SALWA tersenyum sebaik sahaja
dapat berbual dengan Umar. Akhirnya pemuda itu sudi juga untuk berbual
dengannya setelah beberapa kali Salwa menghubunginya melalui telefon bimbit
Faizul, teman Umar.
“Saya
tak cedera apa-apa pun, cik. Jangan cik susah hati kerana pancaindera saya
masih lengkap dan tidak luak dek kemalangan itu.”
Kata-kata
yang diungkapkan oleh Umar dengan nada bersahaja dan lurus bendol itu agak
mencuit hati Salwa. Dia ketawa dan rasa terhibur. Rina Melati yang sedang
memandu di sebelahnya memasang telinga mencuri mendengar perbualan itu.
“Keluarga
asal dari mana?” Salwa cuba beramah mesra kerana hatinya tertarik hati untuk
mengenali pemuda itu dengan lebih dekat lagi.
Dada
Rina Melati berdebar apabila mendengar nama Umar disebut oleh anak tirinya itu.
Dia terkenangkan Umar, temannya sewaktu menuntut di universiti dulu.
“Emak
saya orang Perak. Bertemu jodoh dengan orang Kelantan. Sekarang ni keluarga
saya tinggal di Kelantan, di sebuah perkampungan nelayan.” Umar menjawab satu
demi satu.
Beberapa
minit berbual, akhirnya Salwa diberitahu pemuda itu yang dia baru sahaja
menamatkan pengajiannya di sebuah universiti di Pulau Pinang dalam jurusan
pendidikan. Kedatangannya ke negeri Johor hanyalah untuk bercuti dan secara
kebetulan mereka bertemu di lapangan terbang kerana insiden kecil itu.
“Umar,
simpan nombor telefon saya. Bila-bila senang Umar hubungi saya semula atau
hantar mesej. Saya dalam perjalanan ke airport ni. Maaf sekali lagi kerana insiden
kelmarin.” Salwa menamatkan perbualan mereka dengan perasaan senang.
“Kawan
Wawa.” Salwa memberitahu Rina Melati sebelum sempat wanita itu bertanya
kepadanya.
Rina
Melati hanya tersenyum sambil memandang Salwa dengan ekor matanya.
Rina
Melati menghantar anak tirinya itu sehingga ke balai pelawat di
lapangan terbang itu. Dalam sepuluh minit menunggu, kedengaran pengumuman dari
pembesar suara meminta penumpang yang akan ke Kuala Lumpur menaiki kapal
terbang yang akan berlepas beberapa ketika nanti.
“Mama
tolong jaga emak dan ayah, ya.” Salwa sempat berpesan dengan Rina Melati
sebelum mereka berpisah. Meskipun pada mulanya dia tidak begitu menyetujui
pernikahan ayahnya dengan wanita muda itu, kini segalanya berubah. Sepanjang
masa dia bercuti walaupun tempoh waktu yang singkat, dia merasakan pilihan
ayahnya sangat tepat. Nampaknya Rina Melati menjaga ayahnya dengan baik.
Keikhlasan dan ketulusan terpancar diwajah dan setiap gerak geri serta
kata-katanya.
“Insya-ALLAH,
Wawa,” jawab Rina Melati. Rina Melati berdiri tercegat di ruang menunggu itu
sehingga kelibat anak tirinya itu hilang dari pandangan matanya.
“Melati!
Wawa dah berangkat?”
Tersentak
Rina Melati sebaik sahaja ingin memulakan langkahnya, Anas tiba-tiba berada di
belakangnya. Anas tercegat dan merenungnya lama-lama. Rina Melati berasa serba
salah.
“Dah!
Baru saja! Hmm... dalam tiga minit tadi. Anas datang seorang ke?” soal Rina
Melati sambil melangkah diekori oleh Anas. Perasaannya sedikit bimbang dengan
kehadiran anak tirinya itu. “Kenapa Alia tidak ikut sekali?” Sambung Rina
Melati lagi sambil merenggangkan jarak tubuhnya dengan Anas. Telatah Anas
mencemaskan hatinya.
“Mengapa
ayah tak ikut sekali?” Anas pula menyoal Rina Melati sambil tersengih-sengih.
“Datuk
hendak melawat Datin di hospital.” Ringkas jawapan yang keluar dari bibir Rina
Melati. Dia harus berhati-hati dengan anak tirinya yang seorang ini.
“Bagus juga. Kalau tidak kita tidak berpeluang
untuk berdua,” ujar Anas sambil ketawa kecil dan kembali merapatkan tubuhnya
kepada Rina Melati. “Jom, kita pergi minum dulu.” Spontan dia menarik lengan
Rina Melati supaya mengikut langkahnya.
“Tak
apa, Anas. Nanti Datuk bimbang pula. Lagipun, tak manis orang tengok. Akan
mendatangkan fitnah pula nanti. Kita minum di rumah saja.” Rina Melati cuba
menolak dengan lembut.
“Nak
takut apa? Biar saya telefon ayah dan minta izin. Nak minum-minum dengan ibu
tiri pun tak boleh ke?” Anas bersuara sinis dan cuba untuk mengusik.
Butang-butang di telefon bimbit terus ditekan. Tidak sampai satu minit,
perbualan ditamatkannya dengan senyuman yang melebar.
“Tak
ada masalah. Ayah dah benarkan saya bawa Melati ke mana sahaja yang saya suka. Asalkan saya jaga
keselamatan mama.” Anas ketawa bertali apabila menyebut perkataan mama. “Sekarang kita nak ke mana?”
Pegangan tangan Anas ke lengan Rina Melati semakin kuat dan kemas. Gembira
benar hatinya kini. Dapat dia memegang tangan Rina Melati yang halus mulus itu
lama-lama. Keinginannya yang kian lama terpendam akhirnya dapat juga digenggam.
“Kan
mama datang dengan kereta lain tadi.” Rina Melati terus memberi alasan untuk mengelakkan
dirinya daripada Anas. Tangannya cuba merungkaikan tangan Anas yang kemas
memegang lengannya.
“Tak
apalah kalau tak sudi. Lain kali saya ajak keluar, jangan menolak lagi. Kereta parking di
mana?” Tangan Anas beralih ke pinggang Rina Melati pula.
Rina
Melati semakin gelisah. “Di hujung sana. Tak apa, mama pergi sendiri.” Sekali
lagi dia menjauhkan dirinya daripada disentuh oleh Anas.
Anas
tersenyum simpul. Dia tahu Rina Melati berasa resah dan gelisah kerana
perlakuannya tadi.
“Baiklah
kalau begitu. Kita bertemu di rumah nanti.Kereta saya di sana.” Anas
meninggalkan Rina Melati.
Rina
Melati menarik nafas lega.
Berderau
darah Datin Jazima apabila melihat Datuk Johan melawatnya di hospital. Dia
terkejut bukan kepalang. Rasa hendak pengsan pun ada. Mustahil suaminya itu
sembuh sedrastik itu.
“Rina
Melati kirim salam,” ujar Datuk Johan sambil duduk di sisi katil Datin Jazima.
Senyuman hambar dilemparkannya kepada Datin Jazima yang menyambutnya dengan
menunjukkan wajah masam.
“Ilmu
apa yang dia pakai?” Tidak menjawab salam, sebaliknya Datin Jazima terus meneka
yang bukan-bukan.
“Ilmu?”
Datuk Johan mengecilkan matanya sewaktu menanyakan soalan itu kepada isterinya
yang sedang memandang ke arah lain.
“Ilmulah!
Yang menyebabkan awak sembuh secepat ini dan saya pula terlantar!” bentak Datin
Jazima tiba-tiba sambil menepuk tilam dengan kuat.
“Melati
tidak guna apa-apa ilmu pun. Dia menjaga
saya dengan setia dan sabar. Berdoa kepada ALLAH pada setiap saat,” tukas Datuk Johan,
membela isteri mudanya itu.
“Kalau
budak kecil, bolehlah awak nak kelentong! Saya ni dah tua, dah banyak makan
garam!” sangkal Datin Jazima.
“Doktor
kata apa? Bila awak boleh balik ke rumah?” soal Datuk Johan. Matanya merenung
Datin Jazima.
“Saya
tak mahu balik kalau perempuan tu ada di rumah! Awak dah sihat! Kita tak
perlukan dia lagi. Kalau awak mahu saya balik, awak ceraikan dia!” ugut Datin
Jazima dengan suara keras dan tegas. Kata-katanya berbau ugutan.
“Awak ni tak serik-serik, Jazima! Kenapa pula saya kena
ceraikan Melati? Tak ada sebabnya. Saya sayang dia! Dia menjaga saya dengan
penuh kesetiaan dan sabar walaupun dia tidak terima haknya sebagai seorang
isteri kerana saya sakit!” balas Datuk Johan. “Saya sakit, siapa yang ambil berat
kepada saya? Awak? Anak-anak? Semuanya buat tidak peduli pada saya,” rungut Datuk
Johan. Dia seolah melepaskan rasa geramnya yang terpendam selama ini.
Pintu bilik tiba-tiba terkuak dari luar.
Seorang jururawat dan doktor mendatangi mereka untuk merawat Datin Jazima.
Datin Jazima sudah dibenarkan pulang ke rumah pada petang itu. Entah di mana
silapnya, kakinya yang sebelah kanan tidak mampu bergerak lagi buat waktu itu.
Dia terpaksa bertongkat untuk ke sana dan ke sini.
“Wawa
dah balik?” soal Datin Jazima sebaik sahaja doktor dan jururawat beredar dari
situ.
Datuk
Johan mengangguk. “Melati yang hantar dia ke airport tadi. Saya bersama
Pak Hussin terus datang ke sini menjenguk awak! Anak-anak yang lain tidak
datang jenguk awak ke? Jazmi? Anas?”
Datin
Jazima tidak menjawab. “Mengapa Melati pula yang hantar Wawa? Awak bagi dia
pandu kereta saya? Semua dia nak ambil, nak kebas? Tak guna punya perempuan!”
kata Datin Jazima.
Datuk
Johan mengeleng. “Sudahlah tu, Jazima. Awak ni tak insaf-insaf. Tengoklah
keadaan kaki awak tu? Jangan-jangan itu tanda kemurkaan ALLAH kepada awak
kerana melakukan kezaliman kepada orang lain,” sindir Datuk Johan.
“ALLAH
murka kepada saya saja? Tidak murka kepada awak? Sudahlah abang! Saya kata awak
ceraikan perempuan tu! Saya tak rela dimadu tahu tak? Saya tak boleh terima
semua n! Bila awak dah kaya raya, banyak duit, banyak harta awak madukan saya!
Dulu buat apa kahwin dengan saya? Atau ceraikan saya! Semua harta pindah ke
atas nama saya!” arah Datin Jazima.
“Hisy!
Awak ni perangai macam orang tak ada iman! Sepatutnya dari dulu lagi, saya dah
bernikah lain, bukannya seorang, tetapi tiga orang!” usik Datuk Johan. “Saya
sempat baca dokumen yang awak suruh saya tandatangan kelmarin. Sekarang ni
macam mana? Masih nak batalkan surat kuasa yang dulu dan pindah semua kuasa
kepada awak?” tanya Datuk Johan dengan nada sinis.
Datin
Jazima terdiam. Dia rasa tersindir.
“Saya
tidak kisah untuk tandatangani semuanya, Jazima. Tapi setelah itu, segala
urusan syarikat akan tertanggung atas bahu awak! Saya dah tak ada apa-apa kuasa
lagi. Kalau awak nak semua harta ambillah,” beritahu Datuk Johan. Dia meluahkan
apa yang terpendam di dalam hatinya selama ini. Hatinya sudah jelak dengan
perangai isterinya yang tamak haloba terhadap harta dunia.
“Harta
dunia ini tidak dapat selamatkan saya dari azab api neraka!” Sambung Datuk
Johan lagi, cuba berkias dan berharap Datin Jazima akan memahami maksud
kata-katanya itu.
“Awak
ni nak melawat saya ke nak menyakiti hati saya?” soal Datin Jazima dengan nada
membentak sambil matanya menjeling tajam kepada Datuk Johan.
“Insaflah, Jazima. Kita ni dah tua. Lebih baik awak berdoa kepada ALLAH. Mohon keampunan dan
kesembuhan penyakit ini,” pesan Datuk Johan.
Datin Jazima mencebikkan
bibirnya.
~~BERSAMBUNG~~~

Tiada ulasan:
Catat Ulasan