Rabu, 21 Ogos 2013

Sana Menanti,Sini Merindu (Bab 10-sambungan)



Kamal melangkah laju menuju ke tempat parkir kereta. Sampai ke kereta tergesa-gesa pula dia menghidupkan enjin kereta. Hari itu dia keluar lewat dari pejabat. Walaupun kelewatannya hanya 10 minit, hal itu sudah cukup untuk membuatnya resah. Dia bimbangkan Sharina yang tinggal sendirian di rumah. Sudahlah isteri kesayangannya itu belum pernah sekali menelefonnya jika dia berada di pejabat. Sambil memandu, Kamal terus mengenang isterinya itu.
‘Sudah hampir sebulan Rin berkeadaan begitu. Tidak mahu bercakap mesra dengan abang. Sepatah abang bertanya,sepatah Rin jawab. Tapi setiap hari Rin kejutkan abang untuk bersahur. Rin sediakan makanan untuk abang. Sebelum abang pergi kerja, baju dan seluar kerja abang pun Rin  seterikakan. Semua keperluan abang, Rin sediakan. Rin layani abang macam raja. Kalau abang di rumah, bila sampai waktu solat, Rin siapkan sejadah untuk abang dan tunggu abang untuk solat bersama-sama. Rin pun mahu ikut abang ke masjid untuk solat tarawih.
 Maknanya Rin tahu juga tanggungjawab seorang isteri. Taklah macam kanak-kanak. Tetapi, kenapa Rin tak mahu bermesra dengan abang? Rin masih tak dapat terima abang sebagai suami, ya? Tak apalah, abang beri Rin waktu untuk kenali abang. Kalau Rin tak mahu tidur dengan abang pun, tak apa. Asalkan Rin tidur lena dan mahu duduk bersama dengan abang.
Harap-harap seminggu dua ini Rin akan berubah menjadi lebih dewasa. Penuh dengan nilai kewanitaan. Rupa paras dah cantik sangat. Mengalahkan ratu yang ada di seluruh dunia ini. Macam mana hati abang tidak tertawan, tidak melekat. Saat pertama kali berjumpa dan melihat wajah Rin, abang dah jatuh cinta.
Sambil mengingati isterinya, Kamal tersenyum-senyum sendiri. 
‘Malam ini, malam Sabtu. Kita pergi berbuka di luar ya, Rin. Abang akan bawa Rin ke tempat yang paling istimewa yang ada di Melaka ini. Manalah tahu, terbuka selera Rin untuk makan. Badan Rin dah nampak susut. Badan abang pula dah semakin berisi. Sebab setiap masakan Rin kena sangat dengan selera abang. Waktu sahur pun abang makan nasi berselera. Malam ini, harap-harap Rin dapat terima abang sebagai suami.
Abang bukan tak tahu Rin sedang rindu kepada emak di kampung! Tapi selagi Rin buat-buat degil dan keras hati dengan abang, tak mahu mesra bercakap dengan abang, selagi itulah abang tak akan bawa Rin balik jenguk emak’
Sambil memandu hati Kamal berbicara sendiri. Entah mengapa sejak kebelakangan ini hatinya asyik berkata-kata sendiri sahaja. Semenjak beristerikan Sharina yang muda remaja. 
Tepat 5.30 petang, Kamal sampai di rumah. Suasana rumah memang selalu sunyi. Tapi turun sahaja dari kereta, telinganya menangkap suara tangisan. Kamal tergesa-gesa masuk ke dalam rumah dan cepat-cepat menaiki tangga menuju  ke bilik tidur Sharina. Sharina tidak sedar pun Kamal masuk ke dalam bilik kerana dia sedang menangis sambil meniarap di atas tilam. Bantal guling betul-betul terletak di bawah perutnya.
“Emak, tolonglah! Rin sakit perut ni!”
Itulah kata-kata rengekan yang didengari oleh Kamal. Agaknya Sharina sedang menelefon emaknya di kampung, fikir Kamal. Dengan perasaan bimbang, dia terus meluru ke katil menghampiri Sharina. Dia duduk di birai katil lalu mengusap kepala isterinya itu. Sharina merendahkan kepalanya apabila disentuh oleh tangan Kamal. Telefon di tangan disumbatnya ke bawah bantal.
“Rin! Rin sakit ya? Kenapa tak telefon abang?” soal  Kamal perlahan sambil memegang Sharina yang sedang meniarap. Sharina lengkap berpakaian seperti selalu. Kepalanya disarung tudung putih. Dengan wajah polosnya sesekali pandang orang akan menyangka isterinya itu murid sekolah tingkatan tiga atau empat.
“Sayang... kenapa nangis ni?” soal Kamal lagi terus memegang tubuh isterinya itu.
Sharina berguling ke hujung katil kerana tidak mahu disentuhi oleh Kamal. Pertanyaan Kamal tidak dijawab sebaliknya dia terus menangis dan tersedu-sedan dengan kuat. Betul-betul macam budak tadika. Tak sempat memujuk Kamal dikejutkan oleh getaran telefon bimbit di kocek seluarnya.
“Helo, Kamal...” Emak mertuanya menelefon.
“Ya, emak...” jawab Kamal lembut.
“Kamal di mana sekarang ni? Di pejabat atau dah balik ke rumah?” soal emak mertuanya.
“Baru sampai rumah ni, mak...” Nafasnya agak laju kerana kepenatan.
“Kamal! Rin tu sakit! Dia tak bawa batu tungku dia!” cerita emak mertuanya lagi.
Tersentak Kamal mendengar cerita emak mertuanya itu. ‘Batu tungku? Rin nak buat apa pula dengan batu tungku tu?
“Ya emak. Rin sedang menangis kuat ni, mak!” adu Kamal. Dia pun sebenarnya rasa panik melihat Sharina berkeadaan begitu. ‘Mesti kuat sakitnya,’ teka Kamal.
“Rin tu senggugut. Memang macam tulah. Sekejap lagi termuntah-muntah pulak. Kamal tolong dia ya! Kalau di rumah, emak yang selalu buatkan untuk dia.” cerita Mak Leha lagi.
“Senggugut?” Kamal terkejut. Perkataan senggugut memang kerap didengarinya. 
“Ha’ah! Senggugut. Dia kalau nak datang bulan memang begitu!” beritahu emak mertuanya.
“Datang bulan?” tanya Kamal kembali. Segala rancangan yang terkumpul di dalam otak fikirnya lebur serta-merta. ‘Alamak, rosak rancangan aku!’ bisik hati Kamal.
“Ya! Datang bulan! Kalau dah batu tungku tak ada, Kamal buat macam ini,” kata Mak Leha terus mengajar menantunya.
“Yalah, emak! Saya buat apa yang emak suruh! Kasihan Rin. Saya dah risau dan menggelabah ni,” balas Kamal lalu menekan butang merah di telefon  selepas mengucapkan salam.
Dia pun terus turun ke dapur melakukan apa yang diajar oleh emak mertuanya untuk membantu mengurangkan sakit perut Sharina. Sementara menjerang air, Kamal sempat mandi dan menyalin baju.
Tidak sampai lima minit, air yang dijerang sudah hampir mendidih. Air panas dicampurkan dengan sedikit air sejuk dimasukkan ke dalam botol air mineral yang telah kosong dan dibalut dengan tuala muka. Untuk mendemah perut Rin. Itulah yang diberitahu oleh emak mertuanya.
‘Hai mak! Boleh ke saya nak demah-demah perut anak emak tu! Silap-silap hari bulan, dia sondol saya macam kambing jantan sondol perdu pokok pisang. Anak dara emak yang cun ni langsung tak boleh disentuh, mak! Sehelai rambut dia pun belum saya tengok. Inikan pula nak demah perut dia. Jangan-jangan dia tendang saya sehingga terpelanting.’ Hati Kamal berbisik-bisik lagi.
“Rin...” bisik  Kamal sambil cuba merangkul pinggang Sharina.
Sharina terus menepis tangan Kamal. Tangisannya masih belum reda. Dia  terus mengerang dan merengek.
“Rin, abang nak tolong Rin ni!” kata Kamal lagi lalu duduk bersila di atas tilam. Dia memegang kaki Sharina. Kaki Sharina terasa sejuk. Kamal bertambah risau. 
“Rin...” Kamal lcuba menelentangkan tubuh Sharina. Sharina tidak mempedulikan Kamal sebaliknya terus menyembamkan wajahnya di atas bantal. Dia di dalam kesakitan yang amat sangat.
“Rin... janganlah meniarap macam tu! Emak suruh abang demah perut Rin dengan botol air panas ni. Boleh ya?” Kamal terus memujuk.
“Rin...” pujuk Kamal lagi. Dia memegang tangan Sharina cuba mengalihkan tubuh isterinya itu. Tangan Sharina yang dipegang pun terasa sejuk. ‘Ya ALLAH, kenapa dengan Rin ni? Sakit perut sampai sejuk kaki tangan?’ Dia bertambah panik. ‘Senggugut ke apa ni?’ soal hati Kamal lagi.
“Rin... abang nak tolong ni. Janganlah meniarap macam tu,” ujar Kamal lagi. ‘Degilnya Rin! Tak boleh jadi ni! Abang mesti buat apa yang emak suruh. Rin degil ya. Keras kepala dengan abang. Siaplah,’ kata hati Kamal.
‘Langkah pertama, tanggalkan tudung Rin. Dalam rumah pun nak pakai tudung kepala? Dahlah penghawa dingin dalam bilik ni rosak, abang tak sempat nak cari orang datang baiki.Rin tahan ya berpanas dan berpeluh sebab tak beri abang tengok rambut Rin. Hmm... Hati Kamal terus berbisik.
“Dalam rumah tak payah pakai tudung,” kata Kamal lalu menanggalkan tudung kepala Sharina yang berwarna putih. Terjurai rambut Sharina ke atas bahu dan melepasi belakangnya.
Sharina bingkas duduk di atas tilam dan mengadap Kamal. Dia merenung Kamal dengan tajam. Tudung di tangan Kamal dirampasnya balik.
‘Wow! Cantiknya rambut isteri abang. Panjang. Hitam. Lembut berkilat. Berombak-ombak,’ bisik hati Kamal. Tak tersedar tangannya mengusap dan melurut-lurut rambut Sharina. Ingin sahaja dia mencium rambut itu, tetapi Sharina tiba-tiba termuntah. 
‘Betul kata emak. Rin sakit perut sampai termuntah-muntah,’ bisik hati Kamal lagi. Tangisan Sharina semakin kuat. Muntah meleleh di atas baju kemeja dan seluar jean yang dipakai. Cadar dan bantal pun mendapat habuan juga. Kamal menggosok-gosok belakang Sharina. Sharina tidak dapat mengelak lagi.
‘Abang... tolonglah. Rin benar-benar sakit ni!’ beritahu Sharina di dalam hati. Hatinya terus merintih.
“Bukak baju kemeja tu! Dah kena muntah!” suruh Kamal lalu mencapai tuala dan memberikannya kepada Sharina.
Sharina terpaksa menurut. Dia membuka baju kemejanya dengan bantuan Kamal. ‘Selesai lagi satu masalah,’ kata hati Kamal.
 “Orang nak pergi bilik air,” rengek Sharina. Dia cuba menuruni katil. Kamal membantunya.
“Larat jalan sendiri tak?” soal Kamal apabila dilihatnya Sharina terbongkok-bongkok berjalan sambil menekan perut dengan muka yang berkerut dan pucat lesi.
Sharina tidak menjawab.
“Jom, abang dukung!”
“Janganlah!” Sharina menolak tangan Kamal. Lagi sekali tangan Kamal dicubitnya. Geram.
Kamal beralah. Dia membiarkan Sharina ke bilik air bersendirian. Sepeninggalan isterinya itu, Kamal menyalin cadar dan sarung bantal yang terkena muntah. Lepas itu, dia turun ke dapur sekali lagi setelah mengeluarkan sepasang baju persalinan untuk isterinya itu dari dalam almari dan diletakkannya di atas tilam.
Sharina sudah kembali di atas katil apabila Kamal datang semula. Dia sudah menyalin baju yang disediakan oleh Kamal tadi. Nampak comel dan seksi berbaju T putih tidak berlengan berleher V dan berskirt labuh warna merah jambu. Kolam matanya masih berona merah. Bulu matanya basah dengan air mata. Sedu-sedannya masih tersisa.
Kamal berasa lega apabila dia kembali ke bilik melihat isterinya sudah tersandar di katil sambil meletakkan sebiji bantal di atas perutnya. Agaknya Sharina mandi dan terus bersyampu kerana rambutnya tadi terkena muntah. Rambutnya yang separuh basah dibiarkan terjurai di bahunya. Kamal tersenyum apabila melihat Sharina memakai pakaian yang disediakannya.
‘Alahai, cantiknya... macam nilah isteri abang,’ pujinya. “Rin... telan pil ni, dua biji.” Kamal menghulurkan dua biji pil penahan sakit dan segelas air.
Sharina menolak tangan Kamal sambil menggeleng. Dia rasa sayang hendak membuka puasanya.
“Rin takut makan ubat ya? Abang hancurkan pil ni, nak?” soal Kamal sambil merenung mata isterinya itu.
Sharina mendiamkan diri. Kamal menghilangkan diri ke dapur semula dan datang balik beberapa minit kemudian.
 “Rin minum ni! Kalau tak makan ubat, macam mana sakit nak baik,” pujuk Kamal lagi.
Sharina mengeraskan dirinya sekali lagi. Nafasnya dihela perlahan-lahan.
“Rin sayang nak buka puasa ya?” tebak Kamal.
Sharina mengangguk manja.
“Dah datang haid, tak wajib puasa lagi! Haram hukumnya kalau berpuasa juga, Rin...” nasihat Kamal dengan suara meleret.
Sharina menurut tanpa sepatah kata. Cawan yang dihulurkan oleh Kamal disambut. Dia memicit hidungnya dan menelan ubat yang telah dihancurkan dan dibancuh dengan Milo pekat.
Kamal duduk di sebelah Sharina. Dia bersandar ke kepala katil sambil melunjurkan kakinya.
 “Mari sini, dekat abang!” ajak Kamal sambil menghulurkan tangannya. Dia merenung Sharina dengan renungan lembut, membujuk. Mereka saling bertatapan beberapa saat.
Sharina kelihatan takut-takut.
“Mari sini,” ungkapnya lagi. Akhirnya, Sharina terpaksa mengikut. Dia merapatkan tubuhnya kepada Kamal.
“Baring kat abang! Bila Rin dah tenang sikit, abang bawa Rin pergi klinik. Kita pergi ya!” pujuk Kamal sambil menarik Sharina supaya merapati dadanya. Apabila isterinya sudah rapat ke tubuhnya, rambut Sharina dielus-elus perlahan.
Esak sendu Sharina masih tersisa. Hujung jari Kamal pantas mengesat air mata yang meleleh di pipi isterinya itu. Sharina merapatkan mukanya ke dada Kamal sambil memejamkan mata. Nafasnya dihela perlahan.  
“Tiap-tiap bulan sakit macam ni, Rin pernah pergi jumpa doktor tak?” soal Kamal seolah-olah berbisik.
Sharina menggeleng. Bukannya Hisham tidak pernah mengajaknya bertemu dengan doktor, tetapi dia yang berdegil.
“Nanti abang bawa!” janji Kamal. Sebelah tangannya masih mendemah perut Sharina dengan botol air panas, perlahan-lahan.  Kamal terus mendemah perut Sharina sambil mengelus-elus bahu isterinya itu. Sharina nampak semakin tenang dan tidak teresak lagi.
“Air dalam botol ni dah sejuk. Abang pergi ambil yang baru,” beritahu Kamal lalu mengubah posisinya. Dia terasa sayang untuk meleraikan tubuh Sharina yang sedang melekap di dadanya.
“Tak payahlah... Rin dah rasa lega sikit. Alhamdulillah...” bisik Sharina sambil memeluk dada Kamal lalu memejamkan matanya. Detakan jantung Kamal bagaikan berpadu dengan detakan jantungnya. Belaian Kamal terhadap dirinya pada saat itu membuatkan perasaannya berasa amat indah. Dia rasa dilindungi dan selamat di dalam pelukan lelaki itu.
“Betul ni?” soal Kamal lagi.
Sharina mengangguk-angguk perlahan. 
“Alhamdulillah...” ucap Kamal lega. Lantas, bibirnya singgah di pipi gebu isterinya itu. Sharina membiarkan.
“Abang risau tengok Rin sakit. Kalau boleh, abang nak rasa sakit Rin tu pindah pada abang! Biar abang yang sakit. Jangan isteri abang yang sakit,” bisik Kamal berbasa-basi.
“Terima kasih,” balas Sharina dengan suara lemah dan perlahan. Terharu dia mendengar kata-kata yang diungkapkan oleh suaminya itu. Lantas, tanpa sedar bibirnya singgah di pipi kiri Kamal.
Kamal tersentak. ‘Yes, akhirnya abang menang juga! Tak lama mana degil dan keras hati Rin ni!’ Tubuh Sharina terus diraih ke dalam dakapannya.
“Abang... hari ni Rin belum masak juadah untuk berbuka puasa lagi,” beritahu Sharina manja.
Mendengar perkataan ‘puasa’, Kamal cepat-cepat melepaskan tubuhnya isterinya. Perlahan-lahan dia bangun dari katil. Dia tidak boleh berlama-lama lagi duduk berdekatan dengan isterinya di dalam keadaan begitu.
“Tak apa, Rin. Abang pergi beli di pasar Ramadan. Cadangnya nak bawa Rin berbuka puasa di luar malam ni! Tapi, Rin tak sihat. Malam esok aje ya?” beritahu Kamal dengan nada ceria. Saat itu hatinya terasa lapang. Tidak lagi cemas dan resah seperti sebelum ini. Harap-harap mulai saat itu hati isterinya dapat dimiliki.
Sharina mengangguk.
“Abang pergi sekaranglah,” beritahu Kamal lagi sambil memegang dagu Sharina. “Lusa baru kita balik kampung untuk sambut hari raya ya?”
Sharina melarik senyuman tipis. Rasa rindu kepada emaknya sudah menggebu-gebu. Pada saat itu, markah yang telah terhimpun untuk Kamal semakin bertambah. Memang benarlah kata abang, Kamal memang seorang yang bertanggungjawab dan baik.
“Abang,” panggil Sharina sebaik Kamal membuka pintu bilik.
Pergerakan Kamal terhenti. Dia berpatah balik dan merapati Sharina yang baru hendak turun dari katil.
“Kenapa, sayang?” soal Kamal. Matanya merenung Sharina. Isterinya itu sedang tersenyum manja.
“Abang jangan beli makanan banyak-banyak. Membazir nanti,” pesan Sharina. Dia sudah duduk di birai katil.

“Tak usah risau, sayang...” jawab Kamal sambil menarik hujung hidung Sharina.


                                                              ~ ~ bersambung ~~

Dapatkan novel ini di pasaran atau beli online di http://mall.karangkraf.com

Tiada ulasan: