Khamis, 14 Februari 2013

Novel:Redha TakdirMu(Bab 28)- ALAF21







ALAM tetap menghampiri dan semakin menjemukan. Aku menjalankan rutin seperti biasa.  Sekembalinya dari kilang, aku memasak juadah untuk minuman petang.  Kemudiannya aku melayani Idham berbual sambil menikmati hidangan yang telah aku masak. 
Malamnya, selepas sembahyang maghrib, aku menyediakan hidangan malam pula. Kemudiannya sembahyang isyak sebelum menikmati makan malam. Seterusnya Idham akan mengadap TV sehingga ke dinihari.
Bosan. Terlalu membosankan. Alangkah meriahnya jika kami memilki seorang dua cahaya mata. Boleh juga aku melayani telatah anak-anak. Aku sendiri pun memang sukakan kanak-kanak. Sayangnya, aku gagal dan kecewa. Tidak dapat mencurahkan kasih sayang kepada zuriat sendiri, aku ingin menumpang dan memberi kasih kepada anak-anak orang lain.  Anak saudara misalnya.  Namun, itu pun menjadi kemarahan Idham. Dia cemburu jika aku terlebih-lebih melayani anak-anak saudara yang berusia tak sampai pun empat tahun.
Setiap kali aku melayan kanak-kanak, balik ke rumah aku teruk kena marah. Seperti yang berlaku tadi. Aku melayani telatah anak saudara yang dipelihara oleh emakku di kampung. Idham rasa cemburu agaknya. Belum sempat sampai ke rumah, aku telah ditengking herdiknya di dalam kereta.
“Eh! Lidya yang kamu beria-ia layan anak saudara kamu tu kenapa? Budak macam itu pun kamu nak layan! Sanggup buat tak peduli kepada laki sendiri!” Idham memarahi aku dengan suara yang kuat. 
“Yang abang tu, pergi picit tangan budak tu sampai nyaris patah, kenapa? Tak ada akal? Dengan budak umur tiga tahun pun abang nak kecil hati!” Aku menempelak Idham kerana tidak puas hati dengan sikapnya mengasari anak saudaraku kerana budak itu bergurau dengan menumbuk-numbuk kepalaku. Terjerit budak itu apabila Idham mencengkam dan memicit lengannya yang kecil itu dengan kuat.
Meraung dan menangis pun Idham tidak melepaskan cengkaman tangannya sehingga memaksa bibir munggil anak itu memaki dengan kata-kata yang menunjukkan marahnya terhadap Idham. Kata-kata makiannya pun bukanlah kasar sangat untuk lelaki seperti Idham. “Pak uda sudu, mangkuk, kucing!” kata-kata itulah yang menyebabkan Idham panas baran.
“Kurang ajar! Pantang betul abang budak kurang ajar!  Usahkan anak orang, anak saudara sendiri dan anak sendiri pun abang tak suka!” Idham tidak pernah mengalah. Matanya menjegil kepada aku dengan perasaan marah.
“Budak tu baru tiga tahun tengok dunia bang! Abang tu umur dah senja! Budak tu mana ada akal lagi! Yang abang marah dia tu kenapa? Abang nak samakan pemikiran budak tiga tahun dengan pemikiran abang?” Rasa geram yang membuak, membuahkan rasa berani di hatiku. Bibirku petah menjawab dan mempertahankan anak saudaraku.
“Abang ada pantang, dia pun ada pantang! Abang dah tahukan, budak tu tak suka digomol-gomol! Dia takut abang, dia tumbuklah kepala Lidya,mak saudara dia! Apa salahnya...cucu rasulullah pun panjat atas belakang baginda tetapi baginda tak marah pun! Tak baca hadis ke? Takkan masuk syurga orang-orang yang tak menggembirakan hati budak!”  Aku bersuara sinis dengan nada dan suara yang perlahan.
“Diam!!! Bodoh! Kurang ajar! Bila aku dah diam, kamu diamlah!! Lain kali aku tak bagi balik rumah emak bapak kamu lagi! Setiap kali balik kampung, kamu bergaduh dengan aku! Setiap kali balik, kamu bantah dan derhaka pada laki!”  Idham mencubit pehaku. Kemudian dia memecut kereta dengan laju dan perasaan yang marah.

SANGKAKU, pertengkaran di atas kereta akan berakhir disitu saja. Rupa-rupanya aku terlupa yang Idham, seorang yang pendendam. Dia akan mengungkit-ungkit sehingga hatinya benar-benar puas. Kepuasan hatinya mungkin akan tercapai apabila kaki tangannya hinggap ke batang tubuhku.
“Ingat tu Lidya! Abang tak benarkan Lidya balik kampung jika si setan tu ada di rumah itu!” Idham memberi amaran.  Astagfirullahilazim! Budak berusia tiga tahun dilabel sebagai syaitan. 
“Apa abang cakap ni? Sudahlah tu, yang dah lepas tu sudahlah.” Sebagai isteri aku cuba menasihati. Mengatakan yang bukan-bukan terhadap orang lain, bukankah mempamerkan peribadi yang tidak elok.
“Eh! Jangan nak kurang ajar! Aku beritahu kamu, aku bukannya nak jawapan atau apa-apa pernyataan daripada kau! Bodoh! Kurang ajar! Kau orang memang kurang ajar!” kata-kata Idham benar-benar menaikkan rasa marahku. Menghina keluargaku. Menghina ibu bapaku.
“Kenapa dengan  abang ni? Hal yang kecil tu pun nak dibesarkan! Jangan nak hina famili Lidya! Kalau Lidya kurang ajar, bodoh, buat apa simpan Lidya di rumah ni? Abang pergilah cari perempuan lain yang sanggup jadi isteri abang!”  suaraku agak kuat. Kesabaran tidak dapat kupertahankan lagi jika keluarga dan ibu bapaku telah dicaci hina.
“Kurang ajar!” Idham mengangkat kerusi rotan yang diduduknya lalu kerusi itu diangkat tinggi, menghempap kepalaku.
Aku cuba mengelak dan terjatuh di atas lantai berhampiran kabinet dapur. Tindakan Idham yang cuba mencederakan aku itu benar-benar membuatkan aku terkejut dan takut, lantas  menangis dengan agak kuat. Dalam keadaan yang mengiring, aku terus menangis tersedu-sedu.
Idham menghampiriku, lalu memekup mulutku dengan tangannya yang besar dan keras itu. “Diam! Diam! Jangan nak pura-pura menangis! Penipu! Kesedihan kamu tu palsu!  Cepat masak! Aku nak makan! Tadi kamu janji nak buat chicken chop! Buat!”  Sebahagian tangan Idham memekup hidungku.  Menghalang aku bernafas. Aku meronta untuk melepaskan diri dan tercungap-cungap kerana pernafasan yang terganggu. 
“Tolong! Tolong... tak boleh bernafas.”  Idham melepaskan tangannya apabila aku hampir lemas. Aku tercungap-cungap menyedut nafas kerana paru-paru mungkin telah kekurangan oksigen akibat pernafasan terganggu seminit dua.
Tiada perasaan belas simpati, Idham menarik pula tubuhku dari atas lantai dan memaksaku berdiri. Aku terus menangis teresak-esak. Kepiluan dan kengiluan hatiku tidak siapa pun yang tahu. Idham mengeluarkan ayam dari peti sejuk dan menghempaskannya di hadapanku. Aku benar-benar rasa takut dan terancam dengan kelakuan Idham. Dalam rasa takut dan kesedihan yang teramat, aku menyiapkan juga masakan yang diingini oleh Idham. 
Selepas makan tanpa sepatah kata, Idham mengambil bantal dan berbaring di ruang tamu.
Kini Idham sedang tidur. Bersungguh-sungguh dia tidur atau sebaliknya aku tidak peduli. Kadangkala, timbul fikiran jahat dibenakku, tambahan setiap kali aku dikasari oleh Idham, ‘tidur tak bangun-bangun pun tak mengapa.’ Sedu esakku masih bertandang sesekali. Selepas solat isyak tadi, puas aku mengadu kepada ALLAH. ‘Ya ALLAH, Ya TUHAN-ku, mengapakah nasibku begini. Kuatkanlah hatiku untuk menempuh rencana yang telah kau tetapkan kepadaku. 
Hamba-MU ini telah kian lama menderita. Ambillah nyawaku, sekiranya kehidupan sudah tidak memberi kebaikan kepadaku. Ambillah kehidupanku, tukarkannya dengan kematian, jika kematian itu terlebih baik buatku. Itu doa orang yang putus asa daripada rahmat ALLAH. Doa yang panjang, baca al-Quran berhelai muka surat  mungkin dapat  merawat hatiku. Hatiku benar-benar terluka. Aku inginkan seseorang. Seseorang yang boleh memahami diriku.

PUKUL 3.00 pagi. Kegilaan apakah yang menyebabkan aku menjengah lagi ke kamar ‘Veteran’ di halaman MIRC32.  Apakah yang inginku cari di sana? Aku memadamkan terus volume yang ada di komputerku. Abgdno. Nickname itu menyapa aku lagi sebaik sahaja aku berada di kamar ‘Veteran’.  Aku terdiam beberapa ketika.  Kepiluan di hatiku amat dalam, seolah meratah seluruh tangkai jantungku.

>abgdno<  Hai sayang! Assalamualaikum!
>Lidyahani<      Hai. Waalaikumsalam.
>abgdno<  Dah pukul 3.00 pagi ni? Mengapa Hani tak tidur lagi!
>abgdno<  Hani
>abgdno<  Hani

Kata-kata daripada Abang Syamil membuatkan aku bertambah sebak. Aku terpaku seketika di depan komputer, tidak tahu untuk menjawab apa.

>abgdno<  Hani, mengapa ni?  Menangis ya? 

Sememangnya aku sedang menangis kerana mengenang untung nasib. Kata-kata di dada komputer itu tambah memilukan hatiku. Siapa Syamil yang ingin mengambil berat tentang diriku, tentang tangisanku sedangkan Idham, suami yang telah menikahi aku selama enam tahun tidak pernah mengendahkan air mata yang tertumpah dari kolam mataku.

>abgdno<  Hani.
>Lidyahani<      Hani sedang sedih! 
>abgdno<  Hani
>abgdno<  Abang ada. Abang kesatkan  air mata di pipi Hani.

Syamil semakin memilukan hatiku. Aku terus menangis tersedu-sedan. Air mata berjuraian jatuh di pipi dan menitis ke papan kekunci. Mengapakah Syamil tidak berada di hadapanku di waktu itu? Di alam nyata. Boleh kupandang rupa, kudengar bunyi suara dan desahan nafasnya.

>Lidyahani<      Terima kasih. Mengapa abang masih ada? Dah pukul 3.00 lebih ni! Baliklah, nanti isteri abang di rumah tertunggu-tunggu dan risau.
>abgdno<  Entahlah Hani!  Abang asyik teringat Hani!  Dari pukul sepuluh tadi abang dah online, tapi Hani tak ada dalam chat room ni. Abang keluar. Lepas tu abang joint balik! Abang cari Hani, sampai sekarang ni. Alhamdulillah, bila abang online sebentar tadi, abang nampak nickname Hani. Seronok rasanya.
>Lidyahani<      Terima kasih.
>abgdno<  Hani sedih kenapa? Ceritakanlah! Kalau rasa percaya kepada abang! Kita kongsi sama-sama.
>Lidyahani<      Tak ada apa-apa. Terima kasih kerana mengambil berat. Bertuah isteri abang. Ada suami yang penyayang.
>abgdno<  Abang memang penyayang. Suka menolong orang.
Aku  tersenyum membaca kata-kata dari Syamil.
 
>Lidyahani<      Hai, subuh-subuh ni nak promosi diri ke?
>abgdno<  Heh!heh!

Aku cuba bergurau untuk menghiburkan hatiku.  Mujur Syamil faham dengan gurauanku. 

>Lidyahani<      Esok tak kerja ke? Sampai subuh tak tidur lagi?
>abgdno<  Abang businessman. Siber kafé ni abang punya.
>Lidyahani<      Oh!  Baguslah! Semoga maju jaya.
>abgdno<  Terima kasihlah. Harap-harap begitulah.  Abang bercita-cita untuk membina satu empayar niaga.
>Lidyahani<      Wah! Bagusnya. Berjiwa besar! Bagus!  Hani doakan abang berjaya capai cita-cita. Dah lama menjadi usahawan?
>abgdno<  Baru lagi. Tiga tahun. Sebelum ni, abang seorang pensyarah! Abang memang minat berniaga. Hani kerja di mana?
>Lidyahani<      Kilang saja. 
>abgdno<  Kerja di mana pun tak apa. Asalkan pendapatannya halal.

>abgdno<  Hani, dah rasa tenang sikitkan? Lain kali, kesedihan jangan dipendam sendirian. Cari seseorang untuk bercerita, walaupun tidak bercerita perkara apa yang menjadikan kita sedih, hati kita akan kembali tenteram… cari abang! Jangan bimbang, abang lelaki yang baik!
>Lidyahani<      Hai! Abang ni asyik promosi saja! Oopss..Hani terlupa. Abang seorang businessman kan? Heh!heh!
>abgdno<  Hani, abang rasa senang berkawan dengan Hani. Walaupun baru beberapa bulan kita kenal dan baru chatting tiga empat kali, abang yakin Hani seorang yang memahami, baik.
>Lidyahani<      Terima kasih… kalau abang tak puji, siapa lagi yang nak puji Hani!
>abgdno<  Abang pun baik juga. Memahami juga. Itu sebab ramai perempuan suka nak berkawan  dengan abang.  Waktu abang bujang dulu, emak abang selalu risau.
>Lidyahani<      Risau? Kenapa?
>abgdno<  Emak abang kata, dia tak risau abang merokok ke, mabuk ke, main nombor ekor ke sebab dia tahu abang takkan buat itu semua. Tapi dia bimbang abang akan kira kepala isteri, kahwin banyak, sebab ramai perempuan suka dan syok pada abang!
>Lidyahani<      Heh!Heh! Ya ke?
>Lidyahani<      Bang!
>abgdno<  Ya sayang!
>Lidyahani<      Di bawah meja Hani ni ada bakul, abang nak tak? Heh!Heh!
>abgdno<  JJ heh1Heh! Nakallah Hani ni! Perli abang pulak! Bakul abang tak nak! Mana muat! Lif bolehlah! Tarik hidung nanti!!!
>abgdno<  Anak-anak abang pun manja dengan abang!  Hani tahu tiap kali abang balik dari kerja, semua  serbu abang.  Minta di dukunglah macam-macam.

Aku rasa cemburu bila mendengar cerita Abang Syamil.  Alangkah bagusnya jika aku boleh menumpang kasih anak-anaknya.

>Lidyahani< Seronoknya. Teringinnya Hani menemui anak-anak abang.
>Lidyahani<      Ermm, Hani mengantuk ni! Nak masuk tidur! Terimakasih kerana sudi berbual dengan Hani! Assalamualaikum.
>abgdno<  Esok on?
>Lidyahani<      Maaflah, Hani tak boleh janji.
>abgdno<  Ofis ada internet? Tengah hari boleh on line? Kita janji!  Abang tunggu. 
>Lidyahani<      Insyaallah. Tapi Hani tak boleh janji. Jika diizinkan TUHAN ada, adalah.  Jika tak, tak adalah!  Assalamualaikum bang!
>abgdno<  Waalaikumsalam. Take care.

Perbualanku dengan Syamil tamat pada pukul 3.50 pagi.  Hatiku berasa lega sedikit setelah berbual dengannya.  Patutlah  aku mendengar ramai orang akan kemaruk apabila sudah mengenali dunia sembang-sembang di alam siber. Mudah-mudahan aku tidak terjerat dengan sesuatu yang buruk gara-gara perkenalan di alam ini.      



                          ~~~~~bersambung~~~~~~~











Tiada ulasan: