Suasana di
pejabat JJ Holding, tenang seperti selalunya. Semua kakitangan menjalankan tugas masing-masing
dengan tekun. Daun pintu bilik Datuk Johan tiba-tiba ditolak dari arah luar.
Datuk Johan menjeling ke arah kaca pintu itu. Bibirnya melukis senyuman.
Hari itu, tidak
semena-mena sahaja anak bongsunya itu muncul di pejabat. Wajahnya berseri-seri
tambahan apabila mengenakan blaus berwarna jingga muda dan seluar panjang
berwarna coklat. Keserian wajahnya bertambah.
“Wawa nak kerja
dengan ayah,” beritahu Salwa. Dia bersuara manja. Sebaik sahaja pinggulnya
berlabuh di sofa bersebelahan dengan ayahnya, tangannya terus menjabat tangan
ayahnya itu. Matanya merenung wajah Datuk Johan dengan sinar ceria.
“Bila balik ni?
Pagi tadi tak ada pun di rumah?” soal Datuk Johan sambil menyorot ke wajah anak
gadisnya yang asyik tersenyum itu.
“Wawa baru
sampai pagi tadi. Di rumah kita tu bosan. Emak tu asyik berleter saja.!” Suara Salwa seolah
mengeluh. Entah mengapa perangai emaknya tidak pernah berubah walaupun sedikit.
“Tiba-tiba
sahaja buat keputusan. Wawa dah mabuk angkasa ke? Lalu ingin kembali menjejak
bumi? Atau ada mana-mana putera raja di dunia ini telah ikat hati Wawa?” teka
Datuk Johan, cuba berseloroh dengan anak bongsunya itu.
Salwa tergelak
mendengar gurauan itu. Pandai betul ayahnya serkap jarang. “Kan Wawa dah janji
dengan ayah.Wawa nak kerja tu beberapa tahun saja. Bila Wawa rasa hendak
berumah tangga, Wawa akan berhenti.” Cerita Salwa dengan malu-malu.
Datuk Johan
tersenyum lebar mendengar kata-kata yang dilontarkan oleh anak gadisnya itu.
“Kalau dah ada
suami, anak-anak, takkan Wawa nak terbang ke sana ke mari lagi ayah.” Salwa
terus meluahkan isi hati kepada ayahnya.
“Oh! Dah nak
kahwinlah ni? Dengan siapa?” soal Datuk Johan. Terkejut juga dia mendengar
pengakuan anaknya itu. Setahunya Salwa sudah serik dengan lelaki sejak putus
tunang dulu.
“Adalah. Baru
nak kenal hati budi. Harap-harap sesuai dengan hati Wawa,” beritahu Salwa,
berterus terang dengan ayahnya itu. Wajah Umar terbayang di matanya. Renungan
mata Umar menjadi igauannya. Meskipun baru pertama kali bertemu, Umar tidak
mudah untuk dilupakan. Kebelakangan ini, perhubungan mereka sudah semakin erat
dengan bantuan Faizul, teman Umar.
Mujur ada
teknologi terkini, komunikasi mereka berdua menjadi lebih mudah. Dia kerap
menghubungi Umar melalui email dan sesekali menghubungi pemuda itu melalui
telefon bimbit apatah lagi Umar telah memiliki telefon bimbit sendiri. Umar pun
sudah mulai ramah dan pandai bergurau.
“Mama Melati apa
khabar ayah!” soal Salwa. Setahunya
Rina Melati bekerja di pejabat itu juga. Namun, puas memerhati, wanita itu
tidak pula kelihatan. Teringin juga hatinya untuk terus mendekati hati ibu
tirinya itu.
“Cuti sakit,”
Jawab Datuk Johan ringkas.
Salwa ketawa.
Bulat matanya merenung ayahnya itu. Merenung dengan pandangan nakal. “Ha! Wawa nak dapat adik ke? Alamak!
Seronoknya... Mama tinggal di mana? Wawa nak pergi jumpa dia,” katanya.
Ketawanya masih belum reda. Gembira rasa hatinya jika telahannya itu benar.
“Biar mama
berehat, Wawa. Kalau nak jumpa, minggu depan, ya. Kita makan sama-sama di luar.” Suara Datuk Johan
sedikit bergetar. Kata-kata Salwa sebentar tadi bagaikan sembilu menghiris
hatinya. Tersedar batinnya sejenak, yang selama ini dia telah mengabaikan hak
Rina Melati sebagai seorang isteri. Kalau Salwa pun ada bercita-cita untuk
memiliki anak, mustahil Rina Melati tidak mempunyai keinginan itu. Dia dihambat
oleh rasa bersalah pula, namun hambatan itu tidak bisa membuatnya berlari.
“Ayah! Wawa nak pergi Cameron Highland beberapa hari. Emak
tak bagi Wawa guna kereta dia.” Akhirnya
tujuan asal dia datang bertemu dengan ayahnya itu terbongkar.
“Kereta lain
ada,” tukas Datuk Johan sambil merenung Salwa. Anak gadis yang bongsu ini amat
manja dengannya. Umur hampir sebaya ibu tirinya, namun perangai masih
kebudak-budakan.
“Yalah. Tapi
kuncinya tak ada di rumah.” Salwa mengadu dengan suara manja.
Datuk Johan
membuka laci dan mengeluarkan beberapa anak kunci. “Beritahu ayah dari awal
tadi kan senang!” Gugusan anak kunci lalu dihulurkannya kepada Salwa.
Sememangnya dia ada menyimpan kunci pendua di pejabat itu.
“Terima kasih,
ayah. Wawa pergi dulu.” Sebaik sahaja kunci kereta berada di dalam
genggaman,dia terus bangun dan berlalu pergi.
Sepeninggalan Salwa,
Datuk Johan menghubungi Rina Melati. Lama nada kedengaran di telinganya, namun gagang telefon tidak diangkat
sehingga talian terputus sendiri. Beberapa kali Datuk Johan mencuba, namun
hasilnya tetap serupa. Pelik pula hatinya. Ke mana pula Rina Melati menghilang?
Sebelum ini tidak pernah begitu. Jika hendak ke mana-mana, Rina Melati mesti
meminta keizinannya terlebih dahulu. Baru sahaja mengemas-ngemas timbunan fail
di atas meja, telefon bimbitnya berdering.
“Abang call Melati ke tadi? Melati di bilik air,” beritahu Rina Melati. Suara
isterinya itu amat perlahan dan lemah.
Terasa lega hati
Datuk Johan menerima panggilan itu. Disangkanya Rina Melati keluar rumah tanpa
izinnya. “Melati belum kebah lagi?”
soalnya. Perlahan nada suaranya. Hatinya diselimuti rasa bimbang. Risau juga dia melihat keadaan isterinya
itu kebelakangan ini. Rina Melati selalu nampak murung. Rasa bersalahnya di atas kematian Khalid Afandi
masih belum menghindari.
“Belum,” jawab
Rina Melati. Dia merebahkan tubuhnya di atas tilam.
“Abang kata nak
pergi Pulau Langkawi. Belum bertolak lagi ke?” soal Rina Melati pula dengan
lembut. Dari minggu lepas lagi Datuk Johan bercerita kepadanya yang dia ada
urusan di Pulau Langkawi.
“Melati tak
sihat, takkan abang nak tinggal Melati pula. Sekejap lagi abang balik,”
beritahu Datuk Johan. Suaranya bagaikan memujuk.
“Tak apa. Tak
payah balik. Lagipun hari ni bukan giliran Melati. Mak Jah ada temankan Melati di rumah ni. Abang tak
usah bimbang,” kata Rina Melati dengan perasaan tulus. Resah pula rasa hati
Rina Melati jika Datuk Johan asyik melayaninya. Datin Jazima pun perlukan
perhatian daripada suaminya itu. “Abang kata, urusan di Langkawi tu perlu
disegerakan.” Dia menarik nafasnya perlahan.
“Jangan kerana
Melati, urusan bisnes abang terhalang. Insya-ALLAH, dua tiga jam lagi, Melati
kebahlah. Melati dah makan ubat.” Sambung Rina Melati lagi dengan suara
perlahan.
“Kalau Melati
kata begitu, sebentar lagi abang bertolaklah. Seminggu abang tak ada tau.”
Akhirnya Datuk Johan mengalah juga. Walaupun berat hatinya untuk meninggalkan
isterinya itu, dia terpaksa pergi untuk memantau kerja-kerja akhir yang telah
dilakukan oleh syarikatnya bagi melaksanakan kerja menaiktaraf penurapan jalan
raya di pulau itu.
~~ BERSAMBUNG~~

Tiada ulasan:
Catat Ulasan