Selasa, 27 Ogos 2013

Sana Menanti,Sini Merindu (Bab 12-sambungan)



Kenangan subuh tadi tetap terpahat di sanubari Zarif Afandi. Dia terasa malu kepada adik iparnya, Kamal Hanafi. Zarif Afandi meraba-raba pipinya yang dilempang oleh adik iparnya. Memang sudah tidak terasa peritnya lagi. Namun, hatinya terasa pedih dan bisa.
‘Tak apa, Kamal! Kau sombong ya! Kau tak kenal lagi aku! Abang ipar kamu ni sudah berderet-deret gadis cantik yang jatuh terkulai dengan belaian tangan ni,’ bisik Zarif Afandi sendiri. ‘Suatu hari nanti, isteri kau akan jatuh dalam genggaman aku.’
Sharina memang memukau hatinya. Sejak pertama kali dia terpandangkan gadis itu, wajah birasnya itu sering menari-nari di pelupuk matanya.
Rasa haus tadi benar-benar membawa tuah kepadanya. Sungguh tidak diduga, dia akan bertembung dengan birasnya itu di ruang dapur, bersendirian. Sharina yang berbaju tidur, bertali halus di bahunya. Rambut panjangnya terurai melepasi dada. Birasnya itu begitu memberahikannya. Serta-merta darahnya berderau dan tidak sedar dia memegang tangan Sharina yang lembut dan gebu. Malang, belum sempat dia membuka langkah kedua, Kamal pula muncul di dapur.
“Abang, kopi tu dah sejuk. Yang asyik mengelamun dari tadi, apa halnya?” sergah Ainun sambil menepuk meja makan.
Tersentak Zarif Afandi yang sedang membayang-bayangkan wajah Sharina yang cantik dan menawan.
“Kamal dan Rin, tak minum sekali ke?” Zarif Afandi pura-pura bertanya apabila di ruang dapur hanya ada emak mertua dan isterinya itu. Kalau Kamal ada makan bersama-sama, mesti isterinya ikut serta. Dapatlah matanya menjamah wajah birasnya itu lagi. Selepas ini tidak tahu bila mereka boleh berjumpa kerana masing-masing menetap di tempat yang berbeza. Dia di Johor Kamal dan isterinya di Melaka.
“Kamal dan Rin dah balik ke Melaka,” jawab emak mertuanya dari jauh.
Mak Cik Mariah sedang menggoreng cempedak. Semerbak bau aroma cempedak goreng di ruang dapur.
“Hai, awalnya mereka bertolak,” komen Zarif Afandi dengan nada kecewa.
“Alah, Rin tu... kalau balik ke sini bukannya mau lama-lama. Kau tak ingat ke? Dulu, hari kenduri kahwin pun dia suruh Kamal hantar dia balik ke rumah emak dia. Meluat mak,” balas Mak Cik Mariah.
“Semalam tu, entah apa mimpinya mahu pulak dia tidur di sini!” sambung Mak Cik Mariah lagi. Dia kalau boleh tak mahu Sharina memijak rumahnya. Lebih baik Kamal balik seorang diri. Entah mengapa, melihat Sharina dia akan teringat Rita. Dia dapat merasai kelukaan yang ditanggung oleh Rita.
“Dah emaknya pergi ke Mekah, kenalah dia tidur sini,” sampuk Ainun. “Takkan nak tidur kat airport pulak!” sambung Ainun lagi sambil mencapai gorengan cempedak yang sudah dihidangkan oleh emaknya di atas meja.
“Hmm... dah terpaksalah tu. Nasib baik dia tak merengek ajak Kamal tidur di hotel!” tukas Mak Cik Mariah lagi.
Zarif Afandi yang mendengar perbualan dua beranak itu hanya membisu. Kalau Kamal membawa isterinya tidur di hotel terlepaslah peluangnya untuk menyentuh dan mengusap mesra lengan birasnya yang lembut dan gebu itu.
“Emak ni memang betul-betul tak sukakan isteri Kamal tu, ya?” tanya Ainun sekadar menduga.
“Emak ni kalau emak kata tak suka, tak sukalah sampai bila-bila! Emak rasa terkilan sangat sebab Kamal tak jadi bernikah dengan Rita tu. Ralat betul rasa,” jelas Mak Cik Mariah.
“Tapi tak apa! Suatu hari nanti dia mesti ikut cakap mak,” sambung Mak Cik Mariah dengan nada dendam. Perasaannya benar-benar terbuku kerana tidak dapat bermenantukan Rita. Dulu sewaktu meminang Rita, bermacam-macam dia berjanji dengan anak gadis itu. Segalanya tentang kebaikan anak bujangnya, Kamal. 
“Alah, mak... apa nak susahnya. Kuota orang lelaki ni ada empat,” pintas Zarif Afandi sambil melambakkan tawa.
Ainun menjegilkan mata sambil mengetapkan bibirnya.
“Hari ni dia berjodoh dengan Rin, mana tahu suatu hari nanti dia berjodoh dengan Rita pulak!” sambung Zarif Afandi sambil bangun dari bangku yang sedang di dudukinya. “Rin pulak berjodoh dengan orang lain,” katanya dari jauh sambil ketawa agak kuat.
“Menantu emak yang tu, gatal! Kalau dia berani-berani nak cukupkan kuota dia, siaplah!” bisik Ainun kepada emaknya.
“Kamu jaga aje laki kamu betul-betul, Nun!” bidas Mak Cik Mariah sambil tersenyum sinis. Matanya merenung ke tubuh Ainun yang semakin hari semakin merendang. Macam mana tak gemuk, kalau nafsu makannya tidak boleh dikawal!
“Alah, takkan beraninya Abang Zarif tu nak buat hal tak tentu, mak. Tahulah saya nak ajar dia macam mana nanti,” sanggah Ainun.

Mak Cik Mariah menggeleng. Ainun memang tak makan nasihat.


                                    ~ ~ bersambung ~~

Tiada ulasan: