Khamis, 7 Mac 2013

Novel:REDHA TAKDIRMU (BAB 31)-ALAF21






BERMINGGU aku memikirkan tentang pelawaan Syamil untuk bertemu denganku.  Puas aku memberi alasan, namun siapakah yang percaya di zaman ini masih ada isteri yang dikawal dan diawasi seperti wanita-wanita dizaman feudal.
“Sudi ke Hani?” Syamil terus mengharapkan jawapan daripadaku.
“Abang, se... se... sebenarnya, Hani tak pernah pergi ke mana-mana tanpa kebenaran suami,”  suaraku tergagap-gagap.  Aku menyatakan yang benar.
“Kalau tak sudi tak apalah!” Syamil seakan merajuk. 
“Bu... bukan tak sudi! Macam inilah! Hani kena tahu tarikhnya, supaya boleh planning! Hani tak mahu sesiapa pun tahu. Hani isteri orang, abang tu suami orang! Hani takut nanti...” Aku masih tergagap menjawab.
“Tengok tu, cakap dengan abang macam tu! Abang tahulah Hani isteri orang, abang nak jumpa dan nak tengok rupa Hani!.”  Syamil beria-ia suaranya.  Namun, tutur bicaranya tetap lembut.
“Bukan nak buat apa-apa pun.” sambung Syamil lagi dengan nada memujuk.
“Hani bukan cantik pun! Kan Hani dah e-mail foto.”  Aku masih cuba mengelak dengan cara yang paling halus.  Jika diketahui oleh Idham, silap hari bulan tubuhku hancur dicincangnya.
“Foto lain sayang! Abang nak tengok yang real. Dapat jumpa satu minit pun jadilah. Abang sungguh-sungguh. Hani, kita kenal ni dah lama, setahun lebih. Jika abang nak main-main takkan bertahan sehingga kini tau.”
 Sebenarnya hatiku sendiri meronta-ronta untuk bertemu dengannya, tetapi sengaja kutahan. Kasih sayangku kepada Syamil benar-benar ikhlas. Namun hakikatnya aku adalah isteri orang. Dapatkah orang atau masyarakat mengerti akan keikhlasan dan kesucian itu? Aku memiliki suami yang mengabaikan emosi serta hatiku, salahkah aku menumpang kasih, sayang dan cinta dari lelaki lain.

BUMI yang kupijak seolah terbelah dan aku terbenam di dalam rekahan itu lantas mencampakkan aku di dalam keadaan yang amat gelap dan gelita. Aku ingin menjerit, namun suaraku tersangkut dikerongkong. Seluruh alam menjadi gelap. Cahaya hilang entah ke mana. Aku teraba-raba.  Tercari-cari.  Mencari sesuatu yang hilang. Namun, aku sendiri tidak tahu aku kehilangan apa?
E-mail yang tidak diundang kutatap berkali-kali. Sungguh aku tidak mempercayai tulisan yang terpapar di depan mataku.  Benarkah ini? E-mail yang menggunakan alamat e-mail Syamilku.  E-mail yang aku sangka mengandungi suara-suara rindu dan kalimah-kalimah cinta daripada Syamil, rupanya melahirkan ucapan dan kata-kata biadap yang menghiris hatiku.

Hai Hani! Janganlah ganggu abang.  Sudahlah tu, I tak mahu tengok you e-mail pada dia lagi.  Jangan chat dan e-mail kepada dia lagi.  Jagalah  hubby you, macam mana I dan akak jaga abang.  Tidak cium bau syurga, seorang isteri yang menduakan suaminya.

Nafasku seakan terhenti. Dalam hatiku tertanya-tanya, siapakah gerangannya wanita biadap ini yang tiba-tiba muncul di dalam hidupku? Terketar-ketar aku menahan rasa marah dan geram. Ada lagi sepucuk e-mail. Alamat pengirim, tidak pernah aku kenal sebelum ini. Maklumlah, aku hanya menghubungi Syamil. Alamat e-mailku hanya untuk Syamilku seorang. Aku membuka e-mail yang kedua.

Hai Hani.
Hani, nama I Norshakila. I 2nd wife Abang Syamil you. I tinggal di Kota Bharu. I minta janganlah you ganggu abang. Dia sudah ada isteri. Janganlah berlaku curang. Berdosa.

Lagi sekali dia melontarkan kata-kata yang menyiat hati. Berdosakah aku kerana menumpang kasih? Salahkah jika kami saling mengasihi berdasarkan kemanusiaan, bukan kejantinaan? Dalam kepiluan aku menahan perasaan. Air mataku bagaikan banjir, membasahi pipi dan papan kekunci. Namun, aku terus kuatkan hati. E-mail biadap itu aku balas dengan kata-kata terpilih. Sungguh pun hatiku dilukai dengan kata-katanya, namun aku tidak tergamak untuk mencatat kata-kata biadap dan tidak sopan, walaupun dia tidak pernah aku kenal atau tahu sebelum ini.

Maaf...
Assalamualaikum. Maafkan saya, tidak pernah berniat untuk menganggu sesiapa. Janganlah dicemburui pada perhubungan maya ini, sekiranya Abang Syamil menyayangi adik, perhubungan ini tidak akan mampu mengubah kasihnya kepada adik walau seinci pun. ALLAH yang menemukan kami, ALLAH juga yang akan memisahkannya. ALLAH mengetahui apa yang ada di depan dan apa yang berada di belakangnya kerana DIA  maha berkuasa terhadap segala sesuatu. Saya menyayangi semua orang.

Dengan deraian air mata aku menitipkan kata-kata untuk membalas e-mail tersebut. Walaupun ditahan, dikekang, kekecewaan meledak juga bagaikan atom yang menghancurkan bumi. Aku ingin berlari menyembunyikan diri, namun seluruh dunia itu bagaikan telah musnah. Inginku terbang berlindung di gumpalan awan yang semakin kelabu, seluruh pandangan telah kabur. Hatiku memekik. Abang Syamil!
Pada wanita biadap itu, sedikit pun tidak aku khabarkan yang Syamil telah meminjam wang dariku untuk menyelesaikan masalah kewangannya. Jika benar pandai menjaga suami seperti yang dinyatakannya kepadaku dalam e-mail itu, mengapa suaminya mencari aku untuk membantu menyelesaikan masalahnya? Di manakah letaknya tanggungjawabnya sebagai seorang isteri? Mengapa membiarkan Syamil menagih simpati daripada isteri orang, jika benar itu suaminya?

DUA tiga hari aku tidak menjengah ke halaman MIRC32.  Dua tiga hari aku tidak membuka e-mail. Dua tiga hari jugalah aku tidak mengarang sebagaimana biasanya. Segalanya menjadi sumbang. Setiap malam aku menangis. Setiap saat hatiku merintih. Kesedihan yang berakar, menjalar di seluruh jiwa terpaksa pula aku sembunyikan daripada pandangan suamiku Idham. Air yang diminum bagaikan racun. Nasi yang ditelan umpama pasir. Seleraku terbantut beberapa hari. Aku demam.  Saat-saat yang berlalu aku tempuhi dengan rasa jemu. Bosan.  Tika malam melebarkan sayapnya, aku berbaring dalam kamar yang suram. Kesuraman kamar bagaikan mencerminkan kemuraman hatiku. Idham pun tidak pernah mempedulikan aku. Muram ke? Sedih ke? Aku rasa keseorangan. Terlalu keseorangan.
Telefon bimbit berkali-kali berdering sewaktu aku di pejabat, seminggu selepas aku menerima kunjungan e-mail biadap itu. Skrin telefon bimbitku memaparkan nama pemanggilnya, Syasya. Untuk menyembunyikan daripada pengetahuan Idham, nombor telefon bimbit Syamil telah  aku simpan sebagai Syasya. Aku tidak menjawab panggilan itu, sebaliknya menangis tersedu-sedan.
Walau bagaimanapun, dapatkah hati ini berjauhan daripada Syamil lebih daripada tiga hari? Sejak dirinya kuletakkan di dalam hati ini, begitulah yang terjadi. Tanpa mendengar suara lelaki itu untuk beberapa hari menjadikan aku tidak tentu arah. Keinginan untuk melupakan Syamil dan berundur diri darinya terlerai. Aku menjawab panggilan telefon itu sambil mengekang tangisan.
“Helo... Assalamualaikum, sayang.  Ke mana menghilang? Abang tunggu sayang di kamar kita. E-mail abang pun Hani tak balas, kenapa ni?’ suaranya yang berlagu-lagu menambah sebak dijiwaku. Aku terus merengek.
“Abanggg... mengapa beri password e-mail abang pada orang!” Dengan suara yang tersendat pilu, aku terus mengadu. 
“E-mail? Abang tak pernah beri kepada sesiapa sayang! Untuk kita berdua saja. Kenapa ni, apa yang terjadi? Lama sayang tak e-mail dan chat dengan abang, abang risau! Sayang abang sihat tak ni?” Walau dalam keadaan apapun, suara Syamil tidak pernah tamat dengan kelunakannya bila berkata.     
“Tak nak! Tak nak chat lagi! Tak nak e-mail lagi!” Sambil menangis, aku bercerita dan cuba bermanja.
“Kenapa?”  Syamil bersuara cemas.
“Ada orang marah! Dia e-mail pada Hani. Dia kata dia second wife abang! Kenapa abang mainkan perasaan Hani?”  Tanpa berselindung apa-apa, aku bercerita.
“E-mail? Siapa yang e-mail sayang?” Syamil bertanya dengan suara yang tenang. 
“Norshakila! Siapa Noshakila, bang? Benarkah dia second wife abang? Abang janji dengan Hani apa? Mengapa abang buat begini pada Hani?” Seperti anak kecil aku merengek-rengek sambil menangis. Mujur pada waktu itu, tidak ada sesiapa dalam pejabat. Staf yang lain semuanya sudah keluar sarapan.
“Hani sayang pada abang tak?” Syamil, terlalu pandai memerangkap hatiku.
“Sayang... Hani tak boleh kalau tak ada abang!” Tanpa keraguan aku menyuarakan perasaanku.
“Abang pun sayang Hani!” Syamil bersuara bersungguh-sungguh. “Kalau sayang, kita mesti pertahankan! Tak ada siapa pun boleh ganggu gugat! Sampai bila-bila!”
Aku terkedu. Esakanku seolah memberi jawapan.
“Dah! Jangan menangis lagi ya sayang! Insya-ALLAH, abang ada. Kesat air mata, ya? Percayalah pada abang. Ada orang  ceroboh e-mail kita dan berasa cemburu serta dengki.”  Syamil terus memujuk. 
Aku lega dengan pengakuannya itu. Hatiku kembali bercahaya.
“Hani, malam ni kita chat ya sayang! Abang rindu,”  suara Syamil semakin perlahan ditelingaku.
“Abang jangan cuai lagi, ya? Password jangan letak merata.  Hani tak suka sesiapa pun baca e-mail kita. Nanti mereka salah mengerti. Hani hanya ingin menumpang kasih dan bermanja dengan abang. Hani tahu, Hani isteri orang.” Air mataku kembali berderai.
“Yalah!yalah! Abang janji sayang! Jangan susah hati lagi ya. Hati abang hanya untuk Hani.” Syamil selalu membina harapan dan impian.

BEBERAPA bulan kemudian, sekali lagi Syamil memohon bantuan daripadaku. Apapun alasannya aku sedia untuk membantu. Secara kebetulan, rezekiku adalah seringgit dua. Seperti dulu, segalanya kulakukan dengan hati yang ikhlas. Walaupun hati masih tertanya-tanya tentang e-mail misteri yang aku terima dahulu, kata-kata penghinaan yang dilemparkan kepadaku, itu bukan persoalannya yang akan menghalang aku membantu Syamil. 
Yang aku ingat dan fikirkan ialah anak-anak Syamil yang ada lima orang itu. Yang aku fikirkan ialah tentang isterinya yang tidak bekerja dan tiada upaya menghulurkan bantuan kepadanya. Yang aku fikirkan ialah tanggungjawabku untuk membantu saudara seagamaku yang sedang dilanda masalah.  Aku membantu kerana ALLAH.
Berdasarkan kemanusiaan, aku korbankan segalanya dengan penuh kejujuran.  Sekali lagi aku memasukkan sejumlah wang ke akaun bank Syamil. Walaupun pada waktu itu kami belum lagi bersua muka, aku tetap percaya Syamil akan mengotakan segala janjinya. Perhubungan melalui internet sudah hampir dua tahun, pertemuan yang dijanjikan seringkali tertangguh kerana Syamil sedang menghadapi masalah di dalam perniagaannya.
“Hani, terima kasih. Kalau Hani tidak bantu abang, tak taulah macam mana.” Terlalu perlahan suara Syamil.
Aku baru memasukkan wang yang ingin dipinjam oleh Syamil ke akaunnya dua minggu yang lalu. Demi memikirkan keluarga dan anak-anak serta cita-citanya, aku sanggup mengorbankan barang kemasku. Tidak pernah aku menjejakkan kaki ke pajak gadai, namun demi rasa kemanusiaan dan kasih sayangku kepada Syamil, aku rela.
“Alah! Abang ni! Sikit saja. Maaflah, tak dapat pinjamkan jumlah yang abang mahu. Dapat separuh saja! Abang terlambat sikit! Hubby tukar kereta, Hani kena support dia juga. Maaf ya.” Aku berterus terang. Sememangnya aku tidak menyembunyikan statusku daripada pengetahuan Syamil. Dia tahu tentang Idham serta serba sedikit karakter suamiku itu.
“Ya ke? Habis tu, sayang ambil duit dari mana untuk bantu abang?” Ada kekejutan terselit di suara lelaki itu.
“Hani gadai barang kemas.”  Aku bercerita di dalam ketawa kerana hatiku tidak merasa susah pun dengan tindakanku itu.
“Astaghfirullahilazim! Sayanggg! Mengapa berkorban sehingga begitu sekali? Maafkan  abang, kerana menyusahkan Hani!” Syamil bersuara lembut dan bernada sesal.
“Tak payah susah hatilah bang! Ada rezeki Hani tebuslah balik! Insya-ALLAH ada rezekinya nanti!” Aku bersuara dengan yakin. 
“Dua bulan lagi abang kembalikan wang tu dan ayang pergi tebus. Dah dua kali dah abang meminta bantuan Hani. Insya-ALLAH, ada rezeki abang bayar semua serentak.”  Syamil berjanji berkali-kali.
“Kecohnya abang ni. Yalah... Nanti bila Hani tak ada duit, Hani mintalah kat abang!” Aku bersuara lurus dengan penuh ikhlas.
“Jadi abang datang jumpa Hani minggu depan?” Aku mula menagih janji. Entah mengapa hatiku begitu terpanggil untuk mengenali Syamil dengan lebih dekat lagi.
“Abang tak ada transport!” Syamil bersuara perlahan. 
Aku ketawa kecil. “Kereta pergi mana?”  Aku menyoal lagi.  Masakan seorang usahawan IT tidak mempunyai kenderaan.
“Hmm... ada masalah sikit,”  suara Syamil gementar.
“Semalam waktu abang call, bukan ke abang cerita abang pergi hantar komputer kepada customer. Angkut dengan apa?”  Mungkin kerana tinggal sebumbung dengan Idham selama bertahun, aku telah terjangkit sikapnya yang suka menyoal orang sehingga ke akar umbi.
“Hani, abang ada kerja sikit ni! Insya-ALLAH lain kali abang call sayang. Abang sedang cat kedai. Lepas tu abang nak siap-siap untuk kerja-kerja promosi tu.” Syamil bersuara perlahan. Pertanyaanku tidak mendapat jawapan. “Sekali lagi terima kasih kerana RM tu. I love you.” Syamil mengucup telefonnya sebelum menamatkan perbualannya denganku. 
Aku tersenyum sendiri. ‘Semoga berjaya dan dimurahkan rezekimu.’ Doaku tidak kedengaran di telinga Syamil, kerana aku membisikannya dihatiku.





















Tiada ulasan: