Khamis, 28 Mac 2013

Novel : Kasihnya DIA (BAB 33) - ALAF21






Rumah banglo tiga tingkat itu sudah kelihatan dari jauh sebaik sahaja kereta Anas memasuki Lorong Kenari. Rasa tidak sabar hatinya untuk tiba ke rumah ibu bapanya itu. Sebaik sahaja kereta diparkir di tempatnya, dia terus meluru masuk ke dalam rumah dan naik ke tingkat dua, ke kamar Datuk Johan. Namun, wajah dirindu tidak kelihatan.
Dia seperti kucing kehilangan anak apabila tidak dapat melihat wajah ibu tirinya.  Dari tingkat atas ke tingkat bawah, dari dapur ke ruang tamu, namun wajah Rina Melati tidak dapat dicari.
“Ada apa-apa yang tak kena ke Anas?” soal Datin Jazima. Dia yang terdengkat-dengkat kakinya berjalan menghampiri Anas.  Anas yang kelihatan resah dan cemas.
“Cari Melati, emak!” jawab Anas dengan suara agak kuat.
Mendengarkan itu, Datin Jazima terus menyinga. Wajah Anas terus dipandang. “Hai! Balik ke rumah bukannya hendak bertanya khabar aku! Kau sibuk tanya pasal emak tiri kau kenapa? Dah hilang akal? Dah gila macam ayah kau juga?” kata Datin Jazima. Dia bersuara kuat sambil menuding-nudingkan jarinya ke muka Anas. Geram rasa hatinya melihat gelagat Anas yang resah dan tidak tentu arah bagaikan kucing jantan kehilangan kucing betina.
“Mesti dia dah pindah dari sini. Tak tahan duduk dengan emak. Yalah, siapalah yang tahan duduk dengan emak. Saya sendiri pun tak tahan!” Anas menjawab dengan nada suara semakin perlahan. Kata-kata itu semakin menyemarakkan rasa marah yang membara di hati Datin Jazima.
“Amboi, Anas! Kenapa pula perempuan tu kena duduk di rumah ini! Kau pernah tengok ke orang hidup bermadu duduk di dalam sebuah rumah? Di bawah satu bumbung? Dah gila ke kamu semua ni? Anak beranak?” soal Datin Jazima dengan perasaan marah yang semakin membuak. Anas yang sedang mundar mandir di ruang tamu diekori dengan matanya dengan renungan tajam.
Bunyi enjin kereta di depan rumah mematikan lidah Anas untuk meneruskan percakapannya. Susuk tubuh Datuk Johan terlihat di sebalik pintu kaca.
“Assalamualaikum...” Terjengul sahaja di muka pintu, Datuk Johan terus memberi salam. Tidak seorang pun yang menjawab salamnya. Sebaliknya, Anas dan Datin Jazima pandang memandang sesama sendiri.
“Hai! isteri dan anak dah tak tahu kewajipan menjawab salam?” soal Datuk Johan dengan nada menyindir. Namun, sindirannya penuh kelembutan.
“Dah lama sampai, Anas? Alia mana? Dah lama tak datang ke sini,” tukas Datuk Johan lagi dengan suara tenang sambil meletakkan briefcase di atas meja.
“Saya datang seorang saja,” jawab Anas ringkas.
Datin Jazima mencebikkan bibirnya. Anas kelihatan resah di tempat duduknya.
“Dia cari Rina Melati!! Marah-marah pula bila tengok perempuan tu tak ada di rumah ni!” beritahu Datin Jazima. Dia tidak ragu-ragu membongkar tembelang Anas. Sengaja dia berterus terang kepada Datuk Johan agar suaminya itu tahu yang Rina Melati telah membawa masalah kepada keluarga mereka.
Anas membulatkan matanya melihat Datin Jazima sebaik saja emaknya menghabiskan bicaranya itu. Dia malu sendiri di depan ayahnya.
“Betul! Saya cari Melati. Saya dengar dia akan bekerja balik di JJ Holding,” akui Anas. Dia cuba mencari alasan yang terbaik. Dalam waktu yang terdesak itu, apa yang terlintas difikirannya, itulah yang diungkapkannya.
“Hmm... kalau begitu tanya pada ayah pun boleh! Tak payah cari isteri ayah,” jawab Datuk Johan. Lembut dan tenang suara Datuk Johan, namun menghiris hati Anas dan Datin Jazima yang mendengarnya.
“Sekarang ni dia dah duduk di rumah kita yang di Jalan Perindu tu,” jelas Datuk Johan.
Datin Jazima ternganga mulutnya seketika. “Kan saya dah kata, perempuan tu akan bolot semua harta awak!!!” tuduhnya spontan. Perasaan Datin Jazima semakin terbakar mendengar perkhabaran itu. Mula-mula suami. Kemudiannya rumah. Selepas ini tentu kereta. Kemudiannya wang ringgit dan emas permata. Setelah itu... tidak sanggup lagi Datin Jazima memikirkan tentang harta benda milik keluarga itu yang akan dibolot oleh Rina Melati.
“Pengorbanannya kepada saya sangat besar Jazima. Saya tidak kisah pun kalau semua harta saya dihadiahkan kepadanya kerana jasanya menjaga saya sewaktu terlantar sakit dulu. Tidak ternilai harganya pergorbanannya kepada saya,” beritahu Datuk Johan. Dia bersuara tenang dengan wajah selamba sambil merenung ke wajah Datin Jazima dan Anas dengan ekor matanya. Wajah kedua orang itu nampak macam tidak berpuashati dengan kenyataannya. Lebih-lebih lagi isterinya yang tua itu. Muncungnya bagaikan cencurut.
“Pengorbanan saya selama ini macam mana? Tidak berharga satu sen pun pada pandangan awak? Sebab saya dah tua? Dah berkerepot? Dah kendur sana sini? Hampir tiga puluh tahun saya jadi isteri awak,” jawab Datin Jazima. Suaranya semakin lantang.
“Saya mahu awak ceraikan perempuan itu! Atau ceraikan saya!” ugut Datin Jazima lagi. Dia seolah orang hilang akal. Tanpa rasa segan dan malu kepada anak yang berada di situ dan lupa kepada kedudukan suami yang harus dihormati dia terus menengking-nengking Datuk Johan yang tersandar di sofa.
Anas hanya mendiamkan dirinya dan tidak mahu campur di dalam pertengkaran emak dan ayahnya itu.
“Saya balik dululah emak, ayah,” kata Anas apabila dirasakannya pertengkaran antara emak dan ayahnya semakin menjadi. 
“Hah! Nak cari perempuan itulah! Nak menggatal sama macam ayah kau! Baik anak, baik bapak sama saja!” tempik Datin Jazima.
Datuk Johan mengeleng melihat telatah isterinya itu. Di dalam hatinya dia beristighfar untuk menenangkan hatinya dengan kelakuan isteri tuanya itu.
PAGI ini agak cerah dari semalam. Alia memasukkan kain baju yang hendak di basuh ke dalam mesin basuh. Kain baju itu sudah dikumpul selama seminggu. Bibirnya tidak berhenti mengomel dan membebel. Bagai bertih digoreng. Anas sekarang sudah jarang-jarang berada di rumah pada hari cuti.
Dulu-dulu memanglah dia tidak pernah peduli sama ada suaminya itu balik ataupun tidak. Asalkan perbelanjaan rumah tangga dan nafkahnya cukup, dia tidak pernah menyoal. Kini, perasaannya mula rasa tidak selesa apabila Anas tidak pulang. Kalau di rumah pun wajahnya masam dan nampak gelisah.
Dulu, sewaktu ayahnya terlantar sakit Anas kerap pulang ke rumah ibu bapanya. Alia syak suaminya itu bukan bertujuan untuk menjenguk ayahnya yang sedang sakit. Sebaliknya dia ingin mencuci mata dengan ibu tirinya itu. Dulu dia tidak berasa cemburu pun. Biarlah Anas bagaikan orang sasau melengung ke sana dan di sini macam orang biul kadang-kadang.
Alia faham sampai ke langit pun kegilaan yang bertandang di hati Anas terhadap Rina Melati tidak akan tercapai impian hatinya. Bukankah Rina Melati itu ibu tirinya? Namun kini perasaan itu mulai berubah. Perasaan cemburu semakin kuat mengikat hatinya.
“Alia! Awak tak masak apa-apa ke pagi ini?” Tak sedar, tiba-tiba sahaja Anas muncul di belakangnya dan menyergah.
Alia menoleh dan melihat Anas masih memakai baju T yang dipakainya semalam. Baju T hitam berkolar. “Saya ingat awak tak mahu balik hari ni! Saya tak masaklah! Lagipun sekejap lagi saya hendak keluar!” beritahu Alia. Dia ke ruang dapur dan menghampiri Anas yang duduk di kerusi berdekatan meja makan sambil membaca surat kabar. Wajah Anas yang muram ditatapnya tanpa berkata apa-apa. Karektor Anas kadang kala mirip emak mertuanya. Cepat naik angin. Taiming semacam.
“Kalau nak air, saya buatkan. Tapi sekarang ni dah pukul 11.30 pagi. Takkan awak belum sarapan pagi lagi?” tanya Alia lagi sambil mengeluarkan teko dari dalam almari.
Anas diam. Panas hatinya sejak pagi tadi masih belum reda. Itu semua gara-gara ibu tirinya itu. Geram betul hatinya kerana Rina Melati enggan membuka pintu sewaktu dia terpekik-pekik dari depan rumah awal pagi tadi. Sehinggakan seorang jiran datang menjenguknya di pintu pagar.
 Datuk Johan tak ada di rumah agaknya. Keretanya pun tak ada. Mungkin isterinya ada di dalam rumah. Tetapi kalau Datuk Johan tidak ada di rumah, masakan isterinya boleh benarkan encik masuk ke dalam. Kata-kata daripada lelaki separuh umur itu tambah menyirapkan darah Anas.
Gelodak hatinya semakin ganas. Hampir tiga minggu dia tidak bertemu muka dengan Rina Melati, perasaannya jadi tidak karuan. Semakin Rina Melati menjauhkan dirinya, semakin kuat pula rasa rindunya itu. ‘Aku tidak akan tertewas dengan wanita itu. Aku mesti menang. Aku tetap ingin memilikinya walaupun sesaat.’
Darahnya seakan membusar sewaktu mengenang wanita itu. Seluruh tubuh Rina Melati bagaikan berada di kelopak matanya. Hidungnya bagaikan terhidu haruman daripada tubuh dan rambut wanita itu. Jari jemari Rina Melati yang halus mulus seolah masih berada di dalam genggamannya. Anas semakin resah di saat itu.
“Awak ada hubungi Melati?” Anas bertanya perlahan. Walaupun pertanyaan itu dirasakannya kurang wajar. Namun, dia cuba merisik. Manalah tahu, Alia ada perkhabaran tentang Rina Melati. Sambil menunggu jawapan daripada Alia, matanya terus menatap tulisan di akhbar.
Alia tersentak mendengar pertanyaan Anas itu. “Tak! Tak pernah hubungi dia! Lagipun saya tidak ada keperluan apa-apa dengannya. Lainlah awak!” Alia sempat lagi menyindir. Bibirnya mencebik.
Anas masih menundukkan wajahnya membaca akhbar hari itu.
“Kalau awak dah berminat sangat kepada emak tiri awak tu, suruh saja ayah ceraikan! Lepas tu awak ceraikan saya!” Suara Alia yang nyaring semakin menyakitkan telinga yang mendengarnya.
Anas melipat-lipat surat khabar yang sedang dibacanya lalu menghempaskannya di atas meja. Setelah itu dia terus beredar dari situ untuk mengelakkan pertengkaran yang bakal terjadi. Kunci kereta di meja terus dicapai. Seketika kemudian kereta Anas sekali lagi meninggalkan kawasan rumahnya dengan laju. Tidak puas hatinya jika tidak bertemu dengan Rina Melati pada hari itu. Dia bertekad untuk pergi ke rumah ibu tirinya itu sekali lagi.
Sampai di pintu pagar, Anas rasa kecewa kerana tidak kelihatan kereta Rina Melati diparkir. Itu bermakna ibu tirinya itu tiada di rumah. Dia cuba menghubungi telefon bimbit ibu tirinya itu, namun tidak mendapat jawapan. Hatinya meradang kerana semua panggilannya hanya menerima pesanan ke kotak mesej suara.
‘Sabarlah wahai hati, kalau ada rezeki tidak akan ke mana.’ Di dalam keretanya, Anas berkata untuk dirinya sendiri. Memujuk hati yang semakin gelisah.

    ~~~~~~~~~~~~~BERSAMBUNG~~~~~~~~~






34

Tiada ulasan: