Khamis, 28 Mac 2013

Novel :REDHA TAKDIRMU (BAB 32)- ALAF21






PERHUBUNGANKU dengan Syamil menjangkau tiga tahun. Semenjak meminjam wang kali kedua dariku, Syamil selalu menghilangkan diri. Aku tidak dapat dihubungi melalui telefon bimbit. Dua tiga hari selepas itu, barulah dia menghubungiku.  Setiap kali ke-tiadaannya, hatiku meratap pilu. Namun, setiap kali dia akan outstation, Syamil akan mengirimi e-mail kepadaku.

Hai Sayang
Hani Sayang, abang outstation tiga hari. Ayang jangan cari abang di MIRC32 ya! Abang pun tak dapat nak e-mail.  Jadikanlah e-mail ini sebagai pengubat rindu. Jaga diri baik-baik.  I miss you. Muahss.
Salam Sayang

Aku terus hanyut di dalam kehangatan kasih Syamil.  Segala kemarahan dan sumpah seranah Idham, tidak lagi menjadi kesedihanku. Sebaliknya aku selalu mencari punca untuk bergaduh.  Berperang.  Jika sebelumnya akulah seorang isteri yang taat, tidak pernah bercakap kasar dan bersuara kuat dengan suami, kini peribadi aku benar-benar berubah. Jika boleh aku mahu Idham membebaskan aku.

SELEPAS pertemuan yang pertama dengan Syamil tempoh hari, kami bertemu lagi untuk kali kedua sebulan kemudian.  Lagi sekali Syamil datang ke daerah tempat aku bertugas. Lagi sekali aku menunggu hampir dua jam dengan penuh setia.  Sekali lagi aku berbohong kepada Idham yang kononnya aku menemani Niza. Syamil telah aku jadikan tempat berteduh kasih. Berpaut sayang.
Pertemuan kali kedua itu, sekali lagi aku bertanyakan tentang Norsakila. Seperti sebelum ini, mati-matian Syamil menafikan kewujudan Norsakila.
“Hisy, sayang ni, kan abang dah beritahu, abang tak kenal perempuan yang bernama Norshakila tu.” Syamil bersuara lunak. “Yang abang sayang cuma Hani! Jika tidak, takkanlah abang sanggup datang ke sini! Bukannya dekat. Hampir tiga jam setengah abang tersengguk-sengguk di dalam bas tu.” Dia terus  menyakinkan aku. 
Sebenarnya aku tidak kisah jika dia hendak berkahwin dengan siapa pun, ingin memiliki berapa isteri pun, tetapi perkara pokoknya, hutangku perlu dijelaskan.  Dia mesti jujur kepadaku. Cinta dan hutang tidak boleh dicampur adukkan. Itulah pendapatku.
“Tak apa ke abang lambat bayar hutang Hani? Rasa malu pula! Hingga kini tak dapat nak jelaskan lagi.” 
“Bila agaknya abang boleh selesaikan?”  Sekadar menguji, aku ingin meneliti sejauh mana Syamil boleh menepati janjinya. Syamil yang bercita-cita untuk membina empayar dalam bidang keusahawanan yang diceburinya.
“Hmm... abang ada buat permohonan pinjaman mikro kredit tu. Bila lulus nanti, abang bayar duit ayang.” Syamil tersenyum memandangku.
“Oh! Mikro kredit! Hani tahu tentang tu, salah satu usaha kerajaan untuk membantu usahawan bumiputra, kan?  Cepatnya abang buat permohonan,” penuh semangat aku menyuarakan pendapat, walau dalam nada yang perlahan, kerana bimbang didengari orang.
“Biasalah, sayang. Usahawan Melayu, dengar pasal pinjaman wang saja berebut-rebut semuanya buat permohonan! Termasuklah abang.” Syamil ketawa bertali-tali. Matanya mengecil bila dia ketawa.
“Ya ke? Berapa yang abang pinjam?” Sekadar menguji, aku bertanya lagi.
“RM20 000…”  Syamil menjawab tanpa selindung.
“Mesti jumlah paling maksima yang boleh dipohon.” Aku cuba berseloroh.
“Ha’ah! Orang Melayu.” Syamil ketawa lagi sambil menutup mulutnya dengan tapak tangan.
“Hari tu abang ada cerita pada Hani, nak adakan kelas tusyen dan kelas komputer. So... sekarang ni macam mana? Dah mula ke?” 
“Ada, tapi muridnya tak ramai! Tiga orang saja.” Syamil menundukkan wajahnya. Ada nada kecewa di dalam kata-katanya.
“Okeylah tu, seringgit dua pun rezeki juga.” Aku tidak pernah cuba mematahkan semangat Syamil.
“Hmm... jadilah, internet pun tak berapa boleh jalan!  Ada siber kafé baru buka, dekat dengan kafé abang! Tokeinya India. Jika dibandingkan dengan siber kafé abang, tentu pelanggan lari ke sana! Sebab  di sana ada aircond.” Syamil bersuara perlahan dan bernada sedih.
“PC abang pun banyak yang rosak. Hanya ada empat buah saja yang boleh dipakai.” Syamil bercerita lagi segala masalah yang dihadapinya.
Aku mendengar segalanya dengan penuh perhatian dan pengertian. “Pasanglah  aircond.”  Aku mencadangkan. Pada pendapatku, seorang usahawan yang ingin menempa kejayaan, mestilah sanggup bersaing dengan usahawan lain.
“Tak ada modallah, sayang.”
“Nanti bila loan mikro kredit tu lulus, wang yang abang nak bayar Hani tu abang gunalah untuk pasang aircond di kedai!  Hutang Hani tu, kemudian pun tak apa.”  Aku memberi buah fikiran lagi.
“Kalau lulus, kalau tidak? Tak usahlah kita bincang tentang hal ni lagi Hani. Abang rasa takut.  Hani tahu, abang ni banyak hutang!! Gali sana tutup sini. Pening!” Syamil terdiam seketika.
“Permohonan abang untuk menjadi pusat bertauliah MLVK pun belum dapat keputusan lagi! Jangan-jangan abang tak berjaya. Mungkin kedai abang tidak cukup syarat.” Dia bersuara semakin perlahan dan sedih nadanya.
“Abang ni pesimislah!Optimislah sikit! Nak berjaya mesti kuat semangat dan cekalkan hati. Isteri abang ada, kan? Takkan tak boleh tolong. Isteri kena jadi tulang belakang suami untuk mencapai cita-citanya. Masalah suami kena kongsi.” Aku cuba menduga Syamil dengan soalan itu. Sebagai isteri, aku sentiasa membantu Idham walaupun dia tidak pernah menunaikan hak-hak yang harus aku terima. Sehingga di saat itu, siapa tahu yang aku masih lagi perawan walau usia perkahwinan menjangkau usia enam tahun. Segalanya aku sembunyikan.  Tidak pernah aku menceritakan kepada sesiapa pun.
Wife abang tak kerja… duduk rumah.” Ringkas jawapan Syamil. Dia kelihatan tidak selesa dengan pertanyaan itu.
 Aku mengangguk tanda faham.
“Abang, Hani minta maaflah kerana sibuk-sibuk hal bisnes abang, tapi sebenarnya Hani ingin melihat abang berjaya mencapai cita-cita! Hani tak pernah mengharapkan apa-apa daripada abang sekiranya abang telah berjaya, cukuplah untuk Hani tumpang bermanja,” suaraku tersangkut di situ.
“Tak apa, abang suka Hani selalu mendorong dan memberi abang perangsang, memahami cita-cita dan masalah abang.”  Syamil menggenggam tanganku erat-erat.
“Abang tak minat ke cuba bisnes lain? Manalah tahu, rezeki abang bukan dalam bidang IT ni.” Sekadar mengisi ruang perbualan, aku memberi cadangan.
“Bidang apa?” Syamil bertanya perlahan. Wajahnya seperti putus semangat.
“Alat-alat tulis ke? Untuk pejabat dan sekolah, peralatan bantuan mengajar, buku-buku dan lain-lain. Pasarannya luas juga.” Aku mengemukakan idea.
“Yang itu boring. Abang kena rajin keluar untuk cari pelanggan. Barang-barang kecil, susah nak untung. Saingan banyak.. Lagipun abang memang suka dengan bidang IT ni…orang datang siber kafé, sambil itu abang juga ada servis lain berkenaan komputer. Pelanggan yang datang cari abang.”  Syamil melebarkan senyumannya.
“Oh! Kalau begitu tak apalah,” kataku sambil tersenyum. 
“Hani... Please, sayang. Jangan bincang soal bisnes lagi ya.  Kita makan dan berbual hal kita, okey.”  Syamil mengusap belakang tanganku.
“Okey...”  Aku mengangguk manja.
“Hmm... nak rasa mee ni? Abang suapkan Hani.”
Belum sempat aku menjawab, sudu yang mengandungi mee sudah mencecah bibirku. Apa yang hendak dikatakan lagi, terima sajalah jika orang ingin memanjakan diri ini.
Tiba-tiba telefon bimbit Syamil berdering. Dia beredar dari tempat duduk dan menuju ke belakang restoran untuk menjawab panggilan telefon. Mungkin isterinya. Aku memahaminya tanpa rasa cemburu walau sekelumit. Lelaki yang aku jadikan tempat mengadu kasih dan bermanja adalah suami orang. Aku kena memahami itu.
Setika kemudian, Syamil kembali ke sisiku.  Dia mengulum senyuman seraya memandang kepadaku.
“Orang rumah call ke?” Aku bertanya perlahan. Syamil tidak menjawab sebaliknya hanya tersenyum.
“Abang tak beritahu wife ke abang datang jumpa Hani?” 
Syamil tersengih. Dia menggeleng. Setahu aku, isteri Syamil tidak cemburu. Itulah yang diceritakannya kepadaku.  Kononnya, Ina isterinya telah diberitahu tentang perhubungan kami.
“Taklah sayang! Abang beritahu, abang outstation.” Syamil ketawa kecil pula. Dia menikmati kembali makanan yang baru sedikit dijamahnya tadi. “Bohong sunat,” sambil menelan mee, dia menyambung bicaranya. Ketawanya berderai seketika.
“Tengok tu! Mana ada bohong sunat! Kalau berbohong tu, tetap haramlah, berdosa, tak ada sunat, harusnya lagi!  Memandai saja orang lelaki ni.” Aku menyindir dalam ketawa. 
“ Kalau tak bohong, tak dapatlah nak jumpa dengan orang yang abang sayang,” ujar Syamil sambil dagunya menyentuh bahuku. Kemudiannya kami ketawa bersama.
“Macam itulah! Ceria-ceria, ni turun dari bas tadi monyok saja.”  Aku memuncungkan bibir mengajuk muncung Syamil yang kulihat sewaktu turun dari bas tadi.
“ Heh!heh! Macam mana tak monyok sayang! Pening kepala. Tension. Macam-macam masalah!” Syamil menggaru-garu pipinya yang sedikit berisi.
 Sekarang ni dah selesai masalah ke? Boleh ketawa riang!” Aku menyakat Syamil. Dia tersenyum lebar sambil memandang kepadaku.
“Sekarang abang bersama Hani. Okeylah, sayang pun orangnya happy go lucky. Seronok rasanya bersama-sama.!  Waktu pun rasa singkat sangat!” Syamil memandang jam di lengan kirinya seketika kemudiannya memanggil pelayan kedai untuk meminta bil.
“Biar Hani belanja.” Aku mengeluarkan wang dari dompetku lalu membayar harga makanan yang kami makan.  Aku memahami keadaan kewangan Syamil pada waktu itu.  Seketika kemudian, kami telah keluar dari kedai mamak itu dan berjalan menuju ke stesen bas. 
“Hari ni, Hani nak pulang awal bang! Nanti hubby bising! Hani tak suka!” Aku memberitahu Syamil.
“Yalah! Abang faham. Abang pun tak suka, nanti Hani kena marah, kena lempang!”
“Kalau suami dah panas baran begitu, Hani jangan bantah cakap dia, ya? Kalau dia marah, Hani jangan menjawab. Diam sahaja! Buat tak dengar! Kalau Hani sayangkan abang, Hani mesti taat kepada suami,” Syamil menasihatiku.
“Yalah! Tapi, kadangkala hilang juga sabar.” Aku menjawab dengan suara perlahan. Sesekali aku rasa hairan juga dengan nasihat Syamil. Dalam pada mengajak aku berkahwin, menasihatkan aku taat kepada Idham pula. Yang mana satu keinginannya yang sebenar?
“Mesti sabar! Dia panas baran! Silap-silap hari bulan, habis semua harta benda dalam rumah, kereta ke, hancur dikapaknya!”
“Entahlah, kadang-kadang Hani terfikir yang suami Hani tu seorang paranoid.” Aku meluahkan perasaan kepada Syamil.  Memang benar, Idham jika sudah terlalu marah, tindakannya seolah orang gila. Kehilangan akal dan tak ada pengetahuan agama.
“Bukan paranoid, tapi pengamuk!”  Syamil ketawa. “Kalau dia dah tak sayang Hani, tak mahu Hani, lepaskan, kan senang! Cepat sikit abang dapat kahwin dengan Hani!”
Aku tidak menjawab apa-apa. Sebenarnya aku keliru dengan perasaanku. Sememangnya aku benar-benar menyayangi lelaki itu, tetapi untuk menjadi isteri keduanya, benarkah hati kecilku mengizinkan aku melakukan begitu? Oh, tidak. Lagipun, mampukah Syamil untuk memiliki isteri lebih daripada seorang, sedangkan yang aku tahu dia tidak sudah-sudah menghadapi masalah kewangan? Namun, jika aku menolak segala perasaan dan meremehkan impian serta harapannya terhadap diriku, Syamil tentu akan berkecil hati, kecewa dan merasa dirinya tidak berharga lagi.
“Sayang!  Sampai bila kita akan begini?” Syamil merenung mataku. Kami melabuhkan punggung di bangku yang kosong sebaik saja tiba di perhentian bas.
“Sampai bila apa?” Aku berpura-pura tidak mengerti  pertanyaan Syamil.
“Sampai bila kita akan menjalin perhubungan ini? Perhubungan terlarang dan cinta terhalang.” Syamil menarik nafas panjang. Dia mengeluh dengan keluhan yang agak berat.
“Entahlah, bang. Abang rasa sampai bila?” Walaupun perasaanku terhadap Syamil amat jelas, bukannya penipuan, namun Idham terlalu  kuat mengikat aku. Bergerak ke mana pun, aku yang akan terluka. 
“Selamanya. Selamanya Hani akan berada di sini…” Lagi sekali Syamil mengulangi aksinya. Melekapkan tangan kanan ke dada kirinya. “Hani, abang nak tanya sesuatu. Tapi Hani jangan kecil hati, ya?” Dia melipat akhbar di ribaannya sambil menoleh kepadaku seketika. 
Aku mengangguk.
“Hani tak mahu memiliki cahaya mata ke?” Lembut suara Syamil menyoal.
Bagaikan belati tajam membelah hatiku, perasaan sebak mula menghadirkan diri.
“Alah abang ni, sebagai seorang wanita yang normal,  mestilah Hani ada keinginan untuk itu. Ingin menjadi ibu...ada anak-anak,” suaraku perlahan. Hatiku bagaikan ditusuk sesuatu yang amat tajam.
“Tak pernah jumpa doktor ke? Buat pemeriksaan ke?”  Lagi sekali pertanyaan Syamil merobek hatiku. 
Aku kehilangan kata, lalu menggeleng berkali-kali.
“Sampai bila Hani nak tunggu! Suami garang! Zuriat tak ada! Selalu kena pukul! Tapi, sayang masih setia juga pada Idham tu.Teguhnya cinta Hani! Bertuahnya Idham.” Syamil bersuara sinis. Ngilu rasanya jiwaku.
“Abang, bukan soal cinta atau setia! Susah Hani nak terangkan, tak ada orang faham nanti!” suaraku mulai serak.  Aku cuba menahan air mata yang bakal membuak.
“Kalau tak cinta, mengapa harus setia? Dia bersikap tidak adil kepada Hani, tapi Hani nak tunggu lagi! Dia dah ada anak, tapi Hani ada siapa untuk menjaga Hani bila tua nanti?” 
Dalam kelembutan kata-kata Syamil itu, aku terkedu.  Sememangnya tanpa dia memberitahu pun, aku sedar dan mengerti tentang hal yang telah dinyatakannya itu. Namun, apa yang dapat aku lakukan. Aku harus memikirkan tentang banyak perkara. Aku harus memikirkan kepentingan orang lain juga, bukannya kepentingan diriku sendiri sahaja.
“Hani, maafkan  abang! Abang tahu, Hani menyayangi abang! Jangan bimbang, abang tetap akan setia menunggu.  Cinta abang tetap akan teguh, tidak akan berubah, tapi alangkah baiknya jika kita cepat-cepat bernikah! Hani mungkin ada peluang untuk memiliki cahaya mata sendiri, belum terlambat lagi!” 
Lagi-lagi Syamil membicarakan tentang harapan dan impiannya.  Mungkin impian hatiku juga. Tapi, sanggupkah aku hidup bermadu?  Berkongsi kasih, cinta dengan wanita lain?  Jika tidak, sanggupkah aku kehilangan Syamil sedangkan lelaki itu telah mengisi seluruh ruang hatiku. Aku merasakan yang Syamil ialah sebahagian dari diriku. Dialah keceriaanku.
“Bang, terima kasih kerana sepanjang perhubungan kita, abang telah melayan Hani dengan baik, menasihati dan menyayangi Hani. Hani tak akan lupakan sampai bila-bila.”  Aku merenungi wajah Syamil.  Mataku terasa panas, mungkin telah digenangi air yang menanti masa untuk meruntuhkan tebing kolam mataku.
“Bila-bila nanti, abang suruhlah anak-anak abang telefon Hani. Biar Hani tumpang kasih anak-anak abang jika abang izinkan.” Dari lubuk hatiku yang paling dalam, aku menyuarakan keinginanku.  
Syamil tidak menjawab.
“Bas Hani dah sampai tuuu!!”  Tergesa aku bangun dari bangku apabila mendengar laungan daripada konduktor, bas yang akan menuju ke daerahku telah tiba di stesen itu. 
“Jaga diri. Nanti e-mail abang ya.” Syamil melambai tangannya.
Bas yang aku naiki bergerak perlahan meninggalkan stesen bas. Aku tersenyum. Senyuman di bibirku seolah menggambarkan keindahan hatiku pada waktu itu. Walaupun seketika, aku rasa bahagia, setiap kali berada di samping Syamil.



                                                                       
                                                      ~~~~ BERSAMBUNG~~~~







Tiada ulasan: