Hati Sharina terus diasak pilu. Sejak petang tadi, dia
berkurung di dalam bilik. Baru beberapa jam tadi keluarga Kamal pulang. Dia
yang sedang bersenang-lenang menonton televisen terkejut besar apabila melihat
tiga buah kereta memasuki halaman rumah. Hisham pula tergesa-gesa menyuruhnya
masuk bilik.
Dia sempat mengintai. Ramai pula
tetamu yang datang. Hairan juga kenapa
emak dan abangnya tidak menyuruh dia menyediakan juadah untuk tetamu mereka
pada petang itu! Sekali lagi dia terkejut besar apabila Hisham memasuki
biliknya dan memberitahu emak Kamal hendak menyarungkan cincin.
Bagai hendak tercabut jantungnya
saat itu. Rupa-rupanya ada rancangan jahat untuknya! Sharina menarik nafas
dalam-dalam. Perasaan geram dan hibanya bertimpa-timpa. Bola matanya terlontar
pada beberapa dulang hantaran yang tersusun di atas katilnya. Terkenang pula
pertengkarannya dengan Hisham sebaik sahaja rombongan meminang beredar dari
rumah.
“Abang! Kenapa tak beritahu Rin
keluarga Abang Kamal nak datang meminang Rin?” pekiknya sambil menangis. Dia
menerpa ke arah Hisham lantas menampar-nampar bahu abangnya dengan perasaan
geram.
“Rin mesti kahwin dengan kawan
abang, tu...” kata Hisham.
“Rin muda lagi!” Dia terus
merenung abangnya dengan penuh harap permintaannya akan dituruti.
“Nak tunggu bila?” soal abangnya
sambil membeliakkan biji mata.
“10 tahun lagi, bolehlah!”
katanya pula. Bukannya dia menolak mentah-mentah kehendak abangnya, tetapi buat
waktu ini dia belum bersedia. Dia takut dan berasa ngeri apabila mendengar
perkataan kahwin.
“Siti Aishah, isteri Rasulullah
tu bernikah sewaktu usianya sembilan tahun,” sanggah abangnya. “Kamal tu akan
jadi suami yang baik. Abang dah kenal dia lama, Rin...” pujuk Hisham.
“Tapi, Rin tak nak kahwin lagi!
Rin nak jaga emak! Abang tolonglah!” rayunya berulang kali dengan deraian air
mata. “Rin tak boleh terima Abang Kamal sampai bila-bila kalau abang nak paksa
Rin kahwin dengan dia! Nanti kalau dah kahwin dengan Abang Kamal, Rin akan buat
perangai!” ugutnya.
“Keputusan abang muktamad. Rin
mesti bernikah dengan Kamal. Dalam tempoh pertunangan ni, Rin siapkan diri Rin
untuk memikul tanggungjawab seorang isteri. Kalau Rin betul-betul sayang abang
dan emak... Rin dengarlah keputusan kami.” Lembut suara Hisham memujuk.
“Abang takkan lepaskan Rin kepada
lelaki yang tidak elok, tidak baik, tidak beriman! Tolonglah, Rin... jangan
bantah pilihan abang.
Abang akan nikahkah Rin dah Kamal
sebelum kami berangkat ke Tanah Suci. Kalau tak, siapa yang akan jaga
keselamatan Rin kat sini? Rin tu perempuan! Takkan nak pergi menumpang kat
rumah jiran-jiran atau saudara-mara pula! Kalau rumah jiran tu ada anak-anak
lelaki bujang? Rin dah tahu risikonya, kan?”
“Jadi memang abang dah berniat
nak kahwinkan Rin sebelum abang pergi ke Mekahlah? Kalau Abang Kamal tak kenal
dengan Rin dan tak pinang Rin... abang akan pinang mana-mana lelaki lain untuk
jadi suami Rinlah?” tanyanya dengan rasa marah.
“Sharina! Jangan cakap dengan
abang macam tu, nak!” sampuk emak mereka dari jauh.
Hisham menghampiri dan memeluk adiknya
yang sedang tersedu-sedan. “Abang mahukan yang terbaik untuk Rin. Jodoh dan
pertemuan di tangan ALLAH. Kamal kata, dia dah jatuh cinta pada Rin sejak kali
pertama dia lihat Rin. Dia ikhlas ingin memperisterikan Rin. Masakan Rin lupa
setiap kejadian yang berlaku ada hikmah di sebaliknya. Kemalangan basikal dan
kedatangan Kamal ke rumah ini telah disusun atur oleh ALLAH... sebab ALLAH
hendak menjodohkan Rin dengan dia,” pujuk Hisham dengan panjang lebar.
Sharina terus teresak-esak. “Rin
tak nak kahwin lagi...” rengeknya sambil teresak-esak. “Tak patut kawan abang
pinang Rin! Rin tak kenal dia! Rin tak cinta dia! Macam mana nak terima dia?”
Dalam esakan, dia terus merintih.
“Tak ada dalil atau nas yang
mewajibkan perhubungan percintaan antara seorang lelaki dan wanita sebelum
bernikah. Dah menikah dengan Kamal esok bercintalah sepuas hati!” tegas
abangnya.
Sharina kehilangan kata-kata.
~~ bersambung ~~

Tiada ulasan:
Catat Ulasan