YANTI menghempaskan buku catatan Lidya yang sedang dibaca dengan lelehan air mata. Kasihannya Lidya. Simpatinya terhadap Lidya semakin menggunung. Syamil. Rasa marah dan geram tiba-tiba membuak di dada Yanti. Geramnya kepada lelaki yang bernama Syamil meluap-luap seolah gunung berapi yang terpendam lama dan ingin meletup.
‘Lelaki seperti itu yang menjadi kesayangan Lidya? Lelaki seperti itu yang dicintai sahabatku
itu sehingga saat-saat akhir hidupnya? Kalaulah aku yang berada di tempat
Lidya, nahaslah Syamil aku kerjakan. Penipu.
Hipokrit. Mengambil kesempatan. Ada hargakah cintanya? Dan Norshakila itu, jika aku yang berada
ditempat Lidya, akan aku cari perempuan itu sehingga ke lubang cacing. Aku
tarik-tarik rambutnya biar sampai botak. Akan aku cincang-cincang tubuh
badannya dan akan kucampakkan ke lubuk biar menjadi santapan ikan,’ suara hati
Yanti berbisik-bisik sendiri.
“Assalamualaikum! Yanti, buka pintu ni. Abang balik! Ya ALLAH! Tidur ke?”
Suara Adib kedengaran di telinga Yanti. Dia mengesat air
mata yang mengalir di pipi.
Adib terjenguk di muka pintu sebaik sahaja selaknya
kubuka. “Yanti, belum mandi lagi ke? Asyik membaca dari tadi tak habis lagi
ke?” Mata Adib merenung ke wajah Yanti, sambil menggeleng.
“Terleka bang! Tapi saya dah masak nasi. Abang dah beli
laukkan?” Yanti menyambut bungkusan plastik dari tangan Adib. Hidungnya terhidu
bau kari ikan dan masak lemak rebung. Lauk kegemarannya.
“Power
betul tulisan kawan awak tu? Sampai isteri abang terleka begini, tak mandi, tak
makan, tu... menangis pula!” Adib
mendakap tubuh Yanti sambil jarinya mengusap pipi isterinya itu. “Budak-budak, abang minta Duan tolong ambilkan. Hari ni last
sekolah! Esok dah cuti penggal.” Pelukan
ditubuh Yanti dirongkaikannya. Dia keluar kembali menuju ke kereta.
Yanti
mengekorinya. “ Abang nak ke mana?” Nada suaranya perlahan.
“Balik kampunglah. Tiga minggu. Yanti di rumah jaga
anak-anak.” Adib sudah meletakkan punggungnya di tempat pemandu.
“Buat apa lama-lama bang! Saya rindu nanti! Budak-budak pun rindu!”
Yanti seakan merengek.
“Nanti
abang call.” Adib berjanji. Senget bibirnya mengukir senyuman. Wajahnya
yang bulat agak berpeluh kerana cuaca tengah hari agak panas.
Tanpa banyak soal lagi, Yanti mengangguk. Semenjak
bernikah dengan Yanti, Adib tidak pernah pulang ke kampungnya. ‘Apa salahnya
sesekali aku memberi peluang kepadanya,’ hati Yanti seolah berbisik memujuknya.
Kerap kali Adib ke luar daerah kerana urusan bisnes. Itulah yang diceritakannya
kepada Yanti.
“Yanti! Make sure segera siapkan manuskrip kawan
Yanti tu. Dah tak ada masalah lagikan? Yanti cuma taipkan saja, kan? Abang pun
teringin nak membacanya.” Adib ketawa.
Dia cuba bergurau sebelum meninggalkan perkarangan rumah.
Yanti melambainya dengan penuh kasih sayang. ‘Bertuahlah aku kerana memiliki suami
sepertinya.’ Hati Yanti tidak pernah jemu memuji Adib yang terlalu baik
terhadapnya.
SELEPAS kelibat kereta
Syamil hilang dari pandangan matanya, Yanti menyambung kembali pembacaannya.
Air matanya merembes kembali sambil bola matanya terus bergerak ke kiri dan ke
kanan membaca satu demi satu pekataan yang tertulis.
Malam yang kian menghimpit,
tetap menjemukan. Fajar yang menyinsing,
walaupun dengan warna-warna indah tetap tidak merebahkan kesepian yang kian
subur, sunyi yang semakin merimbun. Aku benar-benar rasa kehilangan.
Sejak terbongkarnya tembelang Syamil, dia menyepikan diri beberapa hari.
Keceriaanku pun semakin layu
kerana aku terbenam di dalam lautan rindu.
Setiap hari aku mencari Syamil
di kamar kasih sayang kami di MIRC32, namun aku tetap hampa. Fikiranku semakin
tegang. Jiwaku menjadi tidak tenteram. Aku rasa tertipu, namun aku rindu. Aku terluka, namun aku terus mengharapkan
Syamil terus berada di dalam hatiku.
Hari demi hari aku tetap sabar
menunggu panggilan telefon daripada Syamil, namun dia terus menyepikan diri. Aku mengutusi e-mail
kepada Syamil berpucuk-pucuk. Fikiranku benar-benar buntu dan berserabut.
Benarkah cinta ini boleh membuat manusia menjadi gila? Telah nanarkah aku dalam
mengharapkan belaian dan kemesraan cinta dari seorang lelaki? Itulah pertanyaan
yang sering kali mengetuk-ngetuk pintu hatiku.
Lama menunggu, akhirnya hanya
secebis e-mail yang aku perolehi daripada Syamil Alangkah sengsaranya jiwa yang
cuba membendung keparahan. Alangkah seksanya batin yang cuba menyembunyikan
kenanaran. Aku terpaksa merahsiakan segalanya. Hatiku terluka kesan daripada
perbuatan Syamil. Lelaki yang amat
kucintai.
Namun kerana amat merindui,
e-mail terus diutusi tanpa jemu. Aku percaya ALLAH akan membuka pintu hati
Syamil untuk mengirimkan berita buatku walaupun satu patah perkataan.
Bukanku tak sudi kasih.
Hanya itu yang dikatakannya
kepadaku setelah beberapa hari aku menunggu. E-mail itu aku balas dengan
perasaan yang membengkak dan kedukaan yang amat sangat.
Please don’t go away. Hani masih mengharapkan
belaian cinta, perhatian, bimbingan dari abang. Walau apa pun yang terjadi, cinta di hati ini tidak
akan berubah. Panggillah orang dari seluruh dunia, tembaklah Hani. Jasad Hani hancur, cinta Hani
tak akan lebur. Kalau Hani
mati pun, cinta Hani tetap hidup. Cinta
Hani tidak akan berhenti. Tidak siapa pun boleh memaksa Hani daripada berhenti
mencintai abang. Segalanya mesti diteruskan seperti biasa. Jika tidak Hani akan merasakan yang nyawa
Hani telah direnggut dengan kejam. Hani takut kerana Hani tidak boleh terima
kenyataan yang abang mempermainkan perasaan Hani begini…
Empat hari kemudian barulah
Syamil membalas e-mail daripadaku. Akhirnya, e-mail yang aku tunggu-tunggu
menjengah juga.
Hani,
maafkan abang di atas semua yang telah berlaku.
Bukan abang sengaja melupakan Hani. Abang tidak mahu terjadi...
di sini terluka, di sana menanti. Berilah abang masa untuk menyelesaikan segala
kekusutan dan kekeruhan yang telah terjadi. Abang tidak mahu menyalahkan
sesiapa. Ingatlah, apa yang telah terjadi
dan bakal terjadi di bawah kekuasaan-NYA dan di luar kemampuan kita.
Aku terkedu sebaik sahaja
membaca e-mail tersebut. Perempuan ini hanya mampu menangis. Wajarkah perempuan ini yang statusnya isteri orang
merasa dirinya tertolak? Ketiadaan
Syamil untuk beberapa hari di MIRC32 benar-benar membuat aku nanar. Aku menangis tanpa henti di dalam
hati. Segala kenanaran di jiwa terpaksa dibendung agar tidak diketahui Idham. Sungguh aku derita. Derita. Semakin hari tubuh
badanku semakin susut. Semakin hari fikiranku semakin berserabut. Tegang segala
urat di otakku. Aku kerap mengambil cuti
rehat dan cuti sakit kerana berasa tidak tenteram di jiwa.
Pada suatu malam yang sepinya
kian mencengkam, aku memberanikan diri untuk melayari internet apabila aku
pastikan yang Idham telah berdengkur dengan kuatnya. Itu menandakan yang
suamiku itu telah tidur dengan lenanya.
Dengan perasaan yang kosong, aku menjenguk kamar veteran di MIRC32
tempat aku dan Syamil selalu berbual mesra.
Hampir dua bulan aku tidak
menyentuh komputer peribadiku apatah lagi untuk melayari internet. Rupa-rupanya malam itu, bagaikan berjanji, nickname
abgdno spontan muncul di skrin komputerku. Aku terus menjadi sebak.
>abgdno< Muahsss
>abgdno< Hani sayang! Apa khabar?
Aku mendiamkan diri beberapa
ketika. Air mataku mengalir dengan lajunya.
>abgdno< Hani, maafkan abang! Maafkan abang.
Aku masih tidak mampu menaip sepatah perkataan pun untuk tatapan
Syamil. Aku menangis teresak di depan
komputer.
>abgdno< Hani, maafkan abang. Maafkan abang!
Lagi sekali Syamil memohon kemaafan
daripadaku. Dapatkah kelukaan hatiku
dibaluti dengan perkataan maaf?
>Lidyahani< Mengapa
abang mempermainkan perasaan Hani mengapa bangg..?.”
Titis-titis air mata mula
mengalir kembali pada pipiku yang lesu dan cengkung sejak beberapa minggu kebelakangan
ini. Sejak hatiku hancur, apabila menerima panggilan telefon daripada
Norshakila, aku tahu, panggilan itu adalah isyarat yang impian yang telah
dibina oleh Syamil, akan berkecai.
>abgdno< Abang tidak mempermainkan Hani… abang
memang menyintai Hani... percayalah sayang, tapi...
>Lidyahani< Dulu bila
Hani tanyakan siapa Norshakila, abang kata e-mail kita ada orang ceroboh!
Sebak di dadaku sewaktu
membariskan ayat itu, cubaku tahan.
>abgdno< Abang tak mahu lukakan hati Hani dan abang
takut untuk kehilangan Hani! Abang tak mahu Hani pergi dari abang
>Lidyahani<Berapa lama
dah abang menikah?
Aku menyoal lagi. Sambil itu
aku mengira-ngira, mengingati kembali waktu Syamil meminjam wangku. Adakah
Syamil menggunakan segala wang yang dipinjamkannya untuk tujuan pernikahan
dengan Noshakila. Patutlah perniagaan asyik
bermasalah. Mengingatkan itu, perasaan marah mula mengintai di hatiku. Sebelum
ini memang aku susah untuk marah.
>abgdno< Hampir setahun... dah jodoh... itu semua
bukan kuasa kita menahannya.
Terlalu bersahaja jawapan
daripada Syamil. Syamil seolah langsung tidak memikirkan perasaanku
di kala itu.
>abgdno< Sudah kehendak-NYA.
Senangnya lelaki ini membuat
rumusan. Berjanji dan bercinta bagai nak rak denganku. Membina impian dan harapan yang berbagai,
tetapi sanggup pula mengkhianati janji cintanya, menikahi wanita lain pula.
Perasaanku bagai dikoyak carikkan.
>abgdno< Tu hari, sebenarnya abang berada di Kota
Bharu, Shakila baru bersalin dua hari...
Bibirku tergumam. Hatiku semakin pilu apabila mendengar
pernyataan itu.
>Lidyahani< Kelmarin
bila Hani suruh abang menikah, beria-ia abang menolaknya...
Aku terkenang kembali,
perbualanku dengan Syamil sebulan sebelum peristiwa itu. Isteri sakit konon.
Sanggup menunggu aku konon.
>Lidyahani< Bila Hani
tanya, siapa Norshakila, abang kata abang tak kenal, tak tahu.
>Lidyahani< Sampai hati
abang lakukan kepada Hani begitu Hani percaya pada abang..
>Lidyahani< Mengapa
abang mainkan Hani?
>abgdno< Hani…
>abgdno< Abang takut berterus terang dengan
sayang! Abang tak mahu melukakan hati
sayang dan abang tak mahu kita berpisah.
>abgdno< Percayalah Hani, walaupun abang sudah
bernikah dengan Shakila, abang cinta Hani. Cinta abang pada Hani tak pernah
susut walau seinci pun.
>Lidyahani< Habis tu
sekarang macam mana? Biar Hani undur diri daripada abang, pergi untuk selamanya.
>abgdno< Tak boleh! Hani tak boleh pergi daripada
abang!Please sayang
>Lidyahani< Habis tu,
bukankah abang sudah ada pengganti, Norshakila, tentu abang benar-benar mengasihinya,
sehingga sanggup mengkhianati sumpah cinta abang, bernikah dengannya dan
memungkiri janji yang abang buat dengan Hani.
>abgdno< Demi TUHAN, abang menikahinya bukan kerana
cinta. Dia ex girlfriend abang sewaktu di UiTM dulu. Sudah 15 tahun dia mencari
abang dan menjadi anak dara tua. Apabila kami bertemu kembali, secara kebetulan
isteri abang sedang sakit. Abang lelaki yang masih muda dan ada nafsu. Abang
benar-benar tersepit pada waktu itu. Abang memang ingin Hani menjadi isteri
abang... percayalah sayang! Tapi sayang masih isteri orang dan nafsu kelelakian
abang tak boleh bertahan lagi..
>Lidyahani< Begitukah
cinta lelaki?
>abgdno< Terpulanglah kepada Hani, nak buat
penilaian. Tapi abang tegaskan sekali
lagi, demi ALLAH, abang tidak pernah berniat untuk mempermainkan perasaan Hani.
Cinta abang pada Hani tetap teguh, tidak akan berubah walaupun dilanda taufan
dan puting beliung. Hani telah sebati di hati abang.
Aku tersedu dengan kata-kata
Syamil. Benarkah segala kata yang dititipkan lahir daripada hatinya atau
sekadar memujuk hatiku yang sedang lara.
>abgdno< Itulah penjelasan abang sayang! Terserah
kepada sayang jika masih membenci diri
ini…
>Lidyahani< LLL
>Lidyahani< Hani sayang..
Air mataku semakin deras
mengalir. Kalaulah Syamil ada di hadapanku, mesti aku membenamkan diriku dalam
pelukannya. Sesungguhnya kasih sayangku kepadanya tidak mungkin berakhir dengan
peristiwa itu. Syamil telah bertapak dengan kukuhnya di hatiku.
>abgdno< Alhamdulillah. Kalau sayang pada abang,
mesti pertahankannya... mesti janji dengan abang, kita akan pertahankan
perhubungan ini walau apa pun terjadi.
>Lidyahani< LLL
>abgdno< Jangan menangis lagi, ya?
>Lidyahani< Abang tau...
sebenarnya pada hari tu, Hani dah pergi ke pejabat agama dan ambil borang untuk
mohon fasakh…
>abgdno< Hani…
>abgdno< Maafkan abang... maafkan abang sayang.Abang
tahu, hati Hani terluka dengan peristiwa ini… abang tak dapat menolak takdir.
ALLAH telah mengatur segalanya.
>Lidyahani<
Kehendak-NYA, takdir, senangnya abang beralasan. Janji dengan Hani macam mana?
Hani tak boleh terima kenyataan yang abang mendustai Hani.
>abgdno< Hani, sabar, tenang dengan apa yang
terjadi... insya-ALLAH ada hikmah di sebaliknya..
>abgdno< Percayalah sayang. Jika sekarang ni, sayang
berpisah dengan suami, atau telah menjadi janda... esok juga kita bernikah!
Demi ALLAH! Abang tetap sayang pada Hani.
>Lidyahani< Bye...
>abgdno< Take care sayang! I love you.
Aku menamatkan perbualan
dengan Syamil dengan tergesa-gesa. Semakin lama aku bersamanya di kamar Veteran itu, semakin hatiku terluka.
Berakhirkah episod cintaku
dengan Syamil dengan musibah ini. Tak mungkin. Tak mungkin. Jika berakhir, itu
menandakan tiada keikhlasan dalam perhubungan kami. Jika ditamatkan, bermakna
hutang Syamil kepadaku akan kulupus begitu sahaja.
Walaupun hanya beberapa ribu,
mendiamkan diri hanya akan menggalakkan Syamil menjadi seorang yang memungkiri
janji. Tidak amanah dan tidak bertanggungjawab. Biar dia memungkiri janji dalam
soal cinta, tetapi jangan memungkiri janji dalam soal wang. Tidak amanah dalam
soal wang. Lagipun aku telah berjanji
dengannya, aku akan pergi darinya apabila dia telah benar-benar berjaya di
dalam perniagaannya.
Siapakah yang mendengar
jeritan batin ini? Siapakah
yang tahu tangisan hati ini?
~~ bersambung~~~

Tiada ulasan:
Catat Ulasan