Khamis, 11 Julai 2013

NOVEL:Kasihnya DIA (Bab 36)

PETANG itu, Anas bersiul-siul sebaik sahaja masuk ke dalam pejabat JJ Holding. Hari ini perasaannya agak ceria sedikit. Semua kakitangan yang bertembung dengannya disapa dengan ramah. Sewaktu Datuk Johan terlantar kerana strok dahulu, dia ada juga menjenguk pejabat sesekali secara bergilir dengan Jazmi. Apabila Datuk Johan sudah pulih kembali, dia pun tidak lagi menjenguk pejabat itu.
Namun hari itu tiba-tiba pula hatinya ingin menjenguk pejabat ayahnya. Secara kebetulan ada failnya yang tertinggal di dalam bilik Datuk Johan.
“Encik Anas! Cari Datuk ke? Dia tak ada di biliknya,” beritahu Zarina yang secara kebetulan lalu di situ sewaktu Anas memulas tombol pintu ke pejabat Datuk Johan.
Pergerakan tangan Anas terhenti. “Oh ya? Dia ke mana? Balik bila?” soal pula Anas sambil tersengih. Susuk tubuh Zarina diperhatinya dari hujung rambut ke hujung kaki. Zarina wanita janda itu agak bergaya juga orangnya.
“Seminggu dia tak ada encik. Ke Langkawi. Ada apa-apa yang boleh saya bantu?” jawab Zarina. Matanya merenung Anas yang nampaknya seolah sedang memikirkan sesuatu.
“Naik flight ke bawa kereta sendiri?” Soalan Anas berterusan.  “Hmm... dia bawa Rina Melati ke?” soalnya lagi. Matanya cuba mencari wajah ibu tirinya itu, namun tidak kelihatan. Sungguh lama dia tidak bertemu muka dengan wanita itu. Puas dia mengintai peluang, namun ayahnya sentiasa ada menjadi penghalang hajatnya.
“Tak! Datuk pergi seorang. Puan dah dua hari cuti sakit. Dengar kata demam,” jawab Zarina terus terang.  Matanya mencuri pandang ke wajah Anas yang bibirnya menyungging senyuman.
“Hmm... kalau begitu tak apa. Saya nak ambil barang dalam bilik datuk,” ujar Anas lagi. Dia ada tertinggal sebuah fail yang mengandungi urusan jual beli kereta salah seorang pelanggannya.
“Malang sekali, encik. Kunci bilik Datuk kami tak simpan. Maaf ya.”
Perkhabaran dari Zarina mengecewakan Anas. Namun, kekecewaannya terubat apabila teringat yang dia masih ada menyimpan kunci bilik itu. “Oh, kalau begitu tak apalah. Saya ada kunci pendua,” beritahu Anas sambil menyeluk poket seluarnya lalu mengambil segugusan kunci.
Zarina segera meninggalkan Anas seorang diri di situ. Lenggang lengguknya sempat diperhati Anas dari belakang.
Bibir Anas tersenyum lebar sebaik sahaja berjumpa dengan apa yang dicarinya. Sempat juga dia menyelongkar laci meja ayahnya itu untuk mencari kunci rumah ibu tirinya. Mustahil ayahnya membawa kunci-kunci itu ke Pulau Langkawi. Fikirannya menyatakan kelogikannya sendiri. Tidak payah menggelidah, kunci tersimpan di dalam laci paling atas.
 Anas tersenyum riang melihat label pada rantai kunci. ‘Teratak Kasih’ memang dinamakan untuk banglo milik keluarga yang terletak di Jalan Perindu. Kunci itu terus disimpan di dalam poket seluarnya. Fikirannya menjalar membuat rancangan yang seterusnya. Tidak perlu terburu-buru, Anas. Kunci sudah ada ditangan. Ayah tidak ada di negeri ini selama seminggu. Masa yang amat panjang untuk melakukan apa-apa yang diinginkan oleh hati. Bisikan-bisikan itu berlagu-lagu di hatinya. Telefon bimbit ayahnya pun tertinggal di dalam laci itu. Bertambah panjanglah rancangan menjalar di dalam fikirannya.
SEJAK dari pagi kepalanya memberat. Rina Melati tidak berdaya untuk membuka matanya pun. Badannya panas. Semua ubatan telah ditelan, namun nampaknya tiada tanda-tanda yang demamnya reda. Bunyi hempasan pintu kereta di luar rumah tidak dipedulikannya. Mungkin kereta yang ingin ke rumah jiran sebelah.
Kalau hendak dikatakan Datuk Johan balik, suaminya itu sedang berada di Pulau Langkawi. Semalam dia cuba menghubungi Datuk Johan untuk bertanyakan sama ada suaminya itu sudah selamat tiba ke destinasinya atau tidak. Namun, tiada jawapan. Rina Melati cuba memujuk hatinya dengan bersangka baik. Mungkin Datuk Johan sibuk dan tidak mahu diganggu pada waktu itu.
Mak Jah pula tak datang bekerja pada hari ini. Katanya terpaksa menjaga cucunya kerana anaknya pergi berkursus. Mahu tak mahu Rina Melati terpaksa membenarkannya. Telinganya menangkap pula bunyi pintu pagar ditolak dari arah luar. Pagar di depan rumahnya sememangnya mengeluarkan bunyi berkeriut kerana enselnya sudah agak ketat.
Matanya merenung ke luar rumah melalui kaca jendela. Tidak kelihatan sesiapa pun di hadapan pagar rumahnya. Suasana di luar rumah sudah gelap. Hari sudah malam rupa-rupanya. Tidak tersedar perjalanan masa kerana dia asyik berbungkus di dalam selimut tebal. Rina Melati terus mengusap-usap tubuhnya dengan tapak tangan. Masih berbahang panas.
Nafasnya dihela pendek-pendek. Teringat pula yang dia belum lagi menunaikan solat maghrib. Mengumpul kudrat yang ada, Rina Melati berusaha untuk menggerakkan dirinya. Perlahan-lahan dia turun dari katil lalu berjalan menuju ke bilik air untuk mengambil wuduk.
Bismillahirahmanirrahim... Air putih yang bertakung di atas tapak tangannya di sapu ke muka. Terasa segar seketika apabila anggota wuduknya dibasahi air. Sempat lagi dia menjeling wajah di cermin yang tersedia di dinding bilik itu. Wajahnya nampak layu sedikit. Maklumlah orang sedang sakit.
Rambut yang sedikit mengerbang disisir rapi semula dan diikat kemas. Sekali lagi dia merenung wajahnya dicermin. Rina Melati sedikit berpuas hati. Bibirnya terseyum hambar. Barulah puas hati untuk mengadapkan muka kepada Ilahi, jika diri sudah kelihatan kemas dan rapi.
 Selesai solat, Rina Melati merebahkan dirinya di atas sejadah. Dia berehat beberapa ketika. Entah mengapa dia benar-benar rasa tidak berdaya. Baru sahaja dia bangun dan duduk sambil menanggalkan telekung dari tubuhnya, telinganya menangkap pula bunyi keriutan pintu gril yang ditolak dari arah luar. Dada Rina Melati berdebar-debar.
Namun, begitu dia masih tidak berganjak dari sejadah yang menjadi alas punggungnya. Matanya memerhati ke pintu bilik yang berkunci. Hatinya berasa sesuatu. Mungkinkah perompak? Ingatan itu menyebabkan tubuhnya sedikit mengeletar. Peristiwa yang dialaminya dua tiga bulan yang lalu masih menghumbankan dirinya dalam keadaan trauma pada waktu-waktu tertentu.  Isyarat mesej dari telefon bimbit yang terletak di atas meja kecil di sisi katil memaksanya untuk bangun. 

Buka pintu sayang. Abang tak jadi pergi Langkawi.

 Terkejut dengan pesanan ringkas itu, difikirannya timbul tanda tanya. Datuk Johan tidak pernah membahasakan sayang kepadanya. Mungkin disebabkan dirinya yang sedang demam, suaminya itu cuba mengubah kebiasaan mereka untuk memanjainya. Barangkali. Rina Melati terus bersangka baik. Bibirnya mengukir senyuman sambil berjalan ke pintu.
Sebaik sahaja daun pintu biliknya terkuak jantungnya bagaikan gugur di atas lantai. Di dalam baju tidur yang tersalut ditubuhnya, Rina Melati mengeletar. Anas tercegat di hadapannya sambil merenung tajam. Bibir anak muda itu tersenyum puas. 
“Hai!!!” Sapa Anas ringkas sambil matanya terus menelanjangi ke tubuh Rina Melati yang berbaju tidur merah jambu separas lutut. Tanpa berlengah, dia terus merapati wanita itu dan meraih tubuh yang sedang mengeletar itu ke dalam rangkulannya.



               Terus hayati kisah ini...

Dapatkan novel ini di http://mall.karangkraf.com/

Tiada ulasan: