“HAI, asyik nak balik kampung saja, ada apa-apa ke? Ada call
emak di belakang abang, ya?” Pada
mulanya suara Idham agak perlahan, namun nada dan kata-katanya amat menyakitkan
hatiku.
“Apa salahnya kalau Lidya call
mak. Dah lama tak jumpa takkan tak boleh bertanya khabar! Dahlah nak balik
tidur di rumah mak abang tak bagi, sejak dari hari kenduri kahwin dulu sehingga
ke hari ini, dah hampir sembilan tahun!” Aku menjawab dengan nada perlahan,
sambil menjauhkan diri daripada Idham sebaik sahaja meluahkan apa yang terkandung
di hatiku itu.
“Tak boleh!” suara Idham
menengking. “Kalau nak call mesti tanya aku dulu! Aku mesti nak tahu
sebabnya mengapa kamu telefon mak kamu! Aku mesti dengar perbualan kamu anak
beranak!” Idham mula bertempik. Matanya menjegil aku.
Aku mencebir bibir. Sudah
faham dan menjangka perkara-perkara yang mungkin akan berlaku. Apabila Idham
sudah mula membahasa dirinya ‘aku’, tanda marahnya sudah memuncak.Meluatnya aku
dengan sikap panas barannya yang tidak menentu itu.
“Yang kamu tiba-tiba nak
balik kampung ni apa hal? Apa yang mak cakap, hasut kamu hah.”
Berdesing telingaku apabila
mendengar pertanyaannya itu. Langsung tidak menunjukkan sikap hormat pada ibu
bapaku. Aku menentang mata Idham dengan
renungan tajam. Bibirku muncung dan
wajahku mencuka. “Abang jangan nak tuduh mak Lidya yang bukan-bukan! Mak Lidya
tak pernah pun memburukkan abang apatah lagi menghasut Lidya! Lidya tak pernah
cerita apa-apa pun walaupun abang buat tak tentu pada Lidya!” Air mataku
berhamburan keluar tanpa dipinta.
“Kalau tak telefon, tak
cakap, tak kena hasut mengapa tiba-tiba nak balik kampung?” Tanpa sedikit rasa
simpati atau kasih sayang kepada isteri yang terluka hati, aku terus dimarahi.
“Siapa kata Lidya call
emak! Lidya tak cakap pun!” Aku terus membalas kata-kata Idham dengan suara
yang bergetar. Sudah lama aku berdiam
diri. Sudah lama aku memendam perasaan. Sudah lama aku menjeruk hati. Dulu aku
tidak pandai dan tidak pernah melawan walaupun sedikit. Setiap kali dimarahi
aku akan membisu tanpa kata. Tidak pernah mempertahankan diri, walaupun aku
tidak bersalah. Namun kini, semenjak hatiku telah dilabuhkan dihati Syamil, aku
bagaikan mendapat kekuatan yang luar biasa. Aku menjadi berani untuk mempertahankan hakku.
“Hei, setan! Tadi kamu
cakapkan! Telinga aku belum pekak lagi!
Walaupun aku dah tua, telinga aku tidak pernah silap!” suara Idham semakin
tegang dan tinggi. Rokok semakin rakus
disedutnya. Asap rokok dihembus bertalu-talu.
“ Mana ada! Lidya tak kata, Ya! Memang Lidya ada call emak! Tapi yang Lidya kata ialah, apa salahnya
kalau Lidya call mak!”. Suaraku
semakin keras walaupun aku cuba mengawal kekuatannya. Jawapanku itu seolah menyimbah petrol ke arah
api yang sedang mara” suaraku semakin keras walaupun aku cuba
mengawal kekuatannya. Jawapanku itu seolah menyimbah petrol ke arah api yang
sedang marak.
“Heiii!!! Kamu ni betullah,
cakap berbelit-belit. Lidah bercabang macam ular!” Tangan Idham terus menarik
rambutku dan dicengkamnya kuat-kuat. Dia mengetap-ngetap bibir dan giginya
tanda marah yang amat sangat.
“Kamu ni dah semakin kurang
ajar semenjak pegang jawatan baru, jadi pegawai kerajaan! Kamu dah tak hormat
aku lagii!!! Kamu jangan nak berlagak! Kalau aku nak, bila-bila masa saja aku
suruh orang pecat kamu! Kamu ingat aku siapa hah! Bodoh! Kurang ajar!” Sambil
bercakap dengan gigi yang terketap kerana terlalu geram, dia menonyoh-nonyoh
penumbuknya di kepalaku dengan sekuat hati.
“Kenapa dengan abang nii!!?
Lidya hanya minta kebenaran nak balik kampung tengok mak ayah saja! Kenapa
abang buat Lidya beginiii!!! Sakittt!!!” Aku bersuara di dalam tangisan.
“Kamu pentingkan siapa? Aku
ke mak kamu!” Idham mencubit lenganku berkali-kali. Daging lenganku yang tidak
seberapa itu dikutilnya setakat mana ibu jari dan telunjuknya dapat menyepit.
Daging lenganku yang tersepit diantara ibu jari dan telunjuknya dipulasnya pula
sekuat hati.
“Jawablah! Aku tanya, kamu
pentingkan aku ke mak kamu?” Tidak cukup dengan cubitan dilengan, Idham
mencengkam bahuku dengan kedua tangannya.
Bagaikan terkoyak isi daging
bahuku kerana cengkamannya yang kuat dan keras itu. Rupa Idham pada waktu itu
amat menakutkan aku. Rambutnya yang selalu terurus, kusut masai, wajah yang
keruh masam mencuka, mata yang memandang aku dengan terjegil bagaikan terkeluar
biji matanya, menyebabkan aku benar-benar rasa terancam. Aku cuba menepis,
tetapi cengkaman Idham semakin kuat.
“Kenapa dengan abang ni?”
Dengan esakan yang tertahan, aku cuba menjawab. Aku benar-benar rasa tertekan
dengan pertanyaan Idham. Ketakutan menjerut hatiku di kiri dan kanan. Aku serba
salah. Sekiranya aku berdiam, aku akan terus menjadi mangsa Idham. Sekiranya
aku melawan, Idham semakin mengganas dan semakin baran.
“Kalau kamu pilih mak kamu,
pergilah... jangan balik ke rumah ini lagi!” Idham bersuara garang lalu menolak
tubuhku, terpelanting ke atas sofa.
Mendengarkan itu aku terus
menerkam ke pintu. Aku tidak peduli walaupun pada waktu itu aku sedang berbaju
tidur. Idham bagaikan telah menghina ibu
yang telah melahirkan aku dengan kata-katanya itu.
Idham menerpa ke arah aku
yang sedang membuka ensil pintu hadapan rumah. Lagi sekali tanganku
direntapnya. “Eh! Tengok! Tengok! Kamu melawan aku! Nak pergi mana hah? Pergi
mana? Kurang ajar!!!” Idham menarik tubuhku dengan kasar.
“Abang yang suruh!” Dengan
suara yang tersendat dengan tangisan,
aku masih melawan. Aku benar-benar rasa tertekan dan tersepit. Tidakku
duga jawapan yang aku berikan menambah kemarahan Idham. Penumbuknya hinggap di
belakangku. Terasa gugur jantungku kerana gegaran penumbuknya. Tidak cukup
dengan itu, Idham mencubit tubuh badanku bertalu-talu. Aku tidak berdaya
melawan.
“Cepat minta maaf dari aku!
Minta maaf!!” Idham bertempik. Penumbuknya diacu-acu ke mukaku.
“Minta maaf! Kalau tidak,
hancur muka kamu!!!”
Aku tersengguk-sengguk
menangis dengan penuh ketakutan.
“Ma... ma...maafkan Lidya,
bang!” Di dalam esakan yang dalam aku
memohon kemaafan. Aku bimbang keberangan Idham akan menyebabkan dia semakin
ganas.
“Cium tapak kaki aku! Kurang
ajar!! Cepat cium tapak kaki aku!” Idham
bersuara keras. Dia menghentakkan pinggulnya di kerusi rotan. Duduk bersilang
kaki seolah maharaja.
“Maaf, bang!” Dengan rasa
hati yang sangat berat, aku mencium tapak kaki Idham bertalu-talu. Air mata
berhamburan dari mataku. Sedu sedanku langsung tidak dipedulikan Idham. Aku rasa diriku tidak dihargai oleh suamiku
itu.
“Sudah! Pergi masuk tidur!
Lain kali jangan nak buat kurang ajar dengan abang! Jangan ikut perangai
isteri-isteri abang yang terdahulu!” Idham bercakap tanpa memandang kepadaku.
Malam itu aku tidur dengan deraian air mata.
Kalau boleh, aku ingin menghubungi Syamil pada malam itu juga untuk
mengadu tentang nasib malang yang menimpa aku. Namun, aku tidak boleh berbuat
demikian. Perhubungan antara aku dan Syamil adalah perhubungan sulit dan harus
dirahsiakan daripada suamiku dan isterinya. Setakat yang mampu aku akan
merahsiakan segalanya.
Walaupun aku kadangkala
keliru dengan rasa hatiku, namun aku tidak dapat membohongi sebenarnya aku
lebih menyintai Syamil dari Idham.
Syamil telah memenuhi seluruh ruang hatiku.
PAGI itu,
Idham menghantarku ke setesen bas seperti biasa. Kemudian aku menaiki bas untuk ke tempatku
bertugas. Sepanjang perjalanan aku
terkenangkan peristiwa pahit semalam. Semalaman aku menangis. Pagi itu aku pergi bekerja dengan hati yang
benar-benar luka.
Sepanjang perjalanan, air
mataku tak henti membanjiri pipi. Kenangan
semalam tak boleh aku lupakan begitu saja.
Aku berperang besar dengan Idham. Puncanya hanya sedikit. Aku meminta keizinannya untuk menjenguk orang
tuaku di kampung. Keizinan tidak aku perolehi, sebaliknya aku terus dimarahi
seperti kucing kurap.
SEGULUNG
borang permohonan fasakh sudah berada di dalam genggaman tanganku. Hari ini aku
benar-benar bertekad untuk mengakhirkan perkahwinanku dengan Idham. Sudah lama
aku menanggung derita. Memendam rasa. Semenjak menjadi isterinya tidak pernah
aku merasai bahagia walaupun sesaat. Aku yakin permohonan fasakh yang akan aku
buat, akan diterima oleh Pejabat Agama. Tidak ada sebab yang munasabah
perkahwinan ini harus diteruskan. Tidak ada nafkah zahir yang pernah diberi,
tidak ada nafkah batin yang pernah dihulurkan.
Sehingga kini, hampir lebih
lapan tahun menjadi isteri, aku tidak pernah menikmati perhubungan suami isteri
walaupun sekali. Jika wanita lain yang berada di tempatku, usahkan menanti
sehingga lapan tahun, bersabar untuk lapan hari pun belum tentu mereka akan
sanggup.
“Lidya! Mari sini
kejap!” Kak Nadia, salah seorang seorang
staf dipejabat memanggil aku dengan suara perlahan. Dia memberi isyarat mata supaya aku menghampirinya.
“Kenapa, Kak Nadia? Nak suruh Lidya tolong beli air ke?” Aku bertinggung di samping Kak Nadia. Wanita
yang aku anggap sebagai kakak itu.
“Bawah lengan lebam-lebam tu
kenapa?” Kak Nadia menyoal dengan nada perlahan dan berbisik.
Serta merta aku membetulkan
lipatan lengan baju kurung. Perasaanku
tiba-tiba gementar. “Lebam? Oh! Semalam Lidya terlanggar meja! Tak ada eletrik
secara tiba-tiba. Lidya nak pergi cari lilin dan mancis, gelap tak nampak tu
yang terlanggar meja!” Aku berbohong untuk menyembunyikan perkara yang sebenar.
Demi ALLAH, aku tidak pernah menceritakan kepada sesiapa tentang perilaku
Idham, kecuali kepada Syamil. Itupun
setelah puas Syamil memujukku.
“Bubuhlah ubat! Semalam tak
demah ke dengan air panas ke... ais ke... taklah lebam sampai macam ni!” Kak
Nadia bagaikan mempercayai ceritaku. Dia menyelak lengan baju kurungku dan
menggosok-gosok lenganku yang kebiruan.
Aku mengerutkan dahi menahan
kesakitan. “Terima kasih Kak Nadia, kerana ambil berat! “Kalau tak ada apa-apa
Lidya balik ke tempat Lidya ya!” Aku meminta diri untuk beredar dari sisinya.
Sebenarnya aku ingin menghubungi Syamil.
Sudah tiga empat hari Syamil tidak menghubungiku. Mungkin dia terlalu sibuk. Aku benar-benar
rindu padanya. Tambahan pula aku ingin mengadu kepadanya tentang kejadian
malang yang menimpa aku.
Berulangkali aku mendail
nombor telefon Syamil, tetapi tidak dapat. Aku mencuba lagi. Kali ini aku
mengirimkan SMS untuk Syamil.
Assalamualaikum bang! Abang
di mana ni? Call Hani sekarang bang!
Hani rindu.
Peliknya, pesanan yang aku
kirimkan berjaya dihantar oleh telefon bimbitku. Tidak seperti selalu, Syamil
tidak menjawab SMS itu. Aku menunggu dengan sabar untuk beberapa minit. Hatiku
diburu kebimbangan yang maha dasyat. Jantungku berdegup kencang.
Borang permohonan fasakh yang
aku ambil tadi masih berada di atas meja kerjaku. Aku menindihnya dengan
fail-fail lain. Sebentar lagi, sewaktu rehat tengah hari aku akan melengkapkan
borang itu dan mengembalikannya ke pejabat agama petang itu juga, sekiranya sempat.
Sepuluh minit berlalu, Syamil terus menyepikan dirinya. Dadaku semakin
berdebar-debar.
Assalamualaikum bang! Abang
di mana ni? Call Hani sekarang bang! Hani rindu.
SMSku masih belum menerima
jawapan.
Bang,
kenapa ni? Abang sakit ke? Hani risau. Balaslah SMS ini.
Syamil terus menyepikan diri.
Hatiku diburu kebimbangan. Fikiranku dihujani oleh pertanyaan-pertanyaan yang
berlumba-lumba datangnya. Mengapa? Kenapa? Dimana? Entah mengapa aku terkenang kembali e-mail
dari wanita yang bernama Norshakila yang pernah aku terima? Perasaan hatiku
berada di dalam keadaan yang benar-benar tidak sedap yang sukar aku gambarkan.
Aku masih menanti respon
daripada Syamil, namun aku hampa. Aku cuba menghubungi telefon bimbitnya lagi,
namun gagal. Apabila aku diceraikan oleh Idham bolehlah kasih kami
disatukan. Bukankah itu impian Syamil?
“Ke mana Abang Syamil ni?
Telefon dia rosak ke?” Persoalan
demi persoalan timbul di benakku. Aku tidak boleh bersabar lagi. Aku meninggalkan
meja tugasku dan menghilangkan diri ke stor tempat menyimpan fail-fail semua
pegawai di unitku. Lalu aku menelefon ke Siber Kafe Syamil.
“Encik Syamil ada?” Aku
menyoal pemuda yang menjawab telefon.
Aku tahu pemuda itu pembantu siber kafe milik
Syamil. Ada dua tiga kali aku menghubungi Syamil di siber kafe, pemuda
itu yang menyambut telefon.
“Encik Syamil tak ada. Dia
pergi Kelantan!” Dia menjawab tulus.
“Kenapa Encik Syamil ke
Kelantan?” Aku menyoal lagi. Kebimbangan yang terputik di hatiku sedari
tadi kini kian mekar dan merimbun. Norshakila.
Nama itu tiba-tiba muncul di benakku. Ingatanku masih jelas terhadapnya.
Baris-baris ayat di e-mailnya masih belum boleh dilupakan. Biadap dan tidak
sopan.
“Dia balik ke rumah wifenya…”
Begitulah jawapan yang
kudengar. Setelah mengucapkan terima
kasih, aku menamatkan perbualan. Hatiku mulai resah. ‘Bukankah isteri Abang
Syamil berasal dari Tapah? Itu yang selalu diceritakannya kepadaku. Mengapa
balik ke Kelantan pula? Aku semakin keliru dan buntu.
Aku cuba menghubungi telefon bimbit Syamil berkali-kali
namun gagal. Tanpa putus asa aku terus
menghantar pesanan ringkas ke telefon
bimbitnya berulang kali. Syamil langsung
tidak menjawab walau sepatah pun. Perasaan hatiku sungguh rasa terseksa.
“Helo... Adik, bila Encik
Syamil balik ke Kelantan?” Aku
menghubungi Siber Kafe Syamil sekali
lagi.
“Dia pergi hari Ahad…” Bersahaja saja jawapannya.
Aku tersenyum pahit. Hatiku
semakin resah. “Balik bila? Ada Encik Syamil
beritahu?” Aku menyoal lagi. Nada
suaraku bergetar.
“Hmm… mungkin hari Rabu atau
Khamis ni!” Budak lelaki itu menjawab lambat-lambat.
Aku masih belum berpuas hati.
“Encik Syamil pergi dengan famili ke?” Aku menyoal selembut mungkin.
“Tak... dia pergi sorang
jerr.” Terlalu sabar lelaki itu melayani pertanyaan dariku. Debaran di jiwaku bagaikan gong yang
dipalu.
“Dia pergi ke rumah wifenya
yang mana satu tu?” Aku menyoal seperti orang bodoh. Entah mengapa tiba-tiba
terpacul soalan itu keluar daripada bibirku yang bergetar menahan tangisan.
“Nombor dua…” Selamba dan terlalu lurus jawapannya.
Hatiku bagaikan dibaling
dengan bom. Aduh… sakitnya. Pedihnya
menghiris. Terasa bertabur jantung dan hati di hujung kakiku. Aliran darahku
seolah berhenti. Pernafasanku pun seakan tersekat seketika. Ya ALLAH, sampainya hati Abang Syamil
mempermainkan kasih sayangku. Begitulah rintihan hatiku. Aku
menghantuk-hantukkan dahi bertalu-talu di rak kayu yang menempatkan fail. Mujurlah tiada siapa yang masuk ke stor itu
kerana aku tidak dapat lagi menahan tangisan. Aku menangis tersedu-sedu dan
merintih pilu seorang diri di ceruk almari kayu.
“Abanggg...
mengapa lakukan begini pada Hani? Apa salah Hani kepada abang, sehingga
tergamak abang lakukan begini kepada Hani? Mengapa abang permainkan perasaan
Hani?”
Hatiku menangis pilu. Di
hatiku sarat dengan berjuta persoalan. Cakap-cakap Syamil tentang cintanya
terhadap diriku terbayang-bayang di ruang mata ini. Tulisan-tulisan di e-mailnya segar dalam ingatan. Namun, aku cuba
membendung segala kekalutan dijiwa, kerana
masih di pejabat. Hanya TUHAN sahaja yang tahu. Ikutkan hati, aku akan
hilang kewarasan pada waktu itu juga. Segalanya bagaikan menggigit hatiku yang
semakin sengsara.
Bolehkah
aku menerima kenyataan itu selagi tidak menerima bukti? Mungkin Syamil telah
berseloroh dengan pekerjanya dan memberitahu begitu. Tak mungkin. Abang Syamil
telah berjanji denganku. Aku rela menjadi isterinya yang kedua kerana aku
benar-benar perlukan kasih sayangnya.
Lagipun, mustahil Syamil membalas segala budi aku dengan cara yang
begini? Berlumba-lumba persoalan datang dan pergi dari kotak fikiranku.
Tangisanku yang tidak dapat
disembunyikan muncul bersama sedu sedan yang tertahan-tahan.
Tiba-tiba telefon bimbitku
berdering berulang kali. Nombor yang
terpapar di skrin tidak pernah dilihat. Aku meneliti nombor yang tertera dengan
mata yang bulat. “Helo...” Aku bersuara
lembut.
“Boleh bercakap dengan
Lidyahani…”
Tertebar debar di dadaku
sambil cuba meneka siapakah gerangannya wanita yang menelefonku itu? Tanpa
dipinta, hati kecilku telah memberi jawapan.
Norshakila.
“Yaa…
Hani cakap ni.” Aku bersuara selembut mungkin.
Bimbang kegemparan yang mungkin akan berlaku, aku memikirkan yang aku
harus menjawab panggilan itu di dalam bilik fail yang bertutup, untuk
menghindari perbualan itu didengari oleh orang lain. Nama baikku harus
kupelihara juga.
Bencana apakah yang akan
menimpa aku sebentar nanti? Itulah yang
terdetik dalam hatiku.
“Hani... ini Shakila.”
“Shakila? ” Aku menyoal
lembut. Debaran jiwa kukawal sebaik mungkin.
Aku pura-pura bertanya.
Pura-pura tidak mengenalinya. Sedangkan
aku sudah menjangka siapakah gerangannya wanita bersuara garang itu.
“Kita pernah berjumpa ke sebelum ini?” Aku berpura-pura lagi.
“Norshakila…” Suaranya mula meninggi, memperkenalkan
dirinya.
“Oh, Shakila.” Aku masih
bersuara dengan nada lembut dan penuh kesabaran menghadapi situasi yang tegang.
“Norshakila, isteri Abang
Syamil!’ Dengan nada sombong dia menerangkan lagi, supaya aku lebih jelas dan
faham.
Lagi sekali hatiku bagaikan
dibaling dengan bom. Hancur berkecai. Lemah dan longlai seluruh badan
kurasakan. “Apa khabar?” ujarku lagi
dalam suara setenang mungkin. Lautan hatiku bergelora deras. Bibirku bergetar
menahan tangisan, namun titik-titik air mata tetap membasahi pipiku, untuk ke
sekian kalinya beberapa hari kebelakangan ini. Tambahan pula apabila
terkenangkan yang pagi tadi aku pergi ke pejabat agama untuk mengambil borang
permohonan fasakh. Aku ingin bercerai dengan Idham. Selepas idah, aku akan
bernikah dengan Syamil. Itulah rancanganku.
Itulah impian hatiku selama ini semenjak mula menyintai Syamil. Bukankah Syamil telah membina impian untuk bersama denganku sekian
lama? Bukankah? Bukankah itu janjinya?
“Hani, ni akak nak tanya,
kenapa Hani masih berhubungan dengan Abang Syamil??? Telefon bimbitnya asyik terima pesanan dari Hani. Akak
ingat dah tak ada hubungan lagi. Akak dah tanya Abang Syamil, dia kata tak ada
hubungan apa-apa dengan Hani!” Norshakila terus memarahiku.
Aku tergamam. Fikiranku
buntu. Benar-benar buntu.
“Hani minta maaf…” Itu sahaja
yang mampu aku katakan sambil menahan sebak di hati.
“Kenapa masih menghubungi
dia? Hani tau tak, Abang Syamil ni, dah ada dua isteri!” Perempuan itu terus memarahiku dengan suara garang dan
meninggi. “Hani! Akak minta Hani janganlah menghubungi Abang Syamil lagi. Kakak perempuan, Hani pun perempuan. Takkanlah Hani tak
faham perasaan perempuan? Apa perasaan Hani jika ada perempuan menelefon suami
Hani?” Beria-ia perempuan itu menerangkan kepadaku.
Faham perasaan
perempuan? Layakkah dia mempersoalkan
aku begitu, sedangkan dirinya sendiri adalah isteri kedua? Aku diam. Aku cuba
mengatur perkataan yang tidak akan menimbulkan kekeruhan. Walau sebenarnya
lautan hatiku telah menjadi keruh, memusnahkan mahligai impian.
“Maafkan Hani! Hani tak tahu.
Hani pernah tanya Abang Syamil, tetapi dia tak cakap apa-apa pun!” Aku berterus
terang. Sememangnya itu benar. Sudah beberapa kali aku bertanyakan hal
Norshakila kepada Syamil, namun lelaki itu tetap berkeras. Tidak mahu mengakui keujudan Norshakila.
“Abang!!! Mengapa abang tak
beritau Hani hal yang sebenarnya? Mengapa?”
Aku mendengar suara
Norshakila memarahi Syamil. Aku langsung tidak dapat mendengar suara Syamil.
Mungkin Syamil seperti orang dungu
dimarahi oleh isteri mudanya.
“ Hani! Sekarang ni, akak nak
Hani selesaikan hubungan Hani dengan Abang Syamil hari ini juga!”
Garang suaranya memaksa aku
memutuskan hubungan dengan Syamil. “Macam ni lah, hubungan Hani dengan Abang
Syamil biar Hani settlekan dengan dia!” Aku cuba bertegas dalam nada
lembut. Siapa Norshakila yang boleh memutuskan hubungan antara aku dengan
Syamil? Apakah status isteri itu lebih berkuasa daripada sunah rasulullah, lebih agung daripada kuasa ALLAH. ALLAH dan
Rasul melarang memutuskan hubungan silaturahim.
Lagipun bagaimana dapat aku
memutuskan ikatan cintaku yang terlalu kuat dan telah berakar tunjang di jiwa
sekian lama. Apatah lagi, jika perhubungan itu putus, bagaimanakah
dengan hutang-hutang Syamil? Haruskah perhubungan itu berakhir pada saat itu
juga. Haruskah?
“Tak payah! Selesaikan
sekarang juga!” Norshakila terus
mengherdikku dengan nada bongkak dan memaksa.
Aku berasa tercabar. “Tak
boleh begitu! Biar Hani selesaikan dengan Abang Syamil. Dia ada tak?” Aku masih
dengan pendirianku dan bercakap selembut mungkin. Kedengaran suara Norshakila semakin jauh.
Telefon mungkin sedang bertukar tangan.
Aku terdengar suara perempuan
itu memarahi Syamil. Terdengar suaranya
terjerit-jerit macam orang hilang akal.
Kasihannya Abang Syamil.
“Abangg! Sekarang abang cakap
dengan saya, abang nak saya jadi gila ke? Abang nak saya jadi gila? Cakaplah
bangg… berapa banyak lagi yang abang nak ni?
Itu antara pekikan suara
Norshakila yang kedengaran di telefonku. Aku menjangkakan telinga Syamil kena
pulas atau kena cubit oleh isterinya itu.
“Helo...” Suara Syamil mencecah telingaku.
Dia bersuara perlahan.
Terubat rinduku seketika. Namun, peristiwa yang tidak kujangkakan itu
menyebabkan aku turut tidak dapat mengawal tutur kataku kepada insan yang aku
sayang.
“Abang nak Hani jadi gila
ke?” Aku pula menyoal Syamil begitu.
“Jangan sayang!” Syamil
bersuara perlahan seolah berbisik.
“Abang nak Hani jadi gila
ya?” Aku bersuara lembut tapi keras. Geram dan marahku berbaur. Terasa diriku
dipermainkan. “Jangan... Dah... dahlah
tu. Abang nak pergi sembahyang!” Syamil mengelakkan diri daripada bercakap lama
denganku, terus menyerahkan telefon kepada isterinya, Norshakila.
“Helo... Helo!” Berulang kali
Norshakila menjerit-jerit di telefon macam seekor keldai yang sedang mengamuk.
Aku hanya mendiamkan diri.
Kekecewaan membelit hati. Aku benar-benar terluka. Sampai hati Abang Syamil
memperlakukan begitu terhadap diriku. Hatiku merintih pilu. Perasaanku semakin tipis dan kosong, seperti
terkoyak oleh kehadiran kenangan yang amat memilukan. Namun kerana sayang, demi
kasihku kepada Syamil, aku langsung tidak menyuarakan kekecewaan terhadap
lelaki itu.
‘Abang Syamil... mengapa
lakukan Hani begini?’ Kalbuku semakin meruntun pilu apabila membayangkan, pada
waktu yang sama mungkin Syamil sedang mendakap tubuh Norshakila sambil
memujuknya sedangkan aku menangis bersendirian melayan kehampaan dan kekecewaan
yang paling melukakan.
Hari itu, benar-benar
meninggalkan sejarah hitam di dalam hidupku.
Hatiku bagai disiat-siat. Borang permohonan fasakh aku campakkan ke
dalam tong sampah di bawah meja dengan hati yang sarat dengan luka. Perasaan
yang tersula. Sukar untukku menerima
kenyataan itu, bahawa Syamilku telah mempermainkan aku. Oh! TUHAN.
~~~~~~ bersambung~~~~~

Tiada ulasan:
Catat Ulasan