“Tak apa! Aku tak akan melepaskan kau begitu
sahaja!” Sambil memandu, Ain Wahida
merungut-rungut sendiri. Perasaan
geramnya bagaikan gunung berapi yang menanti masa untuk meletup. Kecewa dan
geram yang bersatu menyebabkan kolam matanya menjadi rebak, lalu butir-butir
air mata berjuraian di pipinya bagaikan rantai mutiara yang terlerai. “Helo,
Linda! Kau dah lunch ke belum? Jom
keluar lunch.”
“Sorrylah,
Ain. Aku sedang sibuklah. Banyak kerja di butik ni. Lagipun aku dah makan. Aku
minta budak-budak yang kerja dengan aku pergi belikan. Lain kalilah, ya.” Nada
suara Linda bersahaja. Sememangnya dia sedang sibuk melayani pelanggan.
“Kenapa ni? Semua orang tak mahu kawan dengan
aku lagi ke?” Ain Wahida menangis tersedu-sedan. Pemanduannya pun sudah tidak menentu. Hatinya
benar-benar terguris.
“Helo! Ain! Ain! Kenapa ni? Ada apa-apa masalah ke? Kau tengah
memandukan? Berhenti dulu! Ain! Ain! Please!” Suara Linda cemas. Bimbang hatinya apabila
mendengarkan tangisan Ain Wahida.
“Berhenti dulu, tenangkan hati sekejap. Lepas tu kau datang ambil aku. Kita pergi lunch bersama okey. Please, Ain.Berhenti, ya!” Linda cuba memujuk Ain Wahida. Berdebar
hatinya apabila Ain Wahida memutuskan talian telefon.
“Hah! Makanlah! Jangan bersedih lagi. Hmm... makan sambal
belacan tu. Sedap. Nanti hati kau yang kecewa tu, cepat baiknya.” Linda
menghulurkan piring berisi sambal belacan dan ulam kepada Ain Wahida. Mereka
sedang menjamu selera di sebuah restoran yang menyediakan masakan ala
kampung.
“Geram betul aku! Dahlah bila aku pergi ke
pejabat tu, aku nampak jambangan bunga yang aku kirim kepada dia terletak di
atas meja semua staf di situ! Hati aku jadi terpujuk bila dia sudi terima pelawaan aku untuk makan tengah
hari!” Ain Wahida bercerita dengan
esakan yang tersisa.
“Tiba-tiba tak jadi! Geramnya aku. Rasa nak meraung di situ juga!
Aku rasa diri aku ini tak berharga sahaja! Macam bunga tahi ayam sahaja.” Ain
Wahida menumbuk-numbuk meja perlahan kerana melepaskan geram. “Eh! Tahi ayam
pun ada harga kerana boleh jadi baja!” Sambungnya lagi. Senyuman tersungging di bibirnya walaupun
sakit dihatinya bagaikan digigit-gigit.
Linda ketawa. “Kau ni, sempat buat lawak
lagi. Dah habis marahlah tu.”
Ain Wahida diam.
“Ain! Kau kena tahu, sikap lelaki ni macam
pemburu! Mereka akan memburu sesuatu yang susah
ditangkap. Baru ada cabaran. Kau asyik kejar dia, dia larilah.” Linda cuba
memberi nasihat dalam kiasan.
“Pantang aku jika lelaki cuba lari dan
mengelakkan diri! Semakin
lari, semakin aku kejar!” Ain Wahida mengetap-ngetapkan bibirnya. Sikap Aldi
yang seolah tidak mengendahkan dirinya benar-benar mencabar hati perempuannya.
“Ain, kau pilih sahaja lelaki lain. Jangan
asyik memburu yang kacak dan kaya raya sahaja,” nasihat Linda dengan lembut.
Air limau yang masih ada separuh gelas disedutnya melalui straw.
“Atau kau hentikan karier kau sebagai model. Mungkin Aldi lebih berminat untuk menjalin
perhubungan dengan kau.” Linda memberi pendapat.
“No
way! Aldi tidak boleh lari daripada aku. Lagipun dia tu...” Ain Wahida menutup bibir dengan jarinya.
Nasib baik kata-kata seterusnya tidak terlepas keluar daripada bibirnya. Jika tidak, sudah tentu Linda semakin
menasihatinya. Memburu cinta daripada
bekas abang ipar? Berguni-gunilah perkataan nasihat yang akan dikeluarkan oleh
Linda. Namun apa yang dikatakan oleh
Linda itu mungkin ada kebenarannya. “Apa perasaan kau kalau Adzman itu buat endah tak endah sahaja pada kau?”
“Biarlah. Aku dan Adzman kawan biasa sahaja.
Aku tak ada perasaan apa-apa pun. Kalau dia ada masa, dia akan hubungi aku.
Kalau aku ada kesempatan, aku yang akan hubungi dia,” kata Linda jujur.
“Masalahnya kini, kau tu terlalu komited
sangat terhadap Aldi tu. Apabila dia tak layan, tentu kau akan rasa kecewa.
Tidak dihargai! Cuba buat tak tahu sahaja.” Linda mengelap bibirnya dengan tisu
sambil sendawa kecil.
“Yalah! Aku timbangkan segala nasihat kau,”
ujar Ain Wahida sambil menyedut fresh
orange yang masih tersisa.
“Hari ni aku belanja.”
“Terima kasih. So,
lepas ni hantar aku balik ke butik ya.”
Linda mencapai beg tangan dan bersedia untuk meninggalkan meja.
“Okey. No
problem! Jomlah.” Ain Wahida merapatkan kerusi ke meja dan mula melangkah
untuk beredar dari situ.
Linda berjalan dua tiga tapak di hadapannya.
Pada langkah terakhir mereka di ruang
restoran itu, hati Ain Wahida bagai ditarik-tarik untuk menoleh ke arah kiri.
“Alamak! Linda, kau nampak tak di sana tu.”
Matanya terus melirik ke arah sepasang insan yang sedang asyik menjamu selera.
Yang lelakinya amat dikenali. Adzman.
Yang perempuannya, Ain Wahida sudah ingat-ingat lupa, dimanakah dia
pernah melihat wajah gadis itu.
“Linda! Kau ni, berjalan laju betul!” Ain
Wahida menarik tangan Linda yang sudah memegang pintu kereta. “Aku nampak
Adzman dengan seorang perempuan!”
“Apa?” Suara hingar bingar di kawasan itu
menenggelamkan percakapan Ain Wahida.
“Aku nampak Adzman dengan seorang
perempuan!” Ain Wahida memekik di
telinga Linda.
Linda merasakan pipinya tiba-tiba menjadi
panas dan tegang apabila mendengar perkhabaran itu. “Ya ke? Biarlah! Aku peduli apa!” jawabnya tanpa memandang Ain Wahida dan terus
masuk ke dalam kereta. Jiwanya tiba-tiba bagaikan dipalu sesuatu.
Tiba-tiba Ain Wahida ketawa. Geli hatinya
apabila melihat air muka Linda yang mendung.
“Tadi kata tak ada feel, sekarang ni mengapa
monyok pula macam tikus mondok. Sekilas ikan di air, aku tahu jantan atau betinanya, kawan.” Ain Wahida
menghidupkan enjin kereta sambil tertawa kecil. “Tak adalah, Linda. Aku saja
usik kau.” Dia memutar belitkan cerita untuk memujuk hati Linda yang diagaknya
sedang luka.
“Ainnnnnn!!!! Hah! Rasakan!” Jejari runcing
Linda pantas sahaja mengutil lengan Ain Wahida.
Pukul 5.00 petang semua kakitangan Roda Emas sudah
bersiap untuk pulang. Aldi masih berada di dalam bilik Datuk Haris.
Bermacam perkara yang mereka bualkan. Sebenarnya Datuk Haris ada satu hajat
yang ingin disampaikannya kepada Aldi.
Sudah beberapa hari hasratnya itu dipendam. Lagipun, Aldi masih berada
di Sabah. Tidak sesuai dirasakannya untuk menyampaikan keinginan hatinya
melalui telefon.
“Aldi! Lagi dua minggu ayah dan mak akan
bercuti di Timur Tengah dan seterusnya mengerjakan umrah. Sepeninggalan ayah, Aldi kena duduk di sini.”
Datuk Haris menepuk kerusi yang didudukinya dengan perlahan. “Aldi ambil alih
tugas ayah sebagai pengarah urusan, ya. Ayah dah tak larat lagi. Ayah nak
berehat dan membuat amal ibadat saja, kalau boleh!” Suaranya serak. Matanya
memandang Aldi dengan penuh harapan.
“Tapi... kerja-kerja di Sabah tu macam mana?”
tanya Aldi. Di dalam fikirannya dia
seolah dapat membaca apa yang ada di dalam fikiran Datuk Haris. Makhfuzlah yang
akan ke Sabah.
“Makhfuz akan menggantikan tempat Aldi di
sana,” jawab Datuk Haris yakin. Benarlah
seperti yang telah dijangkakan oleh Aldi. Makhfuz memang orang kepercayaan
ayahnya.
“Mengapa Makhfuz? Adzman kan ada. Kita cuba latih dia, beri dia peluang.” Aldi
memberi cadangan. Adzman juga waris Datuk Haris.
“Yang di Sabah tu, projek besar. Adzman belum
ada pengalaman. Lainlah Di, memang sudah ada pengetahuan dalam bidang pembinaan
ni,” kata Datuk Haris. “Lagipun, sudah puas ayah pujuk dia bekerja di sini. Dah
bertahun. Bukan kita tak mahu beri dia peluang! Tapi
Adzman tu degil, keras kepala. Aldi terajui sahaja Roda Emas ini dan semua anak
syarikatnya. Adzman tu, biar ayah pujuk dia sekali lagi bila ayah balik dari
umrah nanti!” tegas Datuk Haris sekali lagi.
“Baiklah, ayah. Kalau ayah dah arahkan begitu,
saya akur.” Aldi menundukkan wajahnya,
memikirkan kemampuan diri.
“Alhamdulillah! Syukurlah Aldi. Semoga
berjaya.” Datuk Haris berjabat dan mengenggam erat
tangan anak sulungnya itu. “Ayah akan sediakan dokumen sehari dua lagi,”
ujarnya lagi.
“Dokumen?”
soal Aldi kembali.
“Surat serah kuasa sementara! Nanti beri
Farah contoh tandatangan Di untuk dihantar ke bank. Dah lulus nanti boleh
tandatangani cek yang syarikat keluarkan,” jelas Datuk Haris lagi. “Segala
urusan yang berlaku, yang melibatkan syarikat, keputusan terletak di tangan
Aldi, ya,” pesannya.
“Seperkara lagi, akaun syarikat ni tidak
pernah diaudit. Kalau Aldi ada masa,
cari juruaudit untuk semak kewangan syarikat ni. Kalau boleh buat dengan kadar
segera. Dan jangan beritahu sesiapa. Biar juruaudit datang mengejut.”
“Insya-allah, ayah. Saya akan uruskan hal itu.” Aldi
menganggukkan kepalanya. Permintaan daripada ayahnya menimbulkan tanda tanya
dibenaknya.
“Oh ya Aldi,
sekembali ayah dari mengerjakan umrah nanti, kita bincangkan tentang pernikahan
Aldi.” Suara Datuk Haris terputus kerana matanya diganggu oleh kuakan daun
pintu dari arah luar. Farah menjengukkan mukanya,
“Encik Aldi, saya dengar handphone encik asyik berdering! Mungkin pemanggil itu ada hal
penting yang hendak dimaklumkan.” Farah memaklumkan dengan suara lunak.
“Oh ya. Saya tertinggal di bilik. Ayah! Saya
keluar dululah!” Aldi menghilangkan diri di sebalik daun pintu. Hatinya berasa
lega seketika kerana dapat mengelakkan diri daripada mengetahui calon isteri
yang bakal disebut oleh Datuk Haris tadi.
Deringan di telefon bimbitnya masih belum
berhenti. Aldi pantas menyambar handphone yang bergetar-getar di atas
meja. “Helo!”
“Helo! Abang Aldi!” Terdengar suara yang amat
dikenali.
“Ya! Ya! Hambali! Di mana ni?” Aldi menghempaskan punggung di
atas kerusinya yang empuk dan menjawab dengan suara lembut. Di matanya
terbayang wajah Hambali.
“Mak masuk hospital!” Bunyi dengungan sahaja
yang kedengaran di telinga Aldi sesudah itu. Mungkin Hambali menggunakan
telefon awam dan kualiti telefon awam sudah difahaminya.
“Ya Allah, macam mana dengan budak-budak
itu.” Aldi bergegas keluar dari
pejabatnya. Kosentrasi hatinya kini ialah untuk ke hospital melihat keadaan Mak
Cik Hasnah. Dadanya bagaikan dihimpit dengan batu yang menyesakkan pernafasannya.
Aldi merenung Mak Cik Hasnah yang terbaring kaku di atas
katil. Wanita tua itu masih belum sedarkan diri. Nuraina setia di sisi emaknya
dengan wajah yang sarat dengan kebimbangan.
“Adik-adik yang lain pergi mana Aina?” Mata
Aldi melingas sekeliling.
“Pergi sembahyang asar. Mereka baru saja
pergi, bang. Dari pagi tadi, kami semua ada di sini.”
Suara Nuraina seakan sayu.
Aldi mengangguk-anggukkan kepalanya. Sejuk hatinya mendengarkan kata-kata gadis
kecil itu. “Kenapa tak
telefon abang dari awal?”
“Semalam, mak dah pesan jangan susahkan
abang. Banyak sangat abang dah bantu
keluarga kami.” Suara Nuraina perlahan dan tersekat-sekat.
Aldi menggosok-gosok kepala anak gadis itu
sambil tersenyum. “Doktor beritahu apa tadi?”
Persoalan itu mengundang kesedihan pada gadis
kecil itu. Lantas air mata berjuraian di pipinya. “Doktor tak beritahu
apa-apa.” Suara Nuraina sebak sambil menahan esakan. Ibu jarinya mengusap-gusap hujung matanya.
“Sabar, sabar Aina! Tak apa. Nanti abang
pergi jumpa doktor dan tanyakan tentang mak. Aina dah sembahyang? Dah makan?”
soal Aldi lagi. Dia yakin gadis itu belum menjamah apa-apa makanan sejak dari
tadi.
Nuraina mengeleng-gelengkan kepalanya. Emak
masih tidak sedarkan diri, sanggupkah kerongkongnya menerima makanan?
“Sembahyang dah!”
“Pergilah makan. Biar abang tunggu mak. Nanti
bawak adik-adik pergi makan sekali.” Aldi mengeluarkan dompet dari poket
seluarnya dan mengeluarkan sekeping not 50 ringgit dan menghulurkan kepada
Nuraina. Gadis itu serba salah, namun menerima juga.
“Encik, waktu melawat dah habis.” Seorang
jururawat datang menghampiri Aldi dan meminta lelaki itu keluar dari situ.
Aldi masih belum bergerak.
“Minta maaf, encik. Ini wad perempuan, tidak
dibenarkan lelaki menunggu pesakit di dalam wad. Jika encik nak tunggu jugak,
encik boleh tunggu di luar wad.”
“Baik! Saya faham. Tapi saya hendak tukarkan
mak cik ni ke wad yang lebih selesa
sikit.” Aldi memerhati sekeliling.
Keadaan di situ kelihatan tidak selesa. Semua katil dipenuhi pesakit.
“Ini wad kelas tiga. Biasalah. Sempit.
Tambahan pada musim sekarang ni, ramai orang sakit. Kes denggi pun banyak.
Semua katil penuh! Kalau encik nak pindahkan pesakit ni, ke wad kelas satu atau
dua, kena bayarlah nanti. Boleh ke?” tanya jururawat itu dengan sinis.
“Okey. No
problem! Masukkan mak cik ni ke kelas satu. Jangan bimbang tentang bayaran,
insya-allah,” jawab Aldi dengan nada lembut tetapi tegas.
“Lisa... Lisa...” Mak Cik Hasnah merintih
perlahan. Matanya masih lagi terpejam. Mungkin di luar sedarnya itu, dia
terlalu mengenangkan anak sulung yang sudah lama tidak ditemui.
Aldi mengenggam-genggam tangan wanita yang
sudah dianggapnya seperti emak itu. Rintihan ibu tua meruntun hatinya. Rasa
hiba tiba-tiba bermukim di jiwa.
‘Bagaimana aku dapat mencari Lisa? Bagaimana?
Oh! Tuhan. Tolonglah hamba-MU ini. Berilah aku petunjuk dan jalan. Bukakanlah
hati gadis itu supaya menghubungi aku.’ Dalam diam, hati Aldi berdoa. Kepada
siapalah yang dapat diharapkan untuk membantunya di saat itu? Hanya kepada
Allah sahaja. Allah yang maha berkuasa, yang dapat mendengar segala bisikan
hati hamba-Nya.
Mata Mak Cik Hasnah masih tertutup rapat.
Nafasnya juga kelihatan tenang. Rintihannya juga terhenti.
“Abang Aldi!” Nuraina datang menghampiri Aldi
diekori oleh adik-adiknya yang lain. Masing-masing berwajah bimbang.
“Dah makan semua?” Aldi menyoal mereka sambil
memerhati wajah-wajah di hadapannya satu demi satu. Semua wajah yang dipandang diselaputi
mendung. Muram. Semua mereka mengangguk perlahan.
“Malam ni siapa yang tunggu emak?” Aldi menghalakan pertanyaan kepada Nuraina
kerana dia yang lebih dewasa di antara mereka.
“Aina dan Ani!” jawab Nuraina perlahan.
“Fitri, Hambali dan Faiz, tunggu rumah! Fitri tolong tengok adik-adik!” arahnya
dengan suara penuh yakin.
“Nanti kalau ada apa-apa berlaku kepada mak,
macam mana?” Terlontar pertanyaan itu dari bibir Hambali.
“Berlaku apa?” tanya Fitri yang sedari tadi
mendiamkan diri.
“Kalau mak...” Hambali tidak sanggup
menghabiskan ungkapan itu. Dia tiba-tiba
berasa kehilangan. Ada air jernih yang menuruni pipinya.
“Mak tak akan apa-apa!” Fitri membulatkan
matanya, memandang Hambali. Memberi isyarat kepada adiknya itu jangan
mengulangi lagi ayat yang sama.
Aldi hanya membiarkan anak-anak itu
berbincang dan membuat keputusan. Dia memerhati mereka dengan senyuman dan
menunggu jawapan dengan sabar.
“Faez nak tunggu. Faez tak nak balik rumah!”
Si bongsu pula bersuara. Matanya memandang tubuh emaknya yang terbaring kaku. Apakah tubuh itu akan kaku untuk selamanya?
Hatinya seolah terjerut oleh rasa takut. Takut kehilangan emak yang disayangi.
“Abang Aldi! Kami semua nak tunggu emak di
sini!” Akhirnya Fitri membuat keputusan
tegas. Kebimbangan di hati Hambali seolah telah terbenih dihatinya jua.
“Okey! Okey! Kalau begitu semua tunggu di
sini. Malam nanti lepas
isyak abang datang. Abang dah minta nurse
pindahkan emak ke bilik lain. Nanti adik-adik semua boleh tunggu mak dengan
selesa!”
“Terima kasih, bang.”
Aldi tersenyum sambil memandang wajah
anak-anak itu satu per satu. Hatinya berasa puas dapat melihat sinar cerah yang
terpancar di wajah mereka walaupun seketika.
com.jpg)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan