Selasa, 27 Ogos 2013

Novel: Redha Takdirmu (Bab 36)


SEUTAS rantai tangan, seutas rantai leher, seutas rantai leher yang bercantum dengan loket ‘LIDYA’, dua pasang subang, sepasang darinya bertahta dengan emas putih, sebentuk loket berbentuk hati serta satu gelang tangan sebesar ibu jari tanganku. Tujuh barang semuanya. Semuanya diperbuat dari emas 916. Aku kumpulkan di dalam bekas lutsinar berpenutup hijau. Semuanya barang yang amat aku sayang. Setiap satunya ada nostalgianya sendiri. Semuanya kubeli dengan hasil titik peluhku. Ada kenangan gaji pertamaku, wang bonus yang aku perolehi dan lain-lain lagi.
Rantai leher yang berloket Lidya itu pemberian daripada Michael Collin. Rantai itu amat kusayangi. Aku membelek kesemuanya satu per satu. Hampir 20 tahun aku menyimpan semuanya itu. Terasa sayang untuk berpisah dan meminjamkannya kepada Syamil. Namun, simpatiku terhadapnya terlalu mendalam.
‘Ala, tak apalah. Abang Syamil pinjam sekejap. Takkan ke mana perginya. Bila dia kembalikan nanti, barang-barang itu akan berada di dalam simpananku balik. Aku terus memikir-mikir. Aku memikirkan jika perniagaannya terus dalam permasalahan dan terpaksa gulung tikar, bagaimana dengan anak-anaknya yang seramai lima orang itu. Demi kemanusiaan, biarlah aku berkorban. Pinjamkan semua barang ini kepadanya dan tawakallah. Setiap hati hatiku berbicara tentang Syamilku.  Setiap saat hatiku seolah sentiasa bercakap-cakap dengannya.
Suatu hari, Syamil berjanji akan datang bertemu denganku.  Untuk melepaskan rindu, katanya. Aku telah mengambil cuti tahunan tanpa memberitahu kepada Idham. Pagi-pagi aku ke tempat kerja seperti biasa. Hari itu aku dihantar, oleh Idham ke setesen bas. Idham akan menunggu sehingga bas yang aku naiki ke untuk ke pejabat bergerak. Dia benar-benar prihatin di atas keselamatanku.
30 minit perjalanan, aku menghubungi Idham dan memaklumkannya kononnya aku telah selamat sampai ke pejabat, walhal aku masih di dalam bas menuju ke destinasi pertemuan dengan Syamil.  Jauh di sudut hati, aku benar-benar rasa berdosa. Aku tidak jujur dengan suamiku itu.  Sedang dia tidak tahu apa-apa. Dengan segala kawalan yang dilakukan untuk mengongkong aku, Idham mungkin tidak menduga yang aku masih bertemu ruang untuk memboloskan diriku. Idham hanya mampu mengongkong dan memenjarakan fizikalku, namun mampukah dia mengikat hatiku dari terus terbang tinggi meninggalkannya. Dia pun tidak pernah cuba untuk menambat hatiku untuk terus bersamanya dengan hal-hal yang sepatutnya.
Setiap hari aku dikasari, dimarahi. Permasalahanku hanyalah perkara karut kepada Idham.  Setiap aduanku, hanya akan menjadi ejekannya, herdikannya.  Jika aku cuba bersuara, tubuh badanku akan menjadi mangsa kemarahannya.
Aku benar-benar tidak menyangka yang diriku akan berubah sejauh ini. Daripada seorang wanita dan isteri yang bercita-cita untuk menjadi isteri solehah, isteri mithali dan  penghuni syurga, aku bermain kayu tiga.
Salahkah aku? Terampunkah dosaku? Sedangkan aku tidak pernah bertujuan untuk mencurangi Idham.Yang aku cari hanya kasih sayang dan cinta seorang lelaki. Pengertian dan perhatian yang lebih bermakna dengan kelembutan dan kasih sayang. Beberapa kali bertemu, Syamil melayaniku dengan baik. Memelihara keselamatanku. Menjaga diriku.  Menasihati dan menyabarkan aku. Jika aku menceritakan masalah kepadanya, Syamil akan melayani dengan baik. Jika aku menangis, Syamil akan memujuk.
Idham tidak pernah melayan aku begitu. Lalu, antara Idham dan Syamil, Syamillah yang lebih mengisi seluruh hatiku. Mengalir bersama aliran darahku. ALLAH-lah yang lebih mengerti tentang perhubungan yang dicipta-NYA antara aku dan Syamil.
“Abang, maafkan Hani kerana tidak ada wang tunai untuk membantu abang.” Itulah ucapanku sebaik sahaja punggung menyentuh permukaan kerusi di restoran  berhampiran dengan stesen bas itu. Aku memandang wajah Syamil yang muram dan keruh. Mungkin mempamerkan keadaan hatinya di waktu itu. Syamil berbaju T biru lengan pendek. Air mukanya yang kelihatan putus asa, risau, resah dan berbagai lagi yang negatif meraih simpatiku.
Bekas bulat lutsinar berpenutup hijau itu aku hulurkan kepadanya.
“Apa ni? Hani, abang tak boleh terima ni!” Syamil membuka penutupnya dan kelihatan terkejut sejenak. Dia menolak kembali bekas yang berisi dengan barangan emas itu kepadaku.  
“Habis tu, macam mana abang nak selesaikan masalah abang? Janji dengan customer tu, abang kena pelihara maruah abang. Abang dah berjanji dengan mereka, kan? Abang kena tunaikan janji, jika tidak kepercayaan terhadap abang akan tercalar.” Aku memujuk lembut. Kadangkala aku jadi hairan dengan diriku sendiri. Mengapa harus aku yang mengambil berat tentang maruah Syamil, sedangkan dia bersikap selamba? Kedua isterinya juga tidak mengambil tahu.
“Hani... abang rasa serba salah. Takut dengan kepercayaan Hani terhadap abang.”  Syamil bersuara perlahan.
“Kalau abang ambil semua ni, abang nak buat apa pula?”  Syamil menyoalku seolah tidak mengetahui nilai emas. Aku ketawa kecil. Bingung dengan sikapnya itu. Seorang lelaki bercita-cita membina empayar niaga dan telah menceburi bidang perniagaan bertahun-tahun tidak tahu menggunakan emas?
“Emas, akan bernilai pada bila-bila masa pun, walaupun harganya naik dan turun, ia tetap ada harga.” Seringkasnya aku menerangkan kepada Syamil yang seolah tidak tahu menahu soal emas. Takkan tidak pernah membeli barang kemas untuk isteri? Mustahil.
“Hani pinjamkan kepada abang! Sebagai modal pusingan untuk perniagaan abang. Abang gunakanlah dengan bijaksana untuk menyelesaikan masalah abang! Bila masalah dah selesai, abang kembalikan kepada Hani.” Aku memujuk lagi dengan suara perlahan.
“Kalau Hani kata begitu, abang terima!”  Syamil mengambil bekas bulat itu dan menyimpan di dalam poket seluarnya.
“Ini sahaja yang Hani ada untuk membantu abang!” Satu demi satu perkataan keluar daripada bibirku.
“Baiklah, kalau Hani mempercayai abang, abang terima. Insya-ALLAH abang akan gunakan sebaiknya.” Syamil  mengenggam erat tanganku. 
“Hani sayang pada abang, dan ingin abang berjaya, itu saja,” suaraku separuh berbisik sambil menyembunyikan air mata daripada tertumpah. Aku terkenangkan kata-kata penghinaan dari isteri mudanya, Noshakila. Namun, aku tidak pernah rasa berdendam. Aku terlalu menyayangi Syamil dan tidak ada siapa pun boleh menghentikannya.
Aku berasa lega kerana dapat menunaikan tanggungjawabku membantu manusia lain yang sedang berada di dalam kesusahan dan kesempitan. Mudah-mudahan, ALLAH akan terus memurahkan rezekiku. Namun, sejauh mana Syamil akan menghargai segala pengorbananku, aku tidak mahu meneka. Aku serahkan segalanya ke tangan ALLAH.
Sebagai  langkah berjaga-jaga, aku telah menimbang berat perhiasan emasku itu sebelum menyerahkan kepada Syamil.  Jenis dan jumlahnya pun telah aku senaraikan di dalam buku catatan. Bukannya aku tidak mahu menggadaikannya sendiri dan menyerahkan bulat-bulat duit yang aku perolehi  kepada Syamil. Namun, jauh disudut hatiku aku terfikir untuk mendidik Syamil supaya lebih bertanggungjawab, bijak membuat keputusan. Hutang yang dahulu  dia belum lunaskan, kali ini biarlah aku memberinya hutang dalam bentuk lain pula. Biarlah barang-barang kemas yang kupinjamkan kepadanya menjadi taruhan dan matlamatnya untuk berusaha gigih. 
Mengikut perangkaanku di dalam pemikiranku, sekiranya Syamil mengambil langkah bijak, amanah dan bertanggungjawab, barang-barang kemas itu akan dikembalikannya kepadaku dalam masa tidak sampai sebulan. Tak payah membayar bunga pun. Apabila dia telah menyerahkan komputer peribadi kepada pelanggannya seperti yang diceritakannya kepada aku, mestilah dia akan menerima bayarannya. Perolehan bayaran itulah yang sepatutnya digunakan untuk menebus kembali barang kemasku itu.  Syamil memberitahuku, setiap sebuah komputer dia akan memperolehi keuntungan sebanyak RM450. Jika tiga buah komputer sudah melebihi seribu ringgit. Kecualilah jika Syamil membuat keputusan kurang bijak, menggunakan wang yang diperolehi untuk perkara lain dan barang-barang emas itu tidak ditebusnya. Dalam pada memikir itu, telefon bimbitku berdering.



                                                                                              ~ ~ bersambung ~~

Tiada ulasan: