Jumaat, 26 April 2013

Novel: SEBELUM NAFAS TERHENTI (BAB 34) ALAF21










Memanglah sesuatu yang indah bila mengetahui diri ingin dimiliki oleh orang yang dicintai. Namun, ia amat menyakitkan jika menyedari kekurangan diri jika dibandingkan dengan si dia yang memiliki kelebihan. Nurlisa masih berfikir-fikir. Entah sampai bila dan di mana penghujungnya. Allah Hu Akhbar! Astaghfirullahilazim. Dia beristighfar lagi.  Begitulah yang diamalkannya apabila hati mulai membisikkan perkara yang tidak elok. Seolah tidak redha kepada ketentuan tuhan.
Sambil berfikir, matanya merenung kaki yang kini tidak lagi sempurna. Langkahnya sumbang apabila berjalan ke sana sini. Dia menerima seadanya keadaan dirinya kini. Sudah takdir. Bukan setakat mengalami kecacatan kaki sahaja. Dia telah melalui detik yang paling hitam di dalam hidupnya juga. Di sebalik ketabahan, hati gadis itu keresahan apabila mengenangi detik hitam itu. Air mata Nurlisa tidak dapat ditambat lagi. Sungguh pun begitu, akur sebagai hamba Allah, dia pasrah. 
Dia tidak mampu menolak apa yang Allah telah tetapkan untuknya. Namun, penghinaan yang diterima daripada Ain Wahida benar-benar mengguris perasaan hatinya. Rasa rendah diri seolah membeliti dirinya. Bagaikan kawat berduri yang akan melukakannya jika dia tersilap mengatur langkah.
Tanpa disedari, air mata menitis dan berjuraian di pipi.  Matanya merenung ke tubuh Mak Cik Hasnah yang terlantar di atas katil. Hari itu Nurlisa sendirian menunggu emaknya di hospital. Adik-adiknya sudah balik ke rumah sejak pagi tadi walaupun pada mulanya mereka enggan.
Manusia itu selalu cenderung untuk mengikut hawa nafsunya jika nafsu itu tidak dididik dengan keimanan dan ketaqwaan. Nafsu itu selalu menyuruh membuat keburukan.  Mencemburui orang lain. Bercakap kasar. Dan seribu satu macam kejahatan lagi.
‘Ya Allah, peliharalah diriku daripada tunduk kepada nafsu yang jahat. Bimbinglah hatiku supaya sentiasa ingin melakukan kebaikan kerana-MU, Ya Allah.’ Terasa tenang kembali hatinya apabila ada peluang berbisik-bisik dengan Allah tanpa suara.
“Lisa! Mengapa menangis, nak!” Mak Cik Hasnah yang terbaring di katil menyentuh lengan Nurlisa. Sedetik kemudian, jari-jemari tua itu mengenggam tangan anak gadisnya.
Nurlisa tersedar daripada lamunannya yang panjang.  Dia menyeka air yang terkumpul di penjuru mata. Matanya merenung emaknya dengan pandangan kasih sayang. “Tak ada apa-apa, mak. Lisa bersyukur kerana Allah telah mempertemukan kita semula, mak.” Dia menyembunyikan resah yang bertandang di jiwanya. Nada suaranya sebak.  Haruskah dia menceritakan tentang perasaan yang disembunyikannya? Perasaan kasihnya terhadap Aldi.  Tidakkah itu ibarat cerita cinta dongeng. Gadis miskin, ternoda dan cacat berimpian untuk mengahwini putera raja.
“Alhamdulillah! Mak pun bersyukur!. Mak bimbang, sekiranya mak menutup mata kita tak berpeluang bertemu lagi.” Percakapan Mak Cik Hasnah terhenti di situ kerana Nurlisa menutup bibirnya dengan jari-jemarinya. Gadis itu tiba-tiba mendakap tubuh ibu yang terbaring lemah dengan perasaan yang hiba.
“Jangan cakap begitu mak! Jangan. Kami memerlukan kasih sayang, mak.” Deraian air mata mengiringi kata-katanya itu. Kata-kata yang keluar dari bibir emaknya tadi seolah menyiat tangkai jantung hatinya.
“Lisa... cari ayah kalau mak dah tak ada lagi!” Suara Mak Cik Hasnah tersangkut-sangkut dan amat lemah kedengarannya.
“Lisa sayang, mak!” Suaranya tersendat pilu. Permintaan daripada emak menambahkan kengiluan  di hatinya. 
Mak Cik Hasnah tersenyum lesu sambil mengusap-usap tubuh anak yang melekap di dadanya. Terlalu banyak perkara yang ingin ditanyakan kepada anak gadisnya itu. Sudah lama mereka tidak bersua muka. Kerinduan yang bertahta dijiwanya, hanya Allah sahaja yang tahu. Namun, keadaannya kini amat lemah.
“Mak, janganlah cakap begitu!” Air mata gadis itu terus membanjiri pipinya. 
“Assalamualaikum!” Di tengah kesedihan dua beranak itu, tiba-tiba ada suara yang menyapa.
Nurlisa sedikit kaget lalu melepaskan rangkulan tubuh emaknya.
Aldi tersenyum di sisi katil sambil menghulurkan tangan kepada Mak Cik Hasnah. Matanya merenung wajah gadis itu yang diam tidak berkata.
“Mak Hasnah, macam mana hari ni? Ada rasa lega tak?” Aldi menyoal dengan nada mesra.
Mak Cik Hasnah tersenyum sambil menganggukkan kepalanya dengan perlahan dan lemah. Matanya merenung ke arah Aldi. Lelaki itu berbaju kemeja lengan pendek hijau muda dan berseluar hitam. Dia bersyukur kerana dipertemukan dengan Aldi.
“Hmm... saya dah bertemu dengan doktor yang merawat Mak Hasnah tadi. Insya-allah, dua tiga hari lagi, Mak Hasnah boleh balik rumah.” Aldi bersuara ceria. Matanya menjeling Nurlisa yang sesekali suara sedunya kedengaran. 
“Mak! Abang Aldi ni sebenarnya anak Datin Rabiatul!”  Nurlisa sempat bercerita dalam sendunya yang tersisa. Dia pasti emaknya tidak tahu cerita yang sebenarnya.
Mak Cik Hasnah sedikit terkejut. Rupa-rupanya selama ini, Aldi banyak menyimpan rahsia.
“Nanti bila mak dah sihat, kita boleh bercerita panjang,”   ujar Aldi sambil mengukir senyuman kepada Mak Cik Hasnah.
“Mak  rehatlah dulu. Tidur ya...” ujar Aldi lagi kepada Mak Cik Hasnah apabila dilihatnya mata wanita tua itu semakin layu dan terpejam sesekali. 
Mak Cik Hasnah hanya mengangguk kepalanya dan memejamkan matanya.
“Jom ikut abang.” Aldi menarik lengan Nurlisa dan beredar dari bilik itu. “Lisa nangis?” soalnya dengan nada lembut. Mereka duduk di kerusi, di ruang menunggu di luar wad. 
Nurlisa tidak menjawab.
“Jangan menangis di hadapan orang yang sedang sakit. Kita mesti tunjukkan keceriaan dan berikan harapan kepada mereka yang segalanya akan menjadi baik.” Aldi menasihatkan dengan nada yang lembut dan memujuk. 
Mendengar pujukan Aldi, hati Nurlisa bertambah sayu.  Air mata semakin deras mengalir di pipinya. “Lisa tak sangka dapat bertemu dengan emak semula.” Suaranya seolah berbisik. 
“Itu namanya takdir Lisa. Hari yang abang bertemu dengan mak dan adik-adik Lisa, Lisa pula menghilangkan diri.  Puas abang cari ke sana sini, tetapi tidak jumpa. Lalu abang membuat keputusan untuk membantu dan menjaga mereka sambil mencari Lisa.” Aldi bercerita. Sebelum ini dia tiada kesempatan untuk bercerita.
“Terima kasih, abang. Entahlah, bagaimana caranya Lisa dapat membalas budi baik abang ini?”  Nurlisa bersuara perlahan. Dia benar-benar rasa terhutang budi dengan lelaki itu. Tak sangka Aldi sebaik itu.
“Lisa bimbang bang! Lisa harap mak cepat sembuh...”  Dia tidak dapat meneruskan ungkapannya kerana jiwanya dilanda perasaan sebak yang amat dalam. Dapatkah dia mencari bapa kandungnya sebelum emak tersayang menutup mata.
“Lisa... Kita serahkan segalanya kepada Allah.” 
“Lisa nak cari ayah.” Suara itu bagaikan tersangkut di kerongkong. Wajah ayah tiba-tiba menjengah di ingatan. Dia tidak tahu mengapa ayahnya meninggalkan mereka sekeluarga secara tiba-tiba. Pergi tanpa pesan.
“Nanti, kita cari sama-sama.” Aldi berjanji. Budi baik gadis itu seolah menekan di bahu kiri dan kanannya.
“Insya-allah, Allah akan temukan kita semua. Dalam suasana yang elok. Dan abang akan terus bantu Lisa dan adik-adik. Lisa pun dah banyak bantu abang. Kalau tak kerana Lisa, takkan abang boleh berjalan kembali seperti hari ini...”  Aldi bersuara lambat-lambat.
“Bukan... bukan kerana Lisa, bang. Itu semua ketentuan tuhan. Jangan cakap begitu!” Nurlisa cepat-cepat memancung percakapan Aldi.
Aldi tersenyum mendengar percakapan Nurlisa. Gadis ini, tetap dengan ketegasannya. Sama seperti dulu.
Telefon bimbit di dalam beg Nurlisa tiba-tiba berdering.  Dia meminta kebenaran daripada Aldi untuk beredar dari situ sebentar kerana menjawab panggilan telefon. Dia hanya bergerak tidak jauh daripada pandangan Aldi. Lebih kurang dua meter daripada kerusi tempat duduk mereka.
“Ya, Encik Adzman. Saya di hospital dan tak dapat masuk kerja hari ini.” Nurlisa bersuara tenang. Dari semalam lagi dia telah menghubungi Kamal, memberitahu tentang masalah yang sedang melanda dirinya dan memohon cuti selama tiga hari.
“Ya! Tentang cuti tu, Kamal sudah maklumkan kepada saya.” Adzman bersuara seolah tercungap. Ada satu perkara besar yang harus diberitahu kepada gadis itu.
“Lisa! Bapa Lisa nama Kudus, kan? Lisa! Pak Cik Kudus berada di hospital sekarang. Keadaannya agak tenat!”  Kenyataan daripada Adzman bagaikan halilintar yang memanah hati gadis itu. Pandangannya menjadi hitam dan gelap. Otak fikirnya seolah membeku tiba-tiba. Roh Nurlisa seolah melayang dan terbang. Tubuhnya tidak semena-mena rebah di tepi dinding di hadapan Aldi.
“Lisa... Lisa... mengapa ni!” Dalam keadaan panik melihat tubuh gadis itu rebah di hadapannya, Aldi spontan menerpa dan cuba menyedarkan gadis yang sedang pengsan itu.  Beberapa minit dikejutkan, Nurlisa kelihatan fana dan tidak ada tanda-tanda yang menunjukkan gadis itu akan membuka matanya. Lalu dia mengangkat gadis itu dan membawanya ke unit rawatan dan kecemasan tanpa berlengah.
Adzman menghubungi Nurlisa berulangkali. Malangnya gadis itu tidak menjawab panggilan daripadanya. Tanpa putus asa, pemuda itu terus memicit butang di telefon bimbitnya. Dia resah dalam penantiannya. Dia berjalan mundar-mandir di kaki lima hospital itu. Wajah tua Pak Cik Kudus menikam benaknya. Lelaki tua kudung yang ditemui terbaring di hadapan rumahnya kira-kira tiga bulan yang lalu kini berada di dalam keadaan kritikal. Siang tadi, pegawai daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat menghubunginya dan memberitahu tentang keadaan Pak Cik Kudus.
Lelaki itu pengsan di dalam tidurnya dan telah dibawa ke hospital. Begitulah yang diceritakan. Berasa bertanggungjawab terhadap Pak Cik Kudus, Adzman terpanggil untuk melawatinya di hospital. Pak Cik Kudus masih dalam rawatan rapi. Beberapa ketika disisi katil lelaki itu, fikirannya berputar-putar, berbelit-belit untuk membuat keputusan. Samada terus kembali ke pejabat atau mencari anak sulung Pak Cik Kudus jika telahannya benar.
Sedang kakinya melangkah perlahan-lahan menuju ke kereta, telefon bimbitnya pula berdering. ALDI. Itulah nama yang tertera di skrin telefon bimbitnya.
Adzman sedikit terkejut kerana tidak pernah abangnya itu menghubungi telefon bimbitnya sebelum ini. Mereka jarang-jarang berbual mesra tambahan pula Adzman tidak menetap di Vila Kencana Emas dan bekerja pula di syarikat sendiri.
“Assalamualaikum, Man! Di mana ni?” Aldi bersuara agak laju. 
“Di hospital,” jawab Adzman cepat. Sederas pertanyaan Aldi.
“Hospital mana? Abang datang ke sana sekarang!” Aldi memutuskan talian telefon sebaik sahaja mendapat maklumat yang diperlukan daripada Adzman. Dia terburu-buru menuju ke kereta. Secara kebetulan, Adzman berada di kawasan hospital yang sama. Mereka hanya dipisahkan oleh beberapa buah bangunan kerana hospital itu dibangunkan di sebuah kawasan yang luas.
“Tak masuk ofis hari ni?” Itu persoalan yang pertama diajukan oleh Adzman sebaik sahaja tangan Aldi menjabat tangannya. Sebenarnya Adzman tidak tahu untuk memulakan perbualan dengan abangnya itu. Maklumlah mereka jarang-jarang bertemu dan beramah mesra.
“Tak! Abang ambil cuti sehari dua! Ada urusan sikit.”  Aldi menjawab agak tergesa. Kotak fikiranya dan hatinya kini tertumpu kepada Nurlisa dan Mak Cik Hasnah yang masih terbaring di hospital.
“Kita ke kafeteria, selesa sedikit untuk bercerita!” cadang Aldi. 
Adzman menganggukkan kepala dan berjalan beriringan dengan abangnya.
“Tunggu siapa di hospital ni?” Aldi memulakan bicara sebaik sahaja punggungnya mencecah permukaan kerusi bulat berwarna biru.  Adzman duduk rapat di sisinya.
“Tak tau nak mulakan cerita daripada mana!” Adzman bersuara lambat-lambat.
“Lisa pengsan!” Aldi berterus terang. 
“Maksudnya Lisa ada bersama abang sewaktu saya menghubunginya tadi?”  Adzman sedikit tersentak dan spontan mengeluarkan pertanyaan dengan nada terkejut.
Aldi menganggukkan kepala lalu menceritakan perkara yang sebenarnya. Apa yang telah berlaku.
“Habis tu sekarang ni macam mana? Nurlisa macam mana?” Adzman seolah tidak sabar ingin mengetahui tentang Nurlisa. Dia nampak resah.
“Masih di hospital. Tadi waktu abang tinggalkan dia tadi, dia dah sedar. Doktor suruh dia berehat.” Aldi mengesan kilas resah yang mewarnai air muka Adzman. 
Adzman tertunduk seketika. Rasa simpatinya terhadap gadis itu menggunung. Satu demi satu peristiwa malang yang melanda dirinya.
“Apa yang terjadi sebenarnya?” Aldi inginkan penjelasan.  Perasaan dan fikirannya seolah dikepungi oleh rasa keliru.  Kekeliruan yang bukan sedikit. Bagaimana Nurlisa boleh berhubung dengan Adzman? Seakrab manakah mereka?  Mengapa Adzman tidak pernah memberitahunya? Adakah Nurlisa dan Adzman telah menjadi rapat sepeninggalannya ke luar negara?
Sewaktu Nurlisa dirawat, Aldi membaca memori daftar panggilan yang diterima di  telefon bimbit Nurlisa.  Panggilan yang terakhir diterima oleh gadis itu ialah panggilan daripada Adzman. Panggilan itu yang menyebabkan gadis itu terkejut lalu pengsan.
‘Adzman?’ Kotak fikir Aldi berfikir ligat. ‘Mustahil Adzman adikku.’ Mungkin perhubungan mereka terjalin sewaktu aku di luar negara. Tapi! Tak mungkin. Mustahil!”  Suara hati Aldi terus berkata-kata. Punat-punat di telefon bimbitnya terus ditekan.
“Assalamualaikum! Wak Dollah! Aldi!  Wak ada nombor handphone Adzman tak? Tolong mesej kepada saya! Segera ya!” Aldi menghentikan perbualan di telefon bimbitnya apabila jururawat yang merawat Nurlisa menggamitnya dari muka pintu Unit Kecemasan.
Beberapa ketika kemudian, telefon bimbitnya menerima isyarat mesej. Aldi tergesa membuka mesej yang baru diterima.  Dia mengamati nombor telefon yang dikirimkan oleh Wak Dollah itu dan membandingkannya dengan nombor telefon ‘Adzman’ yang berada di telefon bimbit Nurlisa. Kepastian yang diperolehi mengejutkannya. Ternyata, Adzman dan Nurlisa mempunyai hubungan rapat.
“Saya rasa saya sudah bertemu dengan bapa Lisa!  Sekarang ni dia sedang tenat!” terang Adzman, menyedarkan  Aldi yang mengelamun seketika.
Adzman membisu kembali. Fikirannya agak kebingungan.  Bagaimanakah Nurlisa berada disisi Aldi sewaktu dia menghubungi gadis itu? Seakrab manakah perhubungan mereka berdua? Persoalan yang sama juga timbul di minda Adzman.
“Sekarang? Di hospital ni?” Aldi bertanya, agak terkejut.
“ICU.”  Adzman menjawab perlahan dan sebak.
“Maknya pun sedang kritikal.” Aldi seolah berbicara sendiri. Jarinya menekan dahi berkali-kali. Tiba-tiba kepalanya berasa sangat sakit.
“Mak Nurlisa? Bagaimana abang boleh bertemu dengan maknya?” Spontan Adzman bertanya hairan.
“Sudah takdir. Sebaik sahaja maknya abang temui sewaktu pergi melawat tapak projek syarikat kita, Nurlisa pula menghilangkan diri. Puas dicari!” Aldi bercerita.
“Macam mana pula abang boleh bertemu dengan Nurlisa?” Adzman mencungkil rahsia.
“Di Butik Mesra. Lepas tu, dia menghilangkan diri!” Aldi sedikit mengeluh. 
“Butik Mesra?” Adzman inginkan kepastian. Lelaki itu cuba mengingati sesuatu. Selepas Butik Mesra, Nurlisa bekerja di kedai menjual telefon bimbit.
“Abang berjumpa dengan dia, dua bulan selepas abang balik dari luar negara.” Aldi mula bercerita. Kenyataan daripada Aldi membuat Adzman bertambah keliru. Nurlisa pernah bertemu dengan Aldi, namun gadis itu tidak sedikit pun bercerita kepadanya.
“Nurlisa sedikit pun tidak bercerita dengan saya yang dia ada bertemu dengan abang.” Adzman menjelaskan kepada Aldi perkara yang berlaku. Mungkin gadis itu ingin menyembunyikan perhubungannya dengan Aldi daripada pengetahuan semua orang.
“Saya jumpa Pak Cik Kudus di hadapan rumah saya.  Terbaring seorang diri. Kesian dia. Kakinya kudung. Saya hantarkan ke rumah orang-orang tua supaya mendapat penjagaan rapi. Semalam, pegawai dari rumah orang tua menghubungi saya. Pak Cik Kudus telah dihantar ke hospital ini kerana pengsan dalam tidur.” Giliran Adzman pula bercerita.  Dia tidak mahu menceritakan tentang pertemuannya dengan Nurlisa kerana hal itu akan menyebabkan fikirannya bertambah berserabut. 
“Bagaimana tahu yang dia itu bapa Nurlisa?” Aldi pula menyoal. Renungannya singgah di wajah Adzman yang diselubungi mendung. Sememangnya sedari tadi wajah Adzman agak muram.
“Sebelum ini, Pak Cik Kudus ada bercerita dengan saya. Dia pernah tinggalkan isteri dan anak-anaknya kerana isterinya itu mengidap penyakit tibi. Dia ada sebutkan nama Nurlisa. Pada waktu itu, saya langsung tidak teringat pada Nurlisa.” Adzman menyambung ceritanya lagi. “Nurlisa sekarang bekerja dengan saya.”
Aldi bertambah bingung dan menarik nafas panjang.  Nurlisa langsung tidak bercerita kepadanya mengenai hal itu.
“Mak dan ayah macam mana? Ada mereka menghubungi abang?” Menghindarkan daripada terus berbicara tentang Nurlisa, Adzman bertanyakan perkhabaran tentang ibu bapa mereka yang sedang menjalani ibadah umrah.
“Minggu lepas! Mereka sihat,” jawab Aldi ringkas.  Fikirannya tidak lagi fokus terhadap perbualan mereka adik beradik, kerana hatinya sentiasa teringatkan Nurlisa serta keluarganya dan ibu bapanya yang berada di Mekah.
“Apa masalah bapak Nurlisa?” Aldi teringat, sedari tadi dia tidak sempat bertanyakan tentang bapa Nurlisa. Nurlisa tidak pernah bercerita tentang bapanya pun sebelum ini.
“Buah pinggang. Dia pesakit diabetes,” jawab Adzman ringkas.
Aldi mengangguk-anggukkan kepalanya. Dia sudah sedia maklum tentang penyakit diabetes. Pembunuh dalam senyap itu. Dia memerhatikan jam tangan di lengan kirinya.  Baru pukul 3.00 petang. Waktu melawat 4.30 petang. Dia menarik nafas agak panjang. Tubuhnya berasa agak penat kebelakangan ini.
“Kalau begitu, abang balik rumah dululah. Nak berehat sekejap. Petang nanti  abang singgah sini sebelum menjenguk  Mak Cik Hasnah dan Nurlisa,” ujar Aldi pula.
Adzman mengangguk-anggukkan kepala sambil menjabat tangan abangnya itu. Sudah lama mereka tidak berbual mesra seperti itu. 
Ain Wahida tersenyum senang apabila membaca mesej pesanan ringkas yang diterimanya daripada Hakim. Lelaki kacak yang memikat hatinya. Lelaki yang pastinya bukan anak orang kaya. Entah mengapa hatinya rasa terpikat. Selepas berkenalan di kedai komputer, dia sudah menghubungi lelaki itu beberapa kali. Lelaki misteri. Itulah telahan hatinya. 
Berderet-deret perkataan yang disusun oleh Ain Wahida kepada Hakim, namun lelaki itu hanya menjawab dengan satu huruf sahaja. ‘K’. Hakim juga ada menghubunginya melalui e-mail beberapa kali. Tulisan lelaki itu di dalam e-mailnya begitu menarik hati Ain Wahida untuk terus mengenali lelaki itu.

Sudikah pari-pari ketemuan?

SMS daripada Hakim pada petang tadi mengundang debaran di dadanya.  Pucuk dicita ulam mendatang. 

  
Akhirnya dia menyatakan persetujuan untuk bertemu. Lokasinya masih belum ditentukan. Hatinya meronta-ronta untuk mengenali lelaki itu lebih dekat lagi. Dia tahu yang Hakim adalah suami orang, namun perasaannya tetap tidak berubah. Keinginannya untuk mengenali Hakim lebih rapat, menggunung. Sejak mereka berhubungan dan saling berbalas SMS, Hakim membahasakan diri Ain Wahida sebagai ‘pari-pari’.
Sambil menunggu panggilan telefon atau SMS daripada Hakim, Ain Wahida menyusuri kedai-kedai yang ada di bandar itu. Debaran dihatinya bagaikan menyatu dengan hembusan nafasnya. Dia terkenang kembali e-mail kiriman daripada Hakim beberapa hari yang lalu. Tulisan yang agak menerujakannya juga. Lantas dia berasa tidak sabar untuk mengenali lelaki itu dengan lebih dekat lagi.

Assalamualaikum...
Terlebih dahulu jutaan maaf ingin kupinta dari insan yang bernama Ain Wahida atas segala yang terjadi sejak mula dahulu hingga ke saat ini, andainya ada kemaafan untuk diri ini sebelum dijemput pulang ke hadratnya yang kekal dan abadi.
Insan datang dan pergi silih berganti begitu juga dengan kenangan dan peristiwa. Perkuatkanlah iman, teruskanlah bertasbih, zikir dan tahmid kepadanya setiap saat. Jangan lupa mohon keampunan dan bertaubat sebelum pintunya ditutup. Pesanan ini untuk mengingatkan diri Ain dan diri Hakim sendiri.
Tutuplah kedua telinga Ain dengan jari dan dengarkanlah bunyinya. Itulah bunyi api neraka yang ganas membakar tanpa belas kasihan dan tiada siapa yang dapat menyelamatkan kita melainkan iman, amalan soleh yang dikerjakan semasa hidup di dunia dan rahmatNYA yang melangit luasnya.
Hidup ini merupakan satu perjalanan yang tiada hujungnya. Dari alam roh ke alam rahim ibu kemudian dihembuskan nyawa, alam bayi, alam kanak kanak, akil baligh, dewasa, matang, tua, sakaratul maut, alam kubur, dibangunkan semula dan alam akhirat kekal selama-lamanya. Di mana kita akhirnya syurga atau neraka? Semasa hidup di dunia inilah menjadi penentunya. Jadi tentukan matlamat dan arah tujuan hidup. Jika dibandingkan dari perjalanan hidup dan hidup di dunia ini, ibarat setitis air laut dihujung jari dengan air di lautan. Begitu juga seratus tahun amalan insan jika dibandingkan dengan rahmat Allah.
Kehidupan didunia.
Dugaan dalam kehidupan merupakan rahmat bukannya azab. Hanya penciptanya yang maha mengetahui akan apa yang diciptakan-nya.Ain diciptakan di dunia untuk apa? Kita hanyalah seorang hamba yang tidak akan merdeka selagi hidup di dunia ini. Apakah tugas seorang hamba kepada tuannya?
Jangan diungkit kesilapan yang lalu. Jangan menuding kesalahan orang lain. Lihatlah dalam diri apa yang telah kamu lakukan. Segala yang berlaku sekarang ini adalah hasil dari perbuatan kamu di masa lalu. Apa yang telah ditakdirkan itu adalah hak kamu yang mutlak. Terimalah segalanya dengan sabar dan berdoa agar mendapat petunjuk dan rahmat daripadanya. Sesungguhnya Allah tidak akan menzalimi bahkan Allah memberi rezeki
Carilah apa yang ada dalam diri sendiri dan kenali diri kamu. Carilah di mana tuhan kamu dan kenali tuhan-mu. Kamu akan temuinya dalam diri kamu sendiri, insya-allah. Seperti syair sufi yang indah dan mudah bahasanya menceritakan tentang iman “dalam hutan ada taman dan dalam taman ada puterinya, dalam baju ada cinta dan dalam cinta ada segala galanya, dalam awan ada hujan dan dalam hujan ada lautan, dalam aku ada dia dan dalam dia ada kita ada semua. Fikirkan, carilah maksudnya
Sekian.
Hakim

Bilik 305 Hotel Shi Men.
SMS yang diperolehi datangnya daripada telefon bimbit Hakim. Terkejut Ain Wahida. Secara kebetulan dia sedang berjalan berhampiran dengan hotel yang dikatakan itu.  Pada mulanya dia berasa serba salah. Dia takut terperangkap. Dia cuba menghubungi telefon bimbit lelaki itu. Malangnya, Hakim tidak mengaktifkannya pula. 
Keghairahan untuk mengenali Hakim dengan lebih dekat lagi, dia mengatur langkah satu per satu menaiki tangga ke tingkat satu. Sampai di muka pintu yang tertera Room 305, degup debar dadanya bergemuruh. Dia menarik nafas panjang beberapa ketika. Debaran jiwanya tidak pernah sekencang itu sebelum ini. Sudah ramai lelaki yang ditemuinya, namun perasaannya tidak pernah berasa seperti itu.          Daun pintu diketuk perlahan, walaupun matanya sudah menyinggahi daun pintu yang sedia renggang untuk menelan tubuhnya supaya memasuki ruang itu.
“Masuklah.” Di belakang daun pintu, di dalam kamar itu, yang hawa dinginnya sempat keluar menyentuhi tubuh Ain Wahida, Hakim menghulurkan tangannya lalu menarik wanita itu supaya segera masuk ke dalam bilik. Sebaik sahaja tubuh Ain Wahida berada di dalam kamar, Hakim terus menolak daun pintu dan menguncinya rapat. Lelaki itu menyandarkan tubuhnya pada dinding sambil matanya menelanjangi Ain Wahida yang berdiri di hadapannya. Ain Wahida berkebaya moden merah jambu, berbunga maroon.  Pertama kali dia mengenakan pakaian itu ditubuhnya. Di bibir Hakim tersungging senyuman yang penuh bermakna.
“Apa khabar?” Gementar suara Ain Wahida bertanya khabar sambil menghulur tangan untuk berjabat salam.  Bola matanya menyinggahi susuk tubuh Hakim yang berbaju T biru dan kuning serta berseluar beige muda. Hakim menyambut tangannya mesra dan sebelah tangannya meraih pinggang Ain Wahida.
Lelaki itu kelihatan amat mesra walaupun pertama kali berjumpa. Ain Wahida agak tergamam dengan kemesraan yang ditunjukkan oleh Hakim. Sambil matanya mengitari seluruh ruang bilik itu, Ain Wahida tidak lokek dengan senyumannya.  Di bilik yang luasnya cukup memuatkan sebuah katil, sebuah almari pakaian dan almari solek bercermin yang agak besar. Selesa juga untuk dijadikan tempat penginapan untuk beberapa ketika.
“Sebelum ini kita pernah bertemu di mana, ya?” soal Hakim tiba-tiba. Dia duduk di birai katil dan menarik lengan Ain Wahida dan mempersilakan wanita itu duduk di sisinya dengan isyarat mata.
“Tak pernah! Kita tak pernah bertemu sebelum ini. Hanya di kedai komputer itu sahaja.” Ain Wahida merenung wajah Hakim yang begitu hampir dengan bahunya. 
Hakim terus merenunginya. Lama. Seolah mengingatkan sesuatu. Tangannya mencapai tangan Ain Wahida dan tanpa rasa segan dia mengusap-usap tapak tangan wanita itu yang agak kehairanan dan keliru dengan perlakuannya. Ain Wahida cuba bertenang.
“Betulkah kita tak pernah berjumpa sebelum ini?” Suara Hakim amat perlahan kedengaran di telinga Ain Wahida.
Ain Wahida mengangguk-anggukkan kepalanya perlahan sambil tersenyum. 
“Saya rasa macam kita pernah bertemu sebelum ini!”  Sungguh mengejutkan, Hakim mengucup tangan Ain Wahida sewaktu mengungkapkan ayat itu.
Ain Wahida tergamam. Meskipun sebelum ini dia telah melakukan perkara yang serupa terhadap Aldi, namun perlakuan Hakim itu begitu seolah menggegar tangkai jantung hatinya.
“Jumpa? Di mana?” Ain Wahida menyoal kembali. Di kala itu Hakim sudah mulai memegang dan mengenggam tangannya. “Saya rasa macam pernah bertemu dengan Ain di Ipoh,” jawab lelaki itu sambil terus memain-mainkan jari-jemarinya dan menggosok-gosok tapak tangan wanita itu.  Ain Wahida cuba bertenang. Kotak fikirnya ligat berpusing, memikirkan tentang kemesraan yang ditunjukkan oleh lelaki itu.
“Di Ipoh? Bila tu? Girlfriend lama ke?” Sambil tersenyum Ain Wahida menduga Hakim. Tangannya yang di dalam genggaman Hakim ditariknya perlahan. Hakim tidak melepaskan tangannya sebaliknya terus meramas-ramas perlahan.
“Kawan lama saya.  Exactly macam Ain. Segala-galanya.  Bentuk tubuh. Suara. Rupa. Senyuman...” Hakim bercerita dengan mata yang bercahaya.
“Wanita macam Ain, elok kalau pakai baju warna purpleAura Ain ialah purple.” Sambung Hakim lagi dengan nada mesra. Wajahnya semakin rapat dengan wanita itu.
Ain Wahida semakin tergamam. Kemesraan yang ditunjukkan oleh Hakim menyebabkan hatinya berasa tidak tentu arah. Bukankah itu pertemuan pertama mereka? Sebelum ini mereka hanya berbalas SMS beberapa kali dan e-mail.  Itu sahaja.  Namun mengapakah Hakim begitu berani menunjukkan kemesraan yang sedemikian rupa? Bukankah di dalam e-mailnya yang terbaharu dia menceritakan tentang syair sufi. Tentang zikir dan tasbih. 
“Sudah dua minggu saya tidak bermesra dengan isteri saya!” Tiba-tiba Hakim bercerita.
“Dia pergi mana?” soal Ain Wahida sambil ekor matanya merenungi Hakim yang meletakkan dagu di atas bahunya.  Tubuh Ain Wahida terasa panas. Nafas Hakim semakin jelas ditelinganya. Lelaki itu tidak lagi berkata-kata sebaliknya asyik melihat cermin di almari solek yang berada di hadapan mereka. Di cermin, kelihatan lelaki itu sentiasa menguntumkan senyuman. 
Ain Wahida turut tersenyum. Mereka berbalas-balas senyuman. Tanpa diduga, Hakim membenamkan bibirnya di pipi kiri Ain Wahida, sambil membisikkan di telinga wanita itu. ‘Saya ingin bermanja.’ 



~BERSAMBUNG~


Tiada ulasan: