Khamis, 28 Februari 2013

Novel:SEBELUM NAFAS TERHENTI (BAB 31)-ALAF21





Deringan telefon bimbit yang berada di sisi, mengejutkan Aldi yang sedang lena. 1.00 pagi. Tidak sempat Aldi menjawab, deringan itu sudahpun berhenti. Dengan mata yang separuh terbuka, dia melihat ke skrin telefon bimbit. Satu barisan nombor yang tidak dikenali.
Resah yang bertandang di sanubari sejak beberapa hari, memaksa lelaki itu bangun dari baringannya dan termenung di birai katil. Butang-butang kecil di permukaan telefon bimbitnya menjadi mangsa hujung jarinya itu. Pemanggil misteri harus dikenali. Beberapa kali mendail, tidak ada jawapan yang diterima. Siapa ni? Hambali? Atau anak-anak Mak Cik Hasnah yang lain. Adakah Mak Cik Hasnah sedang sakit dan budak-budak itu tidak tahu untuk mengadu kepada siapa?
Bola mata lelaki itu bergerak ke kiri dan kanan sambil kotak fikirnya membuat jangkaan. ‘Tapi mereka tidak mempunyai telefon bimbit.’ Hatinya pula berbisik memberikan jawapan.  Mungkin Nurlisa. Di dalam kesuraman cahaya di bilik hotel itu, dia tersenyum sendiri. Dia bangun lalu menarik cermin jendela digelansarnya. Serta merta angin malam menerjah masuk ke dalam kamar itu sebaik sahaja kaca jendela terbuka.
Kalaulah angin dapat berlagu, akan kupinta ia dendangkan lagu rindu untukmu, Lisa. Jika rembulan bisa berkata, akan kukirimkan pesanan cinta buatmu. Seandainya sang awan boleh melukis, akan kupinta ia lakarkan namamu di langit biru lalu suatu waktu, seandainya tuhan memberi restu untuk kita bersatu, maka sang angin, rembulan dan awan akan menjadi saksi agungnya cintaku terhadapmu. Sambil  mengusap-ngusap dagu, dia seolah berbisik dengan dirinya sendiri. Nurlisa, Nurlisa. Akan kucari dirimu sehingga bertemu. Dia meraup wajahnya dengan kedua tapak tangan dan kembali ke katil.
Beberapa minit kemudian, tubuhnya direbahkan kembali di atas tilam. Pagi esok dia akan menghadiri mesyuarat bersama beberapa orang kontraktor yang akan melaksanakan tugas pembinaan bangunan sekolah yang diamanahkan kepada Roda Emas. Selepas itu bolehlah dia balik ke semenanjung.  Rindu rasanya kepada anak-anak Mak Cik Hasnah yang sudah dianggap seperti adik sendiri. Janjinya dengan wanita yang dianggap sebagai ibu juga akan ditunaikannya. Dia telah berjanji akan membawa Mak Cik Hasnah bertemu dengan seorang pakar untuk mengenal pasti penyakit wanita itu.  Benarkah penyakit batuk kering atau ada penyakit lain?
Batuk kering atau Tuberkulosis adalah jangkitan bakterium Mycobactenium tuberculosis yang biasanya menyerang paru-paru, juga mampu menyerang sistem saraf tunjang (meningitis), sistem lympatik, sistem peredaran circulatory system, tulang dan sendi. Biasanya penyakit batuk kering atau Tibi ini merebak melalui udara apabila pesakit-pesakit ini batuk atau bersin. Bakteria yang dikeluarkannya akan dihidu oleh orang keliling tetapi anak-anak Mak Cik Hasnah tidak pula dijangkiti.
Dalam pada memikirkan keluarga angkatnya itu, Aldi terlena kembali.
Mak Cik Hasnah terlentang di atas katil. Batuknya semakin menjadi-jadi. Tubuhnya semakin kurus. Tulang-tulang di dadanya semakin timbul. Pedih dadanya setiap kali dia cuba menahan rasa batuk.
“Mak, kita pergi ke hospital, ya?” Nuraina mengusap-gusap rambut ibunya.
Mak Cik Hasnah mengeleng-gelengkan kepalanya.  Matanya merenung siling dan memerhatikan dua ekor cicak yang berkejaran menuju cahaya lampu.
“Tak apa. Mak tak apa-apa. Jangan risau. Mak dah makan ubat. Sekejap lagi legalah tu.” Suara Mak Cik Hasnah serak. Telapak tangannya menekan dada yang meleper. Dia mengurut-gurutkan dadanya yang semakin tidak berisi. Batuk-batuk yang menerobos keluar daripada kerongkongnya, semakin keras.
“Aina telefon Abang Aldi, ya?” Nuraina memberi cadangan. Matanya merenung wajah emaknya yang makin pucat. Penderitaan emaknya tergambar pada wajahnya yang tidak bermaya dan pucat.
Mak Cik Hasnah menggawang-gawangkan tangannya. “Tak usah! Jangan susahkan dia. Budinya dah terlalu banyak.”  Tercungap-cungap dia bercakap diselangi dengan batuk. “Jangan suka menyusahkan orang.”
“Abang Aldi tak ada. Dua minggu lepas Hambali dah telefon dia tapi tak ada jawapan. Agaknya Abang Aldi pergi Sabah. Dia ada beritahu Hambali waktu dia datang ke sini yang dia kena bertugas di Sabah.” Hambali yang berada tidak jauh dari situ menyampuk. Terlalu peka telinganya apabila ada orang menyebut nama Aldi.
“Hambali ambilkan mak air suam,” pinta Mak Cik Hasnah.
Beberapa ketika remaja lelaki itu menghilangkan dirinya dan tidak lama kemudian muncul semula bersama secawan air suam di tangan kanan dan secawan kopi panas di tangan kirinya.
 “Macam inilah Kak Aina. Kita cari teksi dan bawa mak ke hospital.” Nuraini memberi cadangan. Bimbang hatinya melihat keadaan emaknya yang semakin tenat batuknya.  Sudah beberapa hari Mak Cik Hasnah terlentang begitu.
“Tak apa. Tak payah susah-susah. Mak akan baik sehari dua lagi.” Mak Cik Hasnah memujuk anak-anaknya. Dia cuba duduk dan bersandar di katil dengan dibantu oleh anaknya yang kedua. “Aina! Adik-adik semua dah makan?” Dia merenung wajah anak gadisnya itu. 
Nuraina mengangguk-anggukkan kepala.
“Gerai macam mana?” Sekali lagi pandangan Mak Cik Hasnah singgah ke wajah Nuraina. Nurainalah kini yang mengambil tanggungjawab terhadap keluarga itu.
“Ramai pelanggan yang tanyakan nasi lemak mak,”  terang Nuraina sambil tersenyum. Sejak Mak Cik Hasnah terlantar sakit, dia tidak pergi ke gerai lagi. Anak-anaknya yang sudah boleh diharap, meneruskan perniagaan mereka.  Mujurlah sekarang ini musim cuti sekolah. Cuti hujung tahun.
“Tak apalah, Aina. Sehari dua lagi mak pergi ke gerai.  Mungkin dah sihat sikit.” Suara Mak Cik Hasnah penuh harapan.
“Tak apalah mak. Mak tak payah pergi. Mak berehat saja di rumah. Aina dan adik-adik ada. Kami boleh buat semua kerja di kedai tu. Lagipun sekarang ni cuti sekolah. Fitri pun dah boleh diharap mak. Dia dah pandai bancuh air dan buat mi goreng!” Cerita Nuraina.
“Lagipun Mak Cik Gayah, selalu bantu kami kalau pelanggan di gerai ramai,” ujarnya lagi. Mak Cik Gayah berniaga nasi dan lauk pauk di sebelah gerai mereka.  Mak Cik Gayah juga merupakan jiran terdekat mereka di perumahan itu.
“Mak jangan susah hati, ya. Mak rehat saja. Lagipun kita berniaga sampai 6.00 petang sahaja. Hambali, Faez dan Abang Fitri takkan biarkan Kak Aina dan Kak Ani di gerai tu.” Hambali yang sedang minum kopi menyampuk sekali lagi. “Muafakat membawa berkat!” katanya selamba. Kopi pekat terus dihirup.
“Yalah. Kau orang pergilah tidur dulu. Aina, bawa gelas ni ke dapur semula.” Mak Cik Hasnah menghulurkan gelas kepada Nuraina. Matanya terlalu mengantuk. Syukur, batuknya sudah semakin reda.
Adzman membancuhkan kopi panas untuk lelaki tua yang tidak dikenalinya itu. Dari semalam lelaki itu menumpang tidur di rumahnya yang dihuni bersama Iskandar. Semalam sewaktu dia balik dari makan malam, sebaik sahaja sampai di pagar rumah batu dua tingkat itu, lampu keretanya menyuluhi sekujur tubuh yang terbaring di atas jalan raya.  Betul-betul di hadapan rumah mereka. Hujan pula sedang turun dengan lebatnya. 
Adzman segera turun dari kereta untuk membantu lelaki tua tersebut. Lelaki tua yang sudah kudung sebelah kakinya itu, telah basah kuyup dan berada di dalam keadaan yang menyedihkan. Dia terketar-ketar kelaparan dan kesejukan.
“Jemput minum dulu, pak cik. Alas perut dengan roti dulu sementara saya pergi mencari nasi.” Adzman menghulurkan cawan kopi kepada lelaki itu.
“Terima kasih nak.” Air mata pilu berlinangan dipipinya yang mulai berkedut.
“Saya Adzman. Siapa sebenarnya pak cik ni?  Mengapa pak cik jadi begini? Rumah pak cik di mana?”Adzman memperkenalkan dirinya. Semalam dia tidak berpeluang berbuat demikian. Selepas membantu lelaki itu masuk ke dalam rumah, memberinya pakaian kering dan menyediakan Milo panas serta roti untuk menyegarkan lelaki tua yang di dalam kelaparan dan kesejukan itu, dia menyuruh lelaki itu tidur. Lelaki tua itu tidur di ruang tamu.
“Nama pak cik, Kudus. Minta maaflah nak kerana menyusahkan anak. Pak cik sudah tidak ada sesiapa lagi di dunia ni.”  Pak Cik Kudus bersuara sebak. Air mata terkumpul di penjuru matanya. Pilu rasa hatinya kerana mengenangkan nasib diri yang malang. Apabila diri sudah tidak berdaya lagi, tiada siapa yang ingin menyayanginya.
“Pak cik pernah cuba balik kepada keluarga yang pak cik tinggalkan beberapa tahun dulu. Malangnya mereka semua sudah tak ada. Orang-orang di situ beritahu pak cik, rumah-rumah setinggan tempat pak cik duduk dulu sudah habis terbakar.” Cerita Pak Cik Kudus dengan suara yang pilu.
“Sabarlah pak cik. Hmm... minumlah. Saya pergi beli nasi lemak di gerai dekat simpang tu. Sekejap saja.”  Adzman beredar dari ruang tamu itu. Fikirannya sarat dengan pertanyaan. Di bahunya seolah ada sesuatu yang membeban.
“Helo, Is. Bila kau nak balik rumah?” Adzman menghubungi Iskandar dari dalam kereta. Iskandar bercuti seminggu kerana menguruskan kenduri kahwin adik perempuannya.  Bimbang hatinya sekiranya Iskandar terkejut melihat lelaki tua yang kudung berada di rumah mereka sebaik pulang bercuti.
“Esok. Kenapa?” jawab Iskandar ringkas. 
Adzman menceritakan perkara sebenar kepada Iskandar.
“Kawan, kau ni betul-betul mencari bebanlah. Buat apa kau beri dia duduk di rumah kita? Kalau dia berak dan kencing serata rumah nanti macam mana?” Iskandar bersuara kuat.
Adzman menepuk kepalanya berulang kali. Benar juga seperti kata Iskandar itu. Bukankah Pak Cik Kudus itu kudung kakinya, susah hendak bergerak ke sana sini.
“Habis tu macam mana, Is? Fikiran aku buntu. Benar-benar buntu. Takkanlah aku nak campak dia di tepi jalan macam yang orang lain buat kepada dia. Kau ni berperikemanusiaanlah sikit. Ini waktu dia.” Adzman bersuara lambat-lambat. Matanya memerhatikan cermin sisi kiri kereta dan menyalakan lampu signal kiri keretanya. 
“Macam inilah Adzman. Sementara kau kesan keluarganya, kau hantar sahaja orang tua tu ke rumah orang-orang tua. Hmm... rumah kebajikan masyarakat ke. Di sana ada orang yang akan menjaganya,” usul Iskandar.  “Kalau di rumah tu, siapa yang nak jaga dia? Kita kan sibuk dengan kerja.” Sambungnya lagi.
“Hmm... good idea. Aku pun terfikir begitu juga.  Sambil- sambil tu aku tolong carikan keluarganya. Takkanlah dia tak ada sesiapa lagi di dunia ini. Mesti ada sesuatu yang disembunyikannya. Okeylah, Is. Thanks! Bye.” Adzman menamatkan perbualan dengan Iskandar dan membuka pintu kereta. Dari jauh lagi dia telah terhidu aroma nasi lemak yang terjual di gerai berhampiran.
Kecoh di rumah Mak Cik Hasnah pada pagi itu. Puas dikejutkan oleh Nuraina, namun wanita tua itu tidak mencelikkan matanya.
“Mak! Mak! Bangunlah mak! Mak!” Air mata sudah berjuraian turun di pipi anak gadis itu. Jantungnya berdebar-debar. Kenapa dengan mak ni? Hatinya berbisik soalan bertubi-tubi.
“Ani! Fitri! Hambali! Faez! Mari tengok mak ni!” Dengan suara tersendat sendu, Nuraina memanggil adik-adiknya yang sedang bersiap sedia untuk solat subuh. Bercempera adik-adiknya datang dan mengerumuni Mak Cik Hasnah yang sudah tidak bergerak lagi.
“Mak pengsan ni! Nafas ada lagi!” Fitri meletakkan jari di lubang hidung emaknya. Masih terasa dijarinya udara yang dihembus keluar dari hidung Mak Cik Hasnah. Kebimbangan mencerut hati remaja lelaki itu.
“Apa kita nak buat ni? Macam mana ni?”  Semuanya mati akal seketika.  Nuraina dan Nuraini berbalas-balas renungan.  Keduanya bungkam.
“Hambali, pergi minta tolong jiran!” Fitri selaku saudara lelaki yang tua mengarahkan Hambali yang masih sempat menggenyeh mata.
Hambali patuh. Tidak menunggu walaupun sesaat, pantas kakinya melangkah keluar rumah dan membelah kedinginan subuh itu. Mak Cik Gayah adalah jirannya yang terdekat. 
Beberapa ketika kemudian, kedengaran suara Mak Cik Gayah dan suaminya, Pak Mail di depan pintu rumah.
“Kenapa dengan mak kamu!”Mak Cik Gayah terus menyentuh pipi Mak Cik Hasnah sebaik sahaja tiba di tepi katil. “Abang! Kita kena bawa Kak Hasnah ke hospital segera!”  Matanya terus menatap mata suaminya yang turut berada di sisinya. Wajah kedua mereka mempamerkan kebimbangan yang amat sangat. 
“Yalah! Abang telefon hospital dan minta bantuan ambulans.” Suara Pak Mail perlahan seolah berbisik.  Di hatinya ada rasa bimbang yang sarat.
“Selamat pagi!” Aldi menjawab sapaan semua kakitangan Roda Emas yang menegurnya pada pagi itu. Lama dia tidak masuk ke pejabat kerana bertugas di Sabah.
“Assalamualaikum, Farah. Ada apa-apa yang penting untuk saya hari ni?” Di luar biliknya, Aldi menegur Farah yang tersenyum meleret sebaik sahaja melihat kedatangan Aldi. 
“Hmm... rasa-rasanya tak ada, tapi ada sedikit kejutan!”  Farah bangun dari tempat duduknya dan menghampiri Aldi. Dia membukakan pintu bilik Aldi. Pada pagi itu, dia kelihatan anggun dengan kebaya batiknya. Dia tidak lagi mengenakan skirt pendek sejak ditegur oleh Aldi dulu.
“Kejutan?” Aldi mengangkat kedua keningnya apabila merenung ke wajah Farah. Kakinya terus melangkah masuk ke biliknya. “Astaghfirullahaladzim...” Banyaknya bunga!  Siapa yang hantar ni?” Dia menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Di dalam biliknya penuh dengan jambangan-jambangan bunga yang bermacam warna. Ada besar, ada kecil, ada tinggi ada rendah. Bunga-bunga pula bermacam warna serta jenisnya. 
“Siapa pula yang buat kerja ni Farah. Bilik saya ni dah macam taman bunga. Hmm... keluarkan semuanya Farah.Saya tak suka bunga dalam jumlah yang banyak begini.  Kalau nak hias kamar atau bilik ni, cukuplah sekuntum sahaja.” Bicaranya dalam tawa. Di dalam hatinya, dia sudah dapat meneka siapakah pengirimnya.
“Habis tu, semua jambangan ni nak buat apa Encik Aldi?”  tanya Farah jujur dengan wajah yang ceria. 
“Awak berilah kepada sesiapa yang berminat untuk hiasi meja mereka,” ujar Aldi sambil tersenyum.
“Yang encik katakan sekuntum tu? Encik pilihlah mana-mana untuk hias meja encik. Nanti saya carikan vasenya!”  Farah masuk ke dalam dan membelek satu demi satu jambangan bunga yang berada di atas meja dan di sekeliling bilik itu.
Mata Aldi melirik jambangan-jambangan bunga yang berada di depan matanya. “Tak ada Farah. Semuanya saya tak berkenan. Bawa keluar semuanya dan agih-agihkan.  Terima kasih, Farah.” kata Aldi sambil mengeluarkan laptopnya.
“Terima kasih, Encik Aldi. Sebentar lagi saya bawakan encik kopi.”
Sepeninggalan Farah, Aldi tekun menghadap tugasannya.  Laporan berkenaan dengan projek di Sabah harus dilaporkan kepada Datuk Haris. Minit demi minit berlalu.
“Hai, sayang!” Ain Wahida menjengukkan wajahnya di muka pintu secara tiba-tiba. Seperti biasa, dia lebih selesa memakai jeans ketat dan berblaus sendat. Rambut perang nya sudah dihitamkannya kembali.
Aldi yang tekun membuat kerja terkejut dengan kehadiran Ain Wahida yang tidak diundang itu. “Hai!” jawab nya separuh hati.  “Hmm... Apa khabar? Mak dan ayah sihat?”  tegurnya,  menghormati Ain Wahida sebagai bekas adik iparnya. 
“Sihat,” jawab Ain Wahida. Dia berasa senang dengan layanan baik yang diterima daripada lelaki pujaan hatinya. 
“Ain sihat?” Aldi menyorot ke wajah Ain Wahida sembil mengukirkan senyuman. Peristiwa yang berlaku antara dirinya dan Ain Wahida di bilik hotel di Sabah, bagaikan tertayang di matanya. Mengungkitinya kembali seolah akan mencemar maruah gadis itu.
“Sihat...” Suara Ain Wahida bertambah manja. Berbunga hatinya kerana mendapat layanan yang mesra daripada lelaki itu. Adakah Aldi telah berubah fikiran dan berasa rugi menolak dirinya? “I datang ni nak ajak you pergi lunch.”  Matanya merenung mata Aldi, namun lelaki itu berpura-pura memandang ke arah lain.
“Lunch? Okay. Let’s go.” Menganggap Ain Wahida sebagai adik, Aldi  berat hati untuk menolak pelawaan gadis itu.
Thanks. I ingat you tak sudi.”
Aldi hanya diam. Beberapa ketika kemudian, mereka berjalan beriringan keluar dari bilik Aldi. Baru Beberapa langkah berjalan, terdengar Farah melaung dan memanggil nama Aldi.
“Encik Aldi! Encik Aldi!” Termengah-mengah wanita itu mengejar Aldi, menyebabkan langkah lelaki itu terhenti. “Datuk nak jumpa sekarang! Very urgent!”  Kata Farah sebaik sampai di sisi Aldi.
“Baiklah Farah!  Sebentar lagi saya pergi.” Aldi melihat air muka Ain Wahida bertukar muram.  Farah masih berada di situ menanti Aldi.
Sorry, Ain. Tak ada rezeki kita nak lunch bersama,” ujar Aldi lembut.
Tanpa sepatah kata, Ain Wahida meninggalkan Aldi  dengan langkah laju dan perasaan yang marah, bersulam kecewa.
Farah menyembunyikan tawa kecil melihat gelagat Ain Wahida.
“Kenapa awak ketawa Farah? ” tanya Aldi.
“Mujur saya sempat selamatkan Encik Aldi!” kata Farah.
“Selamatkan saya?”  Aldi bertambah pelik.
“Encik Aldi dah lupa ke, Ain Wahida tu peragawati popular. Tak takut ke kena terjah dengan wartawan nanti?”  Farah menyoal kembali.
“Alamak! Saya benar-benar terlupa! Datuk hendak jumpa tu, benar-benar ke atau cerita rekaan sahaja?” Aldi seolah dapat meneka sandiwara yang sedang dimainkan oleh Farah.
“Datuk memang nak jumpa, tapi taklah urgent sangat!  Tadi sewaktu Ain Wahida datang, Datuk ada di sini. Dia nampak Ain Wahida masuk ke bilik Encik Aldi. Datuk kata dia tak mahu lagi, nama Roda Emas ni dan nama Encik Aldi  dikaitkan dengan si dia tu.” Cerita Farah panjang lebar.

Tiada ulasan: