ANGIN bertiup
kencang. Menerbangkan pasir-pasir halus yang menghuni halaman. Pohon-pohon
kelapa di persekitaran rumah berlenggang lengguk ke hulu dan ke hilir mengikut
arah angin bertiup. Ada beberapa pelepahnya yang telah kering, sekah daripada
batangnya dan berterbangan menyembah bumi.
Umar yang sedari
tadi bermenung di atas pangkin di bawah rumah segera berlari ke ampaian dan
mengutip kain-kain dijemuran. Tiupan angin semakin kencang. Mungkin beberapa
ketika nanti bumi akan disirami hujan kerana langit sudah bertukar warnanya.
Kejinggaan dan kebiruan kepada warna kelabu. Awan bergumpal-gumpal bergerak
laju.
“Biarkan kain itu, Umar! Pergi tengok ayah di pantai!”
Suara Mak Nab
tiba-tiba menyinggahi gegendang telinga anak muda itu. “Mak!!! Nak ribut ni!”
Wajahnya kerisauan. Matanya menghala ke arah lorong menuju ke pantai. Jika ribut melandai, lautan bergelora.
Ombak pun mengganas. Menghempas pantai dengan rakus. Pak Samad mungkin berada
di jeti atau lebih malang, bapanya itu masih berada di tengah lautan.
Kencang debaran
dadanya seumpama angin yang sedang bertiup di sekelilingnya. Namun, bibirnya
mengukir senyuman apabila pandangan matanya dilontarkan ke lorong di sebelah
kanan rumah mereka. Dia nampak kelibat ayahnya yang sedang berjalan menuju ke
rumah. “Tu, ayah dah balik mak.” Pantas bibirnya mengucapkan kata-kata itu.
Mak Nab yang
sudah selesai mengangkat kain dijemuran memandang ke arah jalan yang menuju ke
teratak buruk mereka. Lega hatinya apabila melihat susuk tubuh suaminya yang
semakin menghampiri mereka dua beranak.
“Alhamdulillah... Kalau begitu, tolong bawa semua ikan kering yang mak
dah kutip tadi ke atas rumah. Nanti kena tempias hujan, basah,” suruh Mak Nab
dengan suara yang agak kuat.
Cuaca keesokkan harinya
cerah. Azim yang baru balik dari kedai membawa sepucuk surat buat abangnya,
Umar.
URUSAN SERI
PADUKA BAGINDA. Cetakan berhuruf besar dan tebal pada sampul surat berwarna
putih membuatkan bibir Umar tersenyum sewaktu membukanya. Surat tawaran dan
penempatan dari Kementerian Pelajaran Malaysia, terselak-selak dihembus bayu
laut.
Umar tersenyum
puas tatkala bola matanya menjalari perkataan demi perkataan di permukaan
kertas putih itu. Mungkin pada orang lain jika mendapat tawaran penempatan
tempat bertugas yang sebegitu akan mengecewakan. Sekolah Kebangsaan Orang Asli
yang jauh di pedalaman di negeri Perak membuatkan Umar tidak sabar-sabar untuk
pergi melapor diri.
Secepat mana dia
membuka sampul surat yang dibawa oleh posmen tadi dan membacanya, sederas itu
juga dia ingin menyampaikan berita itu kepada ibu bapanya. Keduanya berada di
atas pangkin di bawah pokok mangga pada petang itu. Pak Samad membetulkan jala
yang koyak, Mak Nab membungkus ikan-ikan kering ke dalam plastik. Ikan-ikan
kering itu nanti ada peraihnya datang mengambil.
Syukurlah,
pendapatan yang diperolehi menambah rezeki keluarga. Alhamdulillah, kehidupan mereka semakin nampak
sinarnya. Azim, anak yang kedua pun sedang menunggu tawaran untuk melanjutkan
pelajaran di IPTA. Fatimah Zahra sudah boleh berdikari walaupun cacat.
“Saya dah terima
tawaran mengajar di Perak.” Itulah
kata-kata yang terlontar dari bibir Umar yang bernada riang. Surat yang
diterima dihulurkan kepada ayahnya.
Pak Samad turut
membaca isi kandungan surat tawaran itu. Pak Samad dan Mak Nab berkali-kali mengucapkan kesyukuran kepada Ilahi.
ALLAH telah memakbulkan segala doa mereka selama ini.
“Alhamdulillah,
Umar. Kalau dah ada pendapatan sendiri nanti, eloklah cari seorang teman untuk
menemani Umar,” ujar Pak Samad sambil tersenyum penuh makna.
Mak Nab dan Pak
Samad saling pandang memandang seolah ingin mengatakan sesuatu kepada Umar.
Sudah beberapa hari mereka menyimpan rahsia.
“Siti Hajar anak
Pak Hassan tu baru balik dari Mesir beberapa hari yang lalu.” Sambung Mak Nab
pula. Gadis itu ada bertandang ke
rumahnya pagi semalam sewaktu Umar ke laut membantu ayahnya. Mak Nab dan Pak
Samad memang telah berkenan kepada anak itu sejak lama dulu.
“Ya ke mak?” soal pula Umar. Dia bagaikan dapat meneka apa yang akan
diperkatakan oleh maknya sebentar nanti. Sudah lama tidak bertemu dengan gadis
itu, Umar bagaikan telah terlupa rupa paras Siti Hajar. Dulu pun mereka tidak mesra sangat. Dia dan Siti
Hajar, sama-sama pemalu.
“Dia dah habis
belajar ke mak?” Gadis itu menyambung pelajarannya di Universiti Al-Azhar dan
bertolak ke Mesir dua minggu sebelum dia berangkat ke utara tanah air untuk
menyambung pengajiannya.
“Pak Hassan ada
bertandang ke rumah ni beberapa hari yang lalu.” Suara Mak Nab semakin
perlahan. Ekor matanya merenung ke wajah Umar yang sedang menundukkan wajahnya
merenung lantai.
“Siti Hajar pun
ada datang, pagi semalam.” Cerita Mak Nab lagi. Sekali lagi matanya menjeling
kepada anak bujangnya itu. “Kalau
Umar setuju, mak ingat nak pergi merisik Siti Hajar untuk Umar.” Akhirnya bibir
ibu tua itu melontarkan kata-kata yang sudah ditelah oleh Umar sejak tadi. Pak
Hassan juga ada menyatakan hasratnya supaya mereka berbesan.
“Ayah pun
berkenan dengan Siti Hajar. Memang sesuai benar dengan Umar, molek untuk
dijadikan isteri, ibu kepada zuriat Umar.” Nampaknya percakapan Pak Samad tidak
ada simpang siurnya lagi. Segalanya nampak jelas.
“Nak kata
cantik, Siti Hajar tidak kurang cantiknya. Pengetahuan agama, tentulah tidak
diragukan lagi. Anak imamlah katakan. Mengaji pun tinggi. Ada ijazah macam Umar
juga.” Mak Nab terus memuji-muji Siti Hajar. Siti Hajar yang bertubuh kecil
molek. Bercakap dengan suara yang lembut, pasti tidak akan membantah atau
menderhaka kepada suami.
“Mana-mana yang
baiklah ayah, mak. Elok kata mak, elok jugalah kata saya. Cuma saya minta
tempoh dulu setahun dua. Sempatlah mengumpul sedikit wang. Kalau hendak
beristeri dalam waktu yang terdekat ini, saya belum cukup duit lagi ayah, mak.”
Pak Samad dan
Mak Nab tersenyum lega.
“Yalah, Umar.
Kami faham tu. Ayah dan emak hanya memberi cadangan, sementelah pula Pak Hassan
ada bertanya.” Pak Samad menceritakan perkara yang sebenar kepada anak
sulungnya itu.
“Tapi... mak,
ayah, kalau ada sesiapa yang lain datang merisik Siti Hajar dalam tempoh itu,
suruh mereka terima sahaja. Jangan tunggu saya.” Kata-kata Umar itu sememangnya
lahir dari hatinya. Dia tidak suka memberi harapan kepada orang lain, bimbang
tidak terlunas.
“Yalah...
Harap-harap adalah jodoh kau dengan Siti Hajar tu.” Mak Nab pula menyampuk.
“Kalau tak ada
pun, mak redha. Mungkin Umar ada pilihan yang lebih baik dari pilihan kami.”
Umar tersenyum dan berasa lega dengan pendirian
maknya itu.~~BERSAMBUNG~~

Tiada ulasan:
Catat Ulasan