Rabu, 8 Mei 2013

NOVEL:SEBELUM NAFAS TERHENTI (BAB 35)-ALAF21





Suasana di wad pesakit diabetes di hospital itu diselubungi oleh rasa sedih insan-insan yang melihat sebuah drama kehidupan sebuah keluarga. Mak Cik Hasnah dan kesemua anak-anaknya mengelilingi katil yang menempatkan Pak Cik Kudus.
“Aku minta maaf! Aku memang lelaki tak berguna! Tak bertanggungjawab! Abah lelaki yang tidak bertanggungjawab!”  Air mata yang terkumpul dipenjuru mata akhirnya berjuraian juga pada pipi yang sudah berkedut dan dimakan usia.
Mak Cik Hasnah turut berasa hiba, namun tiada kata-kata yang dapat diucapkannya. 
“Saya malu Hasnah! Malu kepada awak. Malu kepada anak-anak! Ya Allah!” Pak Cik Kudus terus merintih pilu.  Pembalasan yang harus diterima daripada Allah kerana meninggalkan tanggungjawabnya sebagai suami dan sebagai seorang bapa. Dia berkahwin dan bercerai beberapa bulan kemudian. Pekerjaan yang dilakukannya pun tidak menjamin kejayaan. Tidak ada yang kekal. Apabila kakinya terpaksa dipotong akibat kencing manis, tiada orang yang ingin menggajinya sebagai pekerja. Akhirnya dia merempat di tepi jalan. Mujurlah takdir Allah telah menghantarnya kepada Adzman. Dan akhirnya dapat bertemu dengan keluarga kembali.
“Sudahlah tu, tak perlu dikesalkan lagi. Alhamdulillah.  Sekiranya sekarang awak sudah insaf.” Suara Mak Cik Hasnah tersendat pilu. Mungkinkah mereka sekeluarga dapat bersatu kembali tatkala dirinya juga uzur dan hanya menanti saat datangnya mati? Mak Cik Hasnah mengurut-ngurut dadanya yang terasa sesak.
“Selepas ini awak baliklah ke rumah. Rumah yang lama itu sudah terbakar. Syukurlah anak-anak semua selamat.  Sekarang, kami duduk di rumah yang agak selesa sedikit.  Mujurlah, dengan bantuan Allah, ditemukannya dengan seorang yang mulia dan pemurah. Dia yang membantu saya dan anak-anak apabila rumah setinggan yang kami duduk selepas rumah yang terbakar itu, akan dirobohkan.” Mak Cik Hasnah bercerita dengan panjang lebar.
“Saya malu! Apabila keadaan diri menjadi begini, saya kembali kepada awak.” Pak Cik Kudus masih bersedih hati dan sesalnya tidak berkesudahan lagi. Matanya merenung pula kepada Nurlisa, anak sulungnya. Perasaan hatinya bertambah sebak apabila melihat anak gadisnya di dalam keadaan tempang. “Kalau tidak kerana abah, takkan kamu jadi begitu Lisa. Abah yang salah di atas semua yang telah terjadi.” Air mata tuanya merembes lagi.
“Abah! Bukan salah sesiapa. Ini semua kehendak Allah.  Tidak mengapa. Saya terima ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah kepada saya dengan redha!” Nurlisa cuba memujuk hati abahnya. “Abah baliklah. Kami akan jaga abah!” sambungnya lagi. 
Ibu dan bapanya yang sakit dan uzur itu di bawah tanggungjawabnya. Dia tidak mahu melepaskan peluang untuk berbakti kepada kedua ibu bapanya selagi hayat mereka masih ada. Selagi dia belum bersuami, sekiranya ada jodoh. Apabila dia bersuami nanti, seluruh taat setianya akan tercurah kepada suami yang diamanahkan Allah kepadanya.  Dia memang bercita-cita untuk menjadi mukmin, anak serta isteri yang solehah.
“Subhanallah...” Datuk Haris terus menyentuh butiran manik yang berantaian ditangannya sambil terus bertasbih, bertahmid. Sudah tiga minggu dia berada di tanah suci Mekah untuk mengerjakan umrah. Kosentrasinya kini hanya untuk beribadat. 
Bibirnya tidak henti-henti berzikir selepas dia mengerjakan solat asar di masjid Nabawi, Madinah. Lidahnya tidak berasa lenguh dan letih walau sedikitpun.  Disebut Masjid Nabawi kerana Nabi Muhammad SAW selalu menyebutnya dengan kalimah, Masjidku ini, setiap kali baginda menerangkan tentang sebuah masjid yang sekarang berada di pusat kota Madinah. Nabi bersabda,Sembahyang di masjidku ini lebih utama daripada sembahyang seribu kali di masjid lain kecuali Masjidil Haram.
Dalam satu riwayat lain, Nabi bersabda, Barang siapa sembahyang di masjid 40 waktu tanpa terputus, maka ia pasti selamat dari neraka dan segala seksa dan selamat dari sifat munafik. Masjid ini didirikan oleh Nabi S.A.W. dan sahabat-sahabat baginda pada tahun pertama hijrah (622 M) seluas 1050 meter persegi, iaitu di sisi di sebelah barat rumah baginda yang sekarang rumah itu menjadi makam baginda dan masuk dalam bangunan masjid. Berziarah ke masjid Nabawi ini adalah masyru’ dan dikira termasuk ibadat. Penyataan ini adalah sesuai dengan sabda Nabi yang berbunyi; bermaksud, janganlah kau mementingkan kepergian kecuali kepada tiga masjid, iaitu Masjidil Haram, Masjidku Ini dan Masjid Aqsa.
Datin Rabiatul tidak bersamanya pada ketika itu. Selepas zuhur tadi, datin berasa sakit perut. Datin Rabiatul tidak mahu menghalang keghairahan Datuk Haris untuk beribadat di Masjid Nabawi, selama ada peluang.
Selesai bersembahyang, Datuk Haris kembali ke hotel dengan berjalan kaki. Di sepanjang jalan menuju ke hotel, banyak gerai-gerai kecil di tepi jalan yang menjual buah kurma, kismis, batu-batu permata dan berbagai lagi yang boleh dibeli untuk dibuat kenangan atau sebagai cenderahati kepada sahabat taulan. Tiba-tiba bola matanya singgah ke longgokan batu-batu permata yang berbagai warna dan bentuk. Hatinya seolah terpanggil untuk membeli beberapa biji untuk dihadiahkan kepada pekerja-pekerjanya di Roda Emas.
“50 riyal!” Peniaga berbangsa Indonesia menyebutkan harganya sambil menghulurkan beg plastik kepada Datuk Haris.
Datuk Haris meraba-raba poket jubahnya untuk mengambil dompet. Dari poket kiri ke poket kanan. 
“Masyaallah!” Datuk Haris menepuk dahinya sambil beristighfar berkali-kali. 
“Hilang?”  Peniaga kedai seolah memahami keresahannya. 
Datuk Haris mengangguk-anggukkan kepalanya.
Beberapa orang kawan yang serombongan yang turut serta singgah di gerai itu, menyoal Datuk Haris.
“Datuk tertinggal di bilik hotel tak?” Haji Suhaimi bertanya lembut untuk menyedapkan hati Datuk Haris.
“Saya pasti, saya bawa tadi! Tak apalah. Dah nak hilang, apa nak buat. Cuma saya risaukan tentang pasport saya!”  Datuk Haris bersuara tenang. Matanya merenung ke jalan, kalau-kalau ternampak dompetnya di atas jalan. Sebaliknya yang kelihatan hanyalah batu-batu kecil dan orang yang sedang lalu lalang. Bola matanya terlontar pada sesusuk tubuh yang sedang berjalan laju menuju ke arahnya. Seorang wanita bertubuh kecil memakai jubah dan jilbab hitam.  Angin yang berhembus agak deras, meniup-niup jubah dan jilbabnya. Kaki wanita itu mungkin cacat, kerana langkahan kakinya tidak sempurna seperti orang lain. Dia berjalan seperti orang gajinya dulu, Nurlisa.
Tak sampai seminit, tubuh wanita itu terpacul di hadapannya.
“Assalamualaikum...” Di sebalik kain yang menutupi separuh wajahnya, kedengaran suara wanita itu memberi salam. Tangannya menghulurkan dompet kepada Datuk Haris. Datuk Haris agak tergamam. Bagaimanapun dia tetap menyambut huluran dompet daripada wanita itu. Wanita itu terus berlalu pergi sebaik sahaja menyerahkan dompet kepunyaan Datuk Haris.
“Alhamdulillah! Syukur! Syukur!” Berkali-kali Datuk Haris mengucapkan syukur kepada ilahi. Dia ingin mengucapkan terima kasih kepada wanita tadi, namun kelibat wanita itu pun sudah tidak kelihatan lagi.
“Nampak tak wanita tadi? Kaki dia tempang.” Suara Datuk Haris seolah membisik kepada Haji Suhaimi.
Haji Suhaimi seakan terkejut dengan persoalan itu.  Matanya mengecil sewaktu memandang ke wajah Datuk Haris.
“Tak ada pulak!” Haji Suhaimi menjawab. Matanya terus merenung ke wajah Datuk Haris yang seakan terkejut mendengar jawapannya. “Tak nampak sesiapa pun,” ujarnya lagi.
“Tapi...” Datuk Haris yang masih memegang dompetnya agak tercengang seketika.
“Hmm... Lupakan.  Jom kita balik ke hotel.” Datuk Haris menyarankan. Spontan hatinya mengingati bekas orang gajinya, Nurlisa gadis tempang. Gadis yang sukar diterima sebagai menantu sekiranya Aldi benar-benar menginginkannya. Hati Datuk Haris terus mengingati peristiwa yang baru berlaku sebentar tadi. Langkah kaki nya terus ke hadapan. 
Matanya merenung hujung kakinya satu per satu. Kiri dan kanan. Kanan dan kiri. Sesekali dia mengangkat kaki kirinya dan cuba berjalan sebelah kaki sahaja. Alangkah sukarnya untuk melangkah. Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah yang telah mengurniakan dirinya dengan segala kesempurnaan. Alangkah tabahnya gadis itu, menerima ketentuan Allah dengan redha.
Apakah peristiwa ini petunjuk daripada Allah supaya dia jangan menghina orang yang cacat dan tidak sempurna tubuh fizikalnya.  Mungkin benar tanggapan isterinya yang hanya Nurlisa yang sesuai dengan anak sulungnya Aldi.
Adzman mengesat-ngesat peluh yang mengalir dipipi, dileher dan lengannya. Baju T putih yang dipakainya dipadankan dengan seluar sukan berwarna biru tua itu sudah lembab dibasahi peluh yang tidak henti-henti memercik melalui liang-liang romanya. Maklumlah sudah hampir sejam dia berlari di situ. Dia tercungap-cungap, namun tetap juga ingin meneruskan aktivitinya pada hari itu. Berjogging. Hari itu hari Ahad. Seawal 6.45 pagi tadi dia sudah berlari di sekitar taman rekreasi yang letaknya lebih kurang tiga kilometer dari rumahnya sewanya.
“Adzman! Man!” Terdengar satu suara dari arah belakangnya. 
Adzman menghentikan lariannya. Bola matanya terlontar ke susuk tubuh seorang perempuan yang sedang berlari menghampirinya. Apabila sampai di sisi Adzman, perempuan itu turut berhenti dan berdiri di sisi Adzman.  Dia tercungap-cungap, namun masih meneruskan pergerakan tubuhnya.  Menegang kendurkan betis serta lengannya.
“Wah! Awalnya you turun berjongging?” Di celah-celah helaan nafas yang agak laju itu, dia menyoal Adzman yang turut sama melakukan aktiviti senaman setempat. 
“Hmm... lepas subuh tadi. Macam mana boleh jumpa you di sini? Selalu ke berjogging di sini?” tanya Adzman. 
“Selalu juga I datang sini, kalau ada kelapangan!  Kan I duduk tak jauh dari sini.  Taman Angsana.  Dah tak ingat ke?  Maklumlah, you bukan ingat pada I,” seloroh Linda. 
Adzman ketawa. “Sorry! I sibuk sikit! Macam mana dengan you?” Mereka memulakan kembali larian secara perlahan dan beriringan.
“Alhamdulillah. Sihat,” jawab Linda perlahan. 
“Man! You ke mana? Dah bernikah ke? Langsung tak ada khabar berita! Butik I pun you dah tak mahu datang lagi!”  Mata Linda menjeling Adzman yang berlari di sisinya.
“Menikah? Hisy! Mengapa sejauh itu soalan you ni?”  Adzman tersengih seketika dan menghentikan lariannya serta berjalan perlahan-lahan.
“Yalah! Mana tau!” Tukas Linda. Dia turut berjalan perlahan-lahan di sisi Adzman. 
“Man! Berhentilah dulu! I dah tak larat ni.” Linda kelihatan letih. Dia mengesat peluh di pipinya dengan tuala kecil yang terlilit dilehernya.
“Sekejap lagi! Kita berjalan perlahan-lahan sampai pokok besar sana.  Nampak tak? Di belakang pokok besar tu lebih kurang 15 atau 20 meter ada gerai jual nasi lemak. Sedap!  Teh tarik pun ada,” ujar Adzman sambil ketawa.
“Hei! Tak gunalah berjogging kalau begitu! Lepas jogging sental nasi lemak lagi.  Banyak kalori tu!”  Suara Linda agak kuat disulam ketawanya yang panjang. 
Adzman turut ketawa.
Bulat bola mata Linda memerhatikan pinggan nasi lemak yang tersaji dihadapannya. Masih berasap dan aromanya membuatkan air liurnya kecur. Nasi lemak beralas daun pisang di atas pinggan. Warna merah sambal sotongnya menyelerakan. Ada telur ayam kampung rebus, ayam masak sambal berserai, timun dan ikan bilis goreng.
“Wow! Tak sabarnya I nak rasa nasi lemak ni!” Selepas membaca doa makan, Linda terus menikmatinya tanpa sepatah kata untuk beberapa ketika.
“Kan I dah beritahu tadi!” Tawa Adzman berderai melihatkan telatah Linda yang tidak sabar-sabar untuk merasai nasi lemak yang dikatakannya itu.
“Lama menghilang! Bercuti ke luar negara lagi ke?”  tanya Linda selamba.
“Tak adalah! Siapalah I.” Adzman merendah diri.  Sehingga ke saat itu dia merahsiakan identiti dirinya daripada Linda.
“Bukan you anak orang kaya! Anak datuk!” Linda cuba merisik dan terkenang kembali kenyataan yang pernah dibuat oleh Ain Wahida yang pernah berkawan dengan Adzman.
Adzman ketawa. “Anak datuk mana? Hisy... Jangan teka begitu, tak baik.” Dia masih menyembunyikan idenditi keluarganya.
“Masih contact Ain?” soal Linda lagi sambil matanya memandang ke arah Adzman yang sedang tunduk melihat pinggan yang masih ada separuh nasi lemaknya.
“Ain? Tak ada... lama dah I tak call dia! Dia masih housemate you ke?  Balik nanti kirim salam I kepadanya,”  ujar Adzman sambil mengukirkan senyuman. Dia terkenangkan Ain Wahida yang cepat merajuk dan mahu semua orang mengikut telunjuknya.
“Insya-allah. Nanti I sampaikan. Hmm... dia pun seminggu dua ni nampak macam tidak begitu ceria. Frust bercinta agaknya.” Suara Linda seakan merungut untuk dirinya sendiri. Kadang-kadang dia berasa simpati juga terhadap temannya itu. Asyik termenung sana, mengelamun di sini. Seolah ada masalah besar yang sedang melanda dirinya.
“Bercinta dengan siapa pula?  Oh ya, I terlupa, Ain Wahida model popular. Mesti ramai orang yang minat. Yang ingin memburu dan menyintainya. Maklumlah orang cantik,”  komen Adzman.
“Dengan anak Datuk Haris! Aldi? Begitulah yang dia cerita. Tetapi mungkin Ain hanya bertepuk sebelah tangan sahaja. Dia kata Aldi sudah ada kekasih yang lain, tetapi gadis yang menjadi kekasih Aldi itu cacat!” Linda bercerita dengan nada perlahan. 
Adzman tertarik dengan cerita Linda. “Aldi? Arkitek di Roda Emas tu, kan? Wah! Beruntunglah Ain Wahida kalau betul Aldi yang itu. Memang bertuahlah dia.” Dia berpura-pura tidak mengenali Aldi. Ekor matanya menjeling pula ke arah Linda yang sedang menghirup teh tarik.
“Ain Wahida betul-betul cemburu dan marah dengan gadis tu. Nurlisa tu pernah bekerja di butik I Beberapa bulan. Dia memang baik, cantik, berbudi bahasa, jadi tak hairanlah kalau betul Aldi berkenan.” Cerita Linda lagi. Dia berharap sekiranya benar Adzman pernah keluar bersama dengan gadis tempang itu, sudah tentu Adzman akan bercerita kepadanya.
“Ya tak ya! Kalau gadis begitu, I pun boleh jatuh hati.” Ungkapan di bibir Adzman sebenarnya sedang menggambarkan apa yang ada di dalam hatinya. Di matanya terbayang wajah Nurlisa. Senyumannya yang menawan. 
“Alamak! Kasihannya kepada I. Tak siapa yang sudi nak jatuh hati. Maklumlah badan kurus kering macam galah. Rambut genjung macam bulu jagung!” Linda menyentuh-nyentuh rambutnya yang terjurai di dahi. 
Adzman tertawa kecil melihatkan telatah Linda yang berpura-pura memuncungkan bibirnya. “Ala... You tu yang diet sangat.  Bagilah berisi sikit. Baru sedap mata memandang.  Rambut tu biarkan dengan warnanya yang asli. Tentu lebih cantik. Lelaki ni kebanyakkannya sukakan kecantikan yang asli, bukannya yang palsu atau cetak rompak.” Kata-kata yang diungkapkan oleh Adzman begitu bersahaja.
“Hmm... yalah! Jomlah! Perut dah kenyang ni.” Linda bangun mengekori Adzman yang bangun terlebih dahulu menuju ke kaunter bayaran. “You duduk di mana, Man? Sekarang kerja di mana? Sudah ada kerja tetap ke atau masih lagi jadi jurugambar?” Linda berminat benar ingin mengetahui tentang Adzman yang pada anggapannya terlalu banyak berahsia.
“Duduk berhampiran sini juga. Taman Lily. Sebelum Taman Angsana tempat you tinggal tu. Tapi I duduk rumah buruk saja. I dah kerja di tempat lain. Kerja dengan seorang kawan. Di Awana Indah Lanskap.” Adzman bercerita dengan suara yang amat perlahan dan merendah diri lagi.
“Ini kad syarikat tempat I kerja tu. Hmm... bolehlah kalau you berhasrat nak ubah suai apa-apa di apartmen tempat you tinggal tu!” Adzman menghulurkan kad yang telah diambil dari dalam dompetnya. 
“Terima kasih! Insya-allah, nanti I hubungi dan manalah tahu kalau ada kawan-kawan I yang perlukan khidmat ini, I akan beritahu kepada mereka.” Linda terus menyimpan kad tersebut di dalam kocek baju Tnya, selepas melihat kad tersebut sepintas lalu tanpa sempat membacanya.
Matahari agak terik pada hari itu. Di perkarangan Vila Kencana Emas, tidak terlihat pun kelibat seorang manusia yang menghuni di situ. Biasanya suasana sunyi dan sepi.  Maklumlah, tiada ada sesiapa pun. Bunyi goncangan pada jeriji pagar sedikit mengejutkan Wak Dollah yang sedang mengelap habuk pada kereta di garaj. Telinganya mendengar ucapan salam suara perempuan.
“Waalaikummussalam... Cik nak cari siapa?” Wak Dollah yang bertubuh gempal tercungap-cungap kerana berlari-lari anak. Seorang perempuan muda bertubuh langsing, berseluar jeans ketat dengan rambutnya yang berjuraian melepasi bahu cuba membuka ensel pagar itu. Malangnya pintu pagar itu tidak mempunyai ensel. Segala pergerakannya dikawal secara automatik oleh kabel yang disambungkan terus ke dalam rumah dan alat kawalan jauh.
“Ini rumah Datuk Haris ke?” soal wanita itu. Matanya menyorot ke wajah lelaki tua yang berada di hadapannya di sebalik jeriji pagar itu. Lelaki yang wajahnya kelihatan bersih dan jernih itu berbaju Melayu dan berkain pelikat.
“Ya! Tapi datuk dan datin tak ada di rumah sekarang ni! Mereka pergi mengerjakan umrah dan terus bercuti. Lagi dua minggu baru balik ke sini. Ada apa-apa yang boleh saya bantu?” Wak Dollah menceritakan perkara yang sebenar.  Matanya terus memerhatikan wanita muda itu yang kelihatan resah.
“Maksudnya, rumah ni pak ciklah yang jaga sepeninggalan Datuk Haris? Tak ada sesiapa lagi ke?” Perempuan itu cuba mencungkil rahsia.
Wak Dollah terdiam sejenak. Pandangan matanya bertemu dengan pandangan perempuan itu. “Err... tak! Ada anak sulungnya, Aldi. Kadang-kadang anak bongsunya Adzman ada balik juga. Boleh saya bantu anak?” Wak Dollah menghulurkan bantuan.
Perempuan muda itu tersenyum sambil menggelengkan kepalanya. “Tak ada apa-apa pak cik. Terima kasih.” Dia tergesa-gesa beredar dari situ. 
Wak Dollah hanya memerhatikannya dengan perasaan ingin tahu.
“Siapa yang datang di depan tadi Wak?” Aldi yang baru turun dari biliknya di tingkat atas vila itu menyoal Wak Dollah sebaik sahaja terlihat kelibat lelaki tua itu di depan rumah. “Saya nampak melalui tingkap tadi! Tapi tak perasan wajahnya! Siapa dia Wak?” tanyanya sekali lagi. Hari ini hari Jumaat, dia pulang ke rumah  awal kerana ingin menunaikan solat Jumaat di masjid yang berhampiran dengan vila itu.
“Wak pun tak kenal. Wak cuba juga tanya. Dia hanya bertanyakan adakah benar ini rumah Datuk Haris.” Wak Dollah menceritakan dengan loghat jawanya yang agak pekat. Matanya merenung kepada Aldi yang agak kebingungan cuba meneka siapa perempuan misteri yang secara tiba-tiba menghadirkan diri di depan vila itu.
“Dia tanya itu sahaja?” Aldi mengangkat keningnya sambil bertanya lagi kepada Wak Dollah. Hatinya cuba meneka, siapakah gerangannya yang datang tanpa diundang.
“Ya.  Selepas itu dia terus beredar. Pak cik rasa pelik juga. Mengapa tanyakan pasal datuk. Kan lebih baik tanyakan anak lelaki datuk!” Wak Dollah cuba bergurau.
“Ya tak ya juga! Takkan isteri muda ayah pulak!” Aldi menyambung gurauan Wak Dollah itu sambil ketawa.
“Kalau semuda itu, sesuai dengan Di atau Adzman saja! Tetapi tak taulah pulak ya. Perempuan zaman sekarang ni, tidak kisah usia lelaki asalkan dapat hidup mewah.” Wak Dollah mengeluarkan pendapatnya.


                           ~~ BERSAMBUNG~~

Tiada ulasan: