Selasa, 3 September 2013

Sana Menanti,Sini Merindu (Bab 14)


Hari ini, Lapangan Terbang Ipoh didatangi lagi. Tidak seperti dulu sewaktu menghantar emaknya untuk mengucapkan selamat jalan Sharina bercucuran air mata, kini dia ketawa gembira. Wajahnya berseri-seri dan bertambah cantik.
“Gembiranya, Rin...” tegur Kamal lalu memicit jari-jemari Sharina di dalam genggamannya.
Sharina membalas dengan mencubit telapak tangan Kamal kuat-kuat. Kamal berpura-pura mengerutkan wajahnya seolah terasa sakit dengan cubitan itu.
Sharina menyengih lantas mengusap-usap pula tangan Kamal. Kamal tersenyum lebar. Kebahagiaan yang dirasanya kini seolah-olah telah memperoleh dunia dan seluruh isinya. Memori indah yang dinikmati bersama isteri yang dicintai lewat malam-malam terakhir ini, abadi dalam sanubari. Kamal tersenyum sendiri dengan perasaan puas.
Kamal tersenyum-senyum lagi apabila belaian Sharina pada lengan dan tangannya belum berhenti.
“Ni tempat ramai orang, Rin... sabar-sabar... tunggu sampai rumah,” gurau Kamal sambil ketawa. Istana rumah tangganya kini bagaikan syurga. Keindahannya tidak terungkap dengan kata-kata. Cintanya kepada Sharina semakin mendalam.
“Alah... kat sini pun nak cakap merapu! Rin usik aje..bukan nak apa-apa,” kata Sharina seolah merajuk.
“Dengar pengumuman tu,” kata Kamal sebaik sahaja mendengar isyarat pembesar suara. Kapal terbang yang membawa jemaah haji akan melakukan pendaratan.
“Cepatlah mak sampai,” kata Sharina sambil terjengah-jengah.
“Sabarlah, sayang. Sekejap lagi mak sampailah...” balas Kamal. Dia pun turut tertinjau-tinjau melihat rombongan jemaah yang berpusu-pusu masuk ke ruang menunggu.
“Itu pun mak! Mak!” jerit Sharina.
Mak Leha yang telah nampak anak menantunya dari jauh sempat melambai-lambaikan tangannya. Dia bersyukur kerana telah sampai ke tanah air dan kembali memijak bumi negara sendiri. ‘Ya ALLAH, jadikanlah kami di negeri (kampung) ini tinggal dan memperoleh rezeki yang baik,’ doanya di dalam hati dengan penuh kesyukuran.
“Mak...” panggil Sharina apabila nampak susuk tubuh emaknya sudah memasuki pintu. Dia lalu berkejar ingin menerpa emaknya. Baru bergerak lima langkah barulah dia teringat. Dia berpatah balik dan menarik Kamal supaya bersamanya menghampiri emak dan Abang Hisham.
“Mak!” Tubuh Mak Leha terus dipeluk, dicium, digomol. Tidak dapat ditahan kesedihan dan kerinduan, kedua-dua beranak itu bertangis-tangisan.
“Alhamdulillah, emak nampak sihat,” tukas Kamal dengan gembira. Dia turut memeluk Hisham. Hisham membalas pelukannya, mesra. “Macam mana perjalanan, emak?” soalnya dengan gembira dan mesra.
“Alhamdulillah, Kamal. Mak rasa tak nak balik. Rasa nak pergi lagi kalau ada peluang,” jawab Mak Leha.
“Kau macam mana? Apa khabar pengantin baru?” tanya Hisham sambil mengenyit matanya kepada Kamal.
“Alhamdulillah, pengantin dah jadi separuh baru,” jawab Kamal ketawa. Mungkin berkat doa emak mertua dan abang iparnya, dua tiga hari ini barulah mereka berdua bersuami isteri menikmati alam rumah tangga yang sebenarnya. Selepas tiga bulan.
“Alhamdulillah. Kamal dan Rin pun nampak sihat,” kata Mak Leha. Matanya merenung ke wajah anak menantu silih berganti. Kedua-duanya nampak berseri. Sharina pun nampak semakin berisi. Pipinya nampak penuh.
“Dah berisi sikit Rin ni... syukur,” katanya lagi. Tubuh Sharina didakap sekali lagi.
“Rin dah berisi?” soal Hisham pula lalu merenung ke wajah Kamal. Spontan tangannya menjabat tangan Kamal. “Tahniah! Dapat juga kau jinakkan hati dia,” bisiknya ke telinga Kamal. Mereka akhirnya ketawa bersama-sama.
Kamal membisikkan sesuatu di telinga Hisham. Dia memberitahu Hisham maksud ’berisi’ yang dimaksudkan oleh emak mertuanya tidak sama dengan maksud’berisi’yang diteka oleh abang iparnya itu.
“Ooo...” kata Hisham. “Insya-ALLAH... tak lama lagi,” sambungnya lagi. Di tanah suci, dia tidak lupa untuk mendoakan kebahagiaan rumah tangga sahabat dan adiknya ituagar cepat-cepat dikurniaan zuriat.

Dari Lapangan Terbang Ipoh, Kamal terus menghantar emak mertua dan abang iparnya ke rumah mereka di Gopeng. Malam itu, dia dan Sharina juga bermalam di sana.
Subhanallah... hebatnya kasih sayang ALLAH kepada setiap hamba-NYA. Rasa kesyukuran yang tidak terhingga terus membisik di hati Kamal tatkala bersama lingkungan keluarga isterinya. Waktu isyak dan maghrib, mereka bersolat berjemaah bersama. Selepas bersolat, mereka bersalam-salaman dan berpelukan. Terasa ikatan kasih sayang semakin menyimpul kuat. Perasaan ini tidak dirasai sewaktu bersama keluarganya sendiri. Emak dan kak ngahnya asyik bertekak tak habis-habis!
Lama dia berborak dengan Hisham. Tidak tersedar waktu berputaran. Apabila melihat Hisham menguap beberapa kali barulah dia meminta diri.
“Aku masuk tidur dululah, Sham. Kau pun dah mengantuk tu. Eloklah kita tidur...” Badannya juga terasa penat.
“Yalah,” balas Hisham. “Asyik berborak tak sedar dah pukul 1.00 pagi,” sambungnya lagi.
Hisham dan Kamal bergerak menuju ke bilik masing-masing.

Sharina masih membaca novel sewaktu dia masuk ke dalam bilik. Lemparan senyuman manis isterinya itu mendamaikan jiwanya yang berbunga bahagia.
“Rin masih membaca lagi?” tanyanya lembut. Kamal duduk di sisi Sharina yang sedang menyandarkan tubuhnya di katil.
Sharina terus menutup novel yang sedang dibaca lalu novel itu disimpan di bawah bantalnya.
“Abang ganggu Rin ke? Bacalah novel tu. Abang belum nak tidur lagi.”
“Tak apa, bang! Novel tu nanti Rin sambung baca sewaktu perjalanan balik ke Melaka esok. Novel tu ada banyak nilai motivasinya,” cerita Sharina. Sudah dua kali dia membaca novel yang sama.
“Ya? Baguslah kalau macam tu. Boleh dijadikan tauladan untuk kehidupan,” kata Kamal. “Kongsilah dengan abang,” pintanya sambil mengusap-usap lengan Sharina.
“Salah satunya, hero dalam novel tu kata, jangan bawa kenangan duka untuk mengiringi kehidupan kita. Sebab kenangan duka, kenangan luka, kenangan derita itu, akan membunuh hari esok. Mematikan semangat. Memudarkan impian,” cerita Sharina dengan lembut.
“Betul tu, sayang!” Setuju Kamal.
Sharina diam beberapa ketika. Mudah-mudahan kehidupannya bersama Kamal sentiasa dikepung bahagia. Tidak dilanda badai gelora yang bakal meruntuh kebahagiaan yang sedang dirasa. Tidak dilingkari duri kerikil yang akan melukakan atau mencarik perasaan indah yang sedang dinikmati.
“Abang...”
“Hmm...” balas Kamal. Dia menunggu Sharina meneruskan bicara.
“Terima kasih sebab bawa Rin balik sambut emak,” kata Sharina dengan perasaan terharu. Dia mencium tangan Kamal.
“Alah, abang pun nak sambut emak balik dari Mekah jugak. Emak Rin, emak abang jugak!” beritahu Kamal. Sikap emak mertuanya yang lembut dan penuh dengan nilai keibuan itu menyebabkan dia rasa terlalu sayang kepada emak mertuanya itu.
“Esok sebelum kita balik Melaka, kita balik ke rumah emak abang, nak?” Seperti Kamal yang menganggap emaknya sebagai emak sendiri, dia juga menganggap emak mertuanya sebagai emaknya sendiri.
“Emak Rin ada belikan buah tangan untuk emak abang, esok kita pergi hantar,” ajak Sharina dengan suara manja. Walaupun emak mertuanya tidak melayaninya dengan elok, dia tidak mahu bersikap kurang ajar. Emak dan abangnya sudah banyak kali berpesan. Kena hormat dan sayangi emak mertua. Sebab dia yang telah melahirkan Kamal, suami yang dikasihinya itu.
“Okey sayang,” jawab Kamal sambil mencubit kedua-dua belah pipi Sharina. 
“Nanti kalau emak abang suruh Rin memasak macam hari itu, jangan ikut!” pesan Kamal.
“Dah Rin menantu perempuan dia, dia suruhlah Rin masak. Abang ni, tak baiklah ajar Rin membantah cakap emak abang,” kata Sharina sambil mencubit-cubit kecil perut Kamal.
“Okeylah, sayang... Abang saja nak duga warna hati sayang. Sekarang ni abang tahu, hati Rin cantik macam wajah Rin jugak.” Sebuah kucupan hinggap di pipi isterinya.
“Insya-ALLAH, bang. Mulai hari ini, Rin janji dengan abang, Rin akan cuba menjadi yang terbaik untuk abang,” bisik Sharina lagi. Setelah tiga bulan mengenali suaminya itu kuntum-kuntum cinta yang berkembang di hatinya semakin mekar dan  mewangi lalu menjinakkan kegusarannya tentang lelaki dan perkahwinan. Ternyata Kamal memang seorang lelaki yang bertanggungjawab, baik, penyayang serta memahami.
“Terima kasih sebab telah membuka pintu hati Rin untuk abang. Tak sangka kita dijodohkan TUHAN sebegini cepat. Abang ingat lagi... waktu mula-mula kita berjumpa. Waktu tu juga abang dah jatuh cinta kepada Rin. Tak lena tidur di buatnya,” cerita Kamal sambil ketawa kecil.
“Nasib baiklah  gadis yang telah menawan hati abang rupa-rupanya adik kawan baik abang sendiri. Kalau tak, tak tahulah abang nak cari Rin kat mana. Agaknya abang kena ketuk pintu semua rumah yang ada di kampung ni untuk tengok muka semua anak dara dalam kampung,” gurau Kamal.
 Sharina turut ketawa mendengar celoteh suaminya itu. Dia cuba membayangkan situasi itu. Dia juga teringatkan kisah basikalnya yang dilanggar oleh Kamal tempoh hari. Apabila melihat wajah lelaki yang cuba mengangkat basikal yang menindih kakinya dia rasa hendak pura-pura pengsan!
“Abang ni kelakar,” ulasnya dengan suara manja.
“Abang rasa, Rin pun dah jatuh cinta pada abang pada waktu itu jugak! Waktu pertama kali lihat abang, kan?” tebak Kamal.
Sharina tersenyum malu-malu.
Kamal mencium hujung jari Sharina. Ya ALLAH, kumohon pada-mu, satukan kami dalam ikatan suci. Jangan biarkan kami sengsara. Menanti restu tak kunjung tiba. Dua jiwa ini sudah tak terpisahkan. Kasih sayang ini anugerah yang terindah.’ Hati Kamal membisik.
“Terima kasih sebab abang sudi pilih Rin untuk menjadi suri hidup abang.” 
  

                                ~ ~ ~ bersambung~~

Tiada ulasan: