Langit yang terbentang cantik membiru. Tanpa secebis awan.
Beberapa ekor burung layang-layang kelihatan berterbangan. Cuaca yang begitu
baik pada petang itu adalah kurniaan daripada ALLAH untuk hamba-NYA yang sedang
mengerjakan ibadah puasa.
Sudah 27 hari umat Islam berada di
dalam bulan Ramadan. Bulan yang penuh keberkatan dan ganjaran pahala yang
berlipat kali ganda. Bulan di mana semua umat Islam diwajibkan berpuasa bagi
menjalankan rukun Islam yang ketiga. Puasa itu dikatakan sebagai pintu-pintu
kebaikan dan menjadi perisai serta pencegah daripada segala bahaya.
Rasulullah telah bersada, ’Puasa
itu perisai daripada api seperti perisai seorang kamu dari pembunuhan (perang)
dan sedekah itu pula memadamkan kesalahan atau dosa samalah seperti air
memadamkan api yang sedang menyala membakar’
Sebagai menyempurnakan amalan
bersedekah yang selalu dilakukan setiap hari tiba bulan Ramadan, petang itu Mak
Leha sibuk menyediakan juadah berbuka puasa untuk moreh di surau bersama dengan
beberapa orang jiran.
Apabila dia melihat menu yang
disediakan pada petang itu hatinya menjadi sebak tiba-tiba. Kari ikan sembilang
dengan terung bulat memang menjadi lauk kegemaran anak dan menantunya. Tidak
semena-mena kalbunya meruntun. Pejam celik-pejam celik sudah hampir sebulan
Sharina tinggal berjauhan dengannya.
“Entah apa yang dimasak oleh
Sharina petang ni,” bisiknya sambil mengacau adunan tepung jagung di dalam
periuk besar. Selain daripada kari ikan sembilang, Sharina juga suka minum
serbat tambahan pula sewaktu berbuka puasa.
“Anak menantu awak tak balik ke
Cik Leha? Tak nak merasa berbuka puasa dengan emak mertua ke?” Pertanyaan salah
seorang jirannya menyentak lamunan Mak Leha.
“Tak tahulah pulak saya.
Harap-harap adalah mereka balik sehari dua lagi,” jawab Mak Leha. Segan pula
dia hendak bercerita yang dia sedang menanggung rindu kepada anak bongsunya.
“Hai, beginilah kata orang.
Kecil-kecil ditimang ibu, bila besar di timang abang...”
“Langsung tak balik-balik,”
sampuk pula jiran yang lain. Deraian ketawa wanita-wanita separuh usia itu
memecah keheningan.
“Tak sangka saya Rin anak manja
awak tu, cepat benar jodohnya. Alhamdulillah...”
“Betul tu, Kak Tijah. Bila saya
tengok Rin asyik terperuk di celah ketiak emak dan abangnya Hisham... saya pun
terfikir jugak macam manalah agaknya bila dia ni kahwin atau... tak nak kahwin.
Tiba-tiba dengar nak menikah aje. Terkejut beruk saya..”
“Saya pun terkejut jugak Peah...”
“Memang dah lama berkawan ke
mereka tu, Kak Leha?” tanya seorang jiran.
Mak Leha tersenyum meleret.
“Agaknya dah lama berkawanlah tu.
Budak-budak zaman sekarang ni, bercinta-cinta tu dah menjadi kewajipan kepada
mereka,” sambung jiran itu lagi.
“Eh! Eh! Tak adalah. Yang
sebenarnya suami Rin, kawan baik Sham,” jelas Mak Leha. Lebih baik dia berterus
terang daripada jiran-jirannya mengada-adakan cerita mengikut versi mereka
masing-masing.
“Oh, baru hari ini saya tahu,”
pintas jiran yang bernama Peah.
“Sekali dia tengok Rin saja dia
dah nyatakan hasratnya pada Sham untuk meminang. Secara kebetulan, kami pun nak
menunaikan fardu haji pada tahun ini, sebab itu Sham mahu disegerakan
pernikahan adiknya itu. Sementelah kawannya mahu cepat-cepat dilangsungkan.
Jika diikutkan kehendak Kamal, dia nak menikah dalam tempuh seminggu,” cerita
Mak Leha bersungguh-sungguh.
“Amboi... gelojohnya budak-budak
sekarang ni,” sampuk satu suara entah daripada siapa. Kata-kata itu menyebabkan
mereka semua ketawa.
“Tak juga, Peah... Lijah!
Sepanjang tempuh pertunangan mereka, sekali pun mereka tak pernah berjumpa.
Berhubung melalui telefon pun tak! Boleh pula dia bersabar. Saya pun hairan
juga,” cerita Mak Leha lagi.
“Dia tak mahu berjumpa ke atau
anak jantan awak tak benarkan? Sham tu saya tengok boleh tahan juga tegasnya
menjaga adiknya yang seorang tu!” balas Mak Cik Peah sambil ketawa.
“Kalau Rin telefon Kak Leha
sampaikan salam saya kepadanya ya,” kata Mak Cik Peah sambil meramas kelapa.
Itulah perahannya yang terakhir. Sebentar lagi santan itu boleh dimasukkan ke
dalam bubur jagung.
“Assalamualaikum...”
Hisham tiba-tiba muncul di dapur
sambil membawa beberapa beg plastik yang sarat dengan kotak-kotak buah kurma.
“Emak, buah-buah kurma ni untuk
diagihkan kepada jemaah di surau nanti ya,” katanya sambil tersenyum kepada
semua jiran-jiran yang sedang membantu emaknya memasak.
“Banyak ni, Sham,” tukas Mak
Leha. Dia membuka salah sebuah beg plastik yang dihulurkan Hisham kepadanya.
“Tak apa, emak! Memang saya dah
berniat untuk sedekahkan kepada semua jemaah! Untuk hidangan berbuka nanti,
emak guna buah kurma yang saya beli semalam,” beritahu Hisham.
“Nanti emak tolong agihkan untuk
mak cik-mak cik yang ada kat sini seorang sekotak ya, mak!”
“Hai, pemurah betul anak bujang
Kak Leha ni. Kalau saya ada anak dara mahu saya meminang Hisham untuk anak
saya!” gurau Mak Cik Peah.
Hisham tergelak-gelak. “Jodohkan
saya dengan Mialah Kak Peah,” jawab Hisham. Kata-katanya itu disambut oleh
deraian tawa jiran-jirannya.
“Mia tu baru darjah satu,” jawab
Kak Peah sambil ketawa. Hisham pun turut ketawa.
“Saya tunggu Mia besar sikit!
Bukannya lama pun dalam sepuluh atau sebelas tahun lagi bolehlah saya jadi
menantu Kak Peah!!” kata Hisham berjenaka.
“Kau biar betul, Sham... Nanti
masin mulut tu baru tahu. Kak Peah tak kisah. Zaman sekarang ini pun ramai
pasangan yang umur mereka jauh bezanya. Kalau setakat sepuluh sebelas tahun tu,
tak ada hal. Tambah-tambah orang lelaki, umur 40 tahun pun muda lagi kalau kena
gayanya! Nak-nak macam Sham ni!” balas Mak Cik Peah dengan suara kuat.
“Kalau dah jodoh apa salahnya,”
seloroh Hisham lagi. Perhubungannya dengan jiran tetangga memang baik dan
mesra. Meskipun dalam kesibukan bekerja hak-hak jirannya tetap dipelihara.
Tidak akan sempurna iman seseorang Islam jika tidak memuliakan jiran-jirannya.
“Emak, saya nak mandi dululah!
Lepas tu, bolehlah saya bantu bawa semua makanan ni ke surau,” kata Hisham.
Belum sempat Mak Leha membalas kata-kata Hisham, telefon di dalam rumah
berdering. Terkejar-kejar dia masuk ke dalam rumah untuk menjawab panggilan
itu.
“Helo, emak...”
Raungan Sharina di telefon
mengejutkan Mak Leha.
~ ~ bersambung ~ ~
.jpg)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan