Terjojol mata Ainun apabila mendengar cerita emak tentang hajat
Kamal yang ingin meminang adik kawan baiknya dan menikah dalam tahun ini juga.
Luahan hati emaknya yang tidak puas hati dengan Kamal turut menyemarakkan rasa
marahnya.
“Melampau betul dia! Emak, tak
usah emak ikut kehendaknya tu! Kahwinkan jugak dia dengan Rita,” sanggah Ainun.
Padanya, Rita itu sudah cukup sesuai untuk Kamal.
“Nak kahwinkan dengan Rita? Kau
tak ingat ke yang pertunangan mereka dah putus?” bentak Mak Cik Mariah pula.
Pelik pula dia dengan cadangan anak keduanya itu. Seolah-olah tidak memahami
situasi perhubungan Kamal dan Rita.
“Alah, mak... Alangkan tali yang
putus pun boleh disambung dan diikat balik,” balas Ainun. Dia tetap berkeras
menjadikan Rita sebagai adik iparnya.
“Emak bincanglah balik dengan Mak
Cik Rokiah. Dengan Rita. Emak pujuk Rita supaya dia pujuk Kamal semula,”
sambung Ainun lagi terus memberi cadangan.
“Amboi, mudahnya kamu bercakap
Nun! Kamu ingat adik kamu, Kamal tu tali pengikat kerbau kambing ke? Boleh pula
nak sambung-sambung. Kalau didengar adik kamu nanti, baru kamu tahu!” marah Mak
Cik Mariah. Keceloparan mulut Ainun
memang difahaminya. Kadangkala dia sendiri tidak tahan dengan penangan mulut
anaknya itu, tetapi apalah yang hendak dikatakan lagi. Ke mana tumpahnya kuah jika tidak ke pinggan
nasi?
“Habis tu, emak setujulah nak
pergi meminang budak tu?” soal Ainun bersungguh-sungguh. Daripada cerita
emaknya nampak Kamal tidak sabar-sabar lagi hendak bernikah dengan adik
kawannya itu.
“Dengan Kamal, memanglah emak dah
kata setuju,” jawab Mak Cik Mariah perlahan. Disebabkan Kamal sudah menyebutkan
perkataan ‘mati’ terpaksalah dia mengikut kehendak anaknya itu.
“Tapi...”
“Tapi hati emak tetap inginkan
Rita menjadi menantu emak, kan?” tebak Ainun.
Dia sudah dapat membaca isi hati emaknya itu.
“Emak bukannya apa, Nun. Rita tu
dah biasa sangat dengan kita. Dia dah kenal sangat dengan hati emak. Hati
kamu,” sampuk Mak Cik Mariah.
“Habis tu, sekarang ni apa
keputusan emak? Nak pergi meminang ke tak? Nun bukannya boleh balik ke Ipoh
setiap minggu! Johor dan Ipoh bukannya dekat, mak!” tukas Ainun.
“Tapi emak, Nun tak setujulah
dengan kehendak Kamal. Macam ada yang tak kena saja. Buatnya jadi umpat keji
orang kampung nanti macam mana?” tanyanya pula. Mulalah fikirannya meneka
perkara yang bukan-bukan.
“Nun! Kamu jangan nak tuduh adik
kamu buat perkara yang tak elok! Kalau didengarnya nanti, haru! Mahu dia tak
mengaku kamu tu kakaknya,” pintas Mak Cik Mariah sambil memberi amaran.
Ainun yang mendengar ketawa
mengilai. “Macam mana, mak? Jadi ke nak pergi meminang tu? Sebab Nun ni kena
pakat-pakat dengan Abang Zarif sebelum balik ke Ipoh” terang Ainun. Suaminya Zarif Afandi, pantang kalau dia
melakukan sesuatu pada minit-minit terakhir. Alamat seharianlah dia terpaksa
menadah telinga mendengar leteran.
“Nantilah emak fikirkan
masak-masak. Ada apa-apa hal nanti emak telefon kamu semula,” ujar Mak Cik
Mariah lalu menekan butang merah di telefon bimbitnya. Sama macam Ainun, dia
juga merasakan tindakan Kamal membuat keputusan secara tiba-tiba dan ingin
bernikah segera itu bagai ada sesuatu yang tidak kena. Hatinya menjadi libang
libu.
~ ~ bersambung ~~
Dapatkan novel ini di pasaran atau beli on line di http://mall.karangkraf.com/

Tiada ulasan:
Catat Ulasan