Khamis, 21 Februari 2013

Novel:SEBELUM NAFAS TERHENTI (BAB 30) ALAF21


Nurlisa telah memulakan kerja di Awana Indah Lanskap.  Pada mulanya dia berasa agak janggal. Jari-jemarinya tidak pernah menyentuh komputer apatah lagi menggunakan peralatan itu. Namun Adzman tidak pernah jemu untuk menunjuk ajarnya. Ruang pejabatnya tidaklah begitu besar.   Di dalam pejabat itu pekerjanya hanya empat orang.  Adzman, Kamal yang merupakan rakan kongsi Adzman, Nurlisa dan Halim.
“Beginilah, Lisa. Awak pergi ke kelas komputer untuk beberapa bulan. Belajar yang asasnya sahaja. Setelah awak guna komputer ini hari-hari, awak akan mahir nanti!  Malam ni kita pergi daftar. Awak ambil kelas pada waktu malam aje.” Adzman bersuara agak tegas. Dia bersungguh-sungguh  untuk membantu bekas pembantu rumahnya. Dia menghulurkan sekeping kad sebuah syarikat yang mengadakan kelas komputer pada waktu malam.  
“Buat masa ini, tugas-tugas clerical awak yang akan buat. Sediakan invoice, surat menyurat kepada pelanggan dan lain-lain lagi. Hmm... kita ada beberapa orang pekerja am. Urusan gaji mereka pun Lisa kena buat juga. Pastikan semua data mengenai mereka lengkap, ya. Nama, alamat, salinan kad pengenalan, KWSP, nombor akaun bank dan sebagainya supaya nanti tidak timbul masalah untuk membuat pembayaran gaji mereka,” terang Adzman satu per satu. 
Nurlisa menganggukkan kepalanya.
“Jika ada apa-apa masalah, mesti maklumkan kepada saya atau Kamal. Buat masa ini, Kamal akan selalu melakukan kerja di luar, memantau dan menyelia projek-projek landskap yang sedang dijalankan. Halim akan pembantu awak di pejabat ini. Jika ada apa-apa yang hendak dipos, nak ke bank dan sebagainya awak suruh dia!” Adzman mengerling ke arah Nurlisa yang kelihatan tekun mendengar segala arahannya.
“Baiklah, Encik Adzman. Saya rasa saya boleh buat semua itu. Cuma saya minta maaf jika pada permulaan ini, saya lambat sikit kerana belum biasa lagi.” Nurlisa menyambut kertas-kertas yang dihulurkan oleh Adzman kepadanya.
Adzman tersenyum memandang gadis itu. Hatinya dibuai rasa sayu apabila melihat Nurlisa berjalan terhincut-hincut ke sana-sini. “Oh ya, Lisa. Saya ada belikan sesuatu untuk keperluan Lisa!” Dia menghulurkan sebuah telefon bimbit kepada Nurlisa.
“Gunakan untuk urusan pejabat dan keperluan peribadi. Hmm... ambillah!” Adzman seolah menggesa gadis itu apabila dilihatnya Nurlisa seolah keberatan menerima pemberiannya. “Ada apa-apa lagi Lisa nak tanya saya?”
Nurlisa yang sedang meneliti telefon bimbit di tangan, tersentak. “Saya rasa tak ada, Encik Adzman!” jawabnya lembut sambil tersenyum. 
“Tak mahu tanya tentang gaji ke? Berapa syarikat akan bayar kepada Lisa? Atau Lisa mahu kerja secara percuma saja?  Kalau ya, beruntunglah saya.” Adzman cuba bergurau.
“Terserah kepada, Encik Adzmanlah. Berapa pun saya terima.” Nurlisa masih dengan kelurusan hatinya.
“Hmm... baiklah Lisa. Insya-allah... Pendapatan yang akan Lisa perolehi di sini tak akan mengecewakan. Oh ya! Saya ada tugasan di luar. Kamal pun ada tugas luar.Nampaknya Lisa kena keseorangan di pejabat ni.” Adzman sempat berpesan sebelum beredar. 
“Oh ya, Lisa. Kalau Lisa rasa sunyi duduk rumah tu sendiri, Lisa ajaklah kawan yang bekerja dengan Lisa di kedai tu duduk sekali.” Adzman berpaling semula ke arah gadis itu.
“Baiklah encik!  Nanti saya cuba tanyakan Lily,”  kata Nurlisa sambil tersenyum. Pada pandangannya, Adzman seorang yang baik hati juga. Dibandingkan Adzman dan Aldi, dia berasa senang bersama Adzman. Periang dan tidak banyak kisah. Adzman tidak kelihatan seperti anak-anak orang berada pun. Semuanya serba sederhana. Namun hatinya lebih menyayangi Aldi di dalam diam.
“Esok atau petang ini pergi ke kedai komputer itu untuk daftar belajar komputer. Saya kenal dengan salah seorang pengajar di kedai itu. Jangan lupa, Lisa.” Adzman berpesan lagi.   Hatinya berasa lega kerana Nurlisa sudi bekerja dengannya.  Sekurangnya dengan membantu gadis itu, dia dapat menebus kesalahannya, menyebabkan gadis itu cacat.
petang itu, selepas waktu pejabat Nurlisa pergi ke kedai komputer yang diberitahu oleh pemuda itu. Seeloknya Nurlisa memulakan kelas pada minggu itu juga. Begitulah nasihat Adzman.
“Kelas 9.00 hingga 10.30 malam. Satu minggu tiga kali.”  Begitulah kata lelaki yang berada di kaunter tempat Nurlisa mendaftarkan dirinya. Lelaki itu tunduk kerana menuliskan nama gadis itu di dalam buku pendaftaran sebagai pelajar di kelas komputer yang akan diadakan.
“Kita mula minggu depan. Saya yang akan ajar Cik Nurlisa nanti. Ini kad saya. Apa-apa hal hubungi saya,” ujar lelaki itu lagi sambil mendongakkan mukanya melihat wajah Nurlisa. Tangannya menghulurkan sekeping kad kepada gadis itu. 
Nurlisa mengamati tulisan pada kad. Tercatat, Abdul Hakim bin Roslan. Juruteknik Komputer. Dia terpempan. Matanya merenung lelaki itu yang turut tersentak apabila melihat wajah Nurlisa. Tubuh Nurlisa terketar menahan perasaan marah dan geram. Peristiwa hitam yang melakar sejarah pahit dalam hidupnya seolah tertayang di depan matanya. Dia bergegas keluar tanpa meninggalkan apa-apa pesan.
Lelaki itu turut terkejut.  Dia meraba-raba pipi kanannya. Pedihnya cakaran kuku yang diterima daripada gadis itu seolah terasa. Dia memang telah mengekori gadis itu beberapa kali, semenjak pertama kali bertemu dengan gadis itu sewaktu menghantar komputer di rumah tempat gadis itu tinggal. Dia tertarik untuk mengetahui dengan mendalam tentang gadis tempang itu. Gadis itu nampaknya seperti gadis yang sangat baik. 
Pantang hatinya jika melihat gadis yang nampak baik. Dia ingin mencabar kebaikan mereka. Sejauh mana imannya jika benar mereka beriman dan alim. Sebelum ini pun, dia telah berkenalan dengan seorang ustazah lulusan ijazah dari Universiti Islam Antarabangsa yang bertugas di sebuah sekolah agama. Bertudung labuh sehingga ke lutut.  Ustazah itu digoda sedemikian rupa sehingga menyerahkan diri kepadanya. Hakim menyungging senyuman. 
‘Ah! Sial! Kamu muncul di kedai ini pula!’ Lelaki itu menyumpah seranah di dalam hati, apabila kelibat Nurlisa hilang dari pandangan matanya. Perasaannya cemas.
Selepas menunaikan solat isyak dan membaca beberapa muka surat al-Quran, hati Nurlisa kembali tenang setelah kedamaian hatinya terganggu petang tadi. Abdul Hakim bin Roslan. Dia berjanji dengan dirinya tidak akan pergi ke kedai itu lagi. Biarlah dia mencari syarikat lain yang ada menyediakan perkhidmatan kelas komputer.
“Ya Allah, tabahkan hati hamba-MU ini dalam menempuhi segala ujian yang telah Engkau tentukan kepadaku. Setiap permasalahan dan ujian yang menimpa, Kau tunjukkanlah aku jalan keluar dan berilah hidayah-MU ke dalam hatiku, supaya aku sentiasa memilih jalan orang-orang yang bertaqwa.” Demikian doanya sambil mengangkat tangan ke hadrat ilahi.
Beberapa kali Nurlisa membelek kad yang diberikan oleh Aldi. Tangannya membelai-belai rantai leher yang dihadiahkan oleh lelaki itu. Perasaan yang bertandang di hatinya sukar diterjemahkannya. Dia membelek pula kad pemberian lelaki di kedai komputer tadi dan kad yang dijumpainya di dalam bilik selepas peristiwa hitam itu. Kedua-duanya milik orang yang sama. ‘Abdul Hakim bin Roslan.’ Bermacam-macam persoalan yang mendatang di fikirannya. Tiba-tiba dia menangis mengenangkan nasib dirinya yang malang. Tambah sayu apabila mengenangkan diri yang keseorangan menempuhi segalanya. Mujurlah Allah telah memberinya ketabahan dan semangat yang kental untuk mengharungi segalanya.
‘Kalau ada apa-apa, Lisa call saya, ya.’ Kata-kata daripada Aldi seolah terngiang di telinganya. Beberapa bulan dia melarikan diri daripada lelaki itu. Mungkin Aldi telah melupainya. Nurlisa memejamkan matanya. Hatinya bagai dihiris-hiris. Rindukah itu yang sedang menghiris kelopak hatinya itu? 
Matanya merenung keliling. Rumah batu setingkat yang disediakan oleh Awana Indah Landskap amat selesa untuk dihuni. Semua perabut telah tersedia. Matanya sekali lagi merenung kad yang tercatat nombor telefon pejabat serta nombor telefon bimbit Aldi. Hatinya bagai meronta-ronta untuk menghubungi lelaki itu.  ‘Ish! Tidak. Tidak. Aku tidak akan menghubunginya,’ getus hatinya. Matanya merenung kakinya yang cacat. Hatinya bagai disiat sembilu. 
Telefon bimbitnya yang terletak di atas tilam bergetar dan menjerit-jerit minta diangkat. “Helo! Ya, Encik Adzman,”  jawab Nurlisa sopan.
“Lisa! Siaplah! Saya ambil Lisa. Kita keluar makan malam, ya.” Suara Adzman ceria. Hatinya benar-benar berharap agar gadis itu bersetuju. Pada malam itu, dia bertekad untuk berterus terang dan meminta kemaafan daripada gadis itu kerana telah menyebabkan gadis itu tempang.
“Saya dah makan, Encik Adzman.” Nurlisa cuba menolak pelawaan itu dengan sopan. Terasa segan pula, untuk keluar malam-malam begitu.
“Sewaktu balik dari pejabat tadi, saya dah beli sedikit makanan. Terima kasih, encik kerana sudi mempelawa saya. Lagipun dah lewat malam. Saya segan.” Nurlisa berterus terang.
“Okeylah, Lisa. Kalau ada kesempatan nanti, kita keluar makan tengah hari, ya. Hmm... sebelum tidur periksa pintu, dan tingkap. Pastikan semuanya dah dikunci. Saya balik dulu.Sebenarnya saya dah berada di depan rumah ni. Bye!” Adzman menamatkan perbualan telefon dan terus menghidupkan enjin kereta dan beredar dari situ.
Ungkapan terakhir dari bibir Adzman membuatkan gadis itu terkejut dan rasa bersalah kerana menolak pelawaan lelaki itu. Matanya kembali meneliti tulisan yang tercatat di kad pemberian Aldi.
‘Aldi... Aldi... Mengapa hati ini sentiasa mengingatimu setiap detik. Wahai hati, sedarilah kekurangan yang ada padamu.’ bisiknya di dalam hati. Lagi sekali dia merenung kad yang masih berada di tangannya. Hatinya meronta-ronta untuk mendail nombor telefon Aldi. Di kedinginan malam yang semakin menghimpit, Nurlisa menekan punat-punat di telefon bimbit yang berada di dalam genggamannya.


    ~~~BERSAMBUNG~~~

Tiada ulasan: