Rabu, 13 Februari 2013

Novel:SEBELUM NAFASNYA TERHENTI (BAB 29)-ALAF21





Nurlisa terus mengelamun. Nafasnya dihela perlahan-lahan. Baru saat ini kedai tempat dia bekerja itu sunyi daripada pelanggan. Sedari pagi tadi ramai orang yang datang. Mujurlah di kedai itu ada beberapa orang lagi yang bekerja sebagai pembantu.
Mona yang pernah bekerja dengannya sudah tiada lagi. Rasa sedih seolah menampar-nampar pintu hatinya. Dua hari selepas Mona bertikam lidah dengannya, dia menunggu-nunggu kedatangan gadis itu di kedai tempat mereka bekerja.  Sehingga jam 11.00 pagi, Mona masih belum muncul.
Mr. Yap, pengurus kedai menyuruh Nurlisa menghubungi telefon bimbit Mona untuk bertanyakan kenapa dia tidak datang bekerja. Suara yang kedengaran di telefon bimbit Mona, bukanlah suara temannya itu. Suara tangisan yang menjawabnya begitu mengejutkannya. ‘Kereta yang dinaiki oleh Mona bersama teman-temannya bertembung dengan sebuah treler.’ Mona meninggal dunia di tempat kejadian juga. Mereka baru pulang dari sebuah disko di ibu kota kerana berhibur. Memang benarlah janji Allah. Kematian tidak boleh ditangguh atau dipercepatkan walau sesaatpun.  Segalanya Allah yang menentukan. Pada bila-bila masa dia mengambil kembali nafas yang dipinjamkannya.
“Lisa! Mengapa seminggu dua ini aku tengok kau tidak lagi riang seperti selalu?” Lily teman sekerja menyapanya dan mengejutkan lamunannya.
Pandangan mata Nurlisa beralih daripada merenung kenderaan dan manusia-manusia yang lalu lalang di hadapan kedai ke wajah Lily. Lily datang bekerja di situ menggantikan Mona. Kenangannya terhadap Mona, terhenti seketika.
“Hmm... aku rindukan mak dan adik-adik aku, Lily. Entah bila aku dapat berjumpa mereka kembali.” Nurlisa melarik senyuman pendek kepada Lily. Spontan dia berasa kehilangan yang amat sangat. Terlalu banyak dugaan yang harus diredah, berseorangan. Hatinya bagaikan ditusuk-tusuk sembilu tajam.
“Dah berapa lama kau cari mereka, Lisa? Aku rasa begini, baik kau iklankan dalam surat khabar. Cara yang begitu lebih efektif jika dibandingkan dengan cara sekarang ni!” Lily menasihatkan Nurlisa. Kadangkala dia turut menemani Nurlisa menjejaki serta mencari keluarga gadis itu di kawasan-kawasan setinggan yang terdekat. 
Nurlisa terdiam mendengar kata-kata temannya itu.  Dalam diam dia bersetuju.
“Hmm... Lily. Mengapalah kau tak cadangkan dari dulu lagi? Bodohnya, aku langsung tidak terfikir cara yang cepat begitu. Tapi... macam mana caranya? Aku tak tahu dan...”  Bulat mata Nurlisa memandang ke arah Lily. Dia pernah mencari adik-adiknya di sekolah tempat mereka belajar, namun kehampaan juga yang menantinya.
“Hah! Yang itu kau jangan bimbang. Aku ada sepupu yang bekerja dengan surat khabar. Nanti aku cari nombor telefon dia.” Lily bersuara riang. Gembira hatinya apabila melihat Nurlisa sudah kembali ceria. Wajahnya tidak lagi mendung seperti tadi.
“Aku pernah berjanji untuk mengubah nasib keluarga, Lily. Apabila mereka hilang dalam kebakaran, aku...” suara Nurlisa seakan merintih. 
Lily hanya memandang wajah Nurlisa yang sayu.  Kesedihan dan kerinduan Nurlisa bagaikan terasa.
“Hai Lisa....” sapa Adzman yang tiba-tiba muncul di hadapan mereka.
Nurlisa dan Lily sedikit terkejut.
Adzman bersuara riang. Bola matanya bercahaya. Rambut ikalnya dipotong pendek. “Saya nak bawa awak pergi makan tengah hari. Jomlah!” Adzman memberi isyarat dengan ekor mata meminta Nurlisa mengikutnya.
Nurlisa berasa serba salah dengan pelawaan itu. Lantas bola matanya merenung wajah Lily dan mengharapkan temannya itu memberi pendapat.
“Pergilah, Lisa! Dari pagi tadi kau tak makan!” usul Lily.  Matanya mencuri pandang Adzman yang sedang berdiri tidak jauh daripada situ. Adzman berjeans biru dan berbaju T putih. Tidak pernah lagi dia melihat lelaki itu datang ke kedai untuk bertemu dengan Nurlisa.
“Yalah. Sebentar, encik.” Nurlisa mengukirkan senyuman kepada Adzman yang sedang menunggunya dengan sabar. 
Hati kecil Lily tertanya-tanya. Apakah perhubungan Nurlisa dengan lelaki tampan ini? Kalau kekasih, takkanlah membahasakan encik.  Kalau abang, tentulah membahasakan abang.
“Kita pergi makan di restoran yang berhampiran saja.”  Adzman mengiringi langkah kaki Nurlisa. Sesekali gadis itu terasa janggal dan segan, tambahan pula banyak mata yang memandang kepada mereka.
“Encik! Encik tak rasa segan ke berjalan dengan saya.Tengok tu, semua orang memandang kita sebab encik sedang berjalan dengan gadis tempang.” Suara Nurlisa begitu perlahan seolah berbisik . 
“Anggap sahaja hanya kita berdua yang berada di sini, Lisa. Jangan pedulikan pandangan mereka semua.” Adzman bersuara riang. 
Nurlisa tersenyum. Hatinya berasa lega.
“Hmm... duduk Lisa. Dah sampai pun kita. Tak sampai tiga minit berjalan.” Adzman menarikkan kerusi untuk Nurlisa sebaik sahaja masuk ke dalam sebuah restoran.  Mujur masih ada meja yang kosong. Restoran itu agak luas, boleh menempatkan antara 100 ke 150 orang dalam satu waktu.
“Seperkara lagi, saya tak suka Lisa memandang diri Lisa begitu! Jangan rasa rendah diri dengan kecacatan yang sedikit!” Adzman melebarkan senyuman sebaik sahaja menghabiskan ungkapan itu. Dia sendiri tidak pernah memandang rendah kepada gadis itu. Tambahan pula sepanjang waktu berada di Vila Kencana Emas, Nurlisa dilihatnya sebagai seorang gadis yang baik budi pekertinya.
“Lisa tinggal di mana sekarang?” soal Adzman dengan suara riang. Matanya menyorot ke wajah gadis itu. Ayu. Begitulah desis hati Adzman. Nurlisa berblaus merah jambu lengan panjang dan bertudung putih.
“Saya menyewa bilik, Encik Adzman,” jawab Nurlisa perlahan. Adzman memerhatikan Nurlisa dengan kening yang berkerut pula. Elok-elok tinggal di mahligai indah, berpindah ke bilik yang sempit. Begitulah bisik hati lelaki itu.
“Sebelum ni, Lisa bekerja dengan Butik Mesra, kan? Mengapa berhenti? Tauke tak bayar gaji ke?” Adzman mencungkil rahsia. Dengan Linda, dia merahsiakan tentang Nurlisa yang pernah bekerja di rumahnya, Vila Kencana Emas.
“Bayar!” Nurlisa menjawab sepatah. Mustahil dia menceritakan kepada Adzman yang dia sedang melarikan diri daripada Aldi. Dia ingin pergi jauh daripada Aldi. Mungkin dengan berjauhan begitu dia dapat menilai perasaan hatinya sendiri. Kasih sayangnya. Kerinduannya.
“Habis tu mengapa berhenti? Saya kenal dengan tauke butik tu. Dia baik orangnya. Kalau Lisa kerja lama lagi dengan dia, tentu dia hantar Lisa menghadiri kursus rekaaan pakaian dan menjahit baju. Lama-lama nanti, bila dah ada pengalaman dan pengetahuan, Lisa boleh buka butik sendiri,” kata Adzman dengan nada riang.
Nurlisa ketawa. “Manalah saya ada duit untuk buat itu semua, encik,” katanya lembut di dalam ketawa.
Adzman turut ketawa. “Oh ya. Aldi dah balik tau. Dia dah bekerja dengan ayah. Hmm... jadi arkitek kanan di Roda Emas. Alhamdulillah nampaknya dia dah sihat sepenuhnya.”  Adzman menunjukkan sebaris giginya yang tersusun rapi. 
Debaran dada Nurlisa tiba-tiba sahaja bergemuruh apabila nama Aldi di sebut di hadapannya.
“Sebenarnya saya tidak sangka dia akan pulih. Dulu saya ingat, Aldi akan menjadi penghuni rumah orang gila. Tapi mujurlah... ada doktor... Doktor Nurlisa!” Adzman ketawa. Dia mulai berani mengusik Nurlisa.
Nurlisa yang pemalu, tersipu dan menyembunyikan tawa di sebalik senyumannya.
“Awak tak rasa rindu pada Aldi ke?” Adzman melontarkan pertanyaan yang mengejutkan.
Nurlisa rasa jantungnya bagai terpenggal.
Adzman memandang Nurlisa dengan ekor matanya.  Dia perasan rona wajah Nurlisa berubah. Dia seolah memahami sesuatu.  Mungkin Nurlisa ada menaruh hati pada abangnya. Mungkin mereka saling mengharapkan. Namun masing-masing menyembunyikan dan memendam perasaan. Nurlisa seorang yang pemalu. Aldi pula seorang yang terlalu berhati-hati. 
“Lama juga awak menjaga dan melayaninya, Lisa. Mesti ada rasa rindu. Jika tidak masakan Aldi cepat berubah, bersemangat dan boleh menerima kenyataan. Ramai doktor yang ayah bawakan ke rumah itu, tapi semuanya gagal memulihkan Abang Aldi.” Cerita Adzman lambat-lambat. 
Nurlisa masih mendiamkan diri. Dia tidak tahu untuk menjawab atau memberi sebarang komen. Rindu yang sering bertandang di jiwanya, dia sendiri tidak dapat meneka apakah itu milik Aldi atau keluarganya? “Saya menganggap Encik Adzman dan Encik Aldi sebagai majikan saya.” Suaranya lembut. Ada ketulusan di wajahnya. 
Adzman tersenyum mendengar kata-kata Nurlisa itu. Dia faham pendirian gadis yang sedang berada di hadapannya itu. Keikhlasan dan ketulusan hati Nurlisa benar-benar membuat hatinya terpaut. Mencuri hatinya. Mungkin telah mencuri hati Aldi juga. “Mesti Aldi kecewa. Bila dia balik dari luar negara, Lisa tak ada di rumah lagi!” Suaranya agak perlahan. Dia sendiri pun berasa kecewa dan kehilangan apabila Nurlisa meninggalkan vila itu. Segala keserian seolah telah lenyap dan hilang.
Nurlisa hanya mendengar sahaja kata-kata yang keluar daripada bibir Adzman.
“Beginilah, Lisa. Saya dan  seorang kawan, baru membuka sebuah syarikat perniagaan landskap. Kami memerlukan seorang kerani. Saya nak tawarkan awak kerja itu. Awak berminat tak.” Adzman menghela nafasnya perlahan sambil menghirup fresh orennya.
“Perniagaan landskap?” Nurlisa mengerutkan dahinya. 
“Ya. Perniagaan yang menggabungkan perkhidmatan merancang, mereka bentuk dan menyelenggara landskap yang hendak dihasilkan, sehingga mewujudkan pemandangan alam sesuatu kawasan. Hmm... ada bukit, air terjun, pokok, bunga...” terang Adzman apabila dilihatnya gadis itu seperti tidak memahami apa yang dimaksudkannya.
“Hah! Macam taman di Vila Kencana Emas tu, ya.”  Nurlisa spontan menyampuk. Dia tersenyum lebar. Di matanya terbayang keindahan taman-taman kecil yang banyak terdapat di Vila Kencana Emas. 
“Ya... betul. Setuju ya. Saya yakin jawatan itu sangat sesuai dengan Lisa sebab Lisa berminat dengan bunga-bungaan,” pujuk Adzman lagi.
“Tapi...  saya...” Nurlisa rasa serba salah untuk menerima tawaran itu. Rasa segannya menggunung. Pandangan matanya terlontar ke wajah Adzman yang kelihatannya terlalu mengharap.
“Lisa... takkan selamanya awak nak bekerja di kedai menjual telefon bimbit tu. Buat permulaan, awak terimalah tawaran saya. Kemudian jika awak rasa nak sambung belajar, awak teruskan.” Adzman menasihati gadis yang berada di depannya. Matanya terus merenung wajah gadis itu.
“Seperkara lagi. Nanti saya tunjukkan rumah yang akan awak tinggal. Syarikat sediakan tempat tinggal untuk stafnya.” Suaranya semakin kendur. Adzman berharap supaya segala rancangannya berjalan lancar. Dia ingin menebus dosanya kepada gadis itu. 
“Tapi encik, saya cacat. Saya...” Nurlisa menundukkan wajahnya. 
Adzman berasa tersentuh apabila melihat wajah Nurlisa yang sayu. Rasa bersalah tiba-tiba menyelinap ke seluruh hatinya. Bukankah ketempangan gadis itu disebabkan oleh dirinya. Dia amat yakin akan perkara itu, namun dia tidak pernah bertanya kepada Nurlisa.
 Tambahan pula sewaktu kemalangan, Nurlisa tidak dapat melihat wajahnya dan tidak ada saksi yang melihat kejadian itu. Tapi dia yakin, Nurlisalah orangnya kerana dia masih kenal warna serta corak baju kurung yang dipakai oleh mangsa rempuhan keretanya itu. Dan gadis itu pernah memakai baju kurung yang sama sewaktu di Vila Kencana Emas. Sehingga kini, perkara itu menjadi rahsia hatinya. Dia bimbang gadis itu akan mendendami dan membencinya sekiranya dia berterus terang.
“Lisa, jangan pandang rendah pada diri sendiri. Peluang jangan ditolak kerana ia datang hanya sekali sahaja.  Gunakanlah kesempatan ini untuk kebaikan.” Adzman memujuk dengan suara lembut.
“Kecacatan itu bukan halangan untuk berjaya, Lisa.”  Adzman menasihati lagi gadis yang berada di hadapannya. 
“Saya faham, Encik Adzman. Kecacatan bukan penghalang kehidupan dan kejayaan.” Nurlisa bersuara optimis. Ramai orang yang lebih cacat daripadanya sudah menempa kejayaan cemerlang. Ada yang buta telah berjaya menjadi professor.  Yang kudung kaki menjadi jurutera yang berjaya.
“Hujung bulan ni awak  boleh mula bekerja di pejabat  Awana Indah Landskaping.” Adzman tersenyum sebaik sahaja melihat Nurlisa seolah ingin bersetuju. “Tak berapa hari lagi aje. Hmm... hari ni, 25 haribulan.”
“Tapi encik... saya tak pernah melakukan kerja-kerja pejabat. Nanti akan menyusahkan encik pula.” Nurlisa meluahkan kerisauannya. 
“Kalau tak pernah, kita pernahkan. Baru boleh dapat pengalaman. Tak apa Lisa, buat yang mudah-mudah dulu. Saya akan ajarkan nanti. Atau jika perlu, syarikat akan hantar Lisa pergi kursus berkenaan dengan landskap ni. Banyak juga yang boleh dipelajari,” ujar Adzman pula.
“Setuju ya. Jangan menolak peluang yang datang sekali sahaja.” Adzman memujuk lagi.
“Lisa ada cita-cita untuk membantu keluarga, memberi kesenangan kepada mereka. Inilah waktunya Lisa. Insya-allah, niat yang baik itu akan diberkati Allah.” Adzman terus memujuk.
“Tapi, saya masih belum menemui keluarga saya, encik.”  Suara Nurlisa bersulam sendu. Hatinya terasa dihiris-hiris mengenangkan keluarga yang entah di mana.
“Insya-allah. Satu hari nanti Lisa pasti bertemu mereka kembali. Sementara itu, Lisa berusahalah untuk memperolehi apa-apa yang Lisa cita-citakan untuk mereka.  Kerja dengan saya, ya?” Di hujung nasihatnya itu, Adzman terus mengharapkan kepastian daripada gadis itu. 
Nurlisa menganggukkan kepala tanpa bersuara. Di bibirnya menguntum senyuman. Dia bersetuju dengan kata-kata Adzman. Mungkin pekerjaannya yang baru itu akan mengubah kehidupannya. Menambah rezekinya. Peluang hanya datang sekali sahaja dan jika dibiarkan begitu sahaja, ia tidak akan kembali lagi.





                             ~~~BERSAMBUNG~~~~

Tiada ulasan: