Khamis, 7 Februari 2013

NOVEL:REDHA TAKDIRMU(BAB 27)-ALAF21




SAMBIL melunjurkan kakinya di atas sofa, Yanti mencapai buku catatan Lidya yang masih berada di situ. Bola matanya terus menyinggahi dada buku itu dengan rakus.

‘SEJAK peristiwa malam itu, perhubungan aku dan Idham semakin dingin. Sepatah yang ditanya, sepatahlah aku menjawab. Dia langsung tidak cuba memujukku apatah lagi untuk meminta maaf dariku. Jika dia berbuat demikian, sekurangnya hatiku akan lembut kembali. Sekiranya hatiku ibarat seekor burung, jika ianya ingin terbang, dengan pujukan serta belaian manja, mungkin aku akan terbang pulang ke sarang.
Keegoan Idham, benar-benar membuat hatiku yang selalu terluka, semakin membusuk dan bernanah. Kebebasan tiada, badanku terkurung, jiwaku dipenjara. Lidahku dipasung, bibirku dikunci dari berbicara.
Setiap malam, sewaktu mengadap komputer, hatiku bagai digaru-garu supaya melayari internet. Namun, aku cuba melawan perasaan hatiku.
Pada satu hari Sabtu, aku benar-benar tertekan dengan telatah Idham. Untuk ke sekian kalinya aku menangis lagi apabila dimarahi oleh Idham, atas perkara yang sangat kecil. Malangnya tangisanku itu tiada diendahkan oleh hati lelakinya. Tidak seperti lelaki lain, yang akan mudah lembut hati apabila perempuan menangis.Namun bagi Idham, air mataku tiada harganya.
Meskipun aku menangis teresak-esak, menumpahkan air mata setempayan pun, tidak pernah dia datang memeluk, memujuk atau mengesat air mata di pipiku, walaupun dengan kain buruk pengelap kakinya.  Apatah lagi untuk mengucapkan “Lidya sayang! Sudahlah jangan menangis, maafkan abang.’  Mungkin dunia ini akan runtuh jika Idham berbicara dan memujukku sedemikian rupa.
Dalam kesepian dan perasaan muram kerana tidak diendahkan oleh Idham, kenangan pertama, aku mengenali dunia maya ada ketikanya tidak dapat aku lupakan. Tambahan apabila aku sering disinggahi oleh rasa sepi yang semakin mekar dan berkembang di taman sanubariku yang semakin subur kedukaannya. Apakah dengan berchatting dengan manusia luar dari duniaku, akan menghumbankan aku di dalam neraka? Aku menjadi isteri curang, tidak setia dan rendah martabatnya? Apa salahnya jika aku bersama dengan mereka?  Bersembang tentang hal yang tidak menjatuhkan harga diriku? Soal bagaimana untuk menjadi manusia yang lebih sabar, lebih tabah? Mungkin rasa sepiku, rasa sunyiku, rasa kecewaku dapatku labuhkan.
Sekurang-kurangnya perasaan yang menghimpitku akan longgar seketika. Jika bercerita dengan orang yang rapat denganku, rapat dengan Idham, mungkin kesedihan yang kusembunyikan selama ini akan terbongkar. Cerita itu akan kembali kepada Idham. Akibatnya, aku juga yang akan menerima sumpah seranah, maki hamun, cubit tamparnya.
“Nak mengarang, mengarang saja, jangan nak merewang ke lain!” Setiap malam Idham akan memberi amaran begitu kepadaku. 
Normalnya, setiap yang dilarang, itulah yang menjadi igauan. Itulah yang akan diburu. Sehari, dua hari, seminggu, dua minggu, aku masih dapat bertahan. Aku mengarang kerana ingin membunuh rasa sepiku. Aku yang hauskan kasih sayang daripada seorang lelaki. Aku yang dambakan kemesraan cumbuan daripada seorang suami. Ada saat-saatnya, rasa kegersangan itu bagaikan menenggelamkan aku di dalam seksaan yang amat pedih. Namun, aku tidak dapat menyuarakannya kepada sesiapa.
Tidak ada kata-kata yang dapat kucipta untuk menceritakan segalanya. Yang aku ingat ialah dosa. Berdosa dan akan dihumbankan neraka. Mindaku hanya diselubungi oleh kata-kata itu. Lalu, jika tidak ada ilham untuk mencipta puisi atau cerita pendek, aku akan berkaroke, aku akan melukis, aku akan bermain organ atau aku tidak akan melupakan yang diriku adalah seorang Muslimah. Seseorang Muslim itu harus menyerahkan dirinya kepada ALLAH. Reda dan berlapang dada di atas segala apa yang ALLAH aturkan untuknya. Aku akan menghabiskan waktuku dengan membaca al-Quran kadangkalanya. Atau membaca hadis-hadis.
Ting! Dentingan yang perlahan daripada speaker komputerku menyentakkan lamunan. Volume suara komputer itu  sengaja aku ubahkan ke aras yang paling minima. Rupa-rupanya dalam lamunanku, sambil mengarang manuskrip berjodol Irdayani, aku bertandang juga ke halaman MIRC32.  Kamar ‘Veteran’ juga yang menjadi pilihanku. Aku tertakut-takut juga untuk menjawab sapaan-sapaan daripada mereka.  Sesekali aku bangun menuju ke pintu bilik dan menjenguk ke ruang tamu. Aku ingin memastikan yang Idham sedang berdengkur. Aku bimbang dia memasuki bilik dengan tiba-tiba dan mendapati aku sedang melayari internet. Alamatnya komputerku itu akan menjadi mangsa panas barannya termasuk aku.
>abgdno<  Assalamualaikum
>abgdno<  Dah lama online?

Pada mulanya aku ragu-ragu untuk membalas sapaan lelaki ini.  Aku hanya melayani chatters yang lain hanya untuk beberapa sebaris dua ayat. Sekadar untuk menghiburkan hatiku. Sekiranya boleh. Sambil mengarang, sambil bersembang. Sekurangnya  ada ilham baru yang tercetus untuk karanganku.

>abgdno<  Hani
>abgdno<  Dah lama online? Busy ke?

Nampaknya dia tidak putus asa untuk berbual denganku.  Lalu aku mengambil keputusan untuk mengabaikan chatters yang lain dan hanya memberi tumpuan kepada lelaki ini yang nicknamenya abgdno.

>Lidyahani<      Maaf. Saya ada kerja.
>abgdno<  So, I mengganggu ke?  Sorry!
>abgdno<  Hani, abang mengganggu Hani ke?
>Lidyahani<      J
>Lidyahani<      Saya tak kata begitu pun!
>abgdno<  Hani
>abgdno<  Hani
>abgdno<  Asal mana?
>abgdno<  Dah kahwin ke?
>abgdno<  Umur berapa
>Lidyahani<      Perak, isteri, 33 tahun. Cukup?
>abgdno<  Anak?
>Lidyahani<      Anak mata dan anak tekak adalah. 

Aku cuba bergurau.  Perasaan hatiku sebenarnya bagaikan tergigit, setiap kali orang bertanyakan tentang anak.

>abgdno<  Maafkan abang.
>Lidyahani<      Tak mengapa.  Dah nasib saya.
>abgdno<  Hani
>abgdno<  Hani. Boleh tak bahasakan diri Hani, Hani saja dengan abang? Jika sudi.
>Lidyahani<      JJ
>abgdno<  Terima kasih.
>Lidyahani<      Anak?
>abgdno<  Alhamdulillah. Abang ada lima. Tiga lelaki, dua perempuan. Yang bongsu baru setahun lebih.
>Lidyahani<      Tentu meriahkan, rumah tangga abang.  Hanya saya yang didakap kesunyian.
>abgdno<  Hani
>abgdno<  Hani.

Aku tidak mengerti maksud lelaki ini menaip namaku berulangkali.  Oh! Ya,mungkin dia tidak suka aku membahasakan diriku ‘saya’ dengannya. Apa salahnya aku menggembirakan hati orang yang baru aku kenal. Tak nampak rupa atau tak mendengar suara, tidak bermakna aku boleh berkata seadanya di dada komputer. Kata-kata yang dibaca akan sampai ke hatinya. Jika kasar, hati dan perasaannya pasti akan terluka juga.

>Lidyahani<      Hanya Hani yang sunyi tak ada anak!

Aku mengulangi jawapanku dengan versi yang lain pula.  Aku berharap, aku telah dapat membuatkan lelaki itu, berasa dirinya dihargai. Aku membahasakannya ‘abang’ dan diriku Hani.
>abgdno<  Terima kasih.
>abgdno<  Sabarlah. Insya-ALLAH, satu hari nanti Hani akan ada anak seperti orang lain.
>Lidyahani<      Harap-harap. 
>Lidyahani<      Abgdno. Maafkan Hani, tidak boleh sembang lama-lama. Hani takut nanti suami terjaga dari tidur. Dia dah pesan, jangan chatting.
>abgdno<  Abang Syamil. Abgdno tu nama samaran saja.  Dengan Hani, abang tak mahu menyamar, sebab abang rasa Hani ni seorang yang jujur. Tidak seperti chatters yang lain.
>Lidyahani<      Terima kasih. Pelihara akhlak, walaupun berbicara dengan orang yang kita tidak nampak. 
>abgdno<  Hani, bila kita boleh berjumpa lagi!
>Lidyahani<      Jumpa? Kan Hani seorang isteri?
>abgdno<  Maksud abang, jumpa di sini. Di kamar veteran ini!.
>Lidyahani<      Hani tidak boleh online selalu.
>abgdno<  Abang faham. Jaga diri.
>abgdno<  Assalamualaikum.
>Lidyahani<      Waalaikumsalam. Terima kasih.

Aku mencabut kabel yang menyambungkan talian telefon ke CPU. Soket kabel telefon aku kembalikan di tempat asalnya.  Jam menunjukkan 3.00 pagi.
“Lidya! Pukul berapa nak tidur ni?” Idham, dengan suara yang parau dan pecah mengejutkan aku.
“Dah siap. Nak tidurlah ni.” Aku menjawab perlahan.  Waktu dinihari begitu, suaraku yang perlahan pun kedengaran kuat. Aku merebahkan diri di sebelah Idham.
“Lidya connect internet untuk apa? Chatting!
Aku terperangkap dengan pertanyaan itu. Tubuhku gementar. Bagaimana aku dapat menutupi kecurigaan Idham terhadap diriku? Mengelakkan pertanyaannya lagi, aku mendakap Idham kemas-kemas. Aku memejamkan mata sambil tersenyum. Senyumanku semakin melebar di dalam malam yang semakin menghimpit itu, walaupun dakapanku tidak diendahkan oleh suami disisi.

KEESOKAN harinya, sewaktu aku sedang menyiapkan sarapan, aku  tersenyum- senyum sendiri. Tidak tahu apa yang aku gembirakan sangat. 
Idham menikmati hidangan tanpa berkata sesuatu. “Bila nak pergi daftar?” Idham bersuara sambil memandang kepadaku. Dia menjilat bibir menghilangkan kesan minyak tinggalan mee goreng yang melalui bibirnya itu.
“Daftar?”  Aku mengerut dahi merenung Idham.
“Minggu lepas kata nak pergi belajar memandu,” suara Idham perlahan. 
Aku sedikit terkejut. “Hmm, tak apalah! Lupakan saja!  Tak payah belajar! Naik bas saja kalau nak ke mana mana, sampai bila-bila.” Aku bersuara hambar dan perlahan. Bukankah seminggu yang lalu aku kena belasah teruk kerana meminta keizinannya untuk belajar memandu?
“Abang tanya bila nak daftar tu maknanya dah bagilah kamu pergi  belajar!” Idham bersuara kasar. Sebagaimana selalu setiap hari aku kena maki. 
Aku terdiam.  Di dalam hati berbunga ria. Semangatku kembali berkembang.
“Kalau kamu tak mahu pergi kali ni, lain kali jangan minta keizinan lagi!” Idham jika sedang memutik marahnya suka menggunakan bahasa ‘kamu’, ‘aku’. Jika sudah begitu, pandai-pandailah aku membawa diri dan mengatur bicara.  Segera menyejukkan hatinya. Nasib baik, berjaya. Nasib tak baik, tahan sajalah batang tubuh di depannya. 
“Ya ke? Terima kasihlah, bang. “ Aku mencapai tangan Idham dan menciumnya.
“Pergi belajar dengan siapa nanti? Kalau seorang abang tak izinkan. Cari kawan.” Idham meletakkan syarat. 
Aku tersenyum. “Lis. Lidya dah janji dengan Lis nak pergi sekali.” Aku memberitahu, jujur. Sememangnya aku telah berpakat dengan keraniku itu. Aku sanggup meminjamkan wangku jika Marlisah memerlukan.
“Guna duit sendiri!” Idham, mengenakan peraturan lagi.  Peraturan yang sememangnya telah kufahami benar. Mau apa-apa mesti keluarkan duit poket sendiri.
“Yalah bang! Lidya ada duit.” Aku menjawab perlahan.
“Petang ni, lepas pejabat abang pergi hantar ke sekolah memandu tu! Beritahu Lis, abang datang ambil di kilang.” 
Aku hanya mengangguk tanda faham.

PETANG itu, Idham datang mengambilku di kilang seperti mana yang dijanjikan. Dia, dalam berjanji tidak pernah memungkiri. Waktunya selalu tepat.
“Ujian undang-undang bila?” Idham bertanya serba serbi bagi pihakku. Aku hanya duduk disisinya seperti anak kecil yang dibawa bapa mengadap guru di sekolah tadika.
“Lagi dua minggu, encik. Minggu ini dah penuh. Kita dah hantar nama ke JPJ.” Kerani berbangsa India itu menerangkan. 
“RM60 untuk ujian undang-undang jalan raya.” Kerani itu menerangkan. 
Idham menjeling kepadaku.  Cepat-cepat aku mengeluarkan wang dari dompet.
“Kalau gagal macam mana?” Idham selalu bertanya hingga ke akar umbi.
“Bayarlah RM35 dan duduki semula, sehingga lulus.”  Tersenyum kerani India itu melihat Idham bersungguh-sungguh mengira menggunakan kalkulator.
“RM25 untuk pendaftaran. RM35 untuk ujian undang-undang. Jumlahnya RM60. Jika tidak lulus, setiap kali ingin mengambil ujian, kena bayar hanya RM35 saja.” Tanpa dipinta, kerani itu telah memberi penjelasan.
“Kos keseluruhan sehingga mendapat lesen berapa?”  Mata Idham merenung ke arah kerani itu yang sedang menulis resit. Aku telah membayar RM60 sebagaimana yang dikehendakinya. 
“Sekarang ni, RM850 encik!  Itu pun jika tak ada masalah apa-apa. Lulus semua ujian untuk sekali ambil saja.” Idham mengeleng mendengar penjelasan itu.
“Mahalnya! Eee, zaman abang dulu RM120 saja.” Idham memandangku.
Hatiku diburu kebimbangan jika Idham menarik balik keizinannya untuk membenarkan aku belajar membawa kereta.
“Lidya! Abang izinkan menduduki ujian undang-undang jalan raya tu sekali saja! Jika tak lulus, tak payah nak merengek meminta untuk mengambil ujian sekali lagi! Kalau nak berjaya, study sungguh-sungguh! Jangan nak membazirkan duit.” Idham meleteri aku di hadapan Marlisah dan kerani itu.   Suaranya kuat. 
Marlisah hanya tersengih memandang aku sambil mengangkat keningnya.


                             ~~~~ bersambung~~~~

Tiada ulasan: