BENARKAH
kedamaian hatinya kini kembali. Segala yang telah hilang dapat dimilikinya
semula. Datuk Johan telah menghadiahkan salah sebuah rumah yang dimilikinya
kepada Rina Melati. Rumah batu dua tingkat yang comel dan cantik hiasan
dalamnya.
“Ini untuk
Melati,” ujar Datuk Johan sambil menghulurkan segugusan kunci ke tangan wanita
itu.
Rina Melati
menyambutnya dengan rasa terharu dan perasaan serba salah. Bukan harta yang
menjadi impiannya. Walau bagaimanapun menolak pemberian daripada suami, pasti
akan melukakan hati lelaki itu.
“Masjid dekat
tak?” Spontan bibir Rina Melati mengajukan persoalan itu. Dia suka kalau rumah
berdekatan dengan masjid. Sewaktu dia di rumah anak yatim dahulu, ada sebuah
madrasah di dalam kawasan rumah. Setiap malam semua penghuni akan berada di
madrasah untuk mempelajari ilmu-ilmu agama.
“Dekat saja.
Malam ni abang tidur sini. Kita pergi berjemaah di masjid, ya,” cadang Datuk
Johan. Hatinya seolah disirami air dingin apabila mendengar cerita isterinya
itu. Dia bersyukur dan menganggap pernikahannya bersama Rina Melati bukanlah
kesilapan.
“Melati suka.
Kalau bulan Ramadan, mesti lagi seronok sebab senang nak pergi solat terawih,”
kata Rina Melati dengan wajah berseri dan mata yang bercahaya. Dia ingin
kemanisan di zaman silam berulang kembali. Kemanisan sewaktu beramal ibadah
bersama-sama teman-teman senasib. Sewaktu berterawih bersama-sama anak-anak yang
lain di rumah anak yatim.
“Kereta, esok
sampai!” Sambung Datuk Johan sambil meninjau-ninjau sekitar rumah yang sudah
lama tidak diduduki, namun ada penjaganya.
Rina Melati
kelihatan tersentak dengan kata-kata itu.
“Kereta?” soalnya. Dahinya berkerut.
“Tak ada kereta
nanti, Melati nak bergerak ke sana sini susah. Abang tak selalu ada di sini,”
ujar Datuk Johan lagi dengan wajah tenang. Seketika senyuman meniti di bibirnya
apabila melihat Rina Melati merenung kepadanya.
“Abang beli
Honda Accord juga, model terbaru.” Sambung Datuk Johan sambil mencuit hidung
Rina Melati untuk bergurau dengan isterinya itu.
Rina Melati
memegang jari Datuk Johan yang mencuit hidungnya. Kasih sayang lelaki itu kini
telah membanjiri hatinya. Rina Melati berasa dihargai dan bahagia walaupun
suami yang dimiliki, layak dipanggil ayah.
“Awal bulan depan, boleh mula bertugas di JJ
Holding,” beritahu Datuk Johan sambil mengusap-usap pipi Rina Melati yang
berada di sisinya.
“Melati bantu
abang di syarikat, boleh? Kalau tak mahu kerja lagi, abang tidak ada halangan
apa-apa.” Datuk Johan melebarkan senyumannya sehingga giginya yang sebelah atas
kelihatan. Seharusnya isteri mudanya itu disimpan di rumah sahaja. Bimbang pula
hati kecilnya jika Rina Melati digoda oleh lelaki-lelaki muda di luar sana. JJ
Holding pun ramai kakitangannya yang lelaki yang masih muda-muda dan anak
bujang tua.
“Abang izinkan
Melati kerja, Melati kerja. Kalau abang nak Melati jadi suri rumah tangga
sepenuh masa, Melati akan ikut saja. Tak ada masalah apa-apa,” ungkap Rina
Melati. Dia menjawab sejujurnya. Nada suaranya lembut dan bersahaja.
“Betul ni,
Melati?” tanya Datuk Johan pula seolah tidak percaya dengan apa yang
didengarinya. Dia merapatkan
dirinya dengan isterinya itu sehingga bahu mereka berlaga.
Rina Melati
mengangguk.
“Melati boleh
kerja. Tapi dengan syarat kena pandai jaga diri. JJ Holding tu milik kita
sekeluarga. Jazmi dan Anas dah ada bisnes sendiri. Salwa pula tidak berminat.
Datin tu langsung tak tau apa-apa tentang syarikat.” Bicara Datuk Johan
tersangkut sehingga di situ sahaja. Sebuah kucupan halus menyinggahi dahi
isterinya itu sebaik sahaja ungkapan kata-katanya terhenti. “Abang
percaya Melati pandai menjaga diri.” Bicaranya yang terhenti tadi, bersambung
semula.
“Apa-apa juga
impian dan cita-cita Melati, abang akan bantu untuk Melati mencapainya.” Tangan
wanita itu pula digenggam-genggamnya erat.
Rina Melati
tidak berdaya untuk berkata apa-apa. Dia benar-benar rasa terharu. Kepercayaan suaminya itu tidak akan
disia-siakan. Apa yang sedang diperolehinya kini tidak pernah diimpikan sebelum
ini. Dulu sewaktu tubuh badannya dieksploitasi oleh Khalid Afandi dengan
foto-foto yang tidak direlainya itu, Rina Melati menyangka jalan–jalan yang
akan ditempuhinya penuh noda dan dosa sehingga ke akhir hayatnya. Mujurlah,
ALLAH telah mentakdirkan jodohnya dengan Datuk Johan. Mudahan kemilau hidupnya
kini tidak dilanda taufan yang bakal meruntuhkan segalanya.
Kebahagiaan yang
sedang tercipta ini, janganlah ada derita yang mengerawanginya. Demi TUHAN yang
telah menciptakannya, dia rela mengorbankan usia mudanya untuk menjalani
kehidupan bersama dengan lelaki itu sepanjang hayatnya. Kasih yang tersemai
antara mereka penuh rasa keikhlasan kerana ALLAH, biarlah diberkati-NYA.
Meskipun jarak usia mereka amat jauh, dia mengasihi suaminya itu sepenuh hati.
“Dulu waktu
duduk di rumah anak-anak yatim, Melati pernah berangan-angan untuk menyediakan
sebuah rumah bagi anak-anak yang malang seperti Melati.” Bicara Rina Melati
terhenti seketika. Bibirnya mengukirkan senyuman kepada suaminya yang asyik
merenungnya daripada tadi.
“Hmm... Melati
akan bina sebuah rumah yang memberi keselesaan kepada anak-anak itu, ada
penjaga yang dapat memberi kasih sayang, didikan agama dan lain-lain dengan
sempurna. Itu pun kalau Melati jadi wanita kaya macam Siti Khadijah, isteri
Rasulullah SAW,” luah Rina Melati. Dia bersuara lambat-lambat dengan suara dan
wajah yang tenang.
“Insya-ALLAH,
cita-cita yang murni itu akan ditunaikan oleh ALLAH,” ujar Datuk Johan
perlahan. Dia berasa tersentuh dengan cita-cita isterinya itu. Tidak ramai
wanita masa kini yang mengenangi isteri Rasulullah SAW itu untuk menjadi idola
mereka.
“Datin dan
anak-anak setuju ke abang beri Melati rumah ni?” soal Rina Melati pula. Dia
bertanya dengan jujur. Terpercik rasa
bimbang dengan pemberian itu Datin Jazima semakin membencinya. Rasa benci itu
mungkin akan berubah menjadi dendam kesumat pada suatu hari nanti. Sedangkan
bukan niatnya untuk memiliki harta-harta suaminya, walaupun sebatang jarum
peniti. Yang diinginkannya hanyalah kasih sayang, perhatian, perlindungan dan
bimbingan ke jalan yang diredhai ALLAH.
“Kalau abang dah
izinkan Melati bekerja semula, Melati sewa rumah sendiri pun tidak mengapa.”
Sambung Rina Melati lagi dengan perasaan yang tulus. Kemewahan yang
mendatanginya secara mendadak itu menyebabkan dia berasa seolah berada di dalam
mimpi. Dia bimbang apabila terjaga dari mimpi segalanya akan lenyap dan hancur.
“Ini hak yang
harus Melati terima sebagai isteri, abang. Abang tidak perlu tanya pendapat sesiapa
pun dan meminta kebenaran dari sesiapa jua!” tegas Datuk Johan sambil melirik
Rina Melati dengan ekor matanya. Pelik juga dengan kata-kata yang diungkapkan
oleh isterinya itu. Rasa bimbang yang telah mencuri perasaan isterinya itu
membuat hatinya terharu. Biasanya perempuan sukakan harta benda dan kemewahan.
Lain pula halnya dengan Rina Melati.
“Tetapi Melati
tidak boleh bawa sesiapa datang ke rumah ini. Sesiapa pun tak boleh,”
pesan Datuk Johan. Dia menarik lembut
tangan Rina Melati dan membawa wanita itu berjalan beriringan dengannya melihat
setiap ruang yang ada di dalam rumah itu.
Semua
kelengkapan dan perabot yang tersedia memukau hati Rina Melati. Sebuah akuarium
di ruang antara dapur dan ruang makan mampu membuatkan wanita muda itu
tersenyum lebar. Anak-anak
ikan yang bersaiz kecil dan bermacam warna berenang-renang menghiburkan
hatinya.
“Hmm... Melati
suka ni. Ikan-ikan ni cantikkk!!!” Rina Melati terjerit kecil kerana teruja.
Dia bersuara ceria. Pelik juga dengan suaminya itu yang seolah tahu apa yang
menjadi kesukaannya.
Datuk Johan
bertambah bahagia apabila melihat isterinya itu gembira dan ceria. “Anak-anak
abang pun tak boleh datang sini,” pesan Datuk Johan lagi. Di tengah-tengah
bunyi kocakan air akuarium itu, suara Datuk Johan sedikit tegas seolah memberi
amaran.
Rina Melati agak
terkejut dengan kata-kata itu. Berderau darah Rina Melati apabila mendengar
kata-kata yang terlontar daripada bibir suaminya itu.
“Abang akan
carikan seorang pembantu rumah untuk teman Melati di sini nanti. Esok kita
boleh pergi ke agensi pembantu rumah tu,” ujar Datuk Johan lagi sambil menarik
Rina Melati supaya duduk di sofa di ruang tamu bersamanya.
“Atau Melati nak
duduk seorang diri?” Datuk Johan cuba menguji hati isterinya itu. Manalah tahu
dengan kehadiran seorang pembantu, isteri mudanya itu berasa privasinya
terganggu.
“Mana-mana yang
baik pada abang, baiklah untuk Melati. Nanti kalau Melati duduk seorang sunyi
pulak,” kata Rina Melati sambil mengenggam-genggam tangan lelaki itu. Sedikit
demi sedikit hatinya mula terisi dengan kasih sayang dan perhatian berat yang
ditunjukkan oleh lelaki itu terhadapnya.
Tuhan-ku, layakkah aku
untuk menerima semua ini, Ya ALLAH. Satu perasaan yang sangat halus seolah
meresap di lubuk hatinya yang paling dalam. Rina Melati melentukkan kepalanya
di dada Datuk Johan sambil memejamkan matanya beberapa ketika.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan