Khamis, 11 Julai 2013

NOVEL:SEBELUM NAFAS TERHENTI (BAB 36)-ALAF21

Gelap dirasakan alam ini. Segalanya seolah nampak berbalam. Keluh kesahnya tidak berkesudahan semenjak semalam lagi.  Menangis air mata darah pun, keriangannya tidak mungkin akan kembali. Ain Wahida terasa ingin meraung berguling-guling menangisi nasib malang yang menimpa diri. Tak mungkin! Tak mungkin! Tidak! 
Semalaman dia tidak dapat melelapkan mata walaupun sepicing. Sejak berita yang mendukacitakannya itu menimpa dirinya. Dia terlontar di dalam lautan kesedihan yang maha dahsyat. Dia malu teramat sangat. Terasa seluruh isi dunia ini sedang mengejek-ejeknya. 
‘Nombor yang anda dial tidak dapat dihubungi.’ Begitulah pesanan suara yang singah di gegendang telinganya sewaktu dia cuba menghubungi Hakim sejak semalam. Ain Wahida meramas-ramas tangannya yang tiba-tiba berpeluh. Dia menghubungi pula talian tetap tempat Hakim bekerja.
“Encik Hakim tak adalah. Dia ada kerja di luar!” Jawapan yang diterima menyemarakkan lagi rasa marahnya. Ain Wahida berjalan di sekeliling kamar tidurnya. Hatinya benar-benar resah dan gelisah. Dia menghitung-hitung dengan jarinya. Hatinya bertambah kecut. Dia mengirimkan SMS ke telefon bimbit Hakim, namun hampa. Lelaki itu tetap membisu dan tidak memberi reaksi apa-apa.
Lautan hati Ain Wahida semakin deras gelombang resahnya. Dia berasa serba salah. Serba tak kena. Berdiri salah. Duduk pun salah. Kulit mukanya terasa tebal dan tegang. Fikirannya berserabut. Kepalanya jadi pening dan tekaknya terasa kembang tiba-tiba. Dia berkejar ke bilik air.
Tidak sempat menuju ke singki, air masam tersembur keluar dari mulut dan hidungnya sebaik sahaja pintu bilik air di buka. Berkali-kali mulutnya memancutkan muntah itu.  Dia menekan-nekan perutnya.
“Ain! Kenapa ni? Kau tak sihat ke?” Linda tiba-tiba muncul di bilik Ain Wahida. Gadis itu baru sahaja keluar dari bilik air dengan wajah muram dan rambut yang kusut masai.  Baju tidurnya yang berwarna biru dibasahi air di sana sini.
“Tak ada apa-apa. Aku muntah. Masuk angin agaknya.  Dah berapa hari aku tak ada selera nak makan!” Ain Wahida menerangkan dengan nada perlahan tanpa memandang Linda. 
“Ain! Kau okey ke tak okey ni? Aku tengok kau lain macam saja. Tak seperti selalu.” Suara Linda seolah memujuk.
Ain Wahida sudah berbaring semula di atas katilnya.  Tangannya mencapai minyak angin yang diletakkan di dalam laci almari solek berhampirannya. Sebaik sahaja tangannya berjaya mencapai minyak angin itu, jarinya pantas membuka penutup botol lalu menuangkan minyak angin di atas tapak tangannya lalu menggosok-gosok tapak tangannya itu di belakang lehernya. Lega sedikit rasa peningnya.
“Aku bawa kau pergi klinik, ya,” pelawa Linda. 
Ain Wahida mengeleng-ngelengkan kepala. Semalam dia telah ke klinik dan berita malang itu telah menghumbankan dirinya dalam lembah ketakutan dan kedukaan yang mengerikan. “Linda, boleh tak tinggalkan aku bersendirian?  Aku nak berehat. Sorry, ya!”  Dia cuba memejamkan matanya sambil menahan rasa loya yang datang semula.
“Baiklah. Kau berehatlah. Aku pun nak keluar dah ni.  Kalau kau rasa nak makan, aku ada buatkan nasi goreng.  Kalau kau rasa tak sedap mulut, dalam peti sejuk ada laksa. Petang semalam aku buat. Semua bahannya ada dalam peti sejuk tu. Kau cuma panaskan kuahnya saja.” Di hujung pesanannya itu, Linda menutup daun pintu bilik Ain Wahida yang meluru sekali lagi ke bilik air. 
Sekali lagi Ain Wahida memancutkan muntahnya di dalam bilik air. Sedang asyik melayani tekak yang masih terasa loya, telefon bimbitnya berbunyi berulang kali. Dia berkejar semula ke katil dan menyambar telefon di atas tilam. “Helo! Mak! Apa? Nak Ida balik? Ayah sakit? Yalah! Yalah! Petang ni Ida balik! Assalamualaikum.” Dia mematikan talian telefon dan menghumbankan diri di atas katil. Tekaknya terasa begitu mual. Pandangan matanya terasa berpusing-pusing.
Aldi menerima SMS daripada Ain Wahida yang mengatakan bapa mertuanya sakit ketika dia sedang mempengerusikan mesyuarat mingguan Syarikat Roda Emas. Sebaik sahaja tamat mesyuarat, lelaki itu terus menghubungi Ain Wahida semula.
“Ain! Nanti kirimkan salam I kepada mak dan ayah. Insya-allah, sehari dua ni I pergi melawat.” Lembut suaranya.  
“Tapi, ayah nak sangat jumpa dengan you. Kita balik sama-samalah.”  Ain Wahida cuba memujuk. Suaranya serak-serak basah kerana seharian ini asyik termuntah-muntah.
“Takkan you sampai hati biarkan keinginan ayah begitu saja,” ujar Ain Wahida lagi.
Aldi terdiam sejenak. Dia berasa serba salah. Petang ini Datuk Haris dijadualkan tiba ke lapangan terbang dari Jeddah setelah selesai mengerjakan umrah. Dia sudah berjanji akan menjemput kedua orang tuanya itu bersama Wak Dollah. Lagipun, Mak Cik Hasnah masih berada di hospital dan keadaannya tidak begitu stabil sehari dua ini. Itu yang dikabarkan oleh doktor yang merawatnya. Dia berat hati untuk meninggalkan bandar itu buat waktu ini. 
“Please, Di! Please!” Gagal memujuk, Ain Wahida cuba merayu. Peluang untuk bersama dengan Aldi tidak harus dilepaskan begitu saja.
“Tak boleh, Ain! I dah berjanji dengan orang tua I nak jemput mereka di airport petang ni! You balik dulu.  Insya-allah. I akan menyusul kemudian.”
“Tapi, I tak sihat! I tak boleh drive sendiri!” Ain Wahida cuba memujuk lagi sambil mengadu perkara yang sebenar.  Suaranya seakan bergetar cuba meraih simpati. 
Aldi berasa serba salah. Dia perasan, suara Ain Wahida pada waktu itu amat lemah dan serak. “Lagipun ayah sedang tenat!” Suaranya semakin sebak. 
Aldi terkejut mendengar berita yang terakhir itu. 
“Ayah tenat Di...” Suara Ain Wahida bersulam tangisan.  Mengulangi kata-katanya.
“Ain! I call you later!” Aldi mematikan talian telefon bimbitnya seketika. Dia kemudiannya membuat panggilan ke rumah untuk bercakap dengan Wak Dollah.
“Waalaikummussalam, Di. Wak baru nak telefon Di!  Begini, datuk dan datin tak jadi balik hari ni. Mereka telefon kat rumah tadi.” Wak Dollah menerangkan dengan pelat jawanya. 
Aldi sedikit lega mendengar berita daripada Wak Dollah.  “Okey. Kalau begitu, kita pergi ke Johor Bharu petang ni!  Wak datang ambil saya di pejabat sekarang!” Dia bersuara dengan lembut dan hormat. 
“Balik ke rumah dulu ke?” Wak Dollah inginkan kepastian.
“Ya! Saya nak balik ke rumah dulu, tukar pakaian dan solat,” terang Aldi sambil matanya mengerling jam tangan di lengan kiri. Lebih kurang 45 minit lagi akan masuk waktu zuhur. Selepas menamatkan panggilan dengan Wak Dollah, dia menelefon Ain Wahida pulak. “Helo! Ain!  Di mana I boleh datang jemput you? I datang ambil dan kita balik ke Johor Bharu sama-sama!”
Are you sure? Kita nak balik dengan apa?” Ain Wahida berasa teruja dengan perkhabaran itu. Berdua-duaan dengan pujaan hati, alangkah indahnya dunia ini. Itulah yang dirasakannya.
“Dengan keretalah!” 
“Alah! I ingat naik flight!” Ain Wahida mula bersuara manja dan merengek-rengek.
“Tengoklah nanti macam mana. I datang ambil you dulu.  You masih duduk rumah lama ke?” soal Aldi lagi. Tidak terlintas pula di hatinya tadi untuk menaiki kapal terbang dari Kuala Lumpur ke Johor Bharu.
“Ya, sayang. I masih duduk di rumah lama. I tunggu.”  Ain Wahida kembang kempis hidungnya sewaktu bercakap dengan Aldi. Gembira hatinya tidak terkira. Dia menari-nari sendirian di dalam bilik sebaik sahaja selesai bercakap dengan lelaki itu.
“Farah! Tolong buat tempahan tiket kapal terbang ke Johor Bharu petang ni!  Dua orang.” Arahan itu disampaikan Aldi kepada pembantu peribadinya melalui interkom.
“Baik Encik Aldi. Lain-lain pesanan encik?” Berlagu-lagu suara Farah menjawab panggilan daripada ketuanya itu. 
“Buat masa ni, itu saja.”
“Gembira rasa hatiku. Bila kau datang kepadaku. Tak tahu apa yang akan terjadi.” Sambil bernyanyi-nyanyi riang, Ain Wahida mengemaskan pakaian yang akan dibawanya pulang ke kampung. Tidak sabar rasa hatinya menanti kedatangan sang putera yang telah menawan kalbu. Lupa seketika rasa mual dan loya yang bertandang di tekaknya sejak beberapa hari yang lalu. Sebagaimana selalu dia akan mengenakan baju kurung dan berkain tudung sewaktu pulang ke kampungnya.
Bunyi loceng di pintu depan rumah menggamit rasa debar di jiwanya. Bergegas dia membuka pintu. Memang benarlah. Aldi berada di depan pintu rumahnya. Berseluar jeans beige muda dan berbaju biru tua. Secara kebetulan sedondong dengan warna baju kurung yang dipakai oleh Ain Wahida. 
“Jomlah!  Biar I tolong bawakan beg pakaian you!”
Ain Wahida tidak menolak pelawaan itu. Lantas beg beroda bertukar tangan. Mereka berjalan beriringan menuju ke lif tanpa berkata apa-apa. Sampai di aras tanah dan tempat parkir kereta, mata Ain Wahida meninjau-ninjau mencari Merzedez Benz yang selalu digunakan oleh Datuk Haris.  Kereta mewah. Berkilat. Bulatlah mata jiran-jirannya nanti kalau melihat dia balik ke rumah dengan kereta itu bersama pemuda yang kacak. Dia memasang angan-angan.
“Di!” Terdengar satu suara memanggil.
Mereka sama-sama menoleh ke arah suara itu. Ain Wahida melihat seorang lelaki tua berbadan gempal menggamit mereka. Aldi tanpa berlengah lagi terus menukar arah langkahan kakinya dan menuju ke arah lelaki tua itu yang masih berada di dalam sebuah kereta. Honda Accord berwarna hitam. ‘Entah berapa buah keretalah yang dimiliki oleh lelaki ini. Kelmarin sewaktu bersama gadis tempang itu, aku melihat dia membawa BMW.’ Begitulah bisik hati Ain Wahida. Alangkah bahagianya jika segala kemewahan itu menjadi miliknya suatu hari nanti.
“Tak ada ruang kosong. Puas wak cari-cari, pusing-pusing.” Itu yang dikatakan oleh lelaki berkenaan apabila Aldi semakin menghampirinya.
“Tak apalah, Wak. Wak, kenalkan, adik arwah isteri saya.  Ain Wahida.” Aldi memperkenalkan Ain Wahida kepada Wak Dollah.  Wak Dollah tersenyum kepada Ain Wahida.
“Ain! Ni Wak Dollah. Wak Dollah akan drive,” terang Aldi lagi. Matanya menangkap perubahan wajah Ain Wahida yang tiba-tiba menjadi mendung dan muram. “Mula-mula nak naik flight! Tapi tiket dah habis.”
Ain Wahida mencebir bibir. Hatinya berasa terkilan kerana apa yang diangankannya tidak menjadi kenyataan. “Kenapa you bawa orang tua ni sekali?” Suaranya seakan berbisik sambil tangannya pantas mengutil lengan Aldi. 
Aldi agak terkejut dengan perlakuan Ain Wahida itu.  Nasib baik Wak Dollah sedang memandang ke arah lain. “Esok I ada mesyuarat. Kalau tak ada aral apa-apa, subuh besok I nak balik ke sini! Lagipun, tentu tak manis kalau kita balik berdua saja,” terangnya dengan suara perlahan dan lemah lembut. Dia menutup pintu sebaik sahaja tubuh Ain Wahida sudah berada di dalam kereta.
“Anak ke yang datang ke rumah dua tiga hari lepas?” soal Wak Dollah sambil matanya memerhatikan Ain Wahida melalui cermin pandang belakang yang berada di hadapannya. 
Aldi sedikit tergamam apabila mendengar soalan itu daripada bibir Wak Dollah. Dia melihat Ain Wahida dengan ekor matanya dan menunggu jawapan daripada bibir gadis itu.
Ain Wahida kelihatan serba salah pada mulanya. “Ya, pak cik. Saya cari Abang Aldi.” Akhirnya dia mengakui dengan suara bergetar. Sememangnya dia sengaja datang ke rumah Aldi untuk memastikan benarkah vila itu milik Datuk Haris.  Vila itu amat mengkagumkannya. Alangkah bahagianya jika dia berpeluang memiliki vila seperti itu. Terlebih bahagia lagi sekiranya Aldi menjadi miliknya pada suatu hari nanti.
‘Oh! Inilah perempuan misteri itu.’ Suara hati Aldi berbisik sedang bibirnya terus membisu.
Aldi duduk di sebelah Wak Dollah yang memandu. Dia pun kelihatan agak gelisah. Beberapa ketika kemudian, dia membuat panggilan telefon. 
Ain Wahida yang berada di tempat duduk belakang memasang telinga untuk mencuri dengar perbualan lelaki itu. Aldi bercakap seperlahan mungkin sambil melindungi mulutnya dengan tapak tangan.
“Abang pergi Johor. Kalau ada kecemasan, telefon. Take care, sayang.” Itulah antara kata-kata yang didengari oleh telinga Ain Wahida. Di hatinya berbunga cemburu.
“Kita nak mulakan perjalanan sekarang ke?” Wak Dollah memandang Aldi yang kelihatan letih dan menamatkan perbualan di telefon.
Aldi mengangguk-anggukkan kepalanya. “Kalau wak letih, Wak beritahu saya, ya. Biar saya drive.” Dalam keletihan Aldi bersuara mesra. Kata-kata daripada Aldi itu disambut dengan ketawa oleh Wak Dollah.
“Wak ni, umur saja tua.  Tapi bertenaga muda lagi,”  ujar Wak Dollah di hujung tawanya. 
Aldi turut ketawa bersama. Hanya Ain Wahida yang mendiamkan diri di tempat duduk belakang kerana melayani perasaan yang sedang gundah gelana dan tidak menentu. 

3.00 pagi. Suasana di Hospital Besar Johor Bharu itu tetap sibuk seolah hari masih siang. Sesekali terdengar jeritan ambulans datang dan pergi. Mungkin ada kemalangan jalan raya. Kemalangan di rumah. Atau apa-apa saja bentuk kecemasan yang memerlukan mangsa dikejarkan ke hospital dengan kadar segera.
Aldi benar-benar rasa serba salah untuk meninggalkan keluarga arwah isterinya yang sedang dilanda kesedihan. Pak Cik Radzi benar-benar di dalam keadaan yang amat kritikal.  Ain Wahida asyik menangis sepanjang masa sehingga pelupuk matanya membengkak. Penyakit paru-paru berair yang dialami oleh bekas bapa mertuanya itu sudah melarat. Pihak hospital masih berusaha untuk mengatasi masalah penyakit yang dialami oleh Pak Cik Radzi.
“Jadi ke kita balik ke Kuala Lumpur hari ni?” soal Wak Dollah yang sedang duduk di sisi. 
Aldi kelihatan muram dan gelisah. Macam-macam yang bertandang di fikirannya. Mereka masih berada di hospital kerana melawat Pak Cik Radzi.
“Kasihan pulak kepada mereka!” Aldi bersuara perlahan seolah berbisik. Matanya merenung lantai selepas itu  dan memerhatikan kakitangan hospital yang berbaju seragam putih atau biru muda yang asyik keluar masuk ke dalam wad dan lalu di hadapannya.
“Yalah!” Wak Dollah seolah bersetuju dengan Aldi.  Pada hematnya Pak Cik Radzi kelihatan terlalu lemah dan tidak mampu lagi bertahan dengan penyakitnya itu. Dia memuncungkan bibirnya ke arah Ain Wahida yang sedang berlari anak menuju kepada mereka berdua. Kedua mereka lantas bangun dari kerusi dan berjalan cepat ke arah Ain Wahida yang kelihatannya begitu cemas.
Ain Wahida tercungap-cungap. Dia menarik tangan Aldi tanpa berkata apa-apa sambil mengheret lelaki itu ke arah wad tempat Pak Cik Radzi ditempatkan.
Tabir biru mengelilingi katil yang menempatkan tubuh Pak Cik Radzi. Dari jarak yang jauh lagi sudah kedengaran helaan nafas Pak Cik Radzi yang agak keras. Dia benar-benar di dalam keadaan yang kritikal. Apabila Ain Wahida, Aldi dan Wak Dollah sampai di sisi katil itu, doktor yang sedang berusaha menyelamatkan Pak Cik Radzi memberi ruang kepada mereka. Mak Munah sememangnya tidak pernah meninggalkan suaminya itu sejak dari semalam. Dia sentiasa berada di sisi kanan suaminya itu.
“Ayah... Saya Aldi.” Aldi mengenggam tangan Pak Cik Radzi yang semakin lemah. Mata Pak Cik Radzi terpejam.  Bibirnya bergetar-getar seolah ingin mengatakan sesuatu.  Aldi merapatkan telinganya ke bibir bapa mertuanya itu.  Mata Aldi mulai berasa pedih kerana berasa sedih dan sebak.Dia pun kembali berbisik di telinga Pak Cik Radzi sambil menggenggam tangan lelaki itu. Pak Cik Radzi seolah tersenyum.
 Lagi sekali Aldi berbisik ke telinga Pak Cik Radzi.  Kalimah Lailahaillallah Muhamadar rasulullah dibisikkan di telinga bapa mertuanya itu sambil matanya memerhatikan bibir Pak Cik Radzi yang seolah sedang mengikut kalimah yang sedang diucapkannya. 
“Ayah!!! Ampunkan Ida!!!”  Ain Wahida tiba-tiba melolong sebaik sahaja melihat tubuh ayahnya sudah tidak bergerak lagi. Raungannya kedengaran ke seluruh wad itu. Rasa bersalahnya terhadap ayah yang telah meninggalkannya itu seolah sebuah gunung yang menghempap kepalanya.  Tambahan pula mengenangkan diri sendiri yang sedang dilanda musibah yang terlalu berat. Tatkala bibirnya ingin meraung, tekaknya pula terasa loya tiba-tiba.
“Innalillahiwainnailahirojiun, Ain. Bertenang. Jangan menangis begini.” Aldi menarik Ain Wahida jauh dari sisi jenazah Pak Cik Radzi. Ain Wahida teresak-esak. Dia memeluk Mak Munah pula. Mak Munah tetap tenang walaupun beberapa air mata menitis dipipinya.
“Sabar mak! Tenang!” pujuk Aldi.
“Ida banyak berdosa dengan ayah! Tolonglah! Jangan pergi!” Batin Ain Wahida meraung-raung, namun suaranya tidak mampu untuk melepasi kerongkongnya. Dadanya bagaikan terhimpit dengan sesuatu yang amat berat. 
Bacaan talkin yang dibaca oleh imam tenggelam timbul di pendengaran Ain Wahida yang duduk berhampiran rimbunan pokok berdaun tirus kuning di kawasan perkuburan itu. Esak sedunya masih belum reda lagi sejak semalam.
“Hai hamba Allah, ingatlah kamu akan dibayar segala sesuatu amalan kecil dan  besar, sulit dan nyata...Kenangkanlah hai hamba Allah, daripada tanah kamu dijadikan, kepada tanah kamu dikembalikan, daripada tanah jua kelak kamu akan dibangkitkan untuk mengadap Rabbul Izzati...
Sedarlah hai hamba-hamba Allah. Dijadikan kamu dari tanah untuk menerima ganjaran pahala di atas amalan-amalan. Kepada tanah dikembalikan untuk ulat-ulat, tanah, danur, debu berterbangan. Daripada tanah juga kamu akan dikeluarkan untuk dipamer dan diperhitungkan. Dengan nama Allah. Dengan Allah. Daripada Allah. Kepada Allah. Di atas agama Allah yang dibawa oleh rasul Allah sebenarnya kamu dimatikan. Kematian inilah yang dijanjikan Allah ar Rahman...”
Air mata Ain Wahida semakin bercucuran dengan perasaan sedih dan gerun mendengar bacaan-bacaan itu. Hatinya bagaikan mengeletar. Kalaulah Allah tidak mengampunkan segala dosanya...
“Ain, jangan titiskan air mata begini. Tak baik. Redhalah pemergian ayah kamu! Sedekahkan al-fatihah,itu yang terbaik, dapat membantunya, insya-allah. Kalau nak menangis, lebih baik balik ke rumah.” Begitulah nasihat daripada Mak Uda. Ibu saudara sebelah Mak Munah. Perempuan berusia hampir 60 tahun itu berbisik-bisik ditelinganya. 
Ain Wahida diam. Air mata dan esakan ditahannya.
Ramai tetangga yang bersalaman dengan Aldi di perkuburan dan di rumah itu. Ramai yang ingin berkenalan dengannya. Dia melayani semuanya dengan baik dan hormat walaupun kepenatan.
“Arwah selalu menceritakan tentang Aldi. Maklumlah kami selalu bertemu di masjid atau surau kampung ini!”  Imam memulakan cerita sewaktu berjalan beriringan dengan Aldi di halaman rumah.
“Pendek jodoh Aldi dengan Arishal. Sayang sekali.  Arwah Arishal dulu pun baik budaknya. Yalah! Dah takdir Allah, kita nak buat macam mana. Sebagai hamba Allah, kena redhalah! Bersabarlah.”
“Yalah, pak imam.” Kata-kata Aldi terputus di situ.  Hatinya tiba-tiba mengenangi Arishal. Arishal yang semakin jauh meninggalkannya. “Mudahan, saya dan Arishal akan bertemu kembali di akhirat nanti.”
“Singgahlah ke rumah pak cik, kalau sudi,” pelawa imam.  Teringin juga hatinya untuk berborak panjang dengan Aldi.  Dia dengar, keluarga itu keluarga yang berjaya dan ternama di bandar. Manalah tahu, kalau-kalau Aldi boleh menceritakan serba sedikit tentang pengalaman yang dilalui oleh bapanya, sewaktu mula berniaga dan menjadi usahawan.
“Minta maaflah, pak imam. Insya-allah, lain kali kalau ada kesempatan. Saya perlu balik segera sebab ada urusan penting,” jawab Aldi sejujurnya supaya tidak mengecilkan hati orang tua itu. 
“Nanti jenguk-jenguklah mak mertua Aldi tu. Walaupun bekas mak mertua, tapi tarafnya sama dengan mak sendiri.  Tambahan pula, dia tak ada sesiapa lagi,” nasihat imam.
“Insya-allah, pak imam. Saya beredar dulu, ya,” ujar Aldi sambil melihat jam tangannya. Dia berjalan menghampiri Mak Munah yang asyik melayan tetamu yang hadir mengucapkan takziah. “Saya balik dulu mak.”
Berlinangan air mata Mak Munah. Jenazah Pak Cik Radzi sudah selamat disemadikan. Tangisan Ain Wahida masih tiada kesudahannya lagi.
“Insya-allah. Nanti saya akan datang jenguk mak!”  Aldi bersuara lembut. Janji yang telah dibuat dengan Pak Cik Radzi, insya-allah akan ditunaikannya. ‘Aldi, tolong jaga mak dan Ida.’ Itulah yang dibisikkan oleh Pak Cik Radzi sebelum dia menghembuskan nafasnya. 
Mak Munah hanya mampu mengangguk-anggukkan kepalanya. Bekas menantu dipandangnya dengan harapan dan kasih sayang. “Terima kasih.” Akhirnya bibir tuanya menitipkan kata-kata itu dengan linangan air mata.
Aldi memasukkan sesuatu dalam genggaman tangannya walaupun Mak Munah menolak.
“Buat kenduri arwah ayah!” Itulah kata-kata yang keluar daripada bibir Aldi untuk memujuk wanita itu. 
Akhirnya Mak Munah akur dan memasukkan gumpalan kertas pemberian Aldi ke dalam kocek baju kurungnya. Ain Wahida turut berada di sisi Mak Munah pada ketika itu hanya memerhatikan Aldi yang kelihatan sudah bersedia untuk meninggalkan rumah itu.
“Ada apa-apa call I.”  Itu pesanannya kepada Ain Wahida yang masih bersedih. Mereka berada di rumah. Masih ramai lagi saudara sebelah Mak Munah, Pak Cik Radzi serta jiran-jiran berada di rumah itu. 
Ain Wahida menahan esakan yang masih tersisa. Ingin rasanya mengikut Aldi pulang, namun hatinya keberatan.  Tambahan apabila melihat emaknya masih lagi berada di dalam kesedihan.
“Di, jangan pergi lagi. Please. I need you!” Akhirnya Ain Wahida bersuara setelah lama berdiam diri sejak dari semalam lagi. 
Aldi memerhati wajah Ain Wahida yang kusut dan layu. Masih ada cahaya kesedihan di wajah itu. Dia sedikit bersimpati, namun permintaan Ain Wahida tidak dapat ditunaikannya. “Ain, I harus pulang!  I ada mesyuarat penting. You temankan mak di sini untuk beberapa hari. I’m sorry.” 
Mendengar kata-kata Aldi itu, air mata yang berlinangan di kolam mata Ain Wahida terus tumpah membasahi pipinya.  Dia merasa dirinya tidak berharga langsung kepada Aldi.  Alangkah pilu rasa hatinya. Sudahlah baru kehilangan ayah, kini Aldi pula ingin meninggalkannya.
“Bila you sudah bersedia untuk balik ke sana, call me. I suruh Wak Dollah datang ambil you di sini.” Suara Aldi seolah memujuk. 
“Okeylah Ain, I pergi dulu. Nanti I call you.” Aldi berjanji untuk menyedapkan hati Ain Wahida yang seolah tidak rela melepaskannya pergi. 
Telefon bimbit di dalam poket seluar Aldi menjerit-jerit minta untuk dilayan.
“Helo! Ya! Masih di Johor ni. Apa?” Suara Aldi agak kuat dengan nada yang amat terkejut dan cemas. Seolah terlerai tangkai jantungnya mendengar perkabaran itu. 



                         Terus hayati kisah Aldi..dapatkan novel ini di http://mall.karangkraf.com/




Tiada ulasan: