Datuk Johan tersentak dari
lenanya. Matanya terbuka luas. Jam di dinding diperhatikannya. 2.30 pagi.
Matanya mengitari lagi ke seluruh bilik itu. Rina Melati sedang sujud di atas
sejadah yang dibentangkan berhampiran katilnya. Setiap malam Rina Melati akan
begitu. Rina Melati telah mengorbankan kebahagiaan dan kebebasannya sendiri
untuk menjaga dirinya.
‘Melati
taatlah kepada suami. Solat lima waktu jangan diabaikan. Berpuasa di bulan
Ramadan. Jaga kehormatan. Insya-ALLAH, tuhan
telah menjanjikan syurga yang boleh dimasuki dari mana-mana pintu pun untuk
para isteri yang memiliki sikap-sikap itu.’
Itulah salah
satu catatan yang pernah ditulisnya di atas buku catatan penghubung komunikasi
mereka berdua sewaktu lidahnya tidak mampu untuk menuturkan kata-kata dengan
sempurna. Tulisan tangannya juga seolah cakar ayam kerana jarinya
terketar-ketar sewaktu menulis.
Semenjak hari
itu, dia melihat Rina Melati semakin rajin mengabadikan dirinya kepada ALLAH
pada tengah-tengah malam apabila disangkanya suaminya itu telah melelapkan
mata.
Entah mengapa
tubuh badan Datuk Johan tiba-tiba terasa segar bugar. Dia menggerakkan tubuhnya
dengan mudah dan duduk di atas tilam. Perasaannya semakin aneh. Segala-galanya
menjadi mudah. Dia seolah-olah tidak pernah sakit sebelum ini. Subhana-ALLAH.
Kedua kakinya dijuntaikan ke bawah. Alhamdulillah. Subhana-ALLAH. Subhana-ALLAH. Berkali-kali perkataan itu
meniti bibirnya.
Bibirnya pun
kembali seperti sedia kala. Datuk
Johan menjelir-jelir dan menggulung-gulungkan lidahnya berkali-kali. Segalanya
seolah telah pulih seperti biasa. “Melati...”
Panggilan dari
Datuk Johan membuatkan wanita itu sedikit tersentak. Rina Melati yang baru
selesai solat tahajud merenung ke arah suaminya itu dan terfana seketika. Dia
melihat Datuk Johan cuba menuruni katil tanpa bantuan sesiapa. Dia menerpa ke
arah suaminya itu. Suaminya sudah mampu berdiri sendiri? Bukankah ALLAH itu
mampu menyembuhkan semua penyakit dan kepada siapa yang dikehendakinya.
“Alhamdulillah...”
Tidak putus-putus dia bersyukur ke hadrat Ilahi.
Maha suci ALLAH daripada sebarang kekurangan. Maha benarlah janji-janji-Nya. Di sebalik kesukaran akan datang
kemudahan. Rina Melati berdiri di hadapan suaminya dan menguntumkan senyuman
paling manis. Di dalam kesuraman cahaya kamar itu, wajahnya yang tenang berseri
seolah bercahaya.
“Abang dah
sembuh.” Suara Datuk Johan seakan membisik lantas lelaki itu menarik tubuh Rina
Melati yang masih bertelekung ke dalam dakapannya.
Keduanya
bertangisan seketika dan begitu tersentuh hati peristiwa yang sedang di alami.
Alangkah agungnya kuasa ALLAH.
“Alhamdulillah,
bang. Syukurlah.” Rina Melati mengenggam-genggam tangan Datuk Johan. Hatinya
bagaikan bercahaya kembali. Tidak henti-henti dia memuji-muji kekuasaan ALLAH.
Seumur hidupnya, saat inilah yang paling indah dirasakannya. Lelaki yang
bergelar suami padanya telah kembali sihat. Kian lama dia menjaga dan merawat serta
melayani lelaki itu, lama kelamaan rasa tanggungjawabnya telah membuahkan
perasaan sayang terhadap lelaki yang layak dipanggil ayah itu.
“Berkat doa kita
sama-sama. Kesabaran dan kepasrahan kita selama ini. ALLAH makbulkan juga.
Alhamdulillah. Kurniaan ini sangat berharga Melati. Sangat berharga!” Datuk
Johan mengusap-ngusap ubun-ubun isterinya itu dengan kasih sayang. Subuh ini, amat bermakna. Sangat indah.
Tidak terlafazkan oleh kata-kata. Mereka bersujud bersama-sama tanda kesyukuran
kepada ALLAH.
“Ayah!!!” Terjerit Salwa sewaktu
melewati dapur pada pagi itu apabila melihat Datuk Johan berada di meja makan
dilayani oleh Rina Melati. Dia berasa
pelik melihat ayahnya berada di situ.
“Duduklah!” Rina Melati mempelawa dan pantas
bergerak untuk mengambil sebiji lagi cawan.
Salwa
melemparkan senyuman hambar sewaktu melabuhkan pinggulnya di kerusi di hadapan
Datuk Johan.
“Ayah, Wawa nak
balik hari ni. Tak sempat nak jenguk mak di hospital lagi.” Salwa memulakan
bicara sambil merenung ke wajah ayahnya.
Rina Melati
menuangkan air ke dalam cawan yang disediakan untuk anak tirinya itu.
“Sekejap sangat
cutinya! Tak boleh ke tambah sehari dua lagi!” Datuk Johan menyoal mesra.
Salwa tidak
menjawab. Dia asyik merenung pergerakan Rina Melati yang sedang melayani mereka
berdua. Rina Melati berbaju blaus lengan panjang dan labuh menutupi pinggulnya
berwarna hijau muda. Tudungnya berwarna beige menutupi dadanya. Meskipun tanpa
secalit kosmetik, ibu tirinya itu kelihatan sangat cantik dan menawan.
“Melati tak
minum sekali?” Salwa cuba berbahasa sambil menyorot ke wajah wanita itu tanpa
rasa jemu. Namun, tidak tergamak pula untuk membahasakan ‘mak cik’ kepada ibu
tiri yang muda belia.
Rina Melati
hanya tersenyum dan mengeleng.
“Wawa jangan
panggil begitu. Ayah rasa lebih baik bahasakan Mama Melati.” Datuk Johan segera
menyampuk. "Mula-mula memang rasa kekok dan janggal sebab mama Melati ni
usianya sangat muda. Mungkin
tua beberapa bulan sahaja dari Wawa. Tapi dia isteri ayah. Bila dia isteri
ayah, semuda manapun tarafnya sama seperti ibu dan wajar dipanggil dengan
kedudukannya.”
“Baik!”
Datuk Johan
tersenyum apabila mendengar pengakuan daripada anak bongsunya itu.
“Terima kasih
mama, kerana jaga ayah Wawa dengan baik...” Spontan bibir Salwa melontarkan
kata-kata itu kepada Rina Melati yang masih tersenyum dari tadi.
“Bila Wawa nak
bertolak?” tanya Datuk Johan .
“Flight tengah hari nanti, ayah.” Salwa menjawab lembut dan ceria. Matanya sempat
mengerling jam di lengan kiri. Hajat di hati ingin bercuti lama-lama, namun komitmen terhadap tugas harus
diberi keutamaan.
“Emak macam
mana?” Soalnya pula seolah kepada diri sendiri. Keceriaannya bagaikan lenyap.
Berat juga penanggungan emaknya itu jika kakinya tidak boleh berjalan. Menurut
doktor, buku lali Datin Jazima mengalami retakan kecil. Namun, mungkin
mengambil masa untuk pulih semula kerana faktor usia.
“Jangan bimbang,
Wawa. Emak Wawa itu di bawah tanggungjawab ayah!” Datuk Johan menghirup sisa minuman dengan penuh
kenikmatan dan bersyukur. “Nanti Melati hantar Wawa, ya.” Matanya merenung ke
wajah isterinya itu sewaktu berkata-kata. “Melati tahu jalan ke airport?”
Sambungnya lagi, menyoal Rina Melati yang kelihatan tersentak seketika.
“Ingat-ingat
lupa,” jawab Rina Melati lembut.
“Saya naik ke
bilik dulu, ayah.” Salwa meminta diri sebelum beredar dari meja makan di ruang
makan.
“Assalamualaikum...”
Terpacul Anas di muka pintu dengan wajah terkejut. Ayah dan ibu tirinya sedang
makan bersama-sama? Bagaimana perkara ini terjadi? Bukankah minggu lepas
sewaktu dia datang melawat, ayahnya masih terlantar di katil.
“Ayah!!!” Anas
sedikit tergamam. Jauh di sudut hati, dia tidak gembira dengan perkhabaran itu.
“Bagaimana ayah boleh sembuh sedrastik ini? Hairan betul saya.” Kalau ayah
sudah sihat dan sembuh, peluangnya untuk mendekati Rina Melati pasti menipis.
“Jangan lupa
kepada kuasa ALLAH, Anas. Ayah bersyukur sangat-sangat!” Datuk Johan menjawab
tenang sambil matanya sempat juga menjeling ke mata Anas yang mencuri renung
pergerakan Rina Melati.
~~~~ bersambung~~~~

Tiada ulasan:
Catat Ulasan