Selasa, 3 September 2013

Sana Menanti,Sini Merindu (Bab 14-sambungan)


Tersenyum Mak Cik Mariah apabila melihat kereta Kamal memasuki halaman rumahnya pada awal pagi itu. Namun senyuman yang meleret menjadi pahit apabila melihat Sharina ada di sebelah tempat duduk pemandu. Tidak semena-mena pula rasa cemburu menyelinap ke dalam hatinya. Terasa kasih sayang Kamal kepadanya dirampas dengan kejam oleh gadis muda itu.
“Assalamualaikum, mak...” sapa Kamal sambil bersalam dan mencium tangan emaknya. “Emak mertua saya kirim salam, mak!” beritahu Kamal.
Mak Cik Mariah menjawab salam perlahan. Tangan yang dihulurkan oleh Sharina disambutnya dengan separuh hati.
“Emak Rin ada kirimkan sedikit buah tangan untuk mak,” beritahu Sharina cuba berbasa-basi.
“Ada buah tamar dan air zam-zam, ya?” tanya Mak Cik Mariah sambil mengintai ke dalam beg yang dihulurkan oleh menantunya itu.
Sharina mengangguk-anggukkan kepalanya.
“Rin pergi hantar ke dapur. Lepas tu, tolong bancuh air untuk emak dan laki kamu ni,” suruh Mak Cik Mariah dengan suara tegang.
“Baik, mak...” jawab Sharina terus beredar ke dapur.
Kamal bangun untuk mengekorinya isterinya.
“Eh, Kamal! Kamu duduk kat sini. Mak ada hal nak berunding,” panggilnya agak kuat.
“Yang kamu asyik berkepit dengan Rin, tak jemu ke?” marah Mak Cik Mariah.
“Alah, mak... Nama pun pengantin baru!” jawab Kamal.
“Duduk sini!” arah Mak Cik Mariah.
“Ada hal apa, mak? Nampak macam penting sangat. Nak suruh saya beli tanah kebun mana pulak?” tanya Kamal.
“Bukannya nak suruh beli tanah. Emak nak minta duit nak buat ruang dapur yang baru. Kelmarin bila kita kenduri, terasa sempit pulak dapur,” jelas Mak Cik Mariah.
“Berapa ribu, mak? Tapi... mak nak buat pun dapur besar sangat. Emak tinggal seorang aje di rumah ni. Bukannya hari-hari kita nak buat kenduri,” jawab Kamal bersahaja.
“Hari tu Kamal dah janji tak nak bantah cakap mak, kan?” ugut Mak Cik Mariah.
“Emak... kan saya baru kahwin, duit dah banyak keluar,” terang Kamal lembut.
“Hai... untuk emak yang melahirkan kamu pun, kamu berkira. Mak tak peduli. Mak nak juga,” tegas Mak Cik Mariah.
“Yalah, mak. Nanti saya bagi,” jawab Kamal mengalah apabila melihat Sharina datang menghampiri mereka sambil menatang dulang minuman.
“Minumlah Kamal. Mak nak pergi siram pokok bunga,” kata Mak Cik Mariah sambil bangun dari sofa.
Sharina merenung Kamal dengan ekspresi wajah penuh tanda tanya. Kamal merenung pula sambil mengangkat bahunya. Sharina bertambah gundah. Terasa kedatangannya itu tidak dihargai, tidak dialu-alukan.
“Emak marah Rin ke? Dia tak suka pada Rin,ya?” Spontan Sharina bertanya sebaik sahaja susuk tubuh emak mertuanya lenyap daripada pandangan.
“Rin sabar,ya! Perangai emak tu memang begitu. Suka telan kepala angin,” jawab Kamal sambil ketawa. Emaknya yang suka mendesak,egois serta materialistik.
“Sayang, tak jadilah kita nak tidur di sini,” ujar Kamal lagi sambil merenung wajah isterinya yang sudah mulai mendung dan tidak ceria.
“Habis tu?” Semalam, Kamal ada memberitahunya yang dia mengambil cuti selama seminggu. Kamal ingin menghabiskan cuti tahunannya yang masih berbaki.
“Kita terus pergi berbulan madu.”
Sharina mengangguk sambil tersenyum manja.
“Hmm... Rin nak pergi ke mana? Rin beritahu saja. Hari ini juga kita pergi, tapi pilihan lokasi tu biarlah yang dalam negara ni sebab abang cuti tak lama,” sambung Kamal lagi.
“Abang bawalah ke mana-mana pun, Rin tak kisah,” jawab Sharina perlahan. Jika diikutkan, dia lebih suka duduk di rumah sahaja. Sambil memasak makanan kesukaan suaminya itu, waktu yang banyak terluang mereka boleh saling memanjai.
“Kita pergi Cameron Highlands sudahlah ya, dekat sikit!” cadang Kamal.
“Cameron Highlands pun tak apa asalkan abang ada di sisi Rin,” bisiknya perlahan. “Lagipun Rin suka kat sana. Nyaman. Atas bukit. Sejuk sikit,” sambung Sharina lagi dengan perasaan gembira.
“Abang pun suka jugak! Tambah-tambah kalau bersama dengan Rin,” usik Kamal lalu bangun dari sofa. Dia menghantar dulang dan cawan ke dapur diekori oleh Sharina.
“Jom, kita pergi sekarang. Abang dah rasa tak sabar,” ajak Kamal sebaik sahaja Sharina selesai membasuh cawan yang digunakan tadi.
“Nak ke mana pula Kamal? Tak dan panas punggung dah nak balik?” tegur Mak Cik Mariah yang baru masuk ke ruang dapur. Dia merenung Sharina yang sedang memegang pinggang Kamal. Dia sempat menjeling namun tidak berkata apa-apa.
“Saya nak pergi Cameron Highlands, mak. Nak honeymoon,” terang Kamal sambil memeluk bahu Sharina.
“Saya belum bawa isteri saya pergi bercuti lagi, mak...” jelas Kamal lagi sambil mengusap ubun-ubun Sharina. Matanya sempat menjeling ke wajah emaknya yang mulai masam.
“Suka hati kamulah. Bawalah isteri tu pergi honeymoon ke bukit ke, gunung-ganang atau lautan ke, tapi yang emak minta tadi, jangan kau lupa. Tak usah nak habiskan duit untuk isteri kamu aje. Emak ni yang lahirkan kamu,” ungkit Mak Cik Mariah dengan suara yang menyakitkan hati. Sharina yang mendengar kenyataan itu terasa pedih.
“Insya-ALLAH, mak. Jangan risau. Saya tak akan lupa hak emak terhadap diri saya, mak,” jawab Kamal lembut sambil menggenggam tangan Sharina kuat-kuat seolah memberi isyarat supaya bersabar mendengar kata-kata emaknya. 
“Saya pergi dulu, mak!” kata Kamal sambil bersalam dan mencium tangan emaknya diikuti oleh Sharina.
‘TUHAN lontarkanlah ke dalam lautan hatiku dengan kesabaran untuk menghadapi sebarang dugaan di dalam usia perkahwinan yang masih muda ini,’ doanya di dalam hati.



                               ~ ~ bersambung ~~

Tiada ulasan: