SUASANA di
pejabat JJ Holding semakin sunyi dan hening. Rina Melati masih meneruskan
tugasnya. Dia melihat jam di dinding. Hampir 9.30 malam. Dia bercadang
akan pulang pukul 10.00 malam nanti. Hari ini Datuk Johan pun tidak ada di
pejabat. Datuk Johan masih berada di Kuala Lumpur atas urusan syarikat mereka.
“Puan, saya
balik dulu,” beritahu Zarina. Zarina salah seorang kerani di situ, merupakan
staf yang terakhir yang meninggalkan pejabat.
“Baiklah!
Hati-hati.” Rina Melati sempat berpesan sambil tersenyum mesra.
“Puan jangan
balik lewat sangat. Cuaca pun
macam nak hujan. Lagipun bahaya seorang diri di sini. Tempat parkir kereta puan
tu pun sunyi. Dua tiga hari lepas ada staf pejabat bersebelahan kena ragut,”
nasihat Zarina.
“Yalah.
Insya-ALLAH. Jangan bimbang. ALLAH ada. Hmm... sekejap lagi saya balik,”
beritahu Rina Melati sambil tersenyum lebar kepada Zarina. Sepeninggalan
Zarina, suasana hening pun kembali. Hanya terdengar ketukan jejarinya di papan
kekunci. Wanita itu terus fokus kepada perkara yang sedang ditaipnya di
komputer. Deringan telefon di hujung meja seolah menganggu kosentrasinya.
“Helo...” jawab Rina Melati berhati-hati.
Tidak ada suara yang kedengaran pada mulanya. Yang kedengaran hanya desahan
nafas yang panjang-panjang.
Rina Melati
memandang sekeliling, lehernya terasa seram pula. Maklumlah tinggal sendirian
di pejabat itu bermacam perasaan yang datang mengganggu. Gagang telefon dikembalikan
semula ke tempatnya. Baru tangannya memegang tetikus, telefon berdering sekali
lagi.
“Helo, Nini!”
Suara parau itu menerjah ke gegendang telinganya. Mengejutkan wanita itu.
Rina Melati
menghela nafas panjang. Dadanya berdebar tidak semena-mena. Apabila nama Nini
disebutkan, dia sudah tahu siapa pemanggilnya. Di dalam bilik berhawa dingin,
badannya tiba-tiba berpeluh. Tangannya mengusap-ngusap lehernya yang lembab.
Dia berasa cemas. Bagaimana Khalid boleh muncul kembali? Di sangkanya mereka
tidak akan bertemu lagi buat selamanya. Sangkanya Khalid telah menjadi mangsa
ombak ganas tsunami. Sudah lama menghilang, tiba-tiba pula suara lelaki itu
hadir di pendengarannya.
“Mengapa kau
pergi dariku, Nini?” soal Khalid tiba-tiba. Suaranya seolah berbisik. “Sekian
lama aku mencari kau, persis orang tidak siuman. Aku mencari bayangan kau di
merata-rata. Sampai saat ini aku tidak bisa bertahan lagi. Kau sudah lupa
segala budi yang telah aku taburkan kepada kau. Kau sama seperti Haida.
Terpesona dengan wang ringgit serta harta benda. Kau tidak menghargai cintaku
kepada kau. Tanpa kau, aku menjadi lelaki yang paling sunyi. Aku menyesal
meninggalkan kau malam itu. Pantas sahaja kau berubah hati.” Tuduhan demi
tuduhan dilemparkan oleh lelaki itu kepada Rina Melati melalui telefon.
Rina Melati
tidak dapat mengagak Khalid menelefonnya dari lokasi mana. Yang jelasnya, dari
bisikan suaranya, lelaki itu benar-benar kecewa. Dia hanya mendiamkan dirinya
dan mendengar sahaja segala percakapan lelaki itu. Perhubungan mereka yang
selama ini terlalu kabur membuatkan dirinya lemas. Kini lelaki itu datang lagi
menagih cinta sedangkan dulu prinsipnya ingin menjauhkan cinta. Wang yang lebih
berharga.
“Nini, aku
kepingin bertemu dengan kau! Walau sesaat cuma. Setelah itu aku tidak akan
ganggu kau lagi. Aku akan pergi buat selamanya. Tolonglah, Nini. Kita bertemu
malam ini juga. Aku berada dekat sini sahaja. Kau turun dari pejabat itu,”
pujuk Khalid dengan suara bergetar.
“Tak boleh!
Sudah lewat malam. Lagipun
Nini sudah jadi isteri orang. Nini tak mahu,” jawab Rina Melati. Dia cuba
bertegas dalam nada lembut memujuk. Walaupun Datuk Johan seorang lelaki yang
sangat baik, dia tidak mahu mengambil kesempatan di atas kebaikan lelaki itu.
“Akhirnya kamu bernikah juga dengan lelaki tua
itu Nini! Kerana wang ringgit bukan? Kerana kemewahan! Aku cari kau di
merata-rata. Di pejabat ini. Di rumah kamu. Aku gagal. Nini, tolonglah. Beri
aku peluang untuk melihat wajah kau untuk kali terakhir.” Suara Khalid seakan
sayu terus merayu.
“Memang Nini
bernikah dengan Datuk Johan,” akui Rina Melati dengan jujur.
Kata-kata itu
seolah sebilah besi runcing yang merodok gegendang telinga Khalid. Hatinya
seolah terkoyak apabila mendengar berita itu. Bekas koyakan itu bagaikan
disirami dengan cuka pula. Sakit dan bisanya seolah menjalar ke seluruh urat
saraf lantas meracik-racik daging dan tulang belulangnya.
“Ke mana kau
menyembunyikan diri?”
Soalan dari
Khalid begitu mendesak jawapan. Jelas, Khalid tidak pernah berhenti mencarinya. Namun bagaimanalah lelaki
itu dapat bertemu dengannya. Dia terkurung di banglo milik Datuk Johan kerana
menjaga Datuk Johan yang sakit. Dia terpenjara di situ beberapa lama. Wajarlah
Khalid tidak dapat menjejakinya.
“Nini! Tolonglah
Nini. Katakan yang kau tidak mencintai lelaki tua itu! Dia telah paksa kamu
menerimanya! Katakanlah Nini!” desak Khalid dengan suara semakin serak. Bunyi nafasnya kedengaran di telinga Rina
Melati.
“Aku mahu
berjumpa dengan kau malam ini juga!” Khalid terus merayu.
Rina Melati mula
berasa serba salah. Rasa simpati pula yang membenih di hatinya terhadap lelaki
itu. Lagipun Khalid nampak bersungguh-sungguh dengan kata-katanya itu. Masih
ada budinya yang harus dikenang.
“Maafkan, Nini.
Kita tak boleh bertemu pada malam ini. Mungkin pada hari lain. Nini akan ajak suami Nini bersama. Kita boleh makan
tengah hari atau makan malam,” pelawa Rina Melati pula, cuba memujuk Khalid. Nada suaranya lembut. Lagi sekali matanya
menjeling ke jam di dinding. 5 minit lagi menghampiri jam 10.30 malam.
Sebelah tangan
Rina Melati terus mengemas kertas-kertas dan fail di atas mejanya. Silau kilat sesekali menerjah ke dalam bilik
itu. Bunyi guruh pun sayup-sayup kedengaran. “Helo!” Tidak ada kedengaran
apa-apa suara lagi di telefon itu. Khalid tiba-tiba sahaja memutuskan talian
telefon. Rina Melati mengambil beg tangan dan terus keluar dari biliknya menuju
ke lif.
Suasana di situ
sememangnya sudah sunyi dari suara manusia. Sampai sahaja di aras bawah, Rina
Melati berjalan laju-laju menuju ke tempat parkir keretanya. Dia seolah
mendengar tapak kaki mengekorinya dari belakang. Bila dia menoleh, tidak ada
sesiapa pun di belakangnya.
Belum sempat
masuk ke dalam kereta, lehernya tiba-tiba ditarik dan mulutnya dipekup dari
arah belakang sebaik sahaja dia membuka pintu kereta.
“Serahkan semua barang-barang berharga atau kau aku bunuh!” Bisikan itu
amat keras di telinganya.
Rina Melati cuba
melawan. Namun, apalah sangat kudratnya
untuk melawan lelaki bertubuh besar dan gempal yang telah memeluknya dari
belakang itu.
“Hoi! Lepaskan
dia!” Serentak dengan suara itu seseorang tiba dan menendang lelaki yang sedang
memeluk Rina Melati. Tendangan yang kuat menyebabkan pelukannya di tubuh Rina
Melati terlepas.
Rina Melati
sangat kenal dengan suara lelaki itu. Khalid Afandi. Khalid terus bergelut
dengan lelaki yang cuba meragut Rina Melati tadi. Dalam cahaya kelam sambil
menyaksikan pergelutan itu, tangan Rina Melati meraba-raba telefon bimbit di
dalam beg tangan. Lantas dengan jari terketar-ketar dia terus menekan punat di
telefon bimbit untuk menelefon polis.
Tiba-tiba
meluncur laju sebuah kereta dan berhenti mengejut di situ. Seorang lelaki India
keluar dan meluru ke arah Rina Melati yang terketar, namun sebelum sempat
sampai kepada wanita itu, Khalid telah menghalang dengan kakinya. Lelaki India
itu jatuh tertiarap dan bangun semula dengan pantas.
Khalid terpaksa
menghadapi dua orang musuh. Keduanya lelaki India berdasarkan kulit mereka yang
gelap dan rupa paras mereka.
“Move!”
Terdengar suara melaung dari arah kereta tadi. Kedua lelaki yang cuba merompak
tadi berlari pantas menuju ke kereta yang menanti mereka.
Khalid cuba
mengejar. Tiba-tiba terdengar bunyi letupan beberapa kali lantas tubuh Khalid
rebah ke bumi.
Rina Melati
berkejar ke arah Khalid yang terguling. Dia meraung apabila melihat dada Khalid
sudah berlumuran darah. “Ya ALLAH!!!” jeritnya dalam tangisan. Kepala Khalid
terus dipangku.
Khalid mengerang
kesakitan sambil memegang dada kirinya yang ditembusi peluru. “Nini! Aku sudah
bilang! Kita mesti bertemu malam ini juga walaupun sesaat!” ungkap Khalid.
Dalam nafas yang tersisa, bicaranya tersangkut-sangkut. Tangannya yang
berlumuran darah mengusap-usap pipi Rina Melati yang dilimpahi air mata. Rasa
rindunya yang membara terhadap perempuan itu sedikit terubat. Rindu yang sering
mengiringi desah nafasnya pada setiap saat.
“Demi ALLAH, aku
tak pernah berhenti mencintai kau. Aku cinta kau sampai mati,” beritahunya
lagi. Nafas Khalid terus mencungap. Suaranya tersangkut-sangkut dan lemah.
Rina Melati
terdiam. Hanya air mata yang mengalir dipipinya. Segala ucapan cinta itu sudah tidak bererti lagi
dan terlewat. Hatinya benar-benar sebak. Dari jauh kedengaran siren kereta polis.
“Peluklah aku
Nini! Peluklah! Aku mohon... untuk yang terakhir!” Bisikan suara Khalid semakin
lemah dan perlahan.
Rina Melati
memeluk dada lelaki itu yang di dalam pangkuannya. Jika itu dapat memberi
Khalid tanda yang dia tetap menghargai segala budi yang pernah ditaburkan oleh
lelaki itu kepadanya. Suara yang keluar dari kerongkongnya hanyalah tangisan.
Perasaannya berbaur. Gerimis mula membasahi tubuh mereka.
Dan sebuah
kereta lagi datang ke tempat itu. Lampu kereta yang baru tiba menyuluhi mereka
berdua. Rina Melati yang sedang memangku dan memeluk tubuh Khalid.
“Nini minta
maaf! Mengucaplah, bang! Lailahaillallahmu-hamadarasulullah...” Suara Rina
Melati bersulam tangis apabila melihat nafas Khalid semakin mencungap dan
pendek-pendek serta tersekat.
“ALLAH hu
Akbar!!!” Kalimah itulah yang terakhir keluar dari bibir Khalid lantas
kepalanya terkulai dipangkuan Rina Melati.
Rina Melati
meraung sekuat hatinya sambil menggoyang-goyangkan tubuh Khalid yang kaku.
Anggota polis yang tiba, mengalihkan tubuh Khalid yang tidak lagi bernyawa
daripada pangkuan Rina Melati ke atas jalan dan ditutup dengan plastik hitam.
“Astaghfirullahilazim!
Melati, apa yang telah berlaku ni?” soal Datuk Johan. Dia yang baru turun dari
kereta meluru ke arah isterinya itu. Datuk Johan yang baru balik dari Kuala
Lumpur, berasa tidak sedap hati dan terus menuju ke pejabat kerana bimbangkan
isterinya yang masih belum pulang ke rumah.
Rina Melati
terus menerpa dan memeluk Datuk Johan sambil menangis kepiluan. “Ada perompak!”
beritahu Rina Melati dengan teriak tangisnya. Berjurai-jurai air matanya kerana
peristiwa ngeri itu. Dia berasa bersalah terhadap Khalid Afandi. Tangannya yang
berlumuran darah tidak diendahkannya lagi. Warna merah berpindah ke kemeja yang
dipakai Datuk Johan.
“Bersabar!
Tenang! Tenang!” Datuk Johan mendakap tubuh Rina Melati. Sedu sedan wanita itu
masih berterusan. Rina Melati menangis bagaikan kanak-kanak.
“Yang itu
siapa?” Dalam keharuan Datuk Johan sempat bertanya dengan suara membisik. Dia sempat melihat Rina Melati memangku
lelaki itu tadi.
“Khalid Afandi! Di... dia cuba bantu Melati!” Rina Melati
tergagap bercerita. Namun kata-katanya tersangkut di situ, sebaliknya rengekan
dan tangisannya semakin kuat dalam pekat malam itu.
Kata-kata
terakhir dari bibir Khalid menghiris hatinya. Maafkan Nini. Maafkanlah. Tempat
itu mula didatangi beberapa orang lagi. Hujan semakin lebat membasahi bumi
bagaikan ingin mencuci darah seorang lelaki yang terkorban demi menyelamatkan
wanita yang cintanya tidak mungkin dapat dimiliki.
`~ BERSAMBUNG ~

Tiada ulasan:
Catat Ulasan