Khamis, 28 Mac 2013

Novel: SEBELUM NAFAS TERHENTI (BAB 33)- ALAF 21


Hati Ain Wahida benar-benar rasa tidak tenteram.  Cemburu, marah, benci bercampur baur. Malam itu dia tidak dapat melelapkan matanya walaupun sesaat. Beralih ke kiri, beralih ke kanan akhirnya gadis itu bangun dan bermenung di birai katil. Jam di dinding menunjukkan ke angka 2.00 pagi. Sesekali tangannya mengusap pipi kirinya. Hatinya bagaikan dibakar. Geram dan marahnya bertindih-tindih. Dia mengetap-getap bibirnya.
Batinnya tidak dapat menerima yang Aldi menolaknya dan memilih seorang gadis tempang menjadi teman hatinya.  Tak mungkin. Tak mungkin. Apa kekurangan aku? Apa pula kelebihan gadis itu? Hatinya benar-benar jadi tidak keruan.  Tidak tahu apakah yang tidak kena dan tidak betulnya. Di matanya seakan terbayang-bayang Aldi mempertahankan Nurlisa sewaktu dia cuba untuk menarik-narik tudung gadis itu. Perasaan marahnya meledak bagaikan gunung berapi yang sudah lama terpendam.
Bayangan-bayangan yang tertayang di matanya mengoyak terus kesabarannya yang sememangnya sangat tipis itu.  Hatinya bagaikan tercarik. Pedih dan sakit. Kemesraan yang ditunjukkan oleh Aldi kepada gadis tempang itu begitu mencerut hatinya.  Sakit! Hatinya bertambah sakit. 
Perasaan dendamnya seolah membakar. Aldi benar-benar menolak cintanya biarpun seluruh dirinya telah diserahkan kepada lelaki itu. Aldi bukan sahaja menolak cintanya, bahkan dirinya juga. Sedangkan dengan gadis cacat itu, Aldi beria-ia mempertahankannya. Memeluk dan mendakapnya mesra. Dia berasa tercabar dan geram. Kehangatan tubuh Aldi sepatutnya menjadi miliknya. Bukan milik mana-mana wanita atau gadis lain.
Telefon bimbit dicapai lalu punat-punat di telefon bimbit itu ditekan dengan rakus. Aldi.
Aldi, please ambillah panggilan ini!’ Batinnya menjerit-jerit di tengah malam itu. Beberapa kali dia mendail nombor Aldi. ‘Aldi, tolonglah jawablah panggilan ini!’ Suara hatinya terus menjerit.
“Helo!”  Getaran suara lelaki itu bagaikan sentuhan sakti yang mendamaikan jiwanya yang sedang gundah gelana.  Menenangkan hatinya yang bergelora bagaikan lautan di musim tengkujuh.
“Aldi! I nak minta maaf!” Lain yang bersarang di hatinya, lain pula ucapan bibir. Entah mengapa, tiba-tiba perasaan sebak menghempas kuat dijiwanya. Ain Wahida tidak semena-mena menitiskan air mata.
It’s okay. Tak ada apa-apa!” Aldi menjawab hambar.  Suaranya jelas kepenatan. Ingin sekali dia menyuruh wanita itu memohon kemaafan daripada Nurlisa. Namun, bibirnya tidak terucapkan perkataan itu. Dia yakin, Ain Wahida akan melenting di dinihari itu jika disuruh meminta maaf daripada gadis yang menjadi kebenciannya. Dan perbualan mereka akan bertambah panjang sedangkan dirinya benar-benar keletihan.
Dia baru sahaja merebahkan dirinya setelah pulang dari hospital. Malam tadi Mak Cik Hasnah berada di dalam keadaan yang amat membimbangkan. Dia berada di sana sehingga pukul 12.30 malam. Apabila dimaklumkan oleh para doktor yang keadaan wanita tua itu sudah stabil kembali, barulah dia berasa senang hati untuk pulang ke rumah.
“Nanti dulu, Aldi! I nak tanya beberapa perkara!” Ain Wahida cuba menghalang niat Aldi yang ingin menamatkan perbualan mereka. 
Aldi dapat meneka apa yang akan ditanyakan oleh Ain Wahida itu kepadanya. Mesti gadis itu ingin bertanyakan tentang perhubungannya dengan Nurlisa. “Dah pukul 2.00 pagi ni, Ain! You tidurlah dulu!”
No! I tak peduli! I tak boleh tidur selagi hati I tak rasa puas! I inginkan penjelasan daripada you!” Ain Wahida terus mendesak.  Nada suaranya tiba-tiba bertukar. Daripada lunak lembut kepada keras.
“Penjelasan tentang apa?” Aldi masih bersuara tenang.  Pura-pura tidak mengerti. Suara Ain Wahida yang agak serak cuba diteliti.
“Apa hubungan you dengan gadis tempang itu? Kekasih you ke? Tunang you ke?” Berlumba-lumba perkataan yang keluar daripada bibir Ain Wahida.
Tepat sekali tekaan Aldi.  Api cemburu telah membakar lautan hati gadis itu. “Minta maaf, Ain. I tak perlu jelaskan apa-apa kepada you,” ujar Aldi dengan suara perlahan. Nada suara Ain Wahida itu mengundang rasa meluat di hatinya.
“You kena jelaskan, sebab you dah berjanji dengan ayah dan mak yang perhubungan you dengan keluarga kami tidak akan putus.” Suara Ain Wahida agak kuat dan nadanya seakan marah.
“Hal ini tidak ada kena mengena dengan ayah dan mak! Mereka ibu bapa mertua I. Walaupun Arishal sudah tiada, I tetap menganggap mereka sebagai orang tua I,” terang Aldi.
“Tapi ayah dan mak berharap you terus menjadi menantu mereka! Mereka berharap kita akan bersatu dan menjadi suami isteri!” Puas hati Ain Wahida apabila dapat meluahkan segala isi hatinya kepada Aldi. Sudah tentu Aldi tidak sanggup menghampakan perasaan orang tuanya. Ketidaksanggupan itu akan membuka peluang untuknya. 
“Ain! I tak pernah terfikir begitu!” Terbeban dengan kata-kata Ain Wahida, Aldi tetap tidak ingin memberi ruang kepada bekas adik iparnya itu. “I tak mahu hidup dibayangi oleh Arishal!  I’m sorry to say that!
Ain Wahida tetap tidak mahu mengalah. “Kalau benar you tak mahukan I, I tak kisah.” Dia terdiam seketika. Benarkah dia tidak kisah kalau Aldi memilih gadis lain? “Tapi kenapa you pilih gadis tempang itu? You tahu ke latar belakangnya? Dia ni pernah keluar dengan orang lain juga!  You suka ke untuk mengasihi perempuan seperti itu?” Sambungnya kembali.  Tiba-tiba pula dia teresak.
 Beria-ia benar Ain Wahida menyuarakan pandangannya.  Dahinya berkerut sehingga alisnya yang halus itu seolah bercantum. Perasaan cemburu meruap-ruap di hatinya.
“Itu bukan urusan you!” Aldi masih menjawab dengan lembut. Bibirnya tersungging senyuman. Bagaimana pun hatinya menjengkel. 
“Itu urusan I. You abang ipar I. Kan you dah janji dengan ayah...” Tak sempat Ain Wahida menghabiskan percakapannya kerana dipintas oleh Aldi.
No. I tak pernah janji apa-apa dengan ayah! Jangan salah faham! I’m sorry!” 
“Mesti emak dan ayah akan kecewa dengan sikap you!”  Ain Wahida bersuara dengan nada yang agak perlahan dan hampa. Sedu sedannya masih tersisa. Pipinya basah dibanjiri air mata. “You mesti ingat, I pernah berada sebilik dengan you di Sabah dulu!” Dia cuba mengugut dengan suara yang tersendat pilu.
“You yang datang ke bilik I. Ain, sudahlah tu. I ni abang ipar you!” Aldi cuba mengingatkan Ain Wahida tentang status perhubungan mereka.
“You tergamak tampar pipi I kerana gadis itu!” Suara Ain Wahida seolah menjerit. Esakannya semakin kuat. Sangkanya Aldi akan berlembut hati apabila dia menangis teresak-esak.
“Apa salah dia pada you?”  Aldi terus membela Nurlisa.  “Kalau you di tempat dia bagaimana? Kalau you di tempat I bagaimana? Tergamakkah hati you melihat orang yang you kasihi, you cintai, disakiti oleh orang lain?” soal Aldi dengan jelas dan lancar, tetapi masih cuba bertenang. Dia tidak perlu lagi menyorokkan perasaannya terhadap Nurlisa.  Ain Wahida harus tahu perkara yang sebenarnya.
“Lagipun, tak baik you menghina orang lain. Mungkin orang yang  dihina, dikeji, lebih mulia dan lebih baik daripada kita di sisi Allah!”
 “You akan menyesal!” Ain Wahida mengugut lagi.  Sakit telinganya kerana mendengar pengakuan Aldi itu yang mengasihi gadis itu. Tambahan pula Aldi cuba menasihatinya.
“Tidurlah, Ain! Assalamualaikum!” ujar Aldi lagi. Ugutan daripada Ain Wahida tidak menjadi kudis kepadanya.
Ain Wahida mencampakkan telefon bimbitnya dengan perasaan geram.  Dingin dinihari tidak terasa kerana perasaan marah bagaikan membakar hatinya di kala itu.
Pagi itu, selepas mandi, Ain Wahida terus berdandan dan keluar dari rumah menuju ke pejabat agensi peragaan tempat dia bekerja secara kontrak. “Selamat pagi, Ruby.”  Dia meriangkan suaranya dan menyapa Rubi yang bertugas sebagai kerani di syarikat itu.
“Mana yang lain?” soalnya lagi sambil matanya meliar memerhati di sekitar pejabat itu. Empat meja yang lain tiada penghuninya.
“Mereka semua keluar minum. Awal datang hari ni?”  Rubi pula menyoal Ain Wahida. “Pipi tu kenapa? Kena penampar?” Dia yang kadangkala bermulut celupar menegur pipi Ain Wahida yang sedikit membengkak.
“Jangan sibuklah! Aku sakit gigi!” Ain Wahida bersuara garang sambil menjeling Rubi. Dia rasa tersindir dan hatinya terasa amat sakit.
Telefon dipenjuru mejanya berdering, minta dilayan.
“Ain! Bos!” Rubi menyerahkan gagang telefon kepada Ain Wahida.
“Sesi fotografi dibatalkan!” Lia, pengurus agensi tempatnya bekerja memaklumkan.
“Kenapa tak jadi pulak?” Sambil menarik nafas panjang,  Ain Wahida menyoal kembali sambil menghenyakkan pinggulnya di kerusi rotan. Rona mukanya bertukar merah jambu. Hatinya menggerutu. Penat-penat bangun awal pagi dan bersiap, tiba-tiba segala rancangan terbatal.
“Habis tu, bila lagi nak diadakan? Atau batal terus?” soalnya lagi. Hatinya berasa geram dan tidak puas selagi rasa geramnya itu dihamburkan. “Kenapa sekarang baru nak beritahu dengan aku? Aku dah sampai kat pejabat ni!” Suara Ain Wahida sedikit tegang.
“Lagi dua minggu. Ada banyak lagi design baru yang mereka hendak you peragakan. So, jangan bimbang Ain.”  Lia meletakkan gagang telefon tanpa sempat Ain Wahida memberi komen atau meminta maaf.
“Hei! Aku baliklah! Ada apa-apa call my handphone!”  Ain Wahida menjeling Dina yang sedang asyik menulis di meja.  Dina baru saja masuk ke pejabat sewaktu Ain Wahida sedang bercakap dengan Lia di telefon.
“Tunggulah dulu! Sembang-sembang apa salahnya!”  Dina cuba memujuk.
“Dina, dia sakit gigilah.” Rubi menyampuk dari jauh.
“Ah! Aku baliklah! Nak tidur!” Ain Wahida terus beredar dari situ dengan perasaan geram. Kakinya sengaja dihentak-hentakkan sewaktu keluar dari pintu.
‘Balik rumah pun nak buat apa? Tidur? Dari semalam mata aku tak boleh tidur kerana teringatkan si tempang itu dengan Aldi!’ Hatinya berbicara sendiri. “Helo, Linda! Temankan aku pergi shopping!
“Ops! Sorrylah, Ain! Hari ni aku ada program,” jawab Linda agak kuat.
“Hisy! Menyampah! Kenapa minggu ni nasib aku malang sangat?” Ain Wahida melemparkan pertanyaan dengan sesal.  Bibirnya muncung.
“Kenapa ni, Ain! Marah-marah! Cubalah bertenang sedikit. Okey, kau di mana sekarang ni? Aku datang ambil kau. Kita pergi minum dan kau boleh ceritakan apa masalah kau!” Linda memberi cadangan.
“Okey! Setuju!” Bibir Ain Wahida mengukir senyuman.  Nasib baik ada seorang teman yang sentiasa sudi mendengar luahan hatinya.
15 minit kemudian, Linda tiba di tempat yang dijanjikan.  Setelah memakirkan kereta, mereka bersama-sama menuju ke sebuah restoran yang berhampiran.
“Macam mana perniagaan kau sekarang?” Suara Ain Wahida seolah ditenggelami dengan hiruk pikuk di kedai makan itu.
“Alhamdulillah. Aku sudah tambahi dengan barang-barang jualan yang lain.” Linda tersenyum. Dia berasa bersyukur kerana cita-citanya semenjak di bangku sekolah akhirnya tertunai juga. 
“Maksudnya?”  Ain Wahida inginkan penjelasan.
“Sebelum ini, aku hanya jual pakaian siap dan ambil tempahan sahaja. Sekarang ni, di butik tu ada kain-kain ela, aksesori dan beberapa barangan yang lainlah. Alah! Kau datanglah sendiri. Baru tahu!” pelawa Linda sambil tersenyum.
“Oh ya? Baguslah kalau begitu. Kau tidak berhasrat untuk membuka cawangan lain ke?” soal Ain Wahida kembali.  Sejujurnya dia berasa cemburu melihat kejayaan yang sedang dikecapi oleh temannya itu.
“Cawangan? Belum buat masa ini! Guna kedai yang ada sekarang ni sudah memadai. Insya-allah, bila wang simpanan aku cukup nanti aku akan fikirkan tentang itu,”  ujar Linda pula sambil tersenyum. Kotak ingatannya terus mengingati jumlah simpanan yang ada kini. Tidak sampai pun 30 ribu.
“Linda, mengapa pekerja kau yang tempang itu berhenti kerja?” Ain Wahida tiba-tiba menukar topik perbualan.  Sebenarnya dia tidak berminat hendak mengetahui tentang perniagaan temannya itu. Bualannya tadi sekadar pembuka bicara sahaja.
“Entahlah! Aku pun pelik kenapa Nurlisa tiba-tiba nak berhenti kerja di kedai aku tu. Sebenarnya aku suka juga dia bekerja terus dengan aku. Budaknya rajin. Elok budi pekertinya” Linda berasa hairan mengapa tiba-tiba Ain Wahida bertanyakan tentang Nurlisa.
Teh O nipis panas dicicipnya perlahan sambil matanya memerhati Ain Wahida yang di hadapannya.
“Baik budi pekerti kau kata. Kau tahu, aku nampak dia bersama dengan Aldi semalam. Bukan main lagi. Geramnya!”  Ain Wahida menggenggam-genggam jari jemarinya dan menekan-nekan di atas meja.
“Oh! Patutlah kau angin satu badan.” Linda ketawa sambil menghirup minumannya. Matanya merenung Ain Wahida yang sedang memuncung. Rona wajahnya tiba-tiba bertukar.  Dari riang kepada mencuka.
“Kau jangan ketawakan aku! Kalau aku ceritakan satu perkara, kau pun akan angin dari hujung rambut hingga ke hujung kaki!” Ain Wahida menjeling tajam. “Kau ingat tak, waktu kita lunch di mana, ya? Aku dah lupa! Ha! Aku nampak Adzman sedang makan dengan dia juga.Budak tempang tu!” Rahsia yang selama ini disimpannya daripada pengetahuan Linda, akhirnya terbongkar juga.
“Biar betul! Kau silap orang agaknya Ain. Mungkin lelaki yang kau tengok tu bukan Adzman.” Linda cuba melegakan perasaan hatinya.
“Helo! Mata aku ni belum rabun lagi!” Ain Wahida menjegilkan matanya kepada Linda.
“Keluar dengan Adzman tu aku tak hairan sangat. Siapalah Adzman tu, mengaku saja dia tu anak datuk tapi hakikatnya tidak! Yang senang-senang dapat naik kereta bersama Aldi tu kenapa? Aldi tu anak Datuk Haris! Jutawan ternama di bandar ni! Siapa dia tu yang senang-senang sangat untuk mendekati dua lelaki tu?” Ain Wahida meluahkan pertanyaan hatinya kepada Linda. “Sampai berpelukan di tepi jalan!” ujarnya lagi dengan nada benci dan marah. Api cemburunya seolah telah membakar seluruh hatinya.
“Sudahlah tu, Ain. Tak payah marah-marah lagi. Jangan menuduh perkara yang kita tak tahu. Syak yang bukan-bukan. Apa hubungan Nurlisa dengan Aldi dan Adzman tu, hanya Allah saja yang tahu. Manalah tahu, kalau-kalau Nurlisa tu adik Aldi? Kakak Adzman ke?” Linda cuba mengemukakan pendapat.
“Kau ni cemburu tak bertempat.” Linda bersuara agak perlahan.
“Hei! Mengarutlah. Takkan anak orang berada nak bekerja di butik kau yang tak seberapa tu!” Ain Wahida terus tidak berpuas hati. Di matanya terbayang Nurlisa dan bagaimana Aldi mendakap tubuh gadis itu di tepi jalan.
“Jangan pandang rendah pada orang lain, Ain. Tak baik. Butik aku tu memanglah tak seberapa. Namun aku bersyukur sangat.” Suara Linda agak perlahan, seakan merajuk. Terguris hatinya dengan kata-kata Ain Wahida.
“Linda... aku ada cakap tentang butik kau ke? Kau merajuk ya? Kau kecil hati, ya?” Ain Wahida memegang lengan Linda berkali-kali dengan wajah yang ingin meraih simpati.
“Kalau kau tak ada nak cerita apa-apa lagi, aku nak pergi ni!” Linda mencapai tas tangannya.Nada suaranya seolah merajuk.
“Habis tu, kau tak mahu hantar aku balik ke tempat tadi? Kereta aku ada di sanalah!” Suara Ain Wahida agak kuat.
Hmm... it’s up to you!” Linda tersenyum lebar melihat Ain Wahida dalam keadaan mengelabah dan marah.
Selepas menyelesaikan bil, Ain Wahida beredar dari kedai itu. Dia berjalan perlahan sambil matanya meninjau-ninjau perhentian bas atau teksi yang berdekatan. Telefon bimbit berdering tapi tak sempat dijawab panggilannya kerana zip beg tangannya tersangkut sewaktu tergesa-gesa membukanya. Dia menghubungi semula nombor yang terpapar di skrinnya itu.
“Hakim.” Terus namanya disebut tanpa mengucapkan salam kepada Ain Wahida. 
Ain Wahida tersenyum lebar. Dia dapat mengenali suara lelaki itu. Lelaki yang bekerja di kedai komputer itu.  Wajahnya seolah terbayang di hadapan mata. “Ya, Encik Hakim.  Bagaimana dengan laptop saya?”  Di matanya terbayang wajah lelaki bernama Hakim yang mula menimbulkan keresahan dihatinya. Cerita-cerita yang didengari mengenai lelaki itu semuanya yang mulus-mulus. Lelaki baik berakhlak mulia.  Menghormati orang lain dan berbudi bahasa. Setinggi gunung pujian terhadap lelaki itu.
“Sudah dibaiki. Akak datang ambil di kedai...” Intonasi suaranya sangat menyenangkan.
“Baik. Nanti saya datang ke kedai.” Ain Wahida memberi janji. Bunga-bunga dijiwa mula berkembangan. Pemuda yang tidak banyak bercakap itu begitu istimewa pada pandangan matanya.
20 minit selepas itu, Ain Wahida telah sampai di kedai komputer tersebut. Hakim sedang melayani pelanggannya yang sedang asyik bertanya tentang printer. Mungkin pelanggan itu ingin membeli sebuah komputer. Ain Wahida menunggu dengan sabar walaupun terpaksa berdiri. Dari jauh dia mengamati wajah Hakim. Lelaki itu bertubuh kecil, namun kacak. Keningnya cantik dan berbulu mata lentik.  Punyai sepasang mata yang jernih dan tajam. Kulitnya hitam manis. Berbibir comel dan nipis.
‘Macam lelaki Iranlah dia ni,’ bisik hati Ain Wahida.  Bibirnya mengukir senyuman paling manis. Sayang, lelaki itu bagai tidak mengendahkannya. “Berapa?” Dia membelek-belek wang kertas yang berada di dalam dompet sambil matanya memandang ke arah lelaki itu yang sedang menulis bil.
“RM125 sahaja?”
Ain Wahida sedikit terkejut. Disangkanya jumlah yang akan dibayar lebih daripada itu.
“Hmm... sikit saja rosaknya.”
Ain Wahida terus memerhati lagi. Lelaki bertubuh kecil itu berbaju T hitam dan berseluar jeans biru yang sudah lusuh. “Encik Hakim! Encik Hakim, kan?” Ain Wahida inginkan kepastian dan cuba untuk memaksa lelaki itu beramah dengannya.
“Ya. Kenapa?” Matanya yang tajam merenung ke wajah Ain Wahida.
“Kalau rosak lagi macam mana? Kalau di rumah saya tak boleh nak connect internet, saya boleh minta bantuan Hakim tak?” Ain Wahida bersuara lembut dan merenung wajah Hakim dengan ekor matanya. Harap-harap umpannya mengena.
“Boleh! Call saya, nanti saya datang ke rumah.” Hakim menghulurkan sekeping kad yang tercatat nombor telefonnya kepada Ain Wahida. 
Gadis itu tersenyum girang. Mungkinkah Hakim akan masuk di dalam genggamannya? Lelaki ini boleh dijadikannya umpan untuk memiliki Aldi. Manalah tahu, Aldi akan berasa cemburu. Sekiranya Aldi berasa cemburu, bermakna adalah tempatnya di hati lelaki itu. Satu demi satu perancangan timbul dibenaknya. Ain Wahida tersenyum lebar. “Terima kasih. Hmm... nanti saya call.” Ain Wahida tersenyum meleret.
“Saya, Ain Wahida!” Ain Wahida mengenalkan dirinya sambil menghulurkan tangan untuk berjabat salam. 
Hakim menyambut huluran tangan itu dengan wajah yang selamba.
“Jumpa lagi!” ujar Ain Wahida lagi sebelum menguakkan daun pintu kaca kedai itu dan mengangkat tangan kepada Hakim yang berdiri hampir dengan pintu.

Tiada ulasan: