Khamis, 21 Februari 2013

Novel:Kasihnya DIA (Bab 30) ALAF21


Burung-burung yang berterbangan di angkasa menjadi perhatiannya sejak tadi. Dia memerhatikannya dengan keasyikan. Alangkah riangnya burung-burung itu, terbang bebas membelah angkasa dan awan tanpa halangan. Sepasang kepak yang menghiasi kiri kanan tubuh mereka yang comel kadangkala kembang, kadangkala kuncup merapat tubuh.
Sewaktu kepak berkembang, sang burung akan meluncur melayang. Sewaktu sayap atau kepak menguncup ke tubuh, burung tetap berada di angkasa, tidak gugur ke bumi. Siapakah yang dapat menahan burung-burung itu dari terjunam dan terhempas ke bumi? Subhana-ALLAH. Segalanya TUHAN yang mentadbir uruskan dengan bijaksana.
Rina Melati terus beristighfar dan memuji akan kebesaran dan kekuasaan ALLAH sewaktu melihat sekawanan burung-burung itu. Bukankah burung-burung itupun turut bertasbih memuji kebesaran dan kekuasaan ALLAH?
Keasyikan matanya melihat burung-burung di angkasa terpancung apabila mendengar bunyi pintu pagar terbuka. Bibirnya mengukir senyuman apabila melihat kereta suaminya memasuki perkarangan rumah. Dia segera menuju ke pintu hadapan untuk menyambut kepulangan Datuk Johan.
Rina Melati agak terkejut apabila melihat Datuk Johan bersusah payah membantu Datin Jazima turun dari kereta. Dia pun ingin membantu memimpin Datin Jazima berjalan masuk ke dalam rumah apabila melihat Datin Jazima yang bertubuh gempal dan rendang terdengkat-dengkat berjalan dibantu Datuk Johan yang memapahnya.
“Eh! Tak payah nak tolong aku! Puas hati kamu, kan? Aku tidak boleh berjalan! Jangan-jangan kau yang doakan supaya aku jadi begini! Atau kau mahu aku mati! Supaya kau boleh bolot semua harta laki aku!". Hatinya bertambah geram apabila melihat riak wajah Rina Melati tidak berubah. Masih tenang. Maki hamun yang didengari tidak meleburkan senyuman di bibir wanita muda itu.
“Perempuan tak guna! Pura-pura alim. Warak. Hati busuk macam bangkai!” maki Datin Jazima lagi. Tangan Rina Melati yang cuba memegang lengannya ditepis kuat.
Datuk Johan yang berada di situ mengerling ke arah Rina Melati dan memberi isyarat mata kepada isteri mudanya itu supaya beredar dari situ. Datin Jazima benar-benar keras hatinya. Tidak pernah insaf dan mengambil ikhtibar di atas segala kejadian yang menimpanya. Dia asyik menyalahkan orang itu dan orang ini.
“Awak jangan begini Jazima! ALLAH uji sikit dah melatah! Menyalahkan orang itu, orang ini, tuduh orang itu, maki orang ni!” nasihat Datuk Johan sebaik sahaja Rina Melati meninggalkan mereka berdua.
“Setiap kejadian berlaku adalah dengan kehendak ALLAH.” Lembut suara Datuk Johan cuba menenangkan perasaan Datin Jazima.
“Awak pun sama! Mahu saya mati cepat! Supaya hidup awak untuk berseronok dengan perempuan tu tidak terganggu!” Sudah lama tidak bertikam lidah dengan suami, hari ini Datin Jazima seolah melepaskan rasa kemaruknya untuk bertengkar dengan Datuk Johan.
“Leha! Leha! Bawa Datin pergi ke bilik dia. Biar dia berehat!” Datuk Johan mulai bosan dengan sikap Datin Jazima yang tidak pernah berubah.
Ya ALLAH Ya Tuhan-ku, tabahkanlah hatiku menghadapi segala ujian ini. Di dalam biliknya, batin Rina Melati tidak berhenti berdoa. Kian lama dia bersabar dengan karenah wanita itu. Segala caci maki yang diterima, ditelan walaupun terasa sangat pahit. Dia redha demi niat hatinya untuk membalas kebaikan budi Datuk Johan, ikhlas kerana ALLAH.
“Melati! Bersiap sekarang. Kita keluar. Melati temankan abang, ya,” ajak Datuk Johan yang tiba-tiba muncul di belakang Rina Melati. Dia perasan mata isterinya itu basah dek air mata.
“Abang minta maaf kerana sikap Datin tu. Melati kena bersabar dengan Datin tu, ya! Dia memang begitu.” Datuk Johan mengusap-ngusap pipi Rina Melati, cuba memujuk hati wanita itu. Berat mata memandang, namun berat lagilah bahu yang memikulnya. Selama pernikahan mereka, isteri keduanya itu telah menelan lautan duka. Kesabaran yang dipinta, bukanlah perkara luar biasa bagi Rina Melati.
 “Insya-ALLAH... Melati akan sabar. Lagipun Datin sedang sakit. Mungkin dia berasa tertekan dengan situasi itu,” jawab Rina Melati lembut. Air mata yang ingin menitis dikesatnya dengan telapak tangan.
Datuk Johan tersentuh hati mendengarkan kata-kata itu. Tidak ada sekelumit dendam dan marah di hati wanita muda itu. “Dalam perjalanan ke lapangan terbang tadi, Wawa ada berbual-bual dengan Melati?”
Rina Melati mengangguk. Dia menghampiri Datuk Johan apabila suaminya itu menghulurkan tangan kepadanya. “Kita nak pergi ke mana? Dah lewat petang ni,” soal Rina Melati perlahan dan berhati-hati.
Datuk Johan tidak menjawab, sebaliknya hanya mencubit manja pipi isterinya itu. “Ikut saja!” katanya. Kesetiaan dan kesabaran isterinya itu amat dihargainya. Walaupun masih muda dan jelita, Rina Melati tidak tunduk kepada tuntutan nafsu dan perasaannya. Itulah yang membuat Datuk Johan sangat terharu dan bertambah sayang.
“Nanti Datin tinggal sorang,” kata Rina Melati yang agak keberatan untuk mengikut kehendak Datuk Johan.
Datuk Johan merenung Rina Melati seketika. “Leha ada! Biar Datin tinggal dengan Leha sahaja,” jelas Datuk Johan. “Kita pergi tengok rumah. Melati tidak boleh tinggal di sini lagi.”
Kata-kata itu melegakan hati Rina Melati seketika. Sekurang-kurangnya dia tidak dapat mendengar kata herdik dan maki hamun daripada Datin Jazima lagi. “Tapi, Datin tak sihat! Takkan Melati nak pindah sekarang?” Kasihan pula rasa hatinya kepada wanita yang telah berusia itu.
“Melati nak jaga Datin?” Datuk Johan menyoal lembut dan perlahan. Matanya menatap wajah Rina Melati.
Rina Melati mengangguk.
Datuk Johan terkasima seketika. Dia merenung ke wajah isterinya berkali. “Tak boleh! Abang tak izinkan. Datin, biar Leha yang jaga. Anak-anaknya ada. Biar mereka yang jaga!” Datuk Johan menjawab dengan lembut tetapi tegas. Kelembutan Rina Melati akan memakan dirinya sendiri jika bersama dengan madunya itu yang berhati keras, kering dan busuk.
Pernikahannya dengan Rina Melati bukan bertujuan untuk melontar wanita itu ke lembah penderitaan namun ingin meletakkannya di dalam mahligai kebahagiaan. Membiarkan Rina Melati terus tinggal di rumah itu bersama isteri tuanya seolah mencampakkan wanita muda itu ke dalam telaga azab.
Rina Melati yang terharu mendengar kata-kata suaminya itu menggangguk-angguk perlahan sambil memeluk Datuk Johan.



                                            ~~~bersambung~~~~





Tiada ulasan: