Jumaat, 30 Ogos 2013

Sana Menanti,Sini Merindu (Bab 13)


Hampir 40 hari Mak Leha dan Hisham berada di tanah suci untuk menunaikan rukun Islam yang ke-5 itu. Sepanjang berada di bumi suci itu, mereka tidak melepaskan peluang untuk melakukan amal ibadah dengan sepenuh tumpuan. Alhamdulillah sepanjang mengembara mencari keredhaan ILAHI di bumi suci kurniaan kesihatan yang sempurna amat disyukuri.
“Mak, sebelum berangkat untuk berziarah, kita telefon Rin,” kata Hisham sambil membantu emaknya membawa beg.
Mak Leha mengangguk. Keasyikan beribadah tidak melupakannya kepada anak bongsunya itu. Dia sentiasa menitipkan doa buat Sharina supaya dapat membuka pintu hatinya untuk Kamal dan menjadi isteri solehah.
“Bila kita nak bertolak?” soal Mak Leha sambil memerhati beg-beg yang berada di sekeliling mereka.
“Insya-ALLAH malam nanti, mak. Pihak tabung haji sudah menguruskan jadual perjalanan semua jemaah supaya tidak terkandas dalam kesesakan,” beritahu Hisham dengan lembut. Hampir dua juta umat Islam dari seluruh dunia mengunjungi Mekah pada musim haji.
Umat Islam di seluruh dunia yang datang mengerjakan fardu haji dan umrah juga wajar berziarah ke Madinah iaitu tanah haram yang kedua. Beribadat di Masjid Nabawi akan mendapat pahala yang besar, manakala berziarah ke makam rasulullah akan mendapat syafaat baginda pada hari kiamat kelak.
“Mak rasa tak sabar untuk menziarahi makam rasulullah,” kata Mak Leha dengan nada sebak. Sudah lama dia merindui saat kunjungan itu. Air mata Mak Leha berderaian. Bibirnya terus mengucapkan selawat kepada junjungan besar, Nabi Muhamad saw. Sesungguhnya ALLAH dan para malaikat berselawat kepada Nabi. “Wahai orang-orang yang beriman,berselawatlah kamu ke atas nabi dan ucapkanlah salam dan penghormatan kepadanya.
“Alhamdulillah, mak! ALLAH itu benar-benar Pengasih dan Penyayang terhadap manusia, mak. DIA mendengar segala rintihan dan doa emak,” kata Hisham dengan nada sebak. Sepanjang waktu berada di bumi ALLAH itu ada perasaan indah, insaf menyelusup ke ulu hatinya. Berada di tengah kelompok jutaan umat Islam dia benar-benar dapat merasakan dirinya yang terlalu beruntung berada di situ dalam usia muda.
“Hisham, sebelum balik emak nak beli sedikit lagi buah tangan untuk jiran-jiran kita,” beritahu Mak Leha sambil tersenyum. Jiran-jiran sekampung semua saudara-maranya. Doa mereka mengiringi setiap langkahnya.
“Yalah mak! Saya pun nak tambah sedikit lagi ole-ole buat kawan-kawan pejabat saya, mak” jawab Hisham sambil tersenyum.
“Hmm... untuk anak dan menantu kesayangan mak tu, jangan dilupa pulak,” usik Hisham.
Mak Leha ketawa kecil. Hatinya sudah terlalui merindui anak bongsunya itu. “Dah! Mak dah beli awal-awal lagi walaupun mereka tak berpesan apa-apa,” jawab Mak Leha sambil tersenyum senang.
“Sham dah belikan Rin buah tin, tiga kilo untuk dia seorang,” jawab Hisham. Dia tahu adik kesayangannya itu suka sangat makan buah tin kering. Buah-buahan yang sukar di dapati di Malaysia.
“Dah rasa rindu pulak kat dia.”  Dia juga terasa rindu kepada sahabat baiknya, Kamal. Baru dua hari lepas dia menghubungi Kamal. Kedengaran suara sahabatnya itu ceria dan gembira. Kamal tidak habis-habis mengucapkan terima kasih kerana sudi menerimanya sebagai adik ipar. Kata Kamal, Sharina menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri dengan cemerlang.
“Emak, harap-harap Rin dapat terima Kamal dengan sepenuh hati ya, mak.” Setiap saat dia berdoa mengharapkan bantuan ALLAH untuk melembutkan hati adiknya.
“Insya-ALLAH,Sham. Emak yakin dan percaya Kamal boleh tawan hati dia. Sama-sama kita doakan kat sini ya? Mudah-mudahan dimakbulkan,” balas Mak Leha sambil senyum senang.


Suasana rumahnya yang dikepung kesunyian dikejutkan dengan nyaringan deringan telefon. Sharina menerpa gagang telefon untuk menjawab panggilan itu. Mana tahu panggilan itu daripada orang yang dirinduinya. Sama ada suami yang berada di pejabat atau emaknya yang berada di tanah suci.
“Helo, assalamualaikum, Rin...”
Menjengah sahaja  suara emaknya di telefon, tasik matanya terus melimpah. Panggilan telefon yang diterima daripada emaknya itu begitu mengembirakan hatinya. Hatinya yang sedang diasak kerinduan.
“Helo, mak. Bila emak nak balik? Rin rindu sangat,” kata Sharina sambil menangis. Tidak puas mendengar suara, telefon yang di tangan dikucup-kucup seolah sedang mencium pipi emaknya.
“Emak sihat tak?” soalnya lagi. Kedengaran hingar-bingar di sekeliling emaknya. Sharina cuba meneka lokasi emaknya berada.
“Alhamdulillah, Rin. Mak sihat. Abang pun sihat,” beritahu Mak Leha dengan nada lembut penuh kasih sayang. Bayangan wajah Sharina seolah menari-nari di hadapan matanya.
“Rin macam mana?” soal Mak Leha. Tidak sabar dia mendengar jawapan daripada anaknya itu.
“Alhamdulillah, Rin sihat,” jawab Sharina manja.
Mak Leha tersenyum lega.
“Kamal sihat tak? Rin jalankan tanggungjawab sebagai isteri dengan elok atau tak?” tanya emaknya pula.
Sharina terdiam sejenak. Segala urusan rumah tangga dijaganya dengan baik. Kamal selalu memuji masakannya. Hanya dia belum benar-benar mencintai Kamal seluruh jiwa raganya. Dia baru belajar untuk menerima Kamal sebagai suaminya. Emaknya pasti terkejut kalau mengetahui sehingga hari ini, dia masih tidur berasingan dengan Kamal.
Kesabaran dan ketenangan Kamal amat mengagumkannya. Mungkin hatinya sudah dapat menerima Kamal. Kasih sayang dan cinta Kamal seolah-olah sedang meresapi jiwanya.
Lama Mak Leha menunggu jawapan daripada Sharina.
“Kamal macam mana Rin?” soal Mak Leha lagi.
“Alhamdulillah mak!Abang Kamal sehat. Dia belum balik dari pejabat lagi,” terang Sharina dengan suara ria. Keriaan Sharina sewaktu menjawab panggilan telefonnya itu turut meriangkan hati Mak Leha.
“Rin jalankan tanggungjawab sebagai isteri tak? Masak...siapkan kain baju dia...” tanya Mak Leha lagi. Sebagai ibu, dia perlu mengambil berat dan memastikan anak gadisnya itu menjalankan tanggungjawab sebagai isteri sesempurna mungkin.
“Alhamdulillah emak! Rin sedang mencuba,” jawab Sharina sambil ketawa.
Mak Leha lega mendengar jawapan itu. Dia bersyukur kepada ILAHI yang telah memakbulkan doanya.
“Rin, emak dan Abang Hisham ni sedang bersiap-siap hendak berangkat balik ke Malaysia.”
Sharina tersenyum lebar.
“Insya-ALLAH tiga hari lagi kami sampai di Lapangan Terbang Ipoh,” jelas Mak Leha lagi.
“Ya ke mak! Alhamdulillah, mak. Rin tak sabar nak tunggu mak balik,” jawab Sharina dengan perasaan teruja.
“Rin, mak tak boleh nak berbual dengan Rin lama-lama sangat ni. Kirim salam pada Kamal. Assalamualaikum...” kata Mak Leha sebelum menamatkan perbualan mereka.
“Waalaikumussalam,” jawab Sharina lambat-lambat. Rasa tidak puas berbual dengan emaknya. Rindunya pun belum terubat.
Sharina merenung jam di dinding. Dia berjalan menuju ke pintu. Dia tertinjau-tinjau ke jalan raya. Sehingga saat itu Kamal masih belum tiba di rumah. ‘Sewaktu balik makan tengah hari tadi, Abang Kamal tak beritahu pun yang dia akan balik lambat.’ Hati Sharina mula menghiba. Bunga-bunga rindu mula berkembang di hatinya. Sejak akhir-akhir ini, dia selalu berasa rindu kepada suaminya itu. Sehari dia ditinggalkan Kamal bagaikan setahun lamanya.
Sedang dia bermonolog tiba-tiba terdengar orang memberi salam. “Waalaikumussalam,” jawabnya perlahan lalu meluru ke muka pintu. Perasaan bimbang yang merajai hatinya sejak tadi, serta-merta melayang. Bibirnya mengukir senyuman manis menyambut kepulangan Kamal. Sharina menyambar tangan Kamal dan menciumnya. Sharina memejamkan mata sewaktu Kamal memberi kucupan hangat pada dahinya.
“Abang balik jalan kaki?” soalnya lembut apabila tidak kelihatan kereta di tempat parkir.
“Abang tumpang kereta kawanlah, sayang.” Jawapan Kamal seolah-olah berbisik. Dia memeluk bahu Sharina sambil berjalan masuk ke dalam rumah.
“Kalau abang balik jalan kaki, sampai tengah malam nanti pun abang tak sampai ke rumah lagi,” sambung Kamal sambil ketawa.
‘Alah, kereta rosaklah tu. Macam mana nak balik ke Ipoh, nak sambut mak pulang dari Mekah,’ bisik hati Sharina. Dia memendam perasaan kecewa.
“Kereta abang rosak ke?” tanyanya perlahan.
Kamal mengangguk sambil tersenyum. Dia sempat mencuit dagu Sharina. Petang itu, Sharina memakai midi berwarna merah jambu tidak berlengan. Baju itu baru dibelinya minggu lepas sewaktu mereka ke Mahkota Parade.
“Tayar kereta abang pancit! Abang tumpang kawan. Kereta abang, abang tinggalkan di ofis. Nanti ada orang tolong ganti tayar tu,” cerita Kamal sambil menghenyakkan punggungnya di sofa. Dia mengeliat beberapa kali.
“Kalau abang tunggu dia orang datang untuk baiki, nanti abang balik ke rumah lagi lambat,” sambungnya lagi. “Pagi esok atau malam nanti, dia orang hantar ke rumah ni,” beritahu Kamal pula.
Sharina berasa lega. Dia meninggalkan Kamal di ruang tamu sebelum sempat Kamal menghalangnya. Seketika kemudian, dia muncul kembali bersama segelas air dan sepiring mangga.
“Abang,” kata Sharina sambil menghulurkan segelas air masak. Kamal menyambut dan segera minum. Gelas yang telah kosong dihulurkannya kepada Sharina.
“Terima kasih. Tangan abang kotorlah sayang,” beritahu Kamal sambil merenung hirisan buah mangga di dalam piring.
“Memang Rin nak suapkan abang,” balas Sharina manja lantas mengambil sepotong mangga dan menghampirkannya ke mulut Kamal. Mata Kamal sempat memerhati kolam mata Sharina yang memecah merah.
“Mari duduk kat sini,” kata Kamal sambil menepuk pahanya perlahan. Mahu tak mahu, Sharina terpaksa akur kehendak suaminya itu. Perlahan-lahan dia bangun dan melabuhkan pinggulnya yang berisi di atas pangkuan Kamal. Sebelah tangan Kamal merangkul pinggangnya.
“Sayang nangis ke?” tanya Kamal sambil mencuit hidung Sharina.
Sharina mengangguk sambil tersenyum malu.
“Rin risau abang lambat balik,” bisik Sharina.
Jawapan Sharina menggembirakan hati Kamal. Kerisauan itu bukankah isyarat yang Sharina sudah mula menyayanginya?
“Tak usahlah menangis. Abang tak pergi ke mana. Kalau ada perempuan nak ngorat abang pun, abang terus reject!
Sharina tersenyum manja. Satu demi satu hirisan mangga disuapkannya ke mulut suaminya itu.
“Rin rindu kat abang ke?” usik Kamal cuba menduga.
Sharina melebarkan senyumannya. Segan pula rasanya hendak memberitahu Kamal yang perasaan rindunya semakin bersemarak. Kini, dia bersyukur kerana ALLAH telah menjodohkannya dengan lelaki itu. Walaupun tidak pernah mengenali erti cinta sebelum ini, Sharina tidak dapat mendustai hatinya yang mula tersemai rasa cinta terhadap lelaki yang telah menjadi suaminya itu.
“Abang tadi nak telefon Rin, tapi telefon pulak tertinggal dalam laci pejabat!” cerita Kamal sambil mengunyah mangga. Rasa mangga yang manis bertambah enak apabila disuapkan oleh isteri yang cantik  dan manja.
“Terima kasih, sayang suapkan abang mangga.”
Ucapan terima kasihnya itu membuatkan ulas bibir Sharina menguntum senyuman manis. Jika Kamal berasa senang di sampingnya, dia juga rasa amat bahagia.
“Jom, kita naik ke atas. Abang nak mandi!” ajak Kamal lalu menarik Sharina supaya mengikutnya ke bilik. Dia memeluk pinggang Sharina sewaktu menaiki tangga.

Selepas solat isyak, Sharina kembali menyepi. Kamal hanya memerhatikan isterinya yang asyik mengelamun.
“Bila emak nak balik Rin?” soal Kamal spontan lalu duduk rapat di sebelah Sharina yang sedang menonton televisen. Sharina merenggangkan dirinya daripada Kamal. Namun Kamal pantas memegang tangannya dan mengucup hujung jarinya seketika. Darah Sharina berderau serta-merta.
“Mak kata, lusa mereka sampai  ke Ipoh,” jawab Sharina lembut. Hatinya tiba-tiba rasa sebak. Dia menggaru-garu kepalanya.
“Abang, Rin... Rin...” Tergagap-gagap Sharina ingin memberitahu. Dia takut harapannya kecewa. Lagipun selama mereka berkahwin kerap sangat mereka balik ke Ipoh. Dia takut permintaan itu akan menyusahkan suaminya. Bukankah perkara itu dilarang oleh agama? Walaupun pada awal perkahwinan dia nekad hendak menyusahkan Kamal supaya suaminya itu menyesal mengahwininya, namun kini perasaan sayang terhadap suaminya itu mula berbunga mekar. Jika sudah menyayangi pasti tidak ingin menyusahkan orang yang disayangi.
“Rin nak ajak abang balik?”
Pertanyaan Kamal membantu Sharina yang tergagap. Sharina mengangguk sambil merenung manja ke anak mata Kamal. Selepas itu, dia merapatkan tubuhnya ke Kamal semula. Dia sudah belajar menyesuaikan diri dengan suaminya itu. Dia berusaha untuk tidak kekok lagi jika bersentuhan kulit dengan Kamal. Perasaan gemuruhnya juga sudah dapat dikawal.
“Alah... tak dapatlah, sayang. Lusa abang ada mesyuarat. Abang minta maaf, ya? Abang janji kita balik tiga minggu lagi. Selepas itu, kita terus pergi berbulan madu,” kata Kamal sambil melurut-lurut rambut Sharina dengan lembut. Bau harum dari rambut dan tubuh isterinya itu membuai perasaannya lalu menghanyutkannnya ke lautan khayalan.
“Tak apalah, bang... Dah tak ada rezeki Rin nak sambut emak balik dari Mekah nak buat macam mana,” jawab Sharina lembut sambil menyandarkan kepalanya di dada Kamal.
Damai hati Kamal mendengar jawapan isterinya itu. ‘Hmm... Rin ni taklah degil sangat.’ Hati Kamal berbicara sendiri.
“Pergi bulan madu tu, Rin setuju tak?” bisik Kamal.
Sharina mengangguk. Hati yang gundah-gulana tidak akan dipamerkan kepada Kamal.
“Dah dekat tiga bulan kita nikah. Kita belum pergi berbulan madu lagi,” bisik Kamal lagi sambil melagakan dahinya dengan dahi Sharina.
Sharina hanya tersenyum. Jika boleh, saat itu juga dia ingin berbulan madu dengan suaminya. Saat perasaannya berasa terlalu indah. Saat hatinya dan hati Kamal seolah telah menyatu. Saat cinta dan kasih sayangnya telah berada di puncaknya.
“Rin tak nak tanya abang, bulan madu tu maknanya apa?” soal Kamal sambil merangkul pinggang Sharina yang sedang cuba menjauhkan dirinya.
‘Eeii... Abang Kamal ni mulalah nak sembang merapu malam-malam ni.’ Dia pun bingkas bangun dan pindah ke sofa yang lain, melarikan dirinya daripada Kamal.
“Tanyalah sayang!” desak Kamal manja lalu mengekori pergerakan isterinya.
“Tak nak! Abang tu nanti bagi jawapan merapu. Lepas tu abang kenakan Rin,” jawab Sharina deras sambil memekup pipi dengan kedua-dua tapak tangannya. Dia pasti pipinya yang terdedah akan ditonyoh oleh Kamal dengan hidungnya. Tambahan dia terasa muka Kamal terlalu rapat dengan pipinya.
“Tak... mana abang pernah kenakan Rin,” balas Kamal masih ketawa lagi. Hari ini, Sharina lebih mesra dengannya. Kemesraan itu menyebabkan perasaannya begitu indah. Dia yang sudah terlalu merindui sentuhan dan belaian daripada isterinya itu. Sudah lama dia bersabar dan memendam rasa. Menanti dengan penuh seksa. Harap-harap malam itu penantiannya selama berhari-hari ini akan berakhir.
“Tanyalah...” seloroh Kamal lagi sambil pura-pura cuba mengalihkan tangan Sharina yang sedang memekup wajahnya.
“Tak naklah...” rengek Sharina manja sambil memegang kuat pipinya. Debaran di hatinya semakin gemuruh.
“Rin... pagi esok, pukul 9.00 pagi kita bertolak balik ke Ipoh, ya? Sampai Ipoh, kita tidur di hotel. Tak payah tidur kat rumah emak abang. Kita rehat kat hotel tu sampai hari emak tiba di Ipoh...”
Kamal tiba-tiba bersuara serius. Tangan Sharina dilepaskannya seketika.
“Tadi abang kata ada mesyuarat!” Sharina berpura-pura marah sambil mengalih tapak tangan dari pipinya dan mendedahkan seluruh wajahnya. Namun perasaan sedihnya bertukar girang. Matanya jernih melihat Kamal. Kamal pun sedang melihatnya sambil tersenyum lebar dan pandangan matanya bersinar nakal.
“Mesyuarat kita berdualah!!” jawab Kamal sambil melambakkan ketawanya terus merangkul tubuh Sharina yang lembut dan gebu.
“Abang ni...”
Kamal terus ketawa. Sharina memejamkan matanya apabila Kamal terus membelainya dengan lembut dan penuh kasih sayang.
“Rin...” bisik Kamal.
Sharina membuka matanya kembali.
“Rin... I love you so much!
Ungkapan keramat itu bagaikan menghanyut hati Sharina ke tasik madu yang amat indah. Dia yang sudah tenggelam di dalam pelukan lelaki itu. Kamal yang terus memeluknya dengan kemas.
“Rin...” seru Kamal sekali lagi. Kali ini suaranya lebih perlahan dari tadi.
Sharina hanya membisu. Apakah ungkapan Kamal yang seterusnya akan melontar hatinya ke dalam Syurga?
“Rin, izinkan abang...”
Suara romantis Kamal seolah memujuk dan membelai hatinya. Hatinya yang sedang bergetaran, tengggelam di dalam lautan kasih sayang mereka. Sharina terkesima. Nafasnya tertahan.
“Rin...” rayu Kamal.
Desahan nafas Kamal semakin merapat di telinga Sharina. Cinta telah memerangkapnya. Darahnya dan darah Kamal mungkin sama-sama sedang membusar.  Sharina mengangguk perlahan tanpa bersuara. Perasaannya terus melayang-layang entah ke mana. Apatah lagi saat Kamal mencempung tubuhnya dari ruang tamu ke bilik tidur mereka.
Dia seolah-olah sang puteri yang sedang diangkat ke kayangan. Kamallah putera yang telah menakluk hati dan seluruh jiwa raganya. Degupan jantungnya semakin laju. Seluruh urat sarafnya seakan tercerai-berai.

                                        ~ ~ bersambung ~ ~

Tiada ulasan: