Khamis, 21 Februari 2013

Novel:REDHA TAKDIRMU(BAB 29) -ALAF21




AKU bernyanyi-nyanyi riang sambil menyedut habuk-habuk di lantai, sofa, celah-celah almari dengan vakum.  Nafas yang kuhirup bagaikan haruman kuntuman bunga-bunga dan kasturi dari syurgawi.  Aku bagaikan baru bangun dari kematian yang amat lama.   Sebelum ini, aku bagaikan manusia mati yang masih melata di bumi. Bibirku tersenyum, tetapi hatiku menangis. 
Dalam keriuhan, aku kesunyian. Kekosongan, kesepian dan kesunyian menjadi temanku yang paling akrab. Namun, semenjak mengenali Syamil di alam siber, segalanya berubah. Keceriaanku kini bukannya yang pura-pura. Senyumanku lahir daripada hatiku yang juga sedang gembira. Kemarahan Idham, aku terima dengan fikiran terbuka dan kesabaran yang semakin lebar.

>abgdno<  Kalau Hani sayang kepada abang, jangan lawan suami.
>abgdno<  Kalau Hani sayang pada abang, mesti taat suami.
>Lidyahani<      Hani tahu.
>abgdno<  Suami garang tak apa, tapi, jangan suami pukul Hani, kalau Hani sudah tidak boleh tahan dan sabar, Hani lari. Tapi jika boleh sabar, teruslah bersabar.
>Lidyahani<      Kalau begitu, Hani sabar. Hani taat.
>abgdno<  Suami Hani pernah pukul Hani ke? Tak kan?
>Lidyahani<      JJ
>abgdno<  Hani sayang pada abangkan?
>abgdno<  Sayang pada abang tak?
>Lidyahani<      JJ  Sayanglah, sebagai seorang manusia.  Bukan kerana fizikalnya, bukan kerana abang seorang lelaki.
>abgdno<  Terima kasih sayang. Abang pun sayang kepada Hani.  Abang rasa senang dan tenang bila berbual dengan Hani.
>abgdno<  Hani.
>abgdno<  Hani.
>Lidyahani<      Hani pun begitu juga. Cuma Hani minta maaf kerana kita tidak dapat bertemu selalu. Hani isteri orang.  Kadangkala saja Hani dapat online. Itu pun jika suami sudah tidur lena dan  hati Hani berasa gusar.
>abgdno<  Gusar? Mengapa sayang?
>Lidyahani<      Entahlah bang! Sebagai manusia normal.  Kadangkala, kegusaran itu datang menjenguk keras, sehingga kita terjaga dari mimpi yang paling indah. Kadangkala kita menangis seolah hati kita tergigit, pada waktu itulah Hani cuba layari internet dan jenguk ke kamar ini… saja nak menghiburkan hati.
>abgdno<  Hani, abang suka baca kata-kata yang Hani taip.  Macam penyair saja.
>Lidyahani<      JJ Heh!Heh!  Terima kasih. Penyair? Tinggi sangat tu. Sebenarnya bang Hani suka juga mengarang. Puisi.  Novel. 
>abgdno<  Ohhh!!! Ada puisi yang disiarkan di mana-mana?
>Lidyahani<      Alhamdulillah.  Adalah satu dua.
>abgdno<  Hani. Kalau abang minta Hani buatkan puisi untuk anak-anak abang boleh? Biar abang frame dan gantungkan di dinding.
>Lidyahani<      Insya-ALLAH. Hani cubalah. Abang nak yang macam mana?
>abgdno<  Abang nak nasihatkan anak-anak supaya jangan nak hidup bermewah saja. Dulu-dulu bolehlah. Nak apa semua dapat. Perniagaan ni naik turun… tambah-tambah sekarang ni, bisnes abang ada banyak masalah.
>Lidyahani<      Sabarlah. Berniaga memang begitu, adakalanya menempuh kedukaan, tapi itulah perjuangan sebenarnya. Hani akan doakan kejayaan abang.  Insya-ALLAH, tetapkan satu matlamat dan berusaha gigih, pasti berjaya.
>abgdno<  Puisi tu, bila siap Hani kirimkan ke e-mail abang.
>Lidyahani<      Okey.
>Lidyahani<      Bang, Hani nak tidur dah. Terima kasih kerana sudi meluangkan waktu abang untuk Hani.
>abgdno<  Jumpa lagi ya! Jaga diri.Assalamualaikum.
>abgdno<  Hani.
>abgdno<  I love you.
>Lidyahani<      Heh!Heh!

“LIDYA! Cepat sikit bersiap! Nanti keluar lewat, jalan raya sesak!” Idham, menyergahku. Kerianganku bagaikan terpancung. Bayangan tulisan-tulisan Syamil sewaktu kami bersama semalam, terpadam serta merta. Namun, ia tidak pernah terpadam dari ingatanku, sehingga kini.
“Nak pergi mana?” Aku mematikan switch di dinding.  Soket plug vakum aku tanggalkan. Wajah Idham kurenung.
“Pasar minggulah! Hari ini Ahad! Beli barang-barang dapur!” Idham menerangkan lagi. Dia telah siap berpakaian.  Seluar panjang hitam, berbaju kemeja lengan pendek, ungu muda berjalur hitam halus.
Aku menyimpan vakum di dalam almari lalu segera mencapai tuala untuk mandi sambil bernyanyi.
“Lidya! Lidya! Tak sedar diri ke? Menyanyi begitu di dalam bilik air, ingat umur sepuluh tahun ke apa?” Sekali lagi Idham memancung kerianganku. Pintu bilik air di ketuknya kuat-kuat seolah mahu meruntuhkannya.
Aku membuka pintu bilik air, menjenguk Idham yang sedang bercekak pinggang menunggu aku keluar. Aku tersenyum lebar sambil mencuit pipinya sewaktu melintas di depannya untuk ke bilik, menyalin pakaian.  Idham menepis tanganku. 
Sorrylah bang! Abang ni Lidya nak nyanyi  dan gembira sikit-sikit dah marah.” Aku bersuara lembut. Idham seolah tidak sabar menunggu aku bersiap.
“Lidya drive ya?” Aku meminta keizinan Idham. Lesen memandu sudah beberapa bulan diperolehi, tetapi Idham langsung tidak pernah membenarkan aku membawa kereta.  Jika hendak dikatakan aku tidak berhak kepada kereta buruknya itu, pelaburanku untuk memperolehi kereta itu ada juga. Duit muka sahaja RM4000 aku keluarkan dari simpananku. Habis simpananku di Tabung Haji dan Amanah Saham aku keluarkan demi menunaikan hasrat hati Idham.  Aku juga turut serta menyumbang separuh wang daripada jumlah ansurannya.
“Tak usah! Duduk saja diam-diam! Lain hari bawa!”  Begitulah Idham. Selalu mengecewakan aku dalam apa juga keadaan. Seluruh kehidupanku dipenuhi dengan kehampaan semenjak bersama dengannya. Mujurlah ALLAH telah menemukan aku dengan Syamil. Walaupun di alam siber, walaupun di alam maya, aku menyayanginya. Aku pun dapat merasakan yang Syamil juga menyayangiku. Tanpa mendengar suara, aku dapat merasakan yang Syamil seorang lelaki yang lembut, romantis, penyayang, memahami.
“Muncung kenapa? Melawan laki! Merajuk?” Sebaik sahaja aku duduk disisinya di dalam kereta, Idham mula berleter.
“Hujung tahun nanti, dah habis tempoh lesen tu tak payahlah Lidya nak renew!  Bukannya boleh bawa pun!” Aku merungut dengan perasaan yang mendengkil.
“Aduh! Sakitlah!” Aku terjerit kesakitan, sebaik sahaja jari tangan Idham hinggap di pehaku. Aku berpaling pada Idham yang sedang merenung aku di sebalik cermin mata hitamnya.
“Lain kali jangan nak kurang ajar dengan laki! Keras kepala!” Idham bersuara kuat. Lagi sekali pehaku dikutilnya.  Teringat pada pesanan Syamil, aku mendiamkan diri beberapa ketika.
“Minta maaflah bang! Tak apalah! Abang drivelah. Ada rezeki nanti Lidya beli kereta lain! Kancil pun jadilah.” Aku bersuara lunak. Perasaan marah telah terhakis daripada hatiku.
“Berlagak! Tak payah! Pakai kereta ini saja cukup! Esok-esok kalau aku dah tak boleh bawa kereta, kamu bawalah hari-hari! Sekarang ni, aku tengah sihat, biar aku yang bawa!  Kamu jangan nak bantah!”  kata Idham dengan kasar. Apa saja perkara yang aku cakapkan, akan menjadi kemarahannya.
Jadi salahkah aku jika aku menempatkan lelaki lain di dalam hati ini?  Aku inginkan kasih, Idham terlalu berkira. Aku inginkan sayang, Idham tidak pernah melafazkannya. Aku ingin dicintai, Idham sekalipun tidak pernah menyuarakannya.  Aku ingin dibelai, Idham membiarkan aku setiap malam seperti ikan keli di bendang pada musim kemarau.  Lalu apakah perkara-perkara yang dapat menumbuhkan kasih sayangku kepadanya? Selain daripada tanggungjawab dan kewajipan seorang isteri yang lahir kerana ijab kabul itu. Salahkah jika hatiku terbang mencari tempat perteduhan kasih sebagai memenuhi fitrah yang dituntut oleh seorang makhluk ALLAH


TUGASKU di kilang semakin mencabar. Setiap hari kepalaku sakit bila berada di sana. Sebenarnya aku juga merasa bosan. Kilang yang kecil, karierku tidak boleh berkembang lagi. Hampir empat tahun aku menjadi penyelia di sana.  Tanggungjawabku menjadi lebih berat. Model-model yang di keluarkan bertambah rumit.
Namun, itu tidaklah menjadi masalah bagiku. Yang aku bimbangkan sangat ialah lot-lot yang dihantar ke cawangan tempatku bekerja semakin kecil saiznya. Itu petanda yang tidak baik. Aku memahami juga masalah ekonomi negara pada waktu itu, sedang mengalami kegawatan. Tempiasnya akan terkena juga kepada kilang-kilang elektronik seperti itu.
Aku mula mencari jalan keluar. Tanpa diketahui Idham, aku membuat permohonan demi permohonan ke sektor awam.  Manalah tahu, ada rezeki, tersangkut. Bagiku tidak mengapa, jika gaji kecil asalkan terjamin di hari tua.
“Abang, Lidya dapat surat panggilan temu duga.” Hari itu aku balik ke rumah waktu rehat tengah hari. Aku ternampak  ada sepucuk surat di kotak surat di pagar.  Tidak sabar-sabar aku menghubungi Idham. Idham, walaupun pada mulanya marah kerana aku membuat sesuatu tanpa meminta keizinannya, akhirnya bersetuju supaya aku menghadiri temu duga itu.  Bagaimanapun aku tetap kena marah teruk pada malam itu.
“Sejak bila buat sesuatu tanpa keizinan abang?” Idham bercekak pinggang di hadapanku sebaik sahaja membaca surat penggilan temu duga daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam itu.
“Kalau Lidya minta izin, abang tak bagi!  Lagipun Lidya mohon kerja saja! Lidya buat melalui kilang tu saja, tak pergi ke mana-mana pun. Borangnya Lidya mohon melalui pos, guna address kilang! Sijil-sijil Lidya fotostat di kilang juga!”  Aku mempertahankan diri dan menutup keraguan Idham yang menyangka aku pergi merayap-rayau seorang diri di bandar sewaktu menguruskan borang-borang permohonan berkenaan.
“Demi ALLAH, Lidya tidak pernah ke mana-mana pun tanpa kebenaran abang! Bukannya Lidya tak tahu, ALLAH akan melaknat setiap langkah seorang isteri yang pergi ke mana-mana tanpa keizinan suami!” Aku menjawab lagi.  Mengembalikan kepercayaan Idham terhadapku.
“Mula-mula hal mohon kerja dah membelakangkan  abang! Esok-esok kalau berjaya dalam temu duga ni, Lidya ditempatkan berjauhan dengan abang macam mana? Lagi seronoklah? Lagi tak hormat pada abanglah?” Sangkaan buruk Idham tidak pernah tamat. Belum apa-apa sudah meneka seribu satu macam kemungkinan.
“Kalau begitu, senang saja! Tak payahlah Lidya hadiri temu duga tu!” Aku menjawab dengan nada sinis dan suara yang perlahan.
“Kurang ajar!!! Mengapa kamu ni bodoh tak habis! Aku bukan kata kamu jangan pergi interview! Memang aku suruh untuk kemajuan kamu! Aku izinkan! Tapi kamu jangan kurang ajar! Aku pantang! Pantang perempuan melawan aku!”  Idham bersuara keras. Kedua belah tangannya sudah sampai ke dua belah pipiku. Ditekan tonyohnya tapak tangannya ke pipiku itu dengan sekuat hati. Aku  mengeraskan hati. Tak apalah.  Berkasarlah kepadaku semahunya, dihatiku kini sudah ada Syamil tempatku mengadu kasih dan tumpang bermanja.

JEJARIKU terus menari-nari di atas papan kekunci. Selepas satu ayat kutaip, aku memadamkannya. Berulang kali.  Segalanya dirasakan tidak menjadi.
Entah, malam ini aku benar-benar ketandusan ilham.  Aku sedang menyiapkan manuskripku, ‘Irdayani’ namun hatiku diintip pilu. Mengapa Irdayani yang dicintai sepenuh hati oleh Hilmi? Alangkah beruntungnya dia? Mengapa tidak aku yang dicintai begitu? Hilmi seorang lelaki yang mengambil berat, penyayang, berbicara penuh kasih. Sebenarnya aku mendambakan kasih seorang lelaki seperti Hilmi.  Watak yang aku ciptakan di dalam manuskrip itu, adalah impian hatiku.  
Lalu aku tiba-tiba diburu rindu. Rindu pada Syamil.  Hampir dua minggu aku tidak berpeluang menjengah kamar ‘Veteran’.  Aku hanya mengirimkan puisi yang diingininya ke alamat e-mail yang diberi.
Aku tidak berpeluang menjenguk ke laman sembang  pada malam itu kerana, pertamanya Idham asyik berjaga malam dan selalu datang mengejut, mengintai karanganku dari arah belakang. Kedua, aku harus menyiapkan manuskrip kerana aku telah berjanji dengan kawanku yang akan membawanya ke syarikat penerbitan. Ketiga, aku takut. Aku seorang isteri.  Syamil seorang suami dan bapa kepada lima orang anak.
Tujuh lapan bulan berhubungan, aku sedar, Syamil sedang cuba mengetuk pintu hatiku. Melalui kata-kata yang ditaipnya saban waktu kami bertemu, aku mengerti, Syamil sedang mencari ruang walaupun sehalus peniti untuk memasuki kamar hatiku. Mengingatkan itu, aku membatalkan hasrat untuk menyertai MIRC32 pada malam itu, sebaliknya aku membuka e-mail.  Ada pula sepucuk e-mail daripada Syamil.

Hai sayang...   

Sayang pergi ke mana? Dah lama kita tak bertemu!  Abang rindu. Terima kasih atas kiriman puisi bertajuk ‘permata hatiku’. Seram bulu roma abang sewaktu membacanya.  Abang tidak sangka, kekasih abang seorang yang berbakat besar. Sayang, abang berbangga denganmu.  Bila Hani nak online sayang! Abang rasa tak keruan jika sehari tidak chat dengan Hani. So please.

Aku membalas e-mail Syamil. Cukuplah untuk beberapa baris ayat sebagai tanda aku menghargainya. Jika aku tidak membalas e-mailnya, tentu dia akan kecewa dan berasa dirinya tidak dihargai. Perhatiannya kepadaku walau hanya melalui maya, seolah tiada nilaiannya. 
Tidak tahu apakah perasaan aneh yang mulai bercambah dijiwaku sejak berkenalan dengan lelaki itu? Yang aku tahu, kini hatiku tidak lagi sunyi. Setiap saat, suara hatiku selalu berkata-kata dengannya. Dan aku akan tersenyum sendiri.  Idham, telah lama membiarkan hatiku terbang menyendiri, mengusir hatiku dari hatinya dengan kekasaran kata-kata, sumpah seranah dan telapak tangannya yang menyentuhiku dengan kekasaran. Telah terjinakkah hatiku dengan kata-kata sayang yang di lakar oleh seorang lelaki yang hanya melalui skrin komputer?

PADA tengah hari itu, sebaik sahaja siren berbunyi menandakan waktu rehat untuk pekerja, aku segera pulang ke rumah. Matlamatku hanya satu, aku akan menjengah jendela MIRC32, mencari-cari abgdno. Sebaik sahaja masuk ke rumah, aku terus mandi dan mengambil wuduk untuk sembahyang zuhur sambil memulakan operasi di komputerku. 
Selepas solat aku terus mengadap komputer. Waktu rehat hanya ada lagi 30 minit. Cukuplah jika dapat bersama dengan abgdno atau Abang Syamilku, walaupun sesaat. Aku hanya ingin bertanya khabarnya. Mujur sebaik saja aku berada di kamar tempat selalu kami bertemu, abgdno berada di sana.

>Lidyahani<      Assalamualaikum bang. Hani.
>abgdno<  Waalaikumsalam. Tahu. Takkanlah abang tak kenal nickname orang yang abang sedang rindu.
>Lidyahani<      Abang sihat tak? Bisnes macam mana sekarang?
>abgdno<  Sihat. Bisnes macam itu jugalah. Abang pun sedang sakit kepala ni. Biasalah Hani, banyak saingan.  Komputer di siber kafe abang pun banyak rosak.
>Lidyahani<      Oh! Maaflah, Hani hanya bertanya saja.  Bukan bermaksud untuk buat abang bersedih. Jika boleh bantu, mahu juga Hani bantu... bantu doa sajalah. Biar abang terus maju dan berjaya.
>abgdno<  Terima kasih, sayang.
>abgdno<  Sayang.
>abgdno<  Sayang.
>Lidyahani<      Hmm...
>abgdno<  Hani tak mahu dengar suara abang ke?
>Lidyahani<      Nak dengar macam mana?
>abgdno<  Calllah, guna telefonlah sayang. Handphone ke!
>abgdno<  Kita dah dekat setahun bersama tau! Hani tak pernah pun bertanya atau minta gambar abang ke, nombor telefon abang ke, abang pun rasa hairan juga. Orang lain tu, sehari dua chat saja dah dapat nombor telefon. Boleh dengar suara. Boleh tengok rupa.
>Lidyahani<      JJ Heh!Heh!
>Lidyahani<      Dah abang tak mahu kasi nombor telefon.  Hani diamlah.
>abgdno<  Tak percaya kepada kejujuran abang ke?
>Lidyahani<      Pulak! Hani tak pernah tanya pun kejujuran abang pada Hani, Bagi Hani ALLAH tahu dan melihat segalanya.  Hani berpegang kepada prinsip itu.
>abgdno<  Pada abang pun Hani tak pernah beri nombor telefon! Abang teringin dengar suara sayang, mesti manja!
>Lidyahani<      Abang tak pernah minta, tak pernah tanya, macam mana Hani nak beri! Hani isteri orang, kena pandai bawa diri. Abang suami orang.
>abgdno<  Tengok tu!
>abgdno<  Cakap dengan abang macam itu. Abang suami orang pun, abang sayang pada Hani. Hani isteri orang pun, abang cintakan juga.  erasaan manusia itu tidak boleh ditahan oleh sesiapa atau status apa pun. Walaupun Hani tidak pernah bertanya, tetapi sememangnya abang benar jujur dan mengasihi Hani.
>abgdno<  LLL
>Lidyahani<  Ya ke? Terima kasih. Hani simpan dan jaga elok-elok kasih abang. JJ
>abgdno<  Sayang, kalau abang minta nombor telefon sayang nak beri tak?
>Lidyahani< Okeylah, Hani beri nombor telefon pejabat.  Buat masa ni, Hani tak pakai handphone, suami saja yang pakai.
>abgdno<  Terima kasih sayang. Muahss!
>Lidyahani< Bang! Hani beredar dulu. Nak masuk kerja.  Sekarang ni Hani di rumah, waktu rehat.
>abgdno<  Okey. Jaga diri ya! Assalamualaikum.

Sebaik sahaja aku menutup komputer dan menyambung kembali kabel telefon, telefon berdering dengan kuat.
“Lidya!!! Buat apa? Berkali-kali abang telefon, line engaged! Buat apa? Bergayut dengan siapa? Hah!!!” Meledak suara Idham sebaik sahaja gagang telefon itu sampai ke telingaku. 
Aku terketar-ketar. “Err... err!” Aku tergagap-gagap menjawab. Ketakutan yang teramat sangat menyebabkan tak ada perkataan yang terkeluar daripada bibirku.
“Err... Err... Mesti buat sesuatu yang salah!  Lidya jangan ingat abang bodoh! Abang dah pesan berkali-kali jangan connect internet! Jangan!”  Suara Idham semakin kuat.  Seakan mahu pecah gegendang telingaku dibuatnya.
“Bang, Lidya minta maaf! Memang Lidya connect internet!  Lidya teringin sangat nak teroka alam itu! Ada internet di rumah, tapi tak boleh nak layari untuk tahu isinya, baik tak payah! Tamatkan saja perkhidmatannya!” Aku bersuara perlahan, dengan harapan Idham tidak mendengar biji butirnya.
“Hoi!! Bodoh!! Aku tahu kamu chatting dengan jantan!  Kalau tidak mengapa connect secara curi-curi, sewaktu aku tiada di rumah! Waktu rehat, kamu balik ke rumah, untuk berehat dan solat! Yang kamu lapar sangat menghadap komputer tu kenapa? Jika kamu tidak  bersembang dengan jantan, mengapa nak sorok-sorok! Last warning! Lidya buat lagi, abang bakar komputer! Kalau nak layari internet, malam-malam, mesti bersama dengan abang! Abang mesti tahu apa yang Lidya tengok dan buat!!! Sudah! Pergi kerja dah lambat.” Idham menghempas telefon dengan kuat.
Idham hendak menemani aku sewaktu aku melayari internet? Mungkin dalam hatinya, aku baru berusia sembilan tahun.
 Aku menahan perasaan sambil menuju ke tempat kerja.  Hatiku semakin meronta-ronta. Setiap hari dimarah, dihina, dimaki, adakah  aku ini ibarat seekor anjing yang menumpang kehidupannya. Kesayuan hati, semakin mengikat kuat.
Sesampai sahaja di pintu masuk ke kilang, Marlisah bertempik memanggil aku. Aku terkocoh mendapatkannya yang sedang memegang gagang telefon.
“Cepatlah!Kak Lidya, dah tiga kali orang call ni!!” Marlisah menghulurkan gagang telefon kepadaku.
“Helo... Assalamualaikum! Hani, apa khabar?” sapa Syamil.
“Waalaikumussalam! Baik. Terima kasih!.”  Tercungap aku menjawab dengan suara yang lembut.
“Tiga kali abang call, Hani belum sampai! Okey tak ni?”  suara Syamil lembut dan berlagu-lagu nadanya mengucapkan kata-kata.
“Terlambat sedikit hari ni. Maaf...” Aku bersuara perlahan dan tercungap-cungap.
“Tertidur ke?” Syamil menyoal lagi dengan nada mesra. Kemesraannya bersahaja seolah sudah kerap menelefonku. Sedangkan itu adalah panggilannya yang pertama.
“Hmm...” Aku tidak berdaya menjawab apa-apa lagi kerana sedang mengekang tangisan  terlepas dari tambatannya.
“Hani, mengapa ni? Sayang tak suka abang call ke?” suara Syamil seakan merajuk. Aku menggigit-gigit bibir menahan getarannya. Air mata yang bertakung semenjak di rumah tadi tidak berjaya aku kawal kebanjirannya. 
“Suka. Terima kasih.” Aku merengek.
“Manjanya...” Syamil merapatkan bibirnya di gagang telefon sehingga suaranya kedengaran terlalu rapat ditelingaku.  Hembusan nafasnya juga dapatku dengar. Aku terus menyembunyikan tangisan. Menunjukkan kesedihan kepada Syamil yang baru pertama kali menghubungiku adalah sesuatu yang tidak wajarku rasakan. Namun lelaki itu, bagaikan ada kuasa ajaib.
“Hani, kenapa menangis ni? Siapa yang buat sayang abang bersedih ni?” Gurauan Syamil, memancung terus kubu persembunyianku. Esakan kulepaskan kepada pendengaran Syamil yang tidak  berhenti memujuk.
   

                                 ~~~~~BERSAMBUNG~~~~


Tiada ulasan: