan sepi, aku
mengadap komputer.
Keinginan untuk
melayari internet begitu berkobar-kobar.
Aku benar-benar bosan. Fikiranku berserabut dengan macam-macam rasa.
Penyesalan, kekecewaan, kesepian. MIRC32 Terketar-ketar jariku menghalakan anak
panah ke ikon itu. Tetikus kugerakkan berkali-kali.
Setelah
beberapa kali mencuba akhirnya aku berjaya berada di jendela sembang-sembang. Takut-takut, aku menghalakan anak panah ke
sana-sini. Inilah pengalamanku yang
pertama. Aku teringat dengan janji yang
telah kubuat pada Idham. Aku rasa bersalah. Aku rasa berdosa.
Nickname yang aku gunakan ialah Lidyahani, namaku
sendiri. Tidak perlu penyamaran. ALLAH tahu semuanya. Tidak sampai dua minit aku berada di kamar
‘Veteran’, berlumba-lumba pesanan tiba. Berbagai nickname yang ada. Aku melayani setiap daripada mereka. Seorang
pun tidak menarik hatiku. Mengapa semuanya menaip perkara-perkara yang tidak
sopan. Mataku mulai mengantuk. Sebelum aku menamatkan
operasiku di komputer, masih ada seorang yang menghantar mesejnya berkali-kali.
>abgdno< Assalamualaikum...
Apa khabar? Boleh saya
berkenalan?
>Lidyahani< Waalaikumsalam.
>abgdno< Terima kasih. Nama siapa?
>Lidyahani< Lidyahani.
>abgdno< Itu nickname! Maksud abang nama sebenar.
Nama dalam kad
pengenalan.
>Lidyahani< Lidyahani.
>abgdno< Heh!Heh! What everlah. Tapi boleh percaya ke ni? Sebelum ni tak pernah ada nama ini di
chat room ni? Pendatang baru ke?
>Lidyahani< Saya tak suka menipu. Lidyahani, itulah
nama sebenar saya. Terpulang nak percaya
atau pun tidak. Saya nak keluar ni. Terima kasih. Selamat malam.
>abgdno< Marilah kita chat lagi! Baru pukul 1.00 pagi.
Masih terlalu awal. Esok cuti.
>Lidyahani< Terima kasihlah encik dno. Suami saya tak benarkan saya chatting. Saya
isteri orang. Maaf ya! Hanya malam ini saja saya menjenguk di sini. Saya bosan.
>abgdno<
Heh!heh! bertahun saya berchatting, inilah pertama kali chatter memanggil en.dno.. pertamakali juga
saya bertemu dengan seorang isteri yang akur, mendengar perintah
suaminya...untuk pengetahuan puan, saya telah bersembang dengan beribu isteri
orang!
>Lidyahani< Maaf sekali lagi encik dno. Assalamualaikum.
>abgdno< Waalaikumsalam. Harap bertemu lagi! Saya
Syamil. Kalau on line lagi, chat dengan
saya ya! Jika sudi!
>Lidyahani< Insyaallah. Bye.
KEASYIKAN membaca karangan dan tulisan
Lidya menyebabkan Yanti tidak tersedar di luar sana bumi ditimpa gerimis.
Beberapa ketika kemudian hujan lebat mencurah-curah disertai oleh angin yang
agak kuat. Jam menunjukkan 2.45 pagi. ‘Tentu Adib sedang lena tidur.’ Itulah
yang difikirkan oleh Yanti.
“Oh! Lidya berkenalan dengan Syamil melalui internet rupanya.” Yanti
berkata-kata sendiri. Kelopak matanya mulai memberat. Matanya benar-benar mengantuk, namun hatinya tetap
ingin meneruskan pembacaan itu. Dia benar-benar ingin mengetahui siapa itu
Syamil. Siapa Syamil yang telah merebahkan cinta Lidya di hatinya? Siapa Syamil
yang telah menghumban sahabatnya itu di lautan sengsara sehingga ke saat ini?
Dalam kesengsaraan perasaan, cintanya terhadap lelaki itu tak padam-padam.
Tidak pernah pudar, walaupun seri diwajahnya sendiri semakin pudar.Huruf demi
huruf Yanti amati dengan mata yang semakin kabur. Belakangnya mulai lenguh
kerana duduk tersandar di sofa hampir tiga jam.
“YANTI,
Yanti, Yanti! Astaghfirullahilazim! Bangun! Kenapa jadi begini?
Membaca sehingga tertidur di sini! Solat subuh pun dah terlepas! Bangun!
Bangun!” Terasa pipinya ditepuk-tepuk.
Sebaik sahaja mata Yanti terbuka, dia lihat Adib duduk bertenggung
disisinya yang terbaring di sofa. Kepalanya
tiba-tiba terasa berat. “Dah pukul berapa ni bang?” Dia separuh merengek.
Sayangnya pada tidur yang terganggu. Tangan Adib masih di pipinya.
“Dah pukul 10.00 ni sayang! Puas
abang kejutkan tadi, langsung Yanti tak sedar! Anak-anak, abang dah hantar ke
sekolah.” Adib menerangkan dengan suara yang tenang. Sabar dengan karenah isterinya itu. Pipi
Yanti dikucupnya berulang kali.
“Terima kasihlah, bang! Abang dah makan ke belum ni?” suara Yanti yang
pecah dan lemah menanyai Adib sambil tangannya menolak muka Adib yang masih
rapat ke wajahnya. “Dahlah bang! Busuk! Yanti belum gosok gigi.” Dia bercakap dengan gigi yang terkancing
rapat.
Adib hanya ketawa. “Dah, Yanti pergilah tidur dalam bilik sana. Tak payah
masak hari ni. Nanti abang pergi beli lauk di kedai sambil mengambil
budak-budak dari sekolah. Abang tak berniaga hari ni. Petang nanti abang nak
balik kampung.” Dia menerangkan dengan
suara lembut.
‘Bertuahnya aku, miliki suami yang penyayang, penyabar,’ bisik hati Yanti
yang selalu memuja dan memuji kebaikan suaminya itu. “Abang nak balik kampung
berapa lama?” Dengan tiba-tiba matanya menjadi segar apabila mendengar yang
Adib ingin balik ke kampung. Dia terus bangun dan duduk di sofa mendepani Adib.
“Abang balik sorang ke?” Tidak sempat Adib menjawab, dia bertanya lagi.
Wajah Adib dipandangnya. Adib sudah kemas berpakaian. Berseluar coklat tua,
berbaju T kuning air. Rambutnya tersisir
rapi.
“ Ya. Abang balik tiga minggu. Ada banyak urusan.” Adib menjawab sepatah.
Matanya merenung dinding. Dia memang jarang merenung mata Yanti sewaktu
berbual.
“Kedai macam mana?” Yanti
teringatkan tanggungjawab Adib. Kedai alat-alat tulis itu, takkan dibiarkan
tutup juga selama tiga minggu.
“Tutuplah! Bukannya busuk semua barang-barang tu.” Adib menjawab selamba.
Mudahnya dia mengambil keputusan untuk menyelesaikan masalah.
“ Hah! Rugilah bisnes abang! Nanti pelanggan abang lari ke kedai lain.
Biarlah Yanti jaga.” Yanti menawarkan khidmat bakti. Sekurangnya ada pendapatan
yang masuk jika kedai itu beroperasi seperti biasa. RM10 sehari pun duit juga.
“Hmm... tak payah! Yanti duduk saja di rumah ni, tengok anak-anak. Abang
pergi bukannya lama! Saja pergi tinjau-tinjau jika ada peluang bisnes di sana.”
Adib bersuara perlahan dan menundukkan muka. Bisnes yang sedia ada mahu
ditinggal dan ditutup selama tiga minggu, mencari pula peluang bisnes di
kampung, bukankah itu pelik?
“Mana-mana yang baiklah bang. Jangan abang pergi buka bisnes lain sudah!
Lelaki ni bukannya boleh dipercayai sangat.”
Yanti cuba berseloroh.
Adib menarik hidung Yanti sambil ketawa. “Sepanjang ketiadaan abang nanti,
bolehlah Yanti taipkan cerita kawan Yanti tu sampai habis. Tak ada sesiapa pun
yang akan ganggu Yanti.” Dia bangun lalu beredar ke luar rumah.
Yanti mengekorinya.
“Abang pergi beli lauk sekejap. Yanti masak nasi saja. Di mana nak cari
suami macam ni?” Adib membuka pintu kereta sambil mengenyitkan matanya kepada
Yanti.
Yanti tersenyum bahagia. Sebaik
sahaja bayangan kereta Adib hilang dari pandangannya, Yanti meneruskan
pembacaan. Sesugguhnya dia tidak sabar
untuk mengenali Syamil.
~~~~ bersambung~~~~~~~~~~~~

Tiada ulasan:
Catat Ulasan